Apabila timbul sesuatu isu yang berkaitan agama di Malaysia ni, ramai ustaz ustazah yang mendapat tempiasnya apabila menjadi rujukan mengenai hukum dan duduk sebenar isu tersebut mengikut pandangan Islam.
Antara yang terkena tempiasnya termasuklah saya.
Bukan masalah untuk 'memberitahu' hukum tapi yang menyesakkan jiwa sebagai seorang ustaz atau ustazah untuk bercakap mengenai hukum adalah kerana ia akan 'dihukum':
i- sama ada oleh orang bersetuju dengannya sebagai 'pencerah dalam kegelapan malam'.
ii- atau orang yang tidak bersetuju dengannya dengan dilabel sebagai 'penghukum yang berdosa'.
Akhirnya para asatizah dan ulama mengambil pendekatan mendiamkan diri dengan ilmu mereka dan orang jahil mengambil tempat mereka. Bebas bercakap di mana-mana. Di pasar pun boleh, di media massa paling disukai.
Maka, binasalah umat ketika keadaan berakhir seperti ini!
Menghukum atau Memberitahu Hukum?!
Saya bawakan kisah yang membuka mata kita untuk melihat 2 aspek ini secara berbeza dengan jelas dan terang.
Jika tidak, kita akan menjadi satu umat beragama yang terus jumud dan ketinggalan akibat ketinggalan akal kita dalam memahami 2 istilah yang agak mengelirukan ini.
ZAMAN Al-MASIH ISA A.S
Dalam hikayat Injil yang terkenal. Seorang wanita telah ditangkap kerana dituduh berzina. Lalu Bani Israel pun membawa wanita ini kepada Nabi Isa untuk dihukum mengikut hukum Taurat iaitu direjam sehingga mati.
Dalam Injil disebut bahawa Nabi Isa diutuskan untuk menyempurnakan kitab Taurat terdahulu milik Nabi Musa a.s.
Maka Nabi Isa terus membawa wanita ini ke tanah lapang dan menguburkan separuh badannya sambil orang ramai berkumpul untuk sama-sama merejam wanita itu.
Setelah selesai, maka berkatalah Nabi Isa,
"Siapakah agaknya di kalangan kalian yang tidak pernah berbuat dosa? Datanglah ke hadapan dan lontarilah wanita ini dengan batu sehingga ia mati!"
Mendengar seruan itu, semua yang berkumpu tadi tertunduk malu dan akhirnya tiada seorang pun yang keluar untuk melaksanakan hukuman Taurat itu.
Mereka kembali dari sikap 'menghukum' orang lain kepada 'menghukum' diri sendiri sebagai pendosa yang tidak lari dari berbuat salah dana silap dalam kehidupan, kecil ataupun besar.
#
Bahkan inilah perkataan yang dilaung-laungkan sekarang apabila sebahagiannya tidak bersetuju dengan pandangan ulama yang diutarakan oleh para asatizah.
Kadang-kala yang berdebat tentang sesuatu isu itu adalah para ulama dan asatizah tetapi orang awam yang merasakan diri mereka juga punya ilmu yang tinggi dan adab yang hebat akan menggunakan perkataan ini juga.
- "Kita adalah pendosa. Usahlah berdebat mencari kebenaran. Biar kita mundur ditelan arus kemajuan dan kemodenan."
- "Ikutlah sahaja apa yang Nabi pernah lakukan dahulu. Kenapa perlu ada pandangan baru? Jangan memandai-mandai, ini tanda kiamat sudah dekat!"
- "Janganlah dihukum orang yang tabur fitnah, mengumpat dan menutup aurat itu sedangkan kita juga pendosa yang tidak lari dari berbuat salah"
Mungkin begitu maksud perkataan dan tulisan mereka. Mereka ingin umat Islam tidur di gunung-ganang tanpa kemajuan. Mereka ingin umat terus dalam kejahilan moden sedangkan Nabi sendiri berpesan,
"Ajarilah anak kamu mengikut kesesuaian zamannya bukan zamnmu!"
Begitu juga yang dikutip dari titipan ulama,
"Sudah cukup anda dikira menzalimi zuriat anda dengan meninggalkan pendidikan yang selari zamannya dan meninggalkan pendidikan pada zamanmu sebagai panduan sejarah untuk mereka melalui zaman mereka"
Begitu juga sepatutnya ke atas para asatizah menegur fitnah yang berleluasa dengan wanita yang semakin melampau galaknya dan mulut yang semakin lancang cakapnya dengan memberitahu hukum sepatutnya, tapi malang....
Ada juara di kalangan masyarakat yang cuba 'menghukum' para asatizah yang bercakap pula tanpa mengikut jalan ilmu yang sebenar.
Inilah bala yang disebut oleh Nabi SAW,
"Di akhir zaman, orang jahil di kalangan mereka akan bercakap. Mereka sesat dan menyesatkan sesiapa yang menuruti mereka".
#
Harus kita maklumi dari kisah al-Masih terdahulu bahawa perlaksanaan hukum tersebut adalah secara membuta tuli kerana mereka meminta Nabi Isa untuk terus menghukum tanpa mengadilinya dengan saksi yang benar.
Adakah sesuai hukum Allah yang adil dilaksanakan atas satu tuduhan tanpa pengadilan yang sebenar?!
Maka, Nabi Isa telah mengajar mereka 2 perkara dalam 1 kisah ini:
1. Jangan terlalu cepat menghukum tanpa saksi, tanpa bukti dan tanpa keadilan yang menjadi hak kepada semua manusia.
Bahkan inilah undang-undang (hak) Allah kepada semua manusia iaitu "Semua manusia dalam keadaan fitrah tidak bersalah melainkan cukup bukti yang menunjukkan ia bersalah."
2. Bani Israel adalah Yahudi yang tidak beradab. Maka Nabi Isa memberi adab kepada mereka dengan menempelak kesalahan dan dosa mereka sendiri sebelum mereka melihat kesalahan dan dosa orang lain dengan cara mengumpat, mengintip atau memecahkan rahsia orang Islam tanpa hak yang benar.
Kisah seorang lelaki bernama Ma'iz yang datang kepada Nabi SAW dan mengaku bahawa ia telah berzina dan meminta hukuman daripada Allah buatnya.
Nabi beberapa kali menolak pengakuannya sehingga Nabi bertanya kepadanya,"Adakah kamu gila hai Ma'iz?!"
Dan akhirnya setelah pengadilan atas kesaksian sendiri bahawa ia berzina, maka dihukumkan Ma'iz dengan rela.
Begitu juga kisah seorang wanita bangsawan yang mencuri lalu setelah pengadilan oleh baginda Nabi SAW supaya dipotong tangannya.
Kerana beliau seorang bangsawan dan dikenali ramai serta antara orang yang sangat berpengaruh besar di Madinah, maka ada orang yang menyanggupi untuk 'membantu' untuk meringankannya melalui 'slow talk' melalui anak angkat Nabi SAW, Zaid bin Harithah.
Nabi sangat murka apabila Zaid menjadi jurucakap buat mereka sehingga merah padam muka Nabi lalu Nabi ke masjid dan menghimpunkan orang ramai lalu berkhutbah dengan satu 'hukuman' yang sangat terkenal.
"Demi Allah, jika Fatimah anak perempuan Muhammad SAW mencuri, nescaya aku potong tangannya"
Melalui pembuktian dan pengadilan yang benar, maka hukuman sepatutnya dapat dijalankan sehingga umat sentiasa dalam keadaan selamat dari mereka yang berjiwa jahat.
Di samping itu, tahulah kita bahawa adab itu juga perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya.
Janganlah kerana atas nama adab dan kasih sayang sesama manusia, kita melindungi orang yang sepatutnya dihukum atas kesalahan mereka.
Kerana itulah Allah sudah lama berpesan,
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian” (An-Nur:2)
#
WALHASILNYA
1. Para asatizah tidak menghukum sesiapa. Mereka hanya memberitahu hukum kepada perbuatan umat Islam pada zaman mereka.
2. Kerja menghukum adalah kerja orang yang punya kuasa sedangkan kerja memberitahu hukum adalah kerja orang yang punya ilmu.
3. Kerja menghukum pada zaman ini didominasi oleh mereka yang jahil dan malangnya lagi mereka menghukum orang lain lebih jahil dari mereka sedangkan kerja memberitahu hukum adalah kerja orang alim dan berilmu perngetahuan dalam bidang mereka.
4. Jika kita bukan orang yang ahli atau pakar dalam bidang agama adalah sebaiknya diam dan lihat sahaja tanpa memihak kepada pihak yang kita suka dan mencela kepada pihak yang kita tidak suka kerana itu bukanlah sifat yang diajar oleh Islam.
Kerana ditakuti, suka atau benci kita kepada seseorang hanyalah atas dasar nafsu bukan atas dasar ilmu.
5. Apabila timbul sesuatu isu berkaitan agama, langkah yang terbaik adalah bertenang dan mencari ilmu dahulu sebelum berkata apa-apa.
Orang yang paling selamat lidahnya adalah orang yang sentiasa merasakan ia tidak tahu apa-apa dan berusaha mengetahuinya. Lidahnya tidak sibuk menghukum orang yang pakar daripadanya dan tidak pula mencela orang yang dirasakan rendah daripadanya.
6. Buat para asatizah, hukumlah dengan pandangan ulama. Elakkan menghukum dengan nafsu sendiri. Ikut nafsu lesu. Ikutilah ilmu dan sumbernya kerana ia lebih selamat.
Jangan mengambil sikap berdiam diri dalam isu amar makruf, nahi mungkar. Anda bukan diberi ilmu untuk gunanya mencari kerja dan hasil sahaja tapi diberikan ilmu untuk membawa manusia kembali ke jalan Allah.
Jika artis pun berani beritahu perkara benar, mengapa engkau takut wahai lebai?! |
Jangan mengambil sikap berdiam diri dalam isu amar makruf, nahi mungkar. Anda bukan diberi ilmu untuk gunanya mencari kerja dan hasil sahaja tapi diberikan ilmu untuk membawa manusia kembali ke jalan Allah.
Mohd Taufiq
Khadam Ilmu
No comments:
Post a Comment