Rata-rata anak muda kini bersetuju bahawa majlis perkahwinan sesuai dilaksanakan dalam keadaan sederhana sahaja berbanding ibu ayah yang tidak menyetujuinya.
Sudah beberapa kali saya berkongsi tentang status mewah perkahwinan yang seperti tiada titik noktahnya ini.
Adakah kita sedang cuba menunaikan janji Allah yang Nabi telah sebutkan di dalam hadis baginda?
"Di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu dan nyata kejahilan, orang ramai meminum arak (secara berleluasa) dan zina yang nyata (berlaku secara terang-terangan). [Riwayat Bukhari & Muslim]
Adakah kita sedang merentas jalan mudah untuk melakukan penzinaan dan menyempitkan jalan perkahwinan yang Allah syariatkan?
Begitu juga perkahwinan yang bermewah-mewah dan membazir ini sedang menempa jalan kehancurannya pada masa depan iaitu perceraian!
PUNCA
Begitu juga perkahwinan yang bermewah-mewah dan membazir ini sedang menempa jalan kehancurannya pada masa depan iaitu perceraian!
PUNCA
1. Sikap Ibu Bapa
Majoriti ibu bapa kini menganggap perkahwinan adalah lambang status diri mereka pada mata masyarakat sekeliling.
Jika disebut majlis perkahwinan anak mereka yang termewah dalam kalangan masyarakat kampung pun, itu sudah cukup membanggakan. Itu persaingan di kampung, persaingan di bandar, tentulah lebih sengit daripada itu.
Sudahkah mereka terlupa hadis ini:
"Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya. " (Riwayat Ibn Hibban)
2. Sikap Masyarakat
Sikap masyarakat sangat memberi pengaruh kepada keputusan ibu bapa dalam menentukan majlis perkahwinan mereka.
Mengikut pengalaman saya, masyarakat yang dekat dengan ilmu agama dan sering mendapat bimbingan daripada cerdik pandai Islam lebih memudahkan urusan perkahwinan masyarakat mereka.
Bahkan bukan itu sahaja, malahan mereka juga memberi idea, tenaga dan juga wang ringgit untuk sama-sama menanggung kos perkahwinan tersebut seolah-olah perkahwinan itu adalah milik masyarakat, bukan hanya keluarga sahaja.
Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat yang jauh dari agama. Perkahwinan bukan lagi menjadi lambang membina 'masjid' antara 2 hati, tapi lambang persaingan status antara beberapa kepala keluarga dalam masyarakat.
3. Ibu Campur Tangan, Bapa Lepas Tangan
Ini realiti yang tak dapat dinafikan sehingga ramai anak-anak 'terpaksa' menuruti nafsu ibu dari menurut akal si bapa.
Semua maklum bagaimana nafsu perempuan itu apabila ia menjadi raja dalam membuat keputusan. Nafsu mereka dapat mengatasi segalanya tapi ironinya dalam hala ini, nafsu mengatasi agama dan akal mereka.
Ketika mana manusia 'hilang' akalnya sudah cukup syarat digelarkan haiwan, bagaimana pula pula jika telah 'hilang' agamanya?!
Kaum bapa jangan menarik nafas lega pula. Anda tidak terlepas sekalipun anda berlepas tangan. Dayus hukumnya hingga perkahwinan menjadi seperti pesta hiburan dan anak menantu mendedahkan aurat di depan mata kepalanya sendiri.
Hati-hati!
4. Trend Wedding of The Year
Trend artis yang meletakkan hantaran tinggi dengan majlis yang grand dan media sosial yang memberikan ruang untuk hebahan dengan tema 'Wedding of The Year' adalah sangat bertepatan dengan hadis Nabi SAW.
"Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah (kenduri kahwin), bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya." [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]
Hendak menjadikan kenduri kahwin sebagai 'Wedding of The Year' dan dihebahkan secara percuma tentulah bukan sebarang majlis.
Tentu majlisnya hebat dan mewah hingga orang-orang miskin rasa malu dan segan untuk menghadirinya atau sekiranya hadir, mereka hadir dalam keadaan merendah diri.
Orang kaya dan berpangkat pasti dijemput dan diraikan sebaiknya hingga wujudlah 2 darjat yang dibezakan sedangkan Islam telah menghapuskan darjat dunia tersebut dengan 2 kalimah syahadah sejak berkurun lamanya dahulu.
5. Trend Hantaran
Sudah lama dimaklumi bahawa trend umat Islam sekarang majoritinya adalah meletakkan nilai hantaran mengikut klasifikasi tingkat kelulusan anak mereka.
Semakin jauh dan tinggi universitinya, semakin mahal hantarannya. Semakin tebal sijilnya, semakin nipislah poket bakal suaminya.
Orang yang memahami apa yang dipelajarinya lebih mudah untuk memahami tujuan perkahwinan itu sendiri tetapi bagi mereka yang hanya banyak maklumat tanpa disertai dengan kefahaman agak sukar memahami banyak perkara termasuk kes ini.
Apa kata, kita letakkan nilai berpelajaran tinggi itu pada kematangan akal bukan pada ketinggian nilai hantaran. Hantaran itu bukan gaji yang dinilai dari prestasi akademik semata. Ia adalah hadiah yang dinilai dari keikhlasan hati.
Hantaran sangat berharga sekalipun nilainya rendah pada pandangan si mata duitan tapi mahal pada pandangan si mata hati yang mempunyai kebijaksanaan.
Bukankah hadiah yang diberikan dengan senyuman lebih tinggi nilainya dari hadiah yang diberikan dalam keadaan wajah bermuram durja dan hati berdendam sengketa?
Trend inilah yang membuatkan majoriti pasangan terpaksa berhutang di pusat-pusat kewangan untuk dijadikan hantaran. Tapi akhirnya, ia akan mula diungkit-ungkit dan diburuk-burukkan serta akhirnya membawa kepada perceraian. Nauzubillah min zalik.
Inilah ciri-ciri yang disebut sebagai seburuk-buruk hadiah atau pemberian dalam Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) pemenerian kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. " [Al-Baqarah: 264 ]
Semoga Allah memudahkan kita untuk membuat keputusan terbaik dalam menentukan kelangsungan hidup sebagai suami isteri dan anak menantu yang aman tenteram dan tidak ditekan dengan trend semasa ini.
Semoga bermanfaat untuk tatapan anda.
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
Semoga bermanfaat untuk tatapan anda.
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
No comments:
Post a Comment