Wednesday, 17 July 2013

::KISAH BENAR 'TUTUP PERIUK NASI NODA'::


Assalamualaikum semua. Semoga anda terus sihat wal a'fiat adanya.

Bagaimana hari Ramadhan anda tanggal ini? 
Semakin MENGEMBANG atau MENGECUT?
Semakin BERISI atau KOSONG lagi?
Semakin LUAR BIASA atau BIASA-BIASA lagi?

Mudah-mudahan diberi PETUNJUK oleh Allah untuk kita sentiasa grab peluang yang hebat di bulan mulia ini. Perbanyakkan amalan dan kurangkan kebiasaan yang biasa-biasa dahulu.

Ada sedikit story yang hendak saya kongsikan buat pengajaran semua. Perkongsian ini adalah dengan izin individu tersebut. Mudah-mudahan kita mengambil iktibar daripadanya. Sila ambil tahu dari mana harta anda datang dan ke mana ia pergi kerana itu akan ditanya kelak.

Nabi SAW bersabda:"Tidak akan bergerak tapak kaki anak Adam pada hari kiamat, hingga ia ditanya tentang 5 perkara yaitu umurnya untuk apa dihabiskannya, masa mudanya, kemana dipergunakannya, hartanya darimana ia memperolehnya & ke mana dibelanjakannya serta ilmunya sejauh mana diamalkan?"

Dalam 2 malam lepas, seorang wanita yang berpangkat 'kakak' telah PM saya di FB. Ada soalan yang diutarakan tentang satu jenis MLM bisnes online yang berada di pasaran sekarang. Beliau telah menjadi ahli dalam MLM tersebut sejak sebulan yang lalu. Untuk jenis MLM tersebut dan nama si penanya, saya terpaksa saya sembunyikan identitinya untuk KEBAIKAN BERSAMA. Sekiranya beliau ingin menyatakan identitinya, itu terpulang kepada beliau.

Persoalan yang ditanyakan adalah agak BESAR, menentukan sama ada boleh teruskan atau pun tutup 'periuk nasi' terus. Soalnya adalah,"MLM X ni betul-betul mengikut garis panduan syarak atau menyalahinya? Nak minta pandangan ustaz".

Saya pun mengemaskan duduk, menyelak lengan baju yang dipakai dan memfokuskan mata pada attachment yang dihantar serta mengunjungi website MLM X tersebut. Sambil melayarinya, saya minta kakak yang bertanyakan saya untuk menceritakan apa yang dia faham tentang bisnes MLM X tersebut dari awal hingga habis. Tujuannya adalah saya boleh bandingkan sama tak apa yang 'ahlinya' faham dengan apa yang diTAWARKAN oleh MLM X ni.

Setelah MEMBACA, MENELITI dan MERUJUK tulisan saya terdahulu (boleh klik sini), saya SIMPULKAN bahawa MLM X adalah tidak syar'ie dengan sebab-sebab berikut:

1) Harga lebih tinggi dari biasa 

Menjual sesuatu produk yang TERLAMPAU tinggi harganya adalah diharamkan oleh Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Bagaimana pun Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. Ini tidaklah bermakna saya mengatakan MLM haram hanya kerana adanya unsur "Harga Lebih Tinggi dari Biasa".

Sebenarnya menaikkan harga barangan adalah tidak salah dalam Islam kerana dari sanalah para peniaga dapat mengutip KEUNTUNGAN  hasil jualannya. Apa yang ingin saya nyatakan, PENIPUAN HARGA di sini adalah harga yang sengaja dinaikkan melalui PENYAMARAN sedangkan ia merangkumi yuran penyertaan dalam sistem piramid, bonus penajaan, potongan insurans bulanan dan sebagainya.

Sebagai contoh, bantal yang harganya RM 35 di pasaran dan kemudiannya dijual melalui sistem MLM harganya mencecah RM300 sebiji dengan dijanjikan bahawa anda akan tidur lebih nyenyak kerana aliran darah anda menjadi lebih baik dengan produk tersebut. Baik, kita terima FAKTA tersebut. Setelah diperiksa harganya yang sebenar adalah RM 200 dan RM 100 adalah yuran penyertaan, katanya.


Baik, jom lihat. RM 200 itu HALAL dan HARUS kerana kualitinya yang terbukti melalui testimoni ramai dan melalui kajian yang meyakinkan (itu pun jika benar berkesan, jika tidak sudah bertambah HARAMNYA) TETAPI soalnya adalah pada RM100 kini.
Dari RM 100 itu, penajanya atau upline akan dapat RM 30 kerana menaja/membawa seorang ahli baru dalam MLM itu, RM 20 kepada penaja kepada penaja pertama dan RM 10 di'hadiah'kan pula kepada penaja kepada 2 penaja tadi kerana pandai mengajar anak katanya. Bakinya RM 30 adalah untuk syarikat kerana menguruskan 'penyertaan' ahli-ahli baru itu dan RM 10 untuk bayaran insurans pula atau lain-lain yang dikatakan percuma sedangkan ianya adalah berbayar dalam diam. Itu SALAH dan HARAM di sisi Islam.

Inilah PENIPUAN melalui PENYAMARAN. Maka jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan sebagai ahli dan masuk dalam sistem yang telah direka tanpa dibentangkan dengan sebenar oleh syarikat MLM terlibat ataupun agen pemasarannya.

Inilah maksud saya terdapat unsur tipu dalam KESAMARAN yang diamalkan oleh kebanyakan MLM.

2) Belian peribadi sebagai syarat komisyen dari hasil usaha orang bawahan

Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target belian tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komisyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual produk dengan begitu banyak.

Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini menjadi bermasalah dari sudut syarak kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat  tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan.

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dengan syarat:

1. JUALAN PERIBADI sebagai syarat (bukan belian peribadi) kerana yang diharuskan adalah jualan produk bukan belian peribadi produk tersebut.

2.Syarat tersebut adalah MINIMA sehingga tidak berbentuk penindasan terhadap ahlinya dan hendaklah JELAS sebelum ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

3. Tujuannya adalah untuk KOMITMEN individu dalam perniagaan yang membezakan mereka dari ahli biasa yang bertindak sebagai pengguna semata-mata tanpa terlibat dengan perniagaan dan keahlian tidak dilucutkan walaupun tiada jualan peribadi dilakukan seumur hidup.

Jadi, sekiranya 3 syarat ini dipenuhi, maka MLM tersebut menjadi harus dan halal pendapatan dari perniagaan MLM tersebut.

3) 'Head hunter' dan bukan jualan produk yang bermanfaat

Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahannya/downline sahaja. Maka hukumnya adalah HARAM.

Setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa PERATUS dari yuran ahli tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan dengan jalan tidak benar. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl.

Hanya yang diluluskan oleh syarak adalah 'product hunter' iaitu bonus atau komisyen adalah dari jualan produk bukan berapa banyak keahlian yang berjaya didaftarkan. Tetapi ada pengecualian untuk head hunter ini dalam bidang yang berkaitan manusia seperti pendidikan. Contohnya, "Jika anda dapat masukkan pelajar ke kolej saya, anda akan dapat komisyen RM 1000 seorang". Ini dibenarkan kerana produk ini melibatkan manusia secara keseluruhannya.

Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk yang bermanfaat dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian.



Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun).

Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan NIAT UTAMA memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saud.

Cukup dengan 4 syarat UTAMA ini sahaja dulu. Kebanyakan MLM di Malaysia dan seluruh dunia tidak dapat mengatasi masalah ketidakpatuhan syariah ini yang menyebabkan urus niaga masing-masing menjadi syubhah dan haram sekaligus sama ada secara sengaja atau tidak.

Akhir kalam saya dengan kakak ini menyebabkan dia TERHARU dan kemungkinan sekali MENANGIS keseorangan. Ketika itu tepat jam 1.30 pagi, 2 jam berlalu dengan perkongsian yang bermanfaat. Saya katakan kepada beliau bahawa Allah sayangkannya kerana tidak memberinya REZEKI dalam bentuk anak buah yang ingin mendaftar di bawahnya setelah sebulan join MLM X yang HARAM secara jelas, Jika tidak, tentu anak-anaknya serta keluarga memakan wang yang haram buat seumur hidup. Kemudian, beliau mendaftar pula dengan Shaklee hanya dengan niat untuk mencuba produknya. Baru seminggu jadi ahli Shaklee, terjumpa blog saya dan tajuk Shaklee: MLM Tak Lulus Syariah  telah menarik minat beliau untuk mula bertanya.

Beliau turut share link tajuk tersebut dengan rakan-rakan MLM X yang lain dan mereka merasakan MLM X itu adalah lulus syariah tanpa bertanya kepada saya yang menulisnya terlebih dahulu. Ingat, para ulama dahulu berpesan,"Jika anda membaca buku agama bersendirian tanpa guru, maka syaitanlah yang akan menjadi gurunya".


Alhamdulillah, hanya seorang yang dapat saya selamatkan dari USAHA dan PENDAPATAN yang haram seperti ini. Mungkin jika anda yang membaca ini turut SHARE di wall-wall anda, kita mungkin dapat menyelamatkan lebih ramai manusia lagi yang meng'halal'kan segala cara untuk kaya dan berjaya dan beralih untuk BERUSAHA dengan jalan dan cara yang dibenarkan oleh syarak.

**Jika masih kurang faham, sila bertanya dengan ulama-ulama yang berada di sekitar anda atau boleh terus PM saya di FB: https://www.facebook.com/mohd.taufiq.3557 .Sekian


No comments:

Post a Comment