Monday, 15 July 2013

::DIA SEBENARNYA TUHANKU.::



Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak mereka ketahui.

Perhatikanlah wahai pemuda pemudi Islam akan surah al-A’laq dan rasailah akan maksudnya. Nescaya akan timbullah kefahaman hikmah penurunannya sebagai surah yang pertama diturunkan. Bacalah! Itulah sumber kebenaran dan sumber kekuatan umat.

Pelbagai macam ragam manusia dalam menerima ketauhidan Allah SWT dan kewujudanNya. Sejak manusia diberi keutamaan, lebih daripada segala makhluk yang lain. Sejak manusia pandai berfikir, maka soal yang sentiasa dipertengkarkan ialah tentang ‘Dia’.


Kata setengah yang lain, Dia itu ‘tidak ada’ dan kata lainnya ‘ada’. Tetapi segala kepercayaan, semua agama, baik apa juapun namanya, tiang pendiriannya adalah ‘ada’. Pasti ada sesuatu di sebalik semuanya. Tetapi mana buktinya?

Sabda Rasulullah SAW, “Renungilah ciptaan Allah dan jangan kamu renungi (mencari) zat Allah”.

Terdapat manusia yang menengadahkan kepalanya ke arah langit, dia bertengkar dengan jiwanya sendiri tentang ada dan tiada. Setelah lama memerhati ke atas, jatuhlah pandangannya itu ke bawah, batang tubuhnya sendiri. Manusia mempunyai badan kasar (fizikalnya), maka adakah badan halus (roh) padanya. Ada tubuh tapi adakah nyawa? Pada lahirnya, kelihatan susunan tubuhnya, anggota tersusun daripada yang terbesar hingga susunan yang terkecil.


Mulalah dia melihat ke puncak tubuhnya, iaitu otak. Timbul persoalan, apakah otak itu? Bagaimanan susunannya? Semakin diselidiki, semakin  sampai ia ke suatu pengakhiran yang tiada jawapan. Terberhenti segala pencarian. Ini otak manusia dan ini otak kerbau. Mengapa otak manusia menghasilkan sesuatu? Sedangkan otak kerbau tidak menghasilkan sesuatu? Padahal kedua-duanya jika dibelah sama sahaja zatnya. Jauh mengelamun, mengejut ia kembali kepada kesedaran kerana tertimpa persoalan, “Apa ini?”, diikuti oleh pertanyaan, “Mengapa begini?”

Belum terjawab persoalan itu, timbul pula soalan baru, iaitu tentang roh. Roh itu wujud atau tidak? Mengaku bahawa roh itu tidak wujud, tidak pula berani kecuali orang gila. Tetapi kalau diakui ada, tiada pula jawapan kepada persoalan, “Apakah pula roh itu?”. Semakin dicari semakin jauh pula akalnya menerawang mencari jawapan. Akhirnya terbungkam senyap lidahnya, tidak pula puas hatinya. Esok dicari lagi, bungkam lagi. Lusa, berusaha lagi, diam lagi.

Kalau demikian, fahamlah kita betapa sempitnya daerah manusia ini. Namun masih ramai yang mengaku dirinya sarjana, ilmuan, ahli pengetahuan dan sebagainya. Katanya, dia tidak percaya adanya sesuatu kalau tiada buktinya. Dia mahu bukti ilmu pengetahuan untuk penuhkan kertas kerjanya dan menipu hatinya.

Sehingga manakah kiranya dapat dijangkau oleh ilmu pengetahuan? Bukankah intisari ilmu pengetahuan itu adalah mengenal yang ‘ada’.

Awwaluddin Ma’rifatullah
Orang yang telah mendapat keyakinan ini bahawa ‘ada sesuatu disebalik yang ada’, inilah keyakinan yang sulit orang mencarinya. Dengan keyakinan ini, tenteramlah jiwanya kerana ruangan kosong tersebut telah terisi dengan siraman ‘iman’.


Kasihan pula bagi orang yang tidak mahu percaya rahsia itu, kosonglah jiwanya. Teraba-raba ia mencari sesuatu untuk mengisinya. Setengahnya menjadi ahli bijak pandai, mencari jawapan tersebut dengan ilmu pengetahuannya. Ada pula yang menjadi ahli perniagaan, kerana sangkanya harta tersebut dapat menenangkannya. Sebahagian yang lain pula berebut kuasa kerana padanya, kuasalah yang menyelamatkan kerisauannya daripada segala jenis kezaliman.

Mari renungkan bersama, dalam zaman serba maju dengan pelbagai ilmu pengetahuan kini, ramai lagi yang masih berbunuh, dirinya dan orang lain turut menjadi mangsanya. Yang membunuh itu bukan calang-calang latar belakangnya, berpendidikan tinggi, berjawatan tinggi, berkedudukan tinggi dan segala kebesaran di dunia ini ada padanya. Tetapi kenapa masih membunuh?

Tidak cukup dengan itu, betapa ramai manusia, baik jutawan mahupun penduduk jalanan di bandar-bandar besar ingin kembali menyisih diri di kampung-kampung yang jauh daripada hiruk-pikuk manusia. Mencari kedamaian dan ketenteraman eksklusif katanya.Dibina rumah yang mahal-mahal, hanya khusus untuk dua tiga buah rumah di pedalaman, di lerang bukit-bukit tinggi dan di tepian pantai. Kemudian diletakkan nama ‘elit’ sebagai topeng mukanya, buat menutup malu helahnya. Malu untuk mengaku kekosongan jiwanya. Bukankah di bandar ada segala-galanya? Bukankah di bandar ramai rakan-rakannya? Jadi, sebenarnya apa yang mereka cari di sana?


Di bandaraya-bandaraya besar kini, beca dan kereta kuda lebih mahal sewanya daripada teksi mewah, rumah kayu lebih tinggi harganya daripada rumah batu, kereta lama berkali ganda lebih mahal daripada kereta lumba tercanggih di dunia. Kata mereka, “Barang antik, tentulah mahal harganya”. Ucapan untuk menipu orang lain dan dirinya sendiri. Kepuasan apa yang mereka cari hakikatnya?

Tentulah kerana iman itu tidak ada, akhirnya direka segala perkataan baru yang menyembunyikan kekosongan jiwa mereka. Ada yang akhirnya terpaksa mengaku tentang adanya ‘Dia’ setelah lama ‘menipu’, diambillah apa jua agama untuk jiwanya manakala yang lain mati dalam kekosongan tersebut, tidak jumpa juga tujuan hidupnya.

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Inilah fitrah/naluri yang disematkan oleh Allah kepada semua hambaNya. Dinafikan ataupun tidak, tetap ia ada di dalamnya. Itulah hakikat sumber JATI DIRI manusia.



*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye dan 'share'lah sebanyak mungkin. Anda selalu ingatkan,"What you give, you get more back".

No comments:

Post a Comment