Saturday, 20 July 2013

::SOLAT TERAWIH KE PENAT WEH?::


Assalamualaikum semua. 

Hari ni saya bersyukur sangat-sangat kerana masih diberi peluang sehingga dapat melalui hari Ramadhan yang kesepuluh ini. Seronok sangat apabila Ramadhan kali ini dapat ditemani dengan pelbagai ibadat yang BIASANYA tidak sempat dibuat pada bulan-bulan biasa. 

Mungkin kerana di hari biasa perut telah PENUH hingga berat tulang untuk beribadat kepadanya. Tidak hairanlah para ulama mengatakan,"Perhatikanlah perut itu kerana di dalamnya terletak 1001 kemalasan dan alasan". 

Begitu juga pada malamnya, kita ditemanai pula oleh qiyam Ramadhan iaitu solat Terawih yang terlalu banyak kelebihan baik dari segi pahala mahupun kesihatan buat diri muslim keseluruhannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam-malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan akan pahala daripada Allah, nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni oleh Allah"(Riwayat al-Bukhari)

Ironinya sekarang semakin ramai yang tidak suka solat Terawih disebabkan sikap AJK masjid yang lebih menitikberatkan soal yang RINGAN sehingga meringankan soal yang BERAT. Perkara BIASA ini sepatutnya diperbetulkan dan diganti dengan membiasakan perkara yang BETUL.

Perkara UTAMA yang tidak sepatutnya berlaku

1. Masjid vs Bazar?! Siapakah JUARA?!


Jika saya tanya anda, berdasarkan pemerhatian anda, antara masjid dan bazar, yang mana satukah menunjukkan populariti yang tinggi dan mendapat sambutan hebat masyarakat? Tentu...tentu sangat semua akan menjawab BAZAR, betul? Macam mana perkara ini boleh berlaku?

Sebabnya kita sebagai umat Islam sangat kurang PRODUKTIF dan AKTIF dalam menangani masalah ini. Walaupun kita dah lalui berpuluh kali Ramadhan terutamanya orang-orang yang telah VETERAN dan kini memegang jawatan penting masjid, kita masih di 'takuk' lama. Mengapa tidak dicadangkan agar bazar-bazar ini diadakan di perkarangan masjid? Bukankah itu lebih baik?

Laman masjid hari ini sudah cukup luas untuk buat tempat helikopter landing kot. Takkanlah untuk buat bazar Ramadhan tak boleh buatkan? Masjid perlu mengikut peredaran zaman dan masyarakat sekelilingnya. Saya sangat TEKANKAN agar masjid juga BERUBAH LUAR BIASA dalam menarik semua ahli jemaah untuk sama-sama mengimarahkan masjid pada zaman moden ini. Kita tidak 'LALU' lagi untuk melihat masjid sebagai tempat rehat orang-orang tua yang telah berputus asa untuk hidup, tempat orang yang rumah kata pergi, kubur kata mari dan tempat persinggahan jenazah sahaja.

Tingkatkan peranan masjid sehingga menjadi institusi yang 'HIDUP' bersama masyarakat. Apabila bazar pada bulan Ramadhan dibuat di masjid, sekurang-kurangnya para peniaga juga:

i-Mengambil berat untuk sama-sama mendirikan solat Asar dan Maghrib secara berjemaah.

ii-Boleh mendengar alunan ayat-ayat Quran yang dipasang di corong-corong speaker masjid

iii-Kebersihan boleh dijaga tanpa perlu cleaner majlis bandaran bekerja untuk membuang sisa-sisa jualan yang tinggal.

iv-Menimbulkan sifat ingin bersedekah kepada ahli jemaah masjid yang berbuka di masjid dan untuk program moreh sepanjang Ramadhan

v-Menyeimbangkan antara DUNIA dan AKHIRAT hingga tidak ada perkara-perkara lagha/lalai melebihi zikrullah.

vi-Dakwah kepada bukan Islam kerana mereka juga selalu 'turun padang' untuk sama-sama menghayati keenakan makanan dan kemeriahan bazar. Itulah sebahagian rahmat Ramadhan

vii-Meningkatkan peranan masjid sebagai satu institusi pentadbiran Islam dan masyarakat sekelilingnya

viii-Mendekatkan masyarakat Islam dari peringkat kanak-kanak sehingga orang tua untuk sama-sama mengimarahkan masjid.


Sudah masanya kita kembali semula mengimarahkan masjid pada zaman fitnah ini. Jangan hanya menjadikan masjid sebagai rumah AJK masjid sahaja dan pintunya hanya dibuka apabila masuk waktu solat sahaja. Masjid bukan PENJARA! Dibuka hanya apabila ada PENJENAYAH sahaja!


2. Solat Terawih vs Solat Penat Weh?!

Kebanyakan masjid-masjid terutamanya di kawasan pinggir bandar dan pedalaman biasanya lebih mementingkan KUANTITI bilangan rakaat berbanding KUALITI rakaat-rakaat tersebut.

Sepanjang 10 hari Terawih, secara jujurnya saya dah berpindah solat di hampir 8 buah masjid. Bukan apa, penat weh solat laju-laju macam nak berlumba je. Sedangkan takrif sebenar solat Terawih adalah "solat pada malam bulan Ramadhan itu disebut 'Tarawih' kerana solatnya panjang, raka'atnya banyak dan orang yang melakukannya beristirahat pada setiap selesai menunaikan empat raka'at sebelum menyambungnya lagi. Oleh kerana adanya rehat maka inilah disebut "Tarawih".

Ni tak, solat seperti patukan ayam. Rukuk, iktidal dan sujud seumpama mesin yang tidak beranggota dan berhati. Orang yang beranggota perlukan REHAT dan yang berhati perlukan KHUSYUK. Dengan khusyuk itulah nanti hati TERKESAN dengan solat Terawih tersebut dan datang KESERONOKAN  dalam mengerjakannya.

Saya teringat PESAN guru saya, solat bukan tempat 'menangkap' Tuhan tetapi tempat menyembah Tuhan. Seolah-olahnya ditangkap Tuhan yang lari ke kaki ketika rukuk dengan takbir dua tangannya. Tuhan lari semula ke atas, ia bangun semula, bersungguh-sungguh tangannya menangkap pula ketika iktidal...Terlepas pula Tuhan di sejadah, ia terjun tersungkur sujud pula. Begitulah naik turunnya. Mana tomakninahnya? Sia-sia segalanya.


Nabi bersabda,"Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Betapa ramai juga yang mendirikan solat tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali penat sahaja".

Anda rasa betul tak apa yang saya coretkan? Tak percaya, tak mengapa. Tetapi sebelum itu, lihat diri kita sendiri dan tanyakan,"Adakah selepas Ramadhan aku mampu lagi berdiri di malam hari untuk Qiyam seperti ini? Berapa lama aku boleh istiqamah, berterusan melakukan qiyam dalam bulan selain Ramadhan?"

Mengapa ramai yang gelengkan kepala? Sebabnya kita tidak dapat rasakan khusyuknya solat dan kita kadang-kadang seperti zombi yang sedang bersembahyang. Kita solat tanpa sebarang PERASAAN, tanpa sebarang KETAKUTAN dan tanpa sebarang HARAPAN. Kita hanya MENURUT sahaja. Laju imam lajulah kita, perlahan imam perlahanlah kita, sedangkan kepala kita dah di alam lain. Tambahan lagi jika tidak faham surah yang dibacakan.

Sedangkan maksud daripada hadith yang telah disebutkan ialah setiap orang yang menyemarakkan malam-malam bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, zikir dan membaca Al-Quran dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharap akan pahalanya, maka Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa silam, selama mana dosa-dosa itu adalah dosa-dosa kecil.

Jadi, buat AJK masjid sila fikirkan kesesuaian dan cadangan TERBAIK untuk memastikan imam dan makmumnya sama-sama BERSOLAT TERAWIH bukan SOLAT PENAT WEH.  Cuba lihat solusi ini, mungkin boleh diperbetulkan lagi untuk 20 malam terakhir ini:


i-Kenali jemaah yang datang.

Maksudnya, cuba untuk kenal pasti berapa peratus golongan muda dan berapa peratus pula golongan tua. Jika ramai yang muda, berilah imam yang muda untuk mereka. Itu lebih baik dari imam tua yang solatnya laju mengalahkan kereta api. Pepatah Melayu ada menyebutkan,"Jadilah kamu seperti daun kelapa. Jangan jadi daun pisang. Daun kelapa, jika dah tua, pandailah ia jatuh sendiri ke tanah TETAPI daun pisang, walau pun tua ia tetap tergantung di sana selagi tak dibuang". Fahamkan? Begitulah sebaliknya.

Sekiranya seimbang antara bilangan orang tua dan anak-anak muda, saya cadangkan agar Terawih dibuat beransur-ansur. Maksudnya dari malam pertama hingga kesepuluh, kita hanya solat 8 rakaat sahaja terawih ditambah 3 rakaat witir. Pada malam kesebelas hingga kedua puluh, Terawih boleh ditambah menjadi 16 rakaat dan ditambah 3 rakaat witir. Pecutan terakhir adalah pada malam 10 yang terakhir, jadikan solat Terawih sebanyak 20 rakaat beserta 3 rakaat witir. Cukuplah untuk tahun pertama PERUBAHAN LUAR BIASA di masjid-masjid ini.

ii-Tekankan KUALITI bukan KUANTITI

Jika 8 rakaat lebih baik dilaksanakan bagi sesuatu tempat, lebih baik 8 rakaat sahaja. Jika 20 rakaat lebih sesuai silakan. Contohnya, untuk masjid-masjid di sekolah-sekolah agama atau masjid-masjid yang menjadi pusat pengajian mingguan dan bulanan di sesebuah tempat, maka sebaiknya 20 rakaat kerana tentulah jemaahnya orang yang LEBIH KUAT ibadat dan sudah terbiasa melakukan ibadat yang banyak pada satu-satu masa.

Berbanding di masjid-masjid yang lain yang setahun sekali hendak melakukan 20 rakaat. Lama mana bertahan masjid yang seperti ini? Tak lama pun, 10 hari Ramadhan sudah 8 saf yang dah terkurang dari 20 saf pada hari pertama Ramadhan. Lepas 8 rakaat pada hari ke-10, dah berbaki 5 saf depan sahaja dari 8 saf yang asal.

Jika kita kejar KUANTITI, KUALITI bakal hilang dari sehari ke sehari. Jika kita impikan KUALITI, maka kuantiti bukan menjadi soal yang besar kelak.

iii-Adakan TAZKIRAH

Tazkirah antara 4 rakaat atau 10 rakaat Terawih kemudian sambungkan semula bakinya yang 4 rakaat atau 10 rakaat lagi adalah antara amalan ulama terdahulu untuk memastikan maksud BEREHAT itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Inilah yang dibuat di masjid-masjid di seluruh dunia Islam kecuali Masjidil Haram di Mekah yang 'merehatkan' jemaahnya melalui ibadat tawaf kerana ibadat tersebut LEBIH sesuai di tempat tersebut.

Bukan itu sahaja, inilah kesempatannya kita menyampaikan dakwah di bulan Ramadhan ini kerana jarang sekali ramai orang berkumpul di masjid pada waktu malam-malam begini pada bulan yang lain.

Saya hairan dengan 'KENYATAAAN' ini. Adakah ini bersifat fatwa ilmiah atau fatwa politik murahan. Maaf, saya tak berminat dengan fatwa politik. Orang Perak, mungkin anda boleh beri jawapannya kepada saya,"Semakin makmurkah masjid anda?!

Begitu juga dengan keghairahan masyarakat dalam mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan tentang hukum berkaitan puasa dan kehidupan sehariannya. Ini waktunya kita buat 'marketing' agama supaya masyarakat kembali sedar bahawa Islam itu indah, ceria dan menyeronokkan. Tidak lagi ibadat hanya semata-mata 'malu mata' dengan rakan lain yang ke masjid.

Terawih: Semakin ramai atau semakin kurang?

Jom lihat jemaah di kariah kita masing-masing. Adakah masjidnya semakin penuh atau semakin berkurangan? Entah apa salahnya masyarakat Melayu kita ini. Dulu di zaman nenek moyang kita dahulu, rumah ibadatlah tempat tumpuannya sehingga hari-hari Ramadhan berikutnya semakin bertambah bilangan jemaah tetapi tidak lagi kini. Ramai yang semakin jauh meninggalkan masjid pada suku pertama Ramadhan. Maka jangan hairan apabila malam ke 25 nanti tiada sesiapa di masjid kecuali imam, bilal dan hanya ada 1 saf di belakang imam.

Berbeza sekali di Mesir, ketika saya masih menuntut dahulu. Di sana, setiap malam pasti bertambah bilangan jemaahnya dan semakin panjang solatnya. Hatta pada malam-malam terakhir, jemaah tidak lagi solat di dalam masjid, tetapi melimpah hingga ke luar masjid, di atas jalanraya, jambatan-jambatan berdekatan dan sebagainya. Mengapa begitu? Sebab masyarakat mereka dididik untuk beribadah bukan untuk beraya seperti masyarakat Melayu Islam kita sekarang.

Mudah-mudahan kita dapat betulkan diri kita, keluarga dan masyarakat sekeliling hingga masalah-masalah seperti ini dapat dikurang dan suasana ibadat kembali MENYENGAT di pertengahan Rmadhan ini...Amin.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye dan 'share'lah sebanyak mungkin, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

No comments:

Post a Comment