Tuesday, 7 January 2014

:: MENGUAP...MENGUAP LAGI!!! ::


Assalamualaikum semua. Apa khabar anda semua di tahun baru ini? Semoga kita semua beroleh rahmat dan kasih sayang dari-Nya. Aminnnn.

Wah, ada yang baca tajuk posting ni terus ternganga mulutnya menguap panjang. Cepat-cepat tutup ye, tak baik untuk kesihatan anda dan mood indah anda di pagi yang hebat ni. Kurangkan aktiviti menguap kerana itu tanda orang mengantuk yang minta disorongkan bantal.

Setiap kejadian berlaku pasti ada sebabnya walaupun kadang-kala ia tidak mampu dikawal oleh anggota badan sendiri. Mengapa kita ada kalanya keluar air mata, mata berkelip, rasa gatal pada mana-mana bahagian badan dan kepala berdenyut?

Begitu juga dengan perbuatan menguap yang langsung tidak boleh dikawal ataupun sengaja kita lakukan kerana tindakan itu dianggap sesuatu yang berlaku disebabkan kesan dalaman. Pernahkah anda berada dalam situasi, apabila ada seseorang menguap, pasti akan ada orang lain juga menguap?  Ini banyak berlaku di dalam kelas bagi mereka yang menyandang jawatan dalam bidang perguruan dan pendidikan. Ini betul-betul menguji jiwa para guru.

Sebenarnya terdapat banyak spekulasi dan kajian yang dilakukan mengenai menguap. Antaranya, menguap dikatakan berpunca daripada saluran darah dalam badan manusia yang kekurangan oksigen. Namun memberikan lebih oksigen dalam badan tidak boleh menghentikan menguap. Ada pula yang menyatakan menguap membabitkan reaksi kimia, reaksi emosi dan reaksi tindakan.


BERJANGKIT

Atas faktor emosi dan kedekatan individu juga, satu kajian yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika mendapati yang tabiat menguap mempunyai kesan berantai yang boleh menyebabkan orang lain juga menguap.

Itulah sebab ada kalanya orang di sebelah kita menguap membuatkan kita juga terasa seperti ingin menguap sama walaupun tiada hubungan darah ataupun kenal antara satu sama lain. Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, jangkitan menguap adalah di antara individu yang mereka kenali seperti keluarga dan teman rapat serta orang asing atau baru dikenali.

Menariknya, kajian ini hanya menemui faktor paling penting yang menyebabkan seseorang itu boleh menyebarkan tabiat menguap adalah lebih kepada bentuk hubungan dan keakraban antara mereka dan bukan sebab lain.

Apabila melihat orang lain menguap, saraf seakan-akan meniru dan menyebabkan tubuh juga menguap. Ada sesetengah individu boleh menguap dengan hanya melihat gambar orang lain menguap manakala ada juga yang tidak menguap meskipun video aktiviti manusia menguap dipasang di hadapan mereka.

ADAT vs ADAB

Terdapat satu kepercayaan di Greek yang menyatakan manusia perlu menutup mulut apabila menguap bagi mengelakkan roh terlepas daripada mulut. Itulah kepercayaan mereka di atas perbuatan menguap itu.

Akan tetapi bagi masyarakat kita khususnya beragama Islam, kita dididik agar menutup mulut ketika menguap dan sunat mengucapkan ‘astaghfirullah’ selepas menguap kerana banyak hadis yang menyentuh mengenai perbuatan menguap. Ucapan 'astaghfirullah' itu adalah adat, sedangkan adab yang diajar oleh Islam adalah mengucapkan 'Au'zubillahhi minasy syaitanir rajim' atau disebut isti'azah.


Islam tidak suka seseorang menguap tanpa menutup mulut, apatah lagi ketika solat. Rasulullah sendiri pernah bersabda,"Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka)".

Dalam hadis yang lain berbunyi,"Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila kamu menguap, hendaklah menahan sekadar termampu kerana sesungguhnya apabila salah daripada kamu mengatakan 'huah', syaitan akan mentertawakannya".

Ada yang menganggap menguap adalah perbuatan normal, namun ada juga negara yang merasakan menguap itu satu perbuatan antisosial sehingga kita menutup mulut.

Normal atau tidak, kita mempunyai adab menguap yang perlu diikuti. Ia bukan saja mengelak daripada sebaran rantaian menguap ini kepada orang lain, malah kita juga mengikut hadis dan sunah serta berusaha melawan tipu daya syaitan.

Jadi kepada kawan-kawan semua, patuhilah adab dalam Islam ketika anda menguap. Rantaian menguap bukan menyeronokkan, ia adalah satu tanda antisosial dan kita juga tentu tidak mahu ditertawakan oleh syaitan. Itu yang lebih utama. 


Selamat beramal!!!

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

No comments:

Post a Comment