Thursday, 13 June 2013

::AISYY:PENATNYA MARAH::


Marah bermaksud panas hati (kerana ditipu, dihina dan lain-lain), perasaan panas hati, berang, gusar dan murka. Tetapi perkataan murka di dalam kebudayaan Melayu biasanya dirujuk kepada kemarahan Allah, para Nabi dan juga pemerintah.

Tapi apa sebenarnya kisah marah dalam bentuk rencana yang mungkin lebih mudah difahami kerana sikap ini (marah dan seorang pemarah) adalah sesuatu yang semula jadi dalam diri setiap individu. Sudah tentu semua pernah merasai marah dan ia boleh menghasilkan banyak perkara di luar jangkaan hingga kewarasan seseorang itu hilang tenggelam dibawa emosi. Hanya sesalan yang mampu dikatakan.

Apa yang sering kali membuatkan anak muda marah? 

Kebiasaannya kesesakan lalu lintas ataupun perkhidmatan lambat membuatkan orang muda lekas ‘naik hantu’. Tidak menariknya, mereka mudah mengeluarkan kata kesat dan ada sebahagiannya yang melepaskan rasa marah dengan perlakuan fizikal. 

Belum lagi insiden di kedai makan atau restoran mamak yang ada kalanya lewat mengambil pesanan makanan atau tersalah menyediakan makanan yang dimintas. Itulah senario yang biasa dilihat atau kita dengar mengenai punca berlakunya marah dalam kalangan anak muda khususnya. 

Jenis marah

Individu jenis ini dikategorikan orang yang marah atau pemarah ini kepada dua jenis.

Pertama adalah PEMARAH. Mereka yang duduk dalam kelompok ini cukup senang untuk marah. Emosi mereka ini tidak berada dalam keadaan stabil. 

Mereka juga sering marah tanpa usul periksa. Sering kali berlaku apa yang mereka marahkan adalah perkara yang tidak patut dimarahi dan perkara yang benar. Selepas rasa kemarahan kembali normal, mereka mula sedar akan kesilapan diri dan ini membuatkan mereka malu sendiri. 

Meskipun begitu, ego membuatkan mereka menolak untuk melakukan permohonan maaf atas kemarahan yang ditunjukkan sebelumnya. Itu adalah normal dan acap kali berlaku apabila seseorang individu begitu berat memohon maaf. 

Kategori kedua pula adalah PANAS BARAN. Ramai orang menjadikan kelompok pemarah ini sama dengan kelompok panas baran. Tapi sebenarnya secara kasar dan luaran, ada bezanya.

Impak marah

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mendatangkan hasil yang baik. Bahkan si pemarah lama kelamaan akan bertukar menjadi orang yang panas baran apabila api kemarahan dikumpul di dalam diri.

Apakah yang mereka rasakan selepas api kemarahan itu dikeluarkan? Jarang sekali mendengar sesalan daripada mereka kerana pada si pemarah, mereka duduk di pihak yang betul.

Apa yang mereka rasai apabila selesai mengeluarkan kemarahan adalah keletihan. Sama ada mereka seorang pemarah atau orang panas baran, mereka tetap akan merasai keletihan cuma nilai keletihan itu yang berbeza.

Keletihan yang berlaku akibat kemarahan bukanlah sebaik keletihan yang terhasil daripada bersukan. Apabila kita bersukan, keletihan itu tidak bersama emosi negatif dan ia membuatkan fikiran semakin cerah. Fikiran yang cerah membawa kepada keceriaan.

Apabila keletihan akibat kemarahan, ia membunuh keceriaan dan penat yang terhasil adalah negatif semata-mata.

Oleh yang demikian, seseorang itu perlu menguruskan api kemarahan yang ada dalam diri. Apabila api kemarahan diuruskan dengan betul ini tidak bermakna hilang terus kemarahan daripada diri seseorang.

Marah tetap wujud tetapi kali ini ia cukup sukar terbit dan marahnya juga adalah marah berhikmah, yang hanya marah apabila ia membabitkan isu-isu yang besar dan maruah diri atau agama.

Langkah awal untuk menguruskan api kemarahan adalah dengan menjaga jenis pemakanan. Apabila kita memakan makanan yang boleh mencetuskan emosi seperti organ dalaman dan makanan yang pedas, ia akan menambah emosi sedia ada. 

Akibatnya, api kemarahan dalam diri akan bertambah dan cukup mudah membakar diri. Selain itu seseorang itu mesti kerap bersentuhan dengan air. Justeru itu apabila marah kita perlu wuduk.

Pengurusan marah itu juga boleh dimulakan dengan menjaga jumlah air yang diminum. Mereka yang banyak minum air atau banyak mandi, insya-Allah dapat mengurangkan api kemarahan.

Ingatlah, marah hanya membawa keletihan dan kecelakaan pada rezeki anda. Mengapa perlu melenting dan marah jika ada jalan untuk menyelesaikan sesuatu perkara. ‘Chill’ lah sikit untuk memastikan senyuman sentiasa terukir. Itu lebih manis!

Baginda SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya, bukanlah orang yang kuat itu selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.

No comments:

Post a Comment