Sambil menunggu berbuka pada hari ke-18 Ramadhan 1434H ini sambil ditemani bersama alunan zikrullah, lama saya termenung BERFIKIR. Bertafakur memikirkan hari-hari Ramadhan yang telah berlalu. 18 hari lamanya,apa yang telah saya LAKUKAN dan USAHAKAN. Mana yang terlopong, mana yang sempat ditimbus semula, mana yang belum diperbuat dan mana yang telah dilaksanakan.
Saya mengaku saya sangat CINTAKAN Ramadhan, terutamanya ketika saya berada di luar negara dahulu. Suasananya, penduduknya, rakan-rakannya, budi bahasanya dan cara hidupnya. Ah! Mesir adalah negara TERBAIK yang pernah saya jejakkan kaki di sana terutama dalam soal ibadat kepada Allah di bulan Ramadhan yang diberkati.
Memikirkan apa yang telah saya lakukan sepanjang 18 hari di madrasah Ramadhan tahun ini. Jujurnya, saya masih rasa ada lagi yang perlu DITAMBAH BAIK dengan pencapaian ini walaupun saya tetap BERSYUKUR kerana dikurniakan kesihatan yang baik untuk MENGUSAHAKAN ibadah sebaik mungkin.
Separuh Ramadhan tahun ini diisi dengan bacaan al-Quran, bersedekah, solat Terawih, mendidik anak bangsa dan berbisnes. Setiap hari bekerja dari 8 pagi hingga 4 petang di kolej. Di sambung pula di rumah dari jam 5 petang hingga 1 pagi selama hampir 3 minggu. Memang meletihkan tapi MEMBAHAGIAKAN. Bahagia kerana dapat menambah NILAI dalam hidup orang lain, baik dari segi kesihatan mahupun kekayaan. Dalam kolej saya mendidik anak bangsa, dalam bisnes saya mendidik bapa dan ibu kepada anak bangsa ini. Alhamdulillah.
Apa pun, saya telah mencuba apa yang termampu untuk menyeimbangkan antara kerja & tanggungjawab yang lain. Huru-hara juga hidup dibuatnya. Mujur juga DIRI ini memahami kesibukan tuannya yang hendak hidup luar biasa mulai tahun ini. Sahur ala kadar sahaja setiap hari. Cinch Mix Shake dan Performance Drink Shaklee ditambah sekotak kurma menjadi peneman berbuka dan bersahur setiap hari. Alhamdulillah, tak pernah terlepas sahur sepanjang Ramadhan kecuali hari ini. Terlajak tidur. Mungkin tubuh ini dah mula meminta haknya seperti hari-hari biasa sebelum Ramadhan. Hari ini saya KALAH dengan kamu, wahai nafsu, esok TIADA lagi peluang untukmu!
Saya gagahkan juga mencuri-curi masa ketika bekerja di kolej untuk bertilawah al-Quran. Walaupun speednya tak seberapa laju seperti tahun-tahun yang lalu, saya kira itu lebih baik dari tak buat langsung atau buat-buat tak SEMPAT. Pulang ke rumah jam 4 petang dalam keadaan tubuh yang sudah 'letih' fizikalnya tetapi rohani dan semangatnya masih 'perkasa'. Apa yang saya buat?!
Solat Asar dilaksanakan dan bacaan al-Quran tidak ditinggalkan, mencuba sebanyak mana yang mampu dibaca dan difahami melalui tafsirannya setiap petang. Tutup al-Quran, buka FB dan blog untuk berbisnes dan berdakwah melalui laman sosial ini. Mungkin ada sedikit simpanan kubur untuk saya nanti melalui medium ini. Berbuka juga ala kadar, mana yang ada sahaja. Syukur sangat kerana disibukkan sehingga tidak lagi setiap hari menghayun tapak di bazar Ramadhan. Bukan apa, rimas sebenarnya sebab ramai lagi anak-anak gadis kita yang tak mampu menutup aurat dan laungan serta pekikan penjual memanggil pelanggan-pelanggannya.
Malamnya, saya bertarawih di masjid-masjid berdekatan. Walaupun agak tidak berpuas hati dengan PENDEKATAN masjid di dalam usaha mengimarahkannya, tapi apakan daya, kita tiada KUASA untuk mengubahnya. Bertuahlah negeri yang diperintah oleh exco agama yang BERKALIBER dan BERPANDANGAN JAUH sehingga masjid-masjid mereka penuh dengan aktiviti yang bermanfaat kepada anak tempatan. Inilah perjalanann diari hidup saya sekarang. Berusaha yang TERBAIK untuk diri sendiri dan orang lain.
Hidup memang tak akan pernah ideal, kerana kita hidup dia alam realiti. Tapi selagi mampu, cubalah untuk mendapatkan yang terbaik dalam hidup. Kita selalu fikir, kalaulah aku bercuti sepanjang Ramadhan bolehlah aku beribadah sebanyak-banyaknya. Tapi realitinya tak akan begitu. Lebih banyak masa lapang, lebih banyaklah kita membuang masa. Bukankah kerja itu juga ibadah? Setiap ibadah kita akan dilipat gandakan pahalanya di bulan Ramadhan. Maka seharusnya kita bekerja lebih gigih lagi.
Jika dahulu, sepanjang hidup saya 11 tahun dahulu ditolak dari umur sebelum baligh, segala usaha IBADAT adalah untuk diri sendiri. Tetapi KINI tidak lagi. Setiap hari, selaku seorang PENDIDIK, saya mendidik BERATUS orang anak murid di kelas dan selaku MENTOR bisnes, saya membantu puluhan orang untuk mengubah carta hidup mereka. Semuanya membahagiakan saya kerana saya mula melakukan 'SESUATU' untuk orang lain. Tidak hairan apabila Nabi bersabda,"Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak memberi MANFAAT kepada manusia yang lain"
Tak banyak hari dan masa berbaki sebelum Ramadhan meninggalkan kita. Jangan kita tinggalkan Ramadhan hanya dengan panggilan potongan harga di pasaraya dan panggilan rakan-rakan syaitan dari kalangan manusia yang berusaha untuk melambatkan gerakan kita menuju Allah. Jom manfaatkan hingga minit terakhir!!!
*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye dan 'share'lah sebanyak mungkin, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".
No comments:
Post a Comment