Friday 31 October 2014

Posted by Unknown On Friday, October 31, 2014

Kisah masa depan yang paling benar adalah kisah akhirat yang telah dikisahkan melalui al-Quran dan melalui lisan Nabi SAW. 

Namun begitu, kebanyakan dari manusia tidak mengambil perhatian yang sepatutnya mengenai kisah-kisah yang menyeronokkan dan menggegarkan hati ini.

Kenapa mesti hati bukan anggota badan yang lain?

Kerana hati itulah tempat terakhir yang menentukan kisah itu menyerap ke dalam jiwa sehingga menjadi penghayatan pegangan hidupnya dan hati itu jugalah tempat terawal yang menjadi titik jatuh pandangan Allah taala.

INI KISAH AHLI NERAKA

Dalam pengisahan yang panjang di dalam Quran dan hadis, saya tertarik untuk berkongsi tentang betapa kuat dan rajinnya ahli neraka berdoa di sana. Maksudnya di dalam neraka.

Sedangkan ketika di dunia mereka hanya menadah tangan dengan luahan bicara kosong kerana malas berdoa dan kebanyakan dari mereka adalah orang yang langsung tidak berdoa. Puncanya adalah dari kerana hati yang keras dan sombong.

Benarlah kata-kata hikmah dari ulama terdahulu.

'Sesungguhnya orang yang paling banyak berdoa di dunia adalah ahli syurga
dan sesungguhnya orang yang paling banyak berdoa di akhirat adalah ahli neraka'


DOA AHLI NERAKA 

Di dalam Quran khususnya, disebut dengan jelas 5 doa ahli neraka dan 4 daripadanya mendapat jawapan langsung daripada Allah dan baki doa terakhir tiada jawapan kepadanya dan tiada lagi belas kasihan kepada mereka.

1. Doa dari ahli neraka ketika kali pertama 'melawat' dan tinggal di dalamnya untuk selamanya:

"Ya Tuhan kami Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah sesuatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?" - Al Mukmin : 11

Jawab Allah:

(Lalu dikatakan kepada mereka): Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila diseru untuk menyembahNya, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu) dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). 

Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya). - Al Mukmin : 12

Buat kali pertamanya, mereka memuji Allah dari hati mereka tetapi dalam keadaan terpaksa dan menyesal yang tidak bertepi. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengakui dosa mereka dan meminta keringanan hukuman.

Sangka mereka itu adalah proses penghakiman yang sama seperti di dunia. Dengan memuji hakim dan mengakui dosa, maka besarlah harapan untuk diringankan hukuman.

Tapi rupanya tidak begitu keadaannya kerana yang menghukum mereka sangat murka dengan apa yang telah mereka lakukan dengan peluang-peluang yang diberikan berkali-kali di atas dunia ini, satu ketika dahulu.

2. Tidak 'jalan' dengan doa yang pertama, mereka mula memberikan alasan untuk diberikan satu lagi peluang.

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): 

Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." - As Sajadah: 12

Jawab Allah:

"Dan (bagi menolak rayuan itu Allah berfirman): Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan iman (dengan memberikan hidayah pertunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah pertunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat) tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu.

Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal salih).

Lalu dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kelalaian kamu maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".

Ternyata di dalam ayat ini menunjukkan bahawa sebenarnya ahli neraka itu dahulunya ahli dunia yang mengetahui bahawa mereka akan kemballi kepada Allah tetapi kelalaian dunia telah menipu daya mereka.

Allah tidak menggelar mereka bodoh tapi Allah mengatakan mereka lalai sehingga kerana kelalaian itu, mereka melupakan akhirat dengan tidak beramal dan di akhirat, Allah pula melupakan mereka. Dengan sangaja!


3. Ketika ini ahli neraka terus merayu dengan doa permintaan mereka. Orang yang tidak banyak berdoa di dunia, pasti banyak doanya di hari akhirat nanti. Sedangkan doa ahli syurga di akhirat hanyalah satu perkataan, "Sallim...sallim...sallim" - Selamatlah....selamatlah....selamatlah.

Ini rayuan seterusnya di dalam surah Ibrahim, ayat 44.

"Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul." 

Maka, balas Allah kepada mereka:

"Bukankah kamu telah bersumpah (dengan angkuh dan sombong) dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?

Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)".

4. Sekali lagi mereka memberi alasan dalam rayuan yang hampir sama. Tapi dalam keadaan berbeza, 

Jika sebelumnya, rayuan dan alasan mereka disebutkan dalam keadaan hina, malu dan mengharap yang semuanya terkandung di dalam maksud doa.

Tapi doa seterusnya, lebih menghinakan dan lebih terdesak kerana doa-doa sebelumnya tidak dipedulikan. Mereka mula mengangkat suara bersama tangisan dengan harapan di hati yang semakin menipis.

"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan." - Fathir: 37

Lalu Allah menempelak mereka: 

"Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? 

Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan."

Masa yang panjang telah dikurniakan di dunia, kesihatan, kekayaan, fikiran yang sihat serta lainnya adalah 'modal' supaya ketika dekat dengan Tuhan bukan sebaliknya.

Kerana kelakuan sebaliknya oleh ahli neraka ketika menjadi ahli dunia ini, maka sesuailah azab itu untuk mereka tanpa diberikan lagi peluang di sana untuk berubah.


5. Inilah doa dan rayuan terakhir mereka.

"Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat. Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim". al-Mu'minun 106

Mereka akhirnya mengakui bahawa mereka bukan sahaja lalai bahkan menggelar diri mereka sebagai orang yang jahat. Permintaan mereka adalah sama sahaja. Ingin kembali ke dunia kerana di sanalah tempat bersenang-lenang mereka.

Tapi kali ini dengan satu janji yang mereka doakan bersungguh-sungguh...tapi apa kata Allah?

"Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku."

Akhirnya Allah menutup perbicaraan bersama mereka dengan janjiNya sendiri dan dalam masa yang sama menolak janji 'manis' mereka dengan firmanNya ini.

Mereka tidak dibenarkan lagi berbicara kepada Allah dan mereka tinggal di dalamnya dengan hina dina selamanya!


WALHASILNYA

1. Ahli neraka suka berdoa.....ketika di dalam neraka dan ketika berada dalam keadaan sempit dan susah sahaja. Sedangkan ketika senang dan luas hidupnya, rasa berat sekali mahu menadah tangan mahu berdoa.

2. Ahli neraka tahu bahawa dunia adalah tempat berpenat dengan amal ibadat dan akhirat adalah tempat berehat dengan balasan yang sempurna. Tapi mereka orang yang melakukan sebaliknya dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar.

3. Ahli neraka itu tahu bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun kepada manusia. Jadi mereka merayu dan berdoa agar dikasihani dan diampunkan.

Mereka menipu diri sendiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun sedangkan mereka juga tahu sifat Allah yang lain. "Dan sesungguhnya azabku azab yang sangat pedih"!


4. Berdoalah sebanyaknya kerana merekalah orang yang rapat dengan Tuhan. Ia tidak tahu berbicara dan berkongsi rasa dengan manusia tapi ia sangat bijak sekali kerana berkongsi rasa dan luahan hati bersama Allah sahaja.

5. Beramallah dan sebarkanlah kebaikan kerana mungkin padanya terdapat keampunan Allah dan keredhaan Allah kepada kita.

Semoga bermanfaat. Waallhua'lam.


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Thursday 30 October 2014

Posted by Unknown On Thursday, October 30, 2014

Selalukah anda meneran untuk mengeluarkan isi perut hingga merah muka atau mengetap gigi manakala kaki bersilang sambil mengepit punggung ketika membuang air besar? 

Jika berlaku kesukaran ini setiap kali berada di tandas, ini bermakna anda mengalami sembelit kronik.

Ramai orang menganggap sembelit sebagai gejala dan bukan sejenis penyakit yang merbahaya kerana setiap individu pernah mengalami masalah ini. 

Sungguhpun begitu, masih ramai yang menganggap sembelit sebagai isu remeh dan berpendapat ia boleh diselesaikan dengan banyak meminum air.

Fakta: 5 juta rakyat Malaysia mengalami pelbagai masalah penghadaman seperti kesakitan bahagian perut, kembung, sembelit dan lain-lain.

PERUT ADALAH PUNCA PENYAKIT

Inilah yang pernah disebut olah doktor terulung dunia bernama Muhammad SAW sebelum diketahui oleh dunia perubatan moden.

Mengapa?

Kerana di perut terdapat usus atau kolon. Usus adalah bahagian badan yang bertanggungjawab untuk menyerap khasiat daripada makanan dan memproseskan bakinya untuk membentuk bahan buangan untuk dibasmi atau dibuangkan. 

Usus manusia terdiri daripada usus besar dan usus kecil. Kesihatan badan barkait rapat dengan kebersihan kedua dua usus besar dan usus kecil ini.


Fakta: 90% penyakit yang pelbagai adalah berkaitan dengan usus yang tidak bersih.

SEMBELIT

  • Sembelit ialah situasi apabila individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan keadaan itu berlarutan sehingga beberapa bulan.
  • Seseorang itu juga boleh memiliki gejala sembelit jika lebih 40% najis yang dikeluarkan adalah keras. 

Penghidap sembelit kronik biasanya tidak membuang air besar untuk beberapa hari. Malah terdapat juga kes membabitkan pesakit yang tidak membuang air besar dengan sempurna sehingga berbulan-bulan.

Lazimnya, individu normal akan mengeluarkan 75% najis lembut dan proses pembuangan lebih lancar tanpa perlu meneran dengan kuat.

MENGAPA SEMBELIT BAHAYA?

Makanan yang dimakan akan melalui perut, kemudian dicerna dan diserap oleh usus kecil. Kebanyakan sisa makanan yang belum dicerna akan ditinggalkan dalam usus besar manakala bakteria dalam usus akan menguraikan bahan-bahan ini menjadi toksin. 

Dalam keadaan normal, toksin ini akan dikeluarkan dari badan bersama najis.  

Sembelit berlaku apabila pergerakan usus besar menjadi perlahan sehingga najis yang mulanya berbentuk cair menjadi keras apabila berada di hujung dubur (anus).

Ini kerana sepanjang pergerakan yang perlahan itu, cecair dari najis akan diserapkan semula ke dalam usus besar.

Kerosakan kolon yang kronik

Oleh itu ,sembelit mendatang kemudaratan jika ia dibiarkan lama kerana semua toksik dalam najis telah diserap semula.

Bahan bertoksin yang diserap semula akan dibawa masuk ke hati oleh darah kerana hati bertindak sebagai penapis darah dalam tubuh. Ini akan menambahkan beban hati. 

Bayangkan apa akan  jadi pada hati sekiranya bahan toksin yang tinggal di dalam usus untuk jangka masa yang panjang berkali-kali diserap semula dan dibawa ke hati? 

Selain itu sembelit akan menghalang gas dalam usus dikeluarkan sebagai kentut. Ini menyebabkan perut menjadi kembung dan akhirnya tidak selesa.

Orang yang lama mengalami sembelit (chronic constipation) akan menyebabkan tubuh mereka lemah, cepat letih, pucat dan tidak bermaya. Jika tidak dirawat segera ia akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

SEMBELIT 'MENJEMPUT' PENYAKIT KRONIK

i- BUASIR

Sembelit yang berpanjangan dan serius mungkin boleh menyebabkan buasir yang disebabkan oleh menahan untuk membuang air besar atau anal fissures (koyakan pada kulit di sekeliling anus). Ia berlaku disebabkan oleh najis yang keras meregangkan otot sphincter

Kesannya, pendarahan rektum mungkin berlaku, di mana darah kelihatan di permukaan najis.

ii- APPENDIX

Najis yang keras boleh menyebabkan ia tersangkut di appendix, satu bahagian sempit menjulur daripada cecum. 

Appendix tidak mempunyai fungsi dalam penghadaman, tetapi ia mempunyai kepekatan sel darah putih menentang bakteria. 

Najis yang menghalang aliran darah normal dan rembesan mukus ke bahagian ini boleh menyebabkan appendicitis (keadaan seperti bola sepak menutup lubang golf) dan pembengkakan appendix. 

Jika tidak dibuang, appendik yang membengkak akan pecah. Bakteria yang terhasil dari pembengkakan ini, walaupun tidak berbahaya boleh memasuki abdomen lalu menyebabkan jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

iii- KANSER KOLON/USUS

Kanser kolon/usus ini berlaku di negara mewah makanan seperti Malaysia. 


Antara tabiat yang boleh membawa kepada kanser kolon ialah:

  • skip meal
  • makan terlalu banyak dan terlalu cepat
  • makan banyak gula, kolesterol, garam dan rendah serat

Justeru, sekiranya anda mengalami sakit perut, sembelit dan najis berdarah serta kehadiran lendir yang berlarutan, jangan anggap ia adalah buasir. Seelok-eloknya, jumpa doktor dan lakukan pemeriksaan kolonoskopi.

Fakta: 500,000 kematian diseluruh dunia adalah disebabkan Kanser Kolon.

RAWATAN SEMULAJADI


1- Herblax

  • Sesuai diambil oleh lelaki dan wanita
  • Mengandungi 9 herba semulajadi dan menggalakkan pembersihan secara lembut dan terbukti kesesuaiannya secara klinikal untuk digunakan dalam jangka masa panjang
  • Ia membantu untuk mengelakkan sembelit 
  • Membantu pembersihan usus dan detoks
  • Meningkatkan pelawasan pada sistem pencernaan
  • Membantu mengempiskan perut
  • Diambil hanya 2x minggu sahaja
  • Tidak sesuai untuk ibu menyusu (untuk ibu menyusu anda boleh mengambil ALFALFA)

2- Alfalfa

  • Selain membantu dalam sistem pelawasan, Alfalfa juga membantu dalam pelawasan
  • Turut bertindak sebagai kacip fatimah kepada wanita
  • Turut membantu sebagai 'milk booster' untuk ibu yang menyusukan
  • Diambil setiap hari

3- Lecithin

  • Penting dalam proses pembuangan lemak di dalam badan
  • Ia adalah 'pengemulsi semulajadi' yang membantu memecahkan lemak dan menghalang lemak daripada melekat di dinding membrane kolon
  • Antara produk yang banyak membantu dalam proses penurunan berat badan

4- Ostematrix

  • Ostematrix Shaklee terdiri daripada kalsium, magnesium dan vitamin D
  • Bagi wanita yang berpantang, Ostematrix diamalkan untuk mengelakkan sembelit
  • Selain itu ia membantu untuk kita lebih mudah bangun di pagi hari

5- Meal Shake

  • Kaya dengan serat yang membantu (peristalsis kolon dan perut/buang air besar) untuk menyingkirkan lemak berlebihan dan bahan buangan daripada kolon dan perut.
  • Sesuai untuk kanak-kanak serta orang dewasa yang sering mengalami masalah sembelit.

Sekiranya anda benar-benar mahu mengatasi masalah sembelit dan sistem percernaan yang kurang lawas saya sangat mengesyorkan untuk mengambil kesemua suplemen di atas. 

Bukan hanya membantu mengelakkan sembelit tetapi turut membantu membersihkan usus besar dan seterusnya mampu membantu penyerapan vitamin-vitamin lain dengan lebih maksimum.


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Wednesday 29 October 2014

Posted by Unknown On Wednesday, October 29, 2014

Pernah mendengar alasan seperti ini dalam hidup seharian anda?

Sedikit teguran dari insan kerdil ini untuk manfaat kita bersama.

NIKMAT VS MUSIBAH

Pernah dengar luahan seperti ini di FB:

+ 'Saya putus tunang. Jangan ganggu saya buat masa ni.'
+ 'Saya terlibat kemalangan, orang yang langgar saya tu...sekian...sekian.'
+ 'Rumah saya dimasuki perompak minggu lepas, kali ni saya letak CCTV pula.'

Hampir semua musibah diceritakan.

Cerita naik gaji, anak soleh, kereta yang selesa, rumah yang baik dan nikmat yang baik-baik ditutup kemas pula.

Persoalannya, adakah ini yang dituntut oleh Islam?!

Jika kita telusuri dan fahami ibadat-ibadat khusus di dalam Islam yang menjadi tiang-tiang utamanya, kita akan sedar bahawa kita telah 'membiasakan yang salah' di dalam hidup kita seharian.

  • Jodoh, zahirkan dengan walimah.
  • Anak, zahirkan akikah.
  • Lebihan, zahirkan dengan korban.
  • Solat, zahirkan dengan jamaah.
  • Puasa, zahirkan dengan berbuka.

Lihat pula firman Allah:

'Maka adapun dengan nikmat Tuhanmu, maka ceritakanlah'

'Pakailah perhiasan yang indah-indah ketika hendak ke masjid'

'Maka nikmat tuhanmu yang mana satukah yang ingin engkau dustakan?"

Begitu juga arahan dari Nabi SAW, 'Sesungguhnya Allah sangat suka apabila ia memberikan nikmat, maka hambanya menzahirkan kesan nikmat tersebut'

Bahkan hukama mengatakan,"Antara tanda seseorang itu bersyukur, ia zahirkan nikmat Allah kepadanya. Tanda seseorang itu redha, ia sembunyikan musibah yang menimpanya".

Bukankah semua ini menunjukkan atas galakan menzahirkan nikmat atas beberapa tujuan:

  • Berkongsi kegembiraan bersama umat Islam.
  • Mendapatkan keberkatan atas rezeki yang didapatkan dengan asbab doa orang Islam.
  • Mengelakkan fitnah yang mungkin timbul kerana perubahan cara hidup dari rezeki yang didapatkan.
  • Berkongsi rezeki itu bersama orang lain jika ia dalam bentuk yang boleh dibahagikan.
  • Mengajar umat Islam lainnya untuk mendapatkan rezeki tersebut melalui jalan yang Islam aturkan.


MENGAPA TAKUT MENZAHIRKAN NIKMAT?!

Tidak dinafikan bahawa sikap umat Islam khasnya di Malaysia yang terlalu negatif mengundang kepada fitnah ini sehingga orang ramai takut untuk menzahirkan nikmat tetapi lebih senang berkongsi musibah yang menimpa.

Majoriti respon ketika dizahirkan rezeki:

  • 'Eleh, nak menunjuk la tu kata isterinya lawa'
  • 'Riya nya orang ni. Kereta besar tu pun nal menunjuk. Kalau sampai masjid takpe juga'
  • 'Jangan takbur sangat, nanti Allah tarik tak pasal je malu muka'
  • 'Nasihat saya jangan tunjuk sangat rezeki nanti masuk rasa ujub, riya dan takbur dalam diri'

Nampak...nampak?!

Betapa manisnya nasihat mereka, tapi pahit sekali hakikatnya!

Orang yang dinasihatkan, belum tentu lagi bertujuan untuk ujub, riak atau takbur tapi yang menasihatkan sudah ada dalam dirinya:

+ Sifat su' zhon (buruk sangka) dengan orang lain kerana semua sifat tadi adalah sifat hati yang tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Tiada siapa mampu membaca hati orang lain melainkan Allah dan orang-orang yang mempunyai kelebihan di sisiNya.

Firman Allah: "Wahai orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada sangkaan. Sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa."

+ Sifat tajassus iaitu mencari-cari aib orang lain. Tujuannya untuk mencari keburukan seseorang muslim. Kebiasaan sikap manusia apabila ia mempunyai sangkaan buruk, ia tidak akan terhenti di situ sahaja. 

Ia akan mula mencari lebih banyak keburukan orang yang tidak disukainya sebagai senjata pemusnah yang digenggam olehnya. Menunggu masa musuh lemah, pasti dilontarnya.

Apa yang Nabi SAW perintahkam,“Aku tidak disuruh untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain) dan perut mereka”.

+ Sifat hasad dengki yang lebih susah untuk dikesan oleh diri apatah lagi diubati. Bila melihat nikmat yang dizahirakan oleh orang lain, mereka mula cemburu. Dari hanya cemburu yang biasa-biasa, akhirnya naik kepada hasad dengki pula.

Dengki adalah menginginkan agar nikmat itu dihilangkan dari saudaranya dan dianugerahkan kepadanya pula.

Ingat pesan hukama,"Terdapat api di dalam hati orang yang hasad. Jika api itu tidak membakar orang yang dihasadnya, ia akan membakar diri tuannya sendiri.".

# # # # #

Jom belek satu persatu sifat mazmumah ini:

UJUB - Menzahirkan kelebihan diri dengan mengangkat usaha dari keupayaan  sendiri tanpa mengaitkannya atau hingga terlupa ia sebenarnya anugerah dari Allah taala.

RIYA - Menzahirkan kelebihan diri yang sepatutnya hanya lillahhi taala (kerana Allah) kepada untuk mendapatkan pujian, kelebihan daripada manusia biasa semata-mata.

TAKABBUR - Menzahirkan kelebihan diri dengan mengangkat usaha dari keupayaan diri serta bertujuan merendahkan atau menghina orang lain.

Jika kita telah memahami perkara ini, maka sangat mudah bagi kita menilik diri sendiri hingga sampai satu tahap, kita tak mampu lagi menilik diri orang lain.


Setelah kita faham 3 istilah biasa yang masyarakat awam biasa gunakan, barulah kita perlu ketahui apa larangan untuk menzahirkan nikmat supaya tidak lagi terlencong hati kita:

1. Menzahirkan nikmat bukan tujuan untuk merendahkan orang lain, yakni beserta sikap takabbur.

2. Menzahirkan nikmat bukan tujuan untuk mengangkat diri sendiri, sama ada untuk kelihatan hebat atau untuk dipuji oleh orang lain, yakni beserta sikap ujub dan riya.

3. Menzahirkan nikmat bukan secara berulang-ulang secara kerap sehingga menimbulkan fitnah.

Ok, setakat ini dahulu. Semoga anda semua mendapat manfaat daripada tulisan ringkas ini.

Waallahua'lam.


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Tuesday 28 October 2014

Posted by Unknown On Tuesday, October 28, 2014

Ramai orang mendaki gunung yang tinggi tapi malangnya tak ramai yang membawa alatan dan bekalan secukupnya untuk bermalam di atas sana.

Sudahlah penat lelah mendaki tinggi. Apabila sampai ke puncak cepat-cepat pula 'terpaksa' turun kerana kesilapan dan kelalaian diri.

Ye, saya sedang bercakap tentang pendakian menuju sebuah kejayaan, idaman setiap orang yang bergelar insan.

Pernah dengar perkataan ini?!

'Menuju kejayaan itu penting tapi mengekalkan kejayaan itu sentiasa adalah lebih penting.'

Jadi, persiapan untuk mengekalkan kejayaan itu pasti lebih utama disiapkan dan disedari sejak awal.

Ia bukan 'dijumpai' di atas gunung kejayaan, tapi ia telah dipersiapkan sejak awal pendakian supaya tidak 'terpaksa' turun awal dari puncak gunung kejayaan itu setelah 'bersenang' sekejap di atas sana.

JANGAN BAWA....

Jika ingin mendaki, lepaskan segala bebanan yang tidak perlu.

Banyak bebanan di atas bahu kita masing-masing dalam menghadapi pancaroba kehidupan. Apatah lagi jika hendak mendaki sebuah gunung kejayaan. Ia tinggi dan tidak belas kasihan kepada kepada sesiapa yang membawa lebih muatan.

Tips paling mudah adalah bawa yang perlu sahaja. Yang kurang perlu, disingkirkan sementara atau selamanya. Terpulang pada kegunaannya.


i- Buang bebanan fikiran

Ketika hendak mendaki:

  • Tinggalkan minda ragu-ragu. Gantikan dengan ingin tahu.
  • Tinggalkan minda banyak berfikir. Gantikan dengan banyak bertindak.
  • Tinggalkan minda kerap bertanya. Gantikan dengan kerap menjawab.

Fikiran yang banyak ingin tahu tentang peluang dan risiko serta penyelesaian yang pasti adalah sangat baik di planet luar ini tapi tidak di dalam planet bisnes.

Bisnes adalah dunia redah dengan ilmu sedia ada. Tak perlu banyak sangat tahu. Lagi banyak tahu, lagi banyak beban yang kita bawa dari awal pendakian. Maka lagi lambat perjalanan bahkan mungkin langsung tidak berjalan.

Caranya, daki sahaja dahulu dengan ilmu seadanya dan nanti di tengah pendakian, kutiplah ilmu-ilmu berharga di setiap perhentian. Bukankah di situ terletak keseronokannya?! 

ii- Buang bebanan perasaan

Beratnya bebanan pada beg yang digalas tidaklah seberat beban perasaan dalam diri seseorang. 

Ramai orang jatuh di tengah perjalanan kerana perasaan putus asanya telah datang. Iri hati, dengki, tak puas hati, marah, cemburut dan sebagainya juga bertandang.

Jika berat badan sendiri sudah cukup besar, kenapa mahu diangkut orang lain bersama dengan meletakkan mereka dalam rasa di dada yang sempit itu?!


Semua ini menjadikan hati busuk dan keras. Kemudian hati dan rasa inilah yang digalas sepanjang perjalanan.

Sekiranya isinya adalah sampah sarap seperti ini, bolehkah ia selamat di sepanjang perjalanan? Apatah lagi mahu terus berada di puncak selamanya?

Ia bukan sahaja busuk dan menganggu pendakian sendiri malahan ia juga menyebabkan anda terpaksa mendaki sorang diri kerana orang lain pasti menghindar diri dari si pengotor ini.

Bawalah perasaan yang baik-baik kerana ia memberi bau semerbak wangi. Baik kepada diri mahupun kepada orang lain. 

Dengan rasa tenang, rasa gembira bekerjasama, rasa teruja untuk sampai ke sana bersama-sama, pasti keindahan rasa ini menjadikan penerokaan anda lebih selesa.

iii- Buang bebanan 'barangan'

Apakah yang anda perlukan sepanjang perjalanan?!

Air, makanan ringan, topi, tali atau radio, wifi, boot dan periuk belanga?!

Semuanya kita perlukan demi sebuah keselesaan....

Tapi beringatlah bahawa jalan menuju kejayaan itu curam, berliku-liku dan dalam gaung dan juramnya. Tinggalkan barangan selesa, bawa barangan 'terpaksa' dan perlu sahaja.

'Barangan' perlu bawa adalah rajin, sangka baik, lapang dada, mudah mencuba, pantas, suka membantu dan lain-lainnya. Ia sangat dipperlukan ketika perjalanan dan di akhir perjalanan.

Jangan bawa tin kosong ke atas sana. Nampak besar juga beg galasnya tapi bila sampai ke atas sana, ia tidak berguna untuk manfaat lebih utama.

iv- Buang bebanan orang

Jika hendak mendaki gunung, bertanyalah dan ajakilah orang-orang yang ingin mendaki bersama kita. Orang yang tidak mahu, jelas tidak perlu diajak bersama. Ia akan memakan dan membuang masa anda melayani karenahnya di tengah pendakian nanti.

Tidak semua sanggup melalui cabarannya sekalipun otot mereka kekar atau fizikal mereka mantap. Pendakian sebuah gunung kejayaan memerlukan lebih daripada itu. Minda, perasaan, hati dan fizikal. Kesemuanya perlu senergi!


Jangan ketika sedang menyiapkan peralatan mendaki masih ada bisikan bermain di fikiran,

"Nanti apa pula orang kata ek...."

"Aku tak ajak adik beradik aku ni boleh ke ni ek...."

"Nanti kalau aku tak sampai puncaknya, mesti orang kata kan ek..."

Ini semua beban yang tak diperlukan.

Ingat.... Ajak mereka yang berminat dan buang beban orang dalam menghadapi cabaran ini.

JIKA DIBAWA JUGA......

Mungkin sebahagiannya boleh tiba juga di puncak, tapi tentulah dengan berlapar dahaga atau berpatah berluka atau mungkin juga hingga terputus nyawa sebab bekalan sebenar tidak disediakan secukupnya dan sebetulnya.

Kita hendak mendaki dengan pantas dan tiba secepatnya tanpa perlu membawa terlalu banyak melayan beban yang remeh temeh.

Bawa impian, azam, semangat kental bersama kerana berguna di sepanjang pendakian dan setelah tiba di sana.

Semoga bermanfaat untuk semua yang sedang dalam perjalanan mendaki sebuah gunung kejayaan.


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Monday 27 October 2014

Posted by Unknown On Monday, October 27, 2014
Manisnya amal kerana manisnya iman

Pernahkah kita solat di sebuah masjid dan ketika kita solat kita tidak merasai apa-apa melainkan hanya takbir dan salam sahaja?

Setelah takbir, roh, akal bahkan hati yang menjadi tempat jatuh pandangan Allah itu juga menerawang memikirkan soal kerja, soal harta, soal orang lain, soal permasalahan hidup dan sebagainya dan akhirnya tanpa sedar kita mengucapkan 'Assalamualaikum wa rahmatullah'.

Kemudian kita berplaing ke kiri dan ke kanan dan 'sedar diri' bahawa rupanya kita sedang duduk di masjid seraya mulut menyebut 'Astaghfirullahal 'azim' dengan penuh sesalan atau kerana 'terkejut' dari kelalaian sepanjang solat tadi.

Mungkin bukan kita sahaja, mungkin seluruh masjid juga begitu!

Inilah yang disebut dari athar sahabat. Ubadah bin Somit berkata,

“Tidak berapa lama lagi, akan ‎‎sampai satu zaman. Apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki ‎‎yang khusyuk dalam solatnya.” ‎

TIADA DALAM ADA

Hakikat hidup kini nyata berbeza dengan apa yang telah dilalui oleh umat Islam terdahulu.

Kini kita mempunyai hampir segalanya yang disebut 'kemanisan dunia'. Kita punyai kekayaan, kemudahan, teknologi dan sebagainya tapi malangnya kita ditarik dari sudut yang lain iaitu 'kemanisan amal'.

Semakin kita beramal, semakin pahit dirasakan amalan itu bahkan semakin berat pula jadinya sedang jiwa meronta mencari hakikat manis bahagia.

Jika kebahagiaan tidak tercapai melalui ibadat mendekatkan diri kepada Allah, bagaimana mungkin kebahagiaan itu wujud di tempat lain pula.

Tatkala membaca novel, terasa sungguh hingga ke hati kecil.....
Tapi ketika baca Quran bahkan tafsir Quran pun hati masih terasa beban walau baru satu muka.

Tatkala menonton drama, terasa sungguh penghayatannya, siap bergelak tangis menjiwainya...
Tapi ketika 'menonton' kisah hidup Nabi dan para sahabat, bosan pula yang melanda.

Tatkala mendengar lawak gurauan palsu dilontar, berdekah-dekah ketawa bersambut...
Tapi ketika mendengar suara kebenaran dari surau masjid, telinga rasa ingin disumbat dengan sabut.

Tatkala mulut melemparkan perkataan lagha dan sia-sia, rasa mudahnya ia keluar tanpa dipaksa....
Tapi ketika ingin membasahkan bibir dengan zikir munajat, terasa kering mulut dan hambar terasa.

Ini tanda-tanda bahaya pada iman. Kerana bukti iman adalah amal.

KENAPA BEGITU?!

1. Minda tidak boleh tumpu atau fokus dalam setiap amalan yang kita buat kerana terlalu banyak masalah yang kita tanggung dalam hidup.

Kita bersoal jawab dengan diri sendiri dan kemudian diadukan kepada orang lain supaya masalah itu dan ini dapat diselesaikan dengan jawapan yang tidak pasti dari sesama manusia.

Kita hilang kemanisan amal kerana kita tidak mengadu kepada Allah tentang semua masalah yang kita tanggung selama ini. Kita bertanya orang itu dan orang ini. 


Sedang hakikatnya yang menasihati dan menyelesaikan masalah kita juga punya masalah. Adulah kepada Allah yang sentiasa tidak punya masalah bagiNya.

Dia datangkan masalah supaya kita kembali kepadaNya!

2. Hati yang tidak mendapat jawapan tentang persoalan hidupnya akan terus bertanya.

Apa rezekiku hari ni? Bagaimana pendapatanku hari ini? Macam mana nak hadapi perbelanjaan yang semakin tinggi? Kenapa orang itu begitu dan orang ini begini? dan sebagainya.

Hati terus bergolak mencari jawapan terhadap semua persoalan hingga apabila tiada jawapan, ia mula risau. Hilanglah sifat redha dengan agihan Allah taala dan mulalah hati bersifat dengki dan tamak.

Permulaan kerasnya hati dan seterusnya hilang kemanisan amal adalah ketika tamak sudah mengusai diri. Tak harta, tamak pujian, tamak kuasa, tamak dunia yang tiada penghabisan.

Belajar redha dengan peberian Allah dan belajar bersyukur dengan melipat gandakan usaha!

3. Sekarang adalah era dunia tanpa rahsia. Di ceruk mana pun berada, semua orang tahu pasal kita. Sama ada kita yang menceritakannya atau pun orang lain yang menjadi pengganti cerita. Seolah-olah, hidup sudah tiada rahsia sesama kita.

Mahu ke mana? Pergi dengan siapa? Belanja banyak mana? Shopping di mana? Apa kenangan manis tawarnya? dan sebagainya.

Tapi ada sesuatu yang terlepas pandang. Kita tiada rahsia sesama manusia tapi kita banyak berahsia dengan Allah taala.


Kerana itu hati itu hilang manis cintanya. Sedang berdiri di depan Tuhan yang Maha Pengasih itupun, masih terus terasa bosan melanda kerana kurangnya sifat mahu berkongsi rasa dan rahsia bersamaNya.

Bukankah lebih banyak kita berkongsi rasa, kita akan lebih mesra?!

Itulah tujuan ibadat. Ia tempat bermesraan denganNya sahaja, bukan masanya untuk 'mengingati' orang lain!

4. Biar sedikit taat yang manis tapi jangan berbuat maksiat yang tawar.

Sedikit taat tidaklah tercela di dalam Islam selagi mana maksiat itu dijauhkan sebanyaknya dan semampunya.

Punca hilang kemanisan amal adalah kerana taatnya yang sedikit dan maksiatnya yang terlampau banyak. Bukan kata tiada keseimbangan antara keduanya, bahkan terbalik langsung dari tuntutan sebenarnya.

Maksiat itulah yang 'menawarkan' kemanisan amal dan memaniskan 'ketawaran' maksiat sehingga kita lebih 'selesa' berbuat mungkar dan maksiat dari berbuat amal dan taat.

5. Orang-orang soleh terdahulu menganggap dosa kecil itu besar sehingga mereka tidak berani hendak melakukan dosa sekecil apa pun, apatah lagi jika ia berdosa besar.

Tapi tidak kini. Dosa besar pun kita menganggapnya kecil selagimana kita rasakan ianya tidak memberi kesan kepada kehidupan kita.

Inilah punca kekerasan hati sehingga amal yang sepatutnya manis menjadi tawar. Ia adalah angkara dosa dan pandangan kita terhadap dosa itu sendiri.

Maka benar hadis Nabi SAW ini.

"Sesungguhnya seorang hamba itu jika melakukan satu dosa,maka akan dititik pada hatinya suatu titik hitam,jika dia bertaubat, dan berhenti dari dosa itu,maka akan dibersihkan hatinya itu,jika dia kembali melakukan dosa itu kembali,titik hitam itu akan ditambah sehinggalah hatinya hitam berkarat,dan itulah yang dinamakan Ar-Raan (tutupan)"

Biasanya perkara yang kita anggap remeh itulah yang manjdi bala besar di kemudian hari. 

Betapa ramai yang mati di jalanraya hanya kerana tayarnya yang pancit. Nampak remeh alasannya, tapi kesannya besar.

Kembali kepada Allah setiap masa kerana kita tak mampu lari daripada dosa. Jangan biarkan sehari berlalu tanpa sempat kita beristighfar dan memohon ampun kepada Allah taala.

6. 'Selesa' tanpa sedar.

Ramai yang sedar bahawa amalnya sudah tidak membawa apa-apa kemanisan. Yang dikerjakan hanyalah semata-mata tanggungjawab agama sahaja. Fizikal ibadat sudah sempurna tapi rohaninya cacat merata-rata.

Namun, tak dinafikan bahawa ia lebih baik daripada meninggalkan ibadat itu semata-mata kerana alasan 'tidak berasa apa-apa'. 

Dalam keadaan ini ramai yang terus selesa hingga kesibukan dunia membuatkan kita tak terasa perlu untuk memperbaki 'rasa' ini secepatnya. Akhirnya kita terus selesa dalam persoalan yang tak terjawab oleh minda.


Kejutkan diri, keluarkan dari keselesaan itu kerana selesa itu daripada syaitan yang inginkan kita terus lalai dan lalai sekalipun ketika mendirikan ibadat.

Mulakanlah membuat jadual hidup anda dan penuhilah dengan menghadiri atau mendengar majlis-majlis ilmu. Hanya dengan ilmu sahaja, mampu 'menyedarkan' kita dari keselesaan yang menipu ini dan membuatkan hati menjadi lebih tenang dan tenteram ketika beribadat di hadapanNya.

Semoga kita mendapat kemanisan amal yang telah hilang itu kembali.

Semoga bermanfaat.

Wallahua'lam.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Friday 24 October 2014

Posted by Unknown On Friday, October 24, 2014

Pernah beberapa kali bertanyakan beberapa anak muda yang berjiwa panas yang turut aktif dalam mengomen segala hal.

Baik tentang soal pentadbiran negara, baik soal kos sara diri yang melambung, baik soal kenaikan harga tol sehinggalah soal harga minyak naik turut dipertikaikan.

Bukanlah bermaksud saya tidak bersetuju kita meluah rasa tapi berpada-padalah. Setelah kita meluah rasa, apa yang kita buat adalah lebih utama. 

Tindakan adalah manifestasi ucapan kita!

Mungkin ramai yang suka jika pandai bercakap atau pandai berkomentar tapi percayalah lebih ramai yang jemu jika tiada bukti yang mampu kita bawakan ke hadapan mata mereka dari usaha kita.

Kita serahkan bab mempertahankan rakyat ini kepada ahli politik dahulu. Biar mereka selesaikan. Kita selesaikan apa yang berada dalam bidang kemampuan kita dahulu. 

Setuju...setuju?!

# # # # #

Zaman kita ini, di Malaysia terutamanya, kita ditekan dalam soal kewangan dan ekonomi. Lihat sahaja perangkaan kaum terendah jumlah pendapatan perkapitanya siapa? Bukankah kita?!

Jelas ataupun kurang jelas?!

Maka untuk melawan arus yang semakin deras menjatuhkan kita ini, tidak boleh tidak kita mesti kembali kepada BISNES. Ubah status kewangan dan ekonomi kita dengan bisnes. 

Bukankah penguasaan ekonomi sekarang adalah melalui bisnes? 

Maka berbisneslah. Rebut kembali kekayaan dan keadilan sosial itu dengan usaha kita yang berpaksikan agama. Itulah yang Islam ajarkan!

Saidina Abdul Rahman bin Auf faham tentang soal ini ketika ia tiba di Madinah.

Orang Islam Ansar majoritinya miskin dan ekonomi Madinah dikuasai Yahudi ketika itu. Apa yang beliau dilakukan?!

Laungkan ucapan,"Boikot Yahudi?!" atau "Harga sayur mahal, turunkan. Jika tidak kami akan boikot kamu?!"

Tidak.....beliau faham bahawa orang Islam 'malas' bercakap perkara yang tidak bermanfaat. Jadi beliau pergi berniaga di pasar Yahudi, berbisnes dan berjual beli dengan orang Yahudi serta dikelilingi oleh Yahudi.

Akhirnya umat Islam berjaya dalam peperangan ekonomi dan 'menawan' pasar-pasar besar milik kaum Yahudi Madinah.


Ingat selalu. Bila Allah campur tangan dalam hidup seharian kita, kita pasti akan berjaya.
That's why business must be practice in Islamic way!

# # # # #

Ketika zaman kejahilan politik dulu, kita dipasakkan dengan kefahaman bahawa politik suku, agama suku. Zaman itu telah berlalu tetapi telah memakan masa untuk minda rakyat Malaysia 'sedar' selama lebih 50 tahun.

Kini, di zaman penguasaan industri dan ekonomi, ada pula sebahagian pihak yang menyebarkan fahaman jahiliyah mereka,"Islam Suku, Bisnes Suku". Entah berapa puluh tahun pula baru kita 'sedar' sekali lagi.

Maksudnya adalah berlaku pemisahan yang sangat jelas dalam permasalahan bisnes dan ekonomi dari agama. Seolah-olah bisnes itu adalah bidaah ciptaan luar yang bukan berasal dari Islam. 

Benarkah?!

Tidak boleh dicampuradukkan Islam dalam masalah bisnes. Nanti tertutup 'kotornya' bisnes dengan nama agama yang murni. Seolah-olahnya begitu pandangan akal pendek mereka.

Timbul ucapan yang dahulunya berbaur perkauman dalam politik tapi kini muncul dalam ekonomi. 

"Bangsa tu memang pandai bisnes sejak zaman Melaka dulu lagi".

"Bangsa tu kalau tanpa kita yang membelinya, bolehkah berniaga?",

"Bangsa tu tidak agihkan kekayaan sepatutnya",

"Bangsa itu tak nak ambil orang kita bekerja".


Kata saya,"Hei, engkau yang hanya tau komentar. Jika benar tidak gentar, berbisneslah! Hentikan dari menjadi anjing menyalak bukit. Bukit tidak berganjak sedang lidah engkau satu hari nanti tergigit.

Sampai bila mahu jadi begitu!"

BISNES DAHULU ATAU ISLAM DAHULU?!

Saya bawakan satu contoh mudah. Tak cukup satu, dua saya bawakan.

Engkau berdoa sebelum makan atau setelah makan?

Engkau solat sebelum mati atau setelah mati?

Jawabnya tentulah kedua-duanya. Allah dan Islam itu datang dahulu sebelum sebarang tindakan dilakukan. Begitulah dengan ibadat lainnya.

Islam datang dahulu sebelum manusia mengenali politik, sosial, ekonomi, bisnes dan lain-lain yang bermula dan berakhir dengan panduan dan tunjuk ajar Islam.

Dengan tindakan dek kerana hasad dan tamak, manusia mula merosakkan semua aspek hidup ini dengan akal fikiran mereka tanpa mahu dipandu oleh agama.

Mereka ini biasanya orang terlibat dalam dunia bisnes. Itu satu golongan.

Satu golongan lagi bertindak dengan tindakan dek kerana sangat berhati-hati. Mereka yang tidak terlibat dengan bisnes secara langsung, tapi ingin juga pendapat mereka didengari.

Maka, mereka tidak ingin kotoran bisnes itu menempel sama pada agama. Maka, ditakutkan manusia dengan istilah yang bukan-bukan ini.

# # # # #

Bukankah ketika mana kita tersepit:

+ untuk memperbaiki sistem keadilan sosial yang zalim, kita bawa sistem keadilan sosial Islam,
+ untuk memperbaiki sistem politik negara yang kotor, kita bawa sistem politik Islam,
+ untuk memperbaiki sistem perbankan yang menekan, kita bawa sistem perbankan Islam.

Untuk memperbaiki sistem bisnes yang serba kotor, mengapa tidak mahu bawa sistem bisnes Islam?!


Saya tertarik dengan satu golongan yang lain.

Mereka adalah orang yang terlibat secara langsung dengan bisnes dan mereka cuba memperbaiki kekurangan beragama di dalam bisnes tanpa banyak soal. Tindakan mereka hanya kerana dek sayang kepada agama dan bangsa.

Sikap golongan mana yang ingin anda terapkan dalam diri?!

1. Menjadi ahli komentar tanpa tindakan.
2. Menjadi ahli bisnes dengan komentar dan tindakan.
3. Tidak mahu terlibat langsung dengan bisnes dan terus ditekan dalam ekonomi.


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Thursday 23 October 2014

Posted by Unknown On Thursday, October 23, 2014

Kehebatan susu bukan hanya diketahui pada zaman ini bahkan ia telah lama menjadi minuman bahkan sunnah kehidupan Nabi Muhamamd SAW sehingga dijelaskan kedudukannya yang sangat tinggi dalam bidang makanan dan minuman Islam.

Sabda Nabi SAW, 'Janganlah kamu menolak 3 perkara apabila diberikan kepadamu, iaitu minyak wangi (untuk berwangi-wangian), bantal (untuk bersandar) dan susu (untuk minuman)'

Kajian di Malaysia mendapati 72 peratus daripada 1,000 rakyat di negara ini percaya tenusu adalah sebahagian menu penting untuk mengimbangi diet seimbang. Tapi hanya 38% sahaja yang minum susu setiap hari.

MITOS SUSU

Ramai menyangka bahawa susu penyebab kegemukan dan kanser sebagai mitos yang benar tanpa kajian yang sepatutnya.


Pakar Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Aminah Abdullah, berkata masih ramai yang tidak mahu menjadikan minum susu setiap hari sebagai amalan.

“Malah tiada fakta mengatakan minum susu penyebab gemuk. Anda boleh memilih minum susu rendah lemak dan bukan susu krim penuh,” katanya.

Susu apa pun adalah pembekal utama Vitamin D. Kajian di Kanada mendapati kehadiran vitamin D dalam badan berupaya mengurangkan risiko beberapa penyakit kanser.

Vitamin D juga boleh didapati daripada pancaran cahaya matahari terutamanya di pagi hari. Bertuah kita di negara yang sentiasa pansa dan sejuk ini. Kita cukup cahaya matahari dan mudah mendapat vitamin D. 

Namun, bagi mereka yang lebih banyak berada dalam bangunan dan tidak terdedah kepada matahari seperti kebanyakan masyarakat kini, lebih baik dapatkan vitamin D daripada sumber makanan seperti susu kerana ia mudah didapati dengan pelbagai perisa yang menyelerakan.

Jadi jangan risau dengan mitos pelik ini!

Jawapan pengamal perubatan terhadap isu susu (soya) penyebab kanser.

DIET MELALUI SUSU

Diet melalui susu adalah lebih selamat dan lebih sihat kerana susu membekalkan nutrisi yang diperlukan oleh badan, memberikan tenaga dan menguatkan tulang dan membersihkan usus perut.

Buktinya saya bawakan dalam beberapa perkara.

1. Minuman pertama kanak-kanak adalah susu ibunya sendiri. Lihat sahaja tumbesaran anak-anak yang mengikuti penyususan eksklusif ibunya selama 2 tahun seperti yang dianjurkan oleh Islam. Anak-anak ini lebih cerdas, lebih aktif dan lebih sihat dari kanak-kanak yang lain.

2. Minuman Nabi dan para sahabat yang utama selain air kosong adalah susu. Sebab itu sejarah menukilkan bahawa tidak ada hospital atau pusat rawatan pada zaman Baginda Nabi SAW dan juga pada zaman sahabat selepasnya.

Mereka menjadi orang-orang yang kuat, gagah, tidak gemuk, berbadan sasa, tinggi dan mempunyai imunisasi badan yang sangat tinggi.

3. Semasa dikelilingi oleh orang Arab ketika masih belajar di Mesir dahulu. Nyata, mereka adalah bangsa yang sangat suka meminum susu. Minuman utama mereka adalah susu dan makanna utama mereka adalah madu yang diolah sebagai manisan.

Otak mereka sangat cerdas, mereka mampu menghafal Quran seluruhnya sebelum berusia 12 tahun lagi. Badan yang tinggi, sasa, kurang sekali sakit dan kurus.


Ini pula hasil kajian para pengkaji yang bertauliah.

Amalan minum susu baik untuk membantu mengelak kerapuhan tulang dalam kalangan orang dewasa. 

Susu membekalkan nutrisi termasuk kalsium, kalium, fosporus, protein, vitamin A, D dan B12, yang mana melengkapkan diet harian akan membawa kesemua nutrisi penting ini ke dalam tubuh seseorang, lantas menjadikan peminum susu lebih bertenaga.

Kajian selama 6 bulan oleh Universiti of Tennesse, mendapati sekumpulan individu yang tergolong dalam kumpulan 'overweight' yang mengambil 3 hidangan susu yang kaya dengan kalsium sehari, telah berjaya membuang lebih banyak lemak di perut berbanding sekumpulan yang lain yang mengamalkan diet yang sama tanpa pengambilan susu.

Para pengkaji percaya, biarpun kandungan kalsium membantu meningkatkan pembakaran lemak oleh tubuh, sebatian aktif lain seperti protein dan lain-lain mampu menyempurnakan proses pembakaran lemak dengan lebih efektif.

Pengambilan madu bersama susu dalam satu gelas mampu memberi kesan nutrisi yang baik untuk badan. Ini akan memberikan rasa yang berlainan tapi tetap sedap bahkan lebih berkhasiat. Rasa susu akan lebih sedap dan lembut sehingga membuatkan diet terasa mudah dan tidak membebankan rasa tekak.

SUSU PILIHAN SAYA!

Tentulah Energy Soy Protein (ESP) dengan jenama Shaklee. Sangat kaya dengan protein dan kalsium, berperisa Vanilla, sangat sedap untuk dijadikan pengganti sarapan dan makan malam yang berat.


Perlu diingat. Minum susu dan kawal corak pemakanan dan cara hidup kita. Ketidakseimbangan dalam pemakanan dan kehidupan akan menyebabkan diet gagal secara tidak langsung.

Untuk menegetahui lebih dalam mengenai susu ESP, boleh sambung penerokaan keterujaan anda di entry ini:

Sekian dulu perkongsian dari saya. Semoga bermanfaat hendaknya.

Mohd Taufiq
Motivator Kejayaan & Kesihatan

Posted by Unknown On Thursday, October 23, 2014

Menukar template blog kepada template yang lebih menarik dan interaktif adalah suatu perkara yang pada kebiasaannya di lakukan oleh seorang blogger.

Saya memberi saranan agar anda jangan terlalu kerap menukar template blog anda. Ia akan menyebabkan serach engine terpaksa membaca semula struktur html baru yang terdapat pada template yang anda tukar.

Sebelum anda tukar ke template yang baru anda perlu backup template sebagai langkah keselamatan kot-kot anda tidak berkenan dengan template baru kemudian anda perlu download template baru pada laman yang menyediakan template blogspot percuma.

1. BACK UP TEMPLATE SEDIA ADA

Langkah 1: Login ke account blogger.com anda.

Langkah 2: Pada Dashboard anda klik template

Langkah 3: Klik pada bahagian Backup/Restore


Langkah 4: Klik Download Full Template


Langkah 5: Tick Checkbox Save File, kemudian klik OK


Langkah 6: File template blog anda sudah di download. Ia kelihatan seperti pada paparan di bawah


Selesai.....

2. DOWNLOAD TEMPLATE BLOGGER SECARA PERCUMA

Terdapat banyak sangat template PERCUMA dalam google. Hanya di hujung jari. Search dan gunakan sahaja mana template yang berkenan di hati.

Saya selalunya menggunakan free template di sini.

Download template yang telah anda pilih dan unzip (keluarkan) fail itu serta simpankan di dalam komputer anda.

Anda boleh gunakan free unzipper software untuk tujuan ini.


3. TUKAR TEMPLATE 

i- Cara mudah.

Langkah 1: Login ke account blogspot anda. Kemudian klik template.

Langkah 2: Klik Backup/Restore (Ikuti langkah 1. BACK UP TEMPLATE SEDIA ADA terdahulu)


Langkah 3: Klik Browse dan pilih template yang anda sudah download dalam format .xml


Langkah 4: Klik Upload setelah membuat pilihan template yang anda mahukan.



ii- Cara HTML

Langkah 1: Buka kod HTML template blog yang telah dimuat turun menggunakan notepad atau lain-lain aplikasi text file. 

Highlight semua kod HTML template ini dan klik Copy.

Langkah 2: Pilih blog mana satu yang nak tukar template. 


Langkah 3: Klik bahagian 'Template'.

Langkah 4: Setelah itu, lihat di bawah 'Live on Blog', klik pilih butang 'Edit HTML'.


Langkah 5: Kemudian tandakan kotak 'Expand Widget Templates'. Highlight semua kod HTML blog yang sedia ada kemudian paste kod HTML template baru yang di copy tadi. 

Lepas tu klik 'Preview' untuk lihat template baru blog dan memastikan tiada kesalahan yang berlaku. 

Jika semua ok baru klik butang 'Save template'.

Jangan klik Save template jika terdapat sebarang kesalahan atau Preview tidak berjaya membuka template blog baru.


Langkah 6. Jika ok template baru blog telah berjaya digunapakai. 

Jika terdapat sebarang kesalahan berlaku dan Preview tidak berjaya membuka template blog yang baru, klik butang Close:


Langkah 7. kemudian dalam tetingkap amaran You have unsaved changes that will be lost yang keluar, klik butang Ok. Template lama akan digunakan semula:


Sekian dulu dari saya.
Selamat mencuba.

Mohd Taufiq
Motivator Kejayaan & Kesihatan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...