Assalamualaikum semua.
Pagi ni, mungkin ramai dari kita mengalami kegawatan fikiran sepertimana kegawatan akal kita setelah mendengar pembentangan bajet semalam. Perasaan bercampur bauk antara gembira, kecewa, sedih, teruja dan sebagainya sangat tidak elok kepada hati dan fikiran kita. Mungkin terpaksa admit ward jika dibawa kes ni ke mana-mana hospital di Malaysia.
Ok, jangan tertekan sangat, memang itu takdirnya kerana tangan ramai yang punya angkara. Tidak mengapa, yang susah kita tanggung bersama. Jom tenangkan hati dan fikiran dengan 'supplement' hati dari Haji Abdul Malik Karim Abdullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA, pujangga Islam Nusantara suatu masa dulu.
Baca dan hayatilah, pasti tidak terasa betapa tenangnya hati anda ketika menuturkannya di lidahmu. Mungkin juga memberi kesan kepada matamu hingga gugur butir-butir mutiara daripadanya kerana getaran hati yang 'tersentak' dengan nilai hidup ini yang sebenar dalam kaca mata Islam.
TAJUK: SENANGKANLAH HATIMU
Kalau engkau KAYA,
Senangkanlah hatimu!
Kerana dihadapanmu terbentang kesempatan,
Untuk mengerjakan segala yang sulit-sulit.
Segala perbuatanmu dihargai orang,
Engkau beroleh pujian di mana-mana.
Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh.
Dihadapan engkau terhampar permaidani kepujian,
Sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.
Jika engkau FAKIR MISKIN,
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa,
Penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya.
Senangkanlah hatimu kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki
Kepada engkau lagi lantaran kemiskinanmu.
Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat,
Yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati,
dan tidak ada pintu bagi kebencian.
Kalau engkau DERMAWAN,
Senangkanlah hatimu!
Kerana dengan kedermawanan
Engkau dpt mengisi tangan yang kosong,
Telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang,
Engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh.
Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu
dan engkau beroleh bahagia
Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan
akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu
Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu,
Sekarang akan berlipat ganda,
Sebab telah banyak orang lain yang telah mengecap nikmatnya.
Kalau sekiranya engkau TAK KUASA JADI DERMAWAN
Itupun senangkanlah hatimu!
Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit
Yang selalu menular kepada masyarakat manusia,
Iaitu tiada membalas guna, penghilang jasa.
Saat yang demikian mesti datang kepada setiap dermawan,
Yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah,
Sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia,
Disangka manusia tidak membalas guna,
Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan,
dan beroleh ampunan dari Tuhan
Kalau engkau masih MUDA REMAJA,
Senangkanlah hatimu!
Kerana pohon pengharapanmu masih subur,
Dahan-dahannya masih rendang dan rimbun.
Tujuan kenang-kenangan masih jauh.
Sebab umurmu masih muda,
Mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.
Kalau engkau telah TUA,
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas
Dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit,
Dan engkau telah beroleh beberapa ilmu
Yang berguna di dalam sekolah hidup.
Engkau telah tahu firasat,mengerti gerak geri manusia
dan tahu kemana tujuan jalan yang ditempuhnya
Kalau engkau dari KETURUNAN YANG MULIA-MULIA,
Tenangkanlah hatimu!
Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu.
Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu,
lazat rasanya kemenangan dan kalau kalah tidak begitu terasa.
Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau,
engkau dapatlah insaf, tandanya harga dirimu mahal dan timbanganmu berat.
Jika MUSUHMU BANYAK,
Senangkanlah pula hatimu!
Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga
untuk mencapai kedudukan yang tinggi.
Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.
Ingatlah, pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi
memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?
Kalau BADANMU SIHAT,
Senangkanlah hatimu!
Tandanya telah ternyata pada dirimu
kekayaan Tuhan dan kemulian nikmat-Nya,
lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau
mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.
Kalau engkau SAKIT,
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan
di antara dua alam yang dijadikan Tuhan,
iaitu kesihatan dan kesakitan.
Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat,
kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu.
Kalau engaku menjadi ORANG LUAR BIASA,
Senangkanlah hatimu!
Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang benderang
tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang
sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu,
dilihat-Nya otakmu sehingga cerdas,
dilihat-Nya matamu sehingga jadi azimat,
dilihat-Nya suaramu sehingga jadi sihir.
Kalau engkau KURANG DIKENAL,
Senangkanlah hatimu!
Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu,
mulut tidak banyak mencacatmu,
tak ada orang lain yang dengki kepadamu,
tak ada orang yang berniat jatuhkanmu,
mata tak banyak memandangmu.
Kalau SAHABATMU SETIA KEPADAMU,
Tenangkanlah hatimu!
Kerana pertukaran siang dan malam
telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.
Kalau KAWANMU KHIANAT,
Senangkan juga hatimu!
Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir
dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.
Kalau engkau DICINTAI ORANG DAN MENCINTAI,
Senangkanlah hatimu!
Tandanya hidupmu telah berharga,
tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih.
Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu
lantaran pergaduhan hati sesama makhluk.
Jika CINTAMU TAK BERBALAS,
Senangkan jugalah hatimu!
Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan
dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu
setelah dia jauh dari matanya, dia akan cinta,
cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa.
Merasa tenteramlah selalu,
senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu,
kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu
amat banyak tak terbilang
kesulitan perjalanan hidup
kian minit,kian baru.
Merasa senanglah selalu!
Merasa tenteramlah selalu!
~Buku: Tasauf Moden~
*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda.
"What you give, you get more back".
*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda.
"What you give, you get more back".
No comments:
Post a Comment