Keratan akhbar hari ini |
Kebetulannya pagi tadi, bersarapan di kedai makan. Sambil pekena roti canai paling sedap di tempat saya ni sambil-sambil selak akhbar. Terjumpa berita ni dan tertarik dengan kenyataan dari CEO, pengarah dan penerbit dari sebuah syarikat produksi terkenal ini.
Mungkin semua orang sudah maklum, ini adalah berkaitan kes kahwin sembunyi-sembunyi antara 2 orang pelakon yang agak terkenal ini. Saya je yang agak terlewat dalam bab-bab ni. Saya hanya nak kongsikan pandangan saya dalam bab ini. Terpulang bagi pembaca untuk menilainya atau mengambil sikap yang bagaimana dalam perkembangan isu ini.
Walaupun pertembungan kenyataan ini di antara 2 pihak, Islam dan bukan Islam tetapi saya menilai dari sudut attitude kedua belah pihak melalui kenyataan-kenyataan akhbar sebelum ini. Agak menyedihkan apabila orang Islam yang sepatutnya jujur dan bercakap benar terpaksa berbohong demi suatu asbab yang tidak diketahui dan banyak berdolak-dalik dengan pelbagai alasan yang kurang munasabah.
Manakala yang bukan Islam pula lebih mudah bercakap benar dan telus dalam urusan berkaitan agama ini. Maafkan saya jika saya kurang faham dengan dunia artis yang sangat complicated dan penuh dengan 'drama' yang menjijikkan tapi saya tidak 'rabun' untuk menilai sejauh mana kefahaman agama mereka.
Saya setuju dengan David Teo, hal perkahwinan adalah ibadat dan perkara yang baik pada sisi manusia, masyarakat dan agama. Mengapa perlu disembunyikan dan menuduh pihak yang lain pula menjadi penyebab? Jika diberi alasan kerana kontrak, saya rasa, si pelakon tersebut sangat 'bodoh' untuk memahami kontrak tersebut.
Jangan marah ye jika ada peminat-peminatnya di sini. Saya melihat ramai sahaja artis di bawah pengurusan syarikat tersebut yang berkahwin walaupun masih terikat kontrak dan kontrak tersebut hanya melarang percintaan antara artis di bawahnya bukan perkahwinan yang sah. Percintaan dilarang agar hasil kerja dan produktiviti dapat dikekalkan dan ditingkatkan di samping menjaga batasan pergaulan antara artis. Bukankah baik maksud tersirat di sebalik syarat tersebut? Tetapi perkahwinan dibenarkan kerana unsur-unsur yang disebutkan pasti tidak wujud dengan jalan yang halal ini.
Bila dah mula ada anak, baru nak diisytiharkan perkahwinan setelah perkahwinan masuk tahun kedua. Di manakah iman dan Islam anda? "Saya sembunyikan kerana kontrak", katanya. Anda lupakah kontrak anda dengan Allah untuk menjadi hambanya semata-mata? Adakah kini anda berjual beli dengan Allah dengan memberi 'kontrak' baru kepadaNya? Anda 'jual' agama dengan membeli kepercayaan manusia yang palsu dan apabila pecah tembelang, nama agama juga yang dijual.
Aeril ketika menjawab soalan wartawan berkata,"Islam membenarkan perkahwinan disembunyikan dengan 4 perkara. Salah satunya adalah dharurat".
Lihatlah bagaimana agama diangkat untuk menutup kesalahan sendiri. Inikah nilai Islam kita? Ketika kita 'bersenang-lenang', agama ditolak ke tepi tetapi apabila dalam kesempitan agama juga digunakan untuk menutup lubang yang pecah.
Islam sejak dahulu lagi menggariskan peraturan perkahwinan ini. Saya kaitkan 2 peraturan dengan perkahwinan 'hot' ini:
1. Hendaklah pengantin perempuan mempunyai walinya yang sah. Barangsiapa melarikan pengantin perempuan dari kekuasaan walinya dengan sengaja, maka perkahwinannya tidak sah pada pandangan jumhur/majoriti ulama. Sabda Nabi SAW,"TIdak sah nikah melainkan dengan berwali".
2. Hendaklah diadakan kenduri dan diisytiharkan sebagai hari kebesaran kepada kedua mempelai. Tujuannya adalah untuk elakkan fitnah dari masyarakat sekeliling. Sabda Nabi SAW,"Lakukanlah pernikahan anda di masjid, adakanlah kenduri/walimah dan mainkanlah gendang untuk meraikannya"
Itu kes artis. Sama juga seperti kes masyarakat kita. Betapa ramai dari kita yang mengetahui tentang hukum-hakam agama dalam masalah perkahwinan tetapi masih tidak mengendahkannya? Begitu juga berapa ramai dari kita yang berasa tahu tentang agama tetapi kefahamannya terhadap agama itu sendiri tidak tepat seperti yang dihurai oleh para ulama?
Untuk yang bakal mendirikan rumahtangga, saya nasihatkan agar dapat pastikan anda belajar tentang perkahwinan dan tanggungjawabnya dalam tempoh masa tertentu. Jika hanya belajar di kursus perkahwinan, itu sangatlah tidak mencukupi. Buktinya adalah kes perceraian yang semakin membimbangkan sekarang, hatta anak-anak golongan yang berlatarbelakangkan Islam juga tidak lepaskan peluang untuk memeriahkan 'pelamin', berkaraoke lelaki wanita dan melakukan pembaziran dalam perkahwinan semata-mata untuk menjaga status masing-masing.
Agama bukan milik penganutnya, agama ini milik Allah dan Rasul. Ikutilah jalan mereka supaya kita selamat di dunia dan akhirat. Jangan hodohkan dengan kejahatan tubuh badan kita. Baikilah iman dan Islam dan saling menginagatkan antara satu dengan yang lain.
*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".
No comments:
Post a Comment