Sunday, 6 October 2013

:: BUSUKNYA MULUT SI BATU API ::


Assalamualaikum semua.
Semoga anda ceria-ceria selalu.

Hari ni ada rakan kongsi saya Shaklee saya bertanya satu soalan yang selalu berlaku sesama kita. Walaupun ia dianggap kecil oleh sebahagian masyarakat kita tetapi ia dapat menghancurkan komuniti masyarakat secara keseluruhannya di samping menanam rasa benci yang tidak bertunjangkan kepada akar umbi yang benar.

Soalannya datang jauh dari negeri Pantai Timur sana, berbunyi:

Assalamualaikum ustaz, nak tanya sikit boleh? Macam mana ye kalau ada kawan kita cuba menghasut orang lain supaya jangan rapat dengan kita atau dalam erti kata lain jangan berkawan dengan kita dan ajak yang lain ke arah permusuhan.

Ada tak hadis Nabi tentang hasutan supaya bersangka buruk pada orang lain manakala orang yang mendengar hanya mengikut sahaja dan tak berusaha untuk mendamaikan dan menjernihkan keadaan. Kalau ada hadis yg boleh dihuraikan, tolong ye untuk huraikan demi kebaikan bersama.


Jawapannya:

1- Diharap Puan dapat bersabar dengan sikap orang di sekeliling kerana itulah lumrah hidup. Baik macam mana pun seseorang, pasti ada yang berdengki dengannya. Jahat bagaimana pun seseorang, pasti ada yang baik dengannya. Ini sifat manusiawi yang terdapat dalam hati setiap insan. Kerana itulah Nabi SAW bersabda,"Bahawasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". 

2- Orang yang mempunyai sikap sebegini diletakkan satu nama khas di dalam Islam. Namanya 'Namimah' atau 'Nammam' dan nama yang popular ini telah dirakam dalam pelbagai hadis Nabi, antaranya:

Rasulullah SAW bersabda:"Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan namimah" (HR Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas meriwayatkan, bahwa Rasulullah SAW melewati dua buah kuburan, lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang disiksa. Keduanya tidak disiksa kecuali karena dosa besar. Salah satunya disiksa kerana namimah dan satu lagi diseksa karena tidak bersuci dari kencingnya. (Muttafaq alaih)

Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami 

3- Menghasut, mengadu domba, atau memprovokasi dalam Islam disebut namimah. Namimah juga bermaksud memindahkan perkataan sebahagian orang kepada sebagian lainnya dengan maksud mencelakakan dan mengadu domba di antara mereka. Ini merupakan 'kebiasaan' sikap sebhagian besar dari manusia terutamanya orang kita di Malaysia. Hal ini telah berlanjutan lama sehingga kini yang akhirnya telah menyebabkan suami isteri bercerai-berai, ikatan kejiranan  terungkai dan pertalian ummah terputus hanya kerana lidah tidak bertulang ini.

4- Bagi para penghasut ini, saya ucapkan takziah kepada anda kerana berdasarkan hadis di atas mungkin tiada lagi tempat anda di syurga kerana dosa anda terlalu besar pada pandangan Allah. Perbuatan anda menjerumuskan manusia ke dalam jurang permusuhan adalah perbuatan dan pekerjaan syaitan. Ini juga merupakan salah satu daripada sikap utama orang munafik sehingga Rasulullah SAW mengecam orang-orang munafik di Madinah kerana perilaku kotornya yang suka menghasut ketika baginda berhijrahMaka kerana itu, orang yang melakukannya diseksa dalam perhentian pertamanya lagi untuk ke hari akhirat iaitu kuburnya. 

Saidina Osman bin Affan pernah berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda,"Barangsiapa yang senang urusannya di dalam kubur ini, nescaya senanglah urusannya nanti di hari akhirat. Tetapi barangsiapa yang susah urusannya di dalam kubur ini, nescaya deritalah ia di hari akhirat kelak".

Allah berfirman," Sesungguhnya orang-orang Munafik (yang berpura-pura) berada di dalam tempat terbawah di dalam api neraka"

5- Manakala bagi yang menerima hasutan atau yang diadu domba, apakah sikap yang perlu anda ambil? Layani dan mengambil serius setiap patah kata yang diucapkan atau terus menganggap ia rakan karib anda kerana ia memberitahu sesuatu yang anda suka mendengarnya. Apabila seorang membawa sesuatu berita yang mengadu-domba, maka hendaklah ia jangan tergopoh-gopoh menerima berita itu dan menyangkakannya benar, sebagaimana firman Allah:

“Jika ada orang fasik membawa sesuatu berita kepadamu, maka hendaklah kamu memeriksanya terlebih dulu.” (al-Hujurat: 6)

Jika boleh, hendaklah ia melarang orang itu dari berbuat adu domba itu dan menasihatkannya agar ia tidak menyangka jahat atau tidak baik sesuatu yang belum dilihatnya itu. Begitu juga janganlah hendaknya ia suka mengintip-intip untuk mencungkil kesalahan orang.


6- Setiap orang yang diadu domba dengan ada orang yang mengatakan kepada dirinya,“Si A telah mencela kamu atau telah melakukan demikian dan demikian untuk menyakiti kamu”. Maka ia memiliki kewajiban untuk melakukan enam perkara ini:
  • Tidak langsung menerima ucapan orang itu karena tukang adu domba adalah orang fasik yang omongannya tidak boleh dipercayai.
  • Melarangnya melakukan perbuatan tersebut, memberikan nasihat dan mencela perbuatannya.
  • Membencinya karena Allah kerana dia adalah orang yang Allah benci. Membenci orang yang Allah benci adalah suatu kewajiban.
  • Tidak berburuk sangka kepada si A.
  • Tidak boleh mengintip dan mencari-cari kebenaran berita yang baru saja dia terima.
  • Namimah yang dia dengar tidak boleh menyebabkannya membalas dengan namimah pula. Dia tidak rela dengan namimah yang dilakukan oleh tukang adu domba itu. Seharusnya juga dia tidak menceritakan namimah yang dilakukan oleh tukang adu domba tersebut. Misalnya dengan mengatakan, “Si B bercerita bahwa si A berkata demikian dan demikian”. Jika ini dilakukan bererti dia juga menjadi tukang adu domba dan sama saja melakukan perkara tersebut.

7- Kebiasaan menghasut seperti ini sudah banyak menjalar dan meluas di negara kita pada masa ini. Kelahiran banyak blogger-blogger, para wartawan, para pekerja, para sarjana hinggalah jiran-jiran serta masyarakat Islam yang tidak bermoral dan sanggup menabur fitnah, memaki hamun dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam sangat meruncing. Bagi yang terkena fitnah dari pengadu domba ini, adalah dinasihatkan untuk bertemu dengannya atau orang yang diadu dombakan dengan kita untuk menjernihkan suasana. Di samping itu, banyakkanlah mendirikan solat hajat dan selitkan sebanyak mungkin kesabaran, mohon perlindungan dan penyelesaian daripada Allah kerana hanya Dialah tempat kita meminta pertolongan.

Firman Allah,"Dan mintalah pertolongan dari Tuhanmu dengan jalan sabar dan mendirikan solat dan sesungguhnya solat itu sangat berat kecuali bagi mereka yang khusyuk"

Firman Allah,"Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan"


8- Dari Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda : "Seorang muslim (yang sejati) adalah seorang yang menyelamatkan orang lain daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang mengamankan orang lain daripadanya termasuk jiwa dan harta benda mereka". (Hadis Riwayat an-Nasaie)

Sahabat yang dikasihi, jauhilah daripada segala bentuk perbuatan, percakapan, tulisan dan amalan yang suka memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan memutuskan silaturahim, mengadu domba, menghasut, memfitnah, mengumpat dan menimbulkan permusuhan bukan sahaja mendapat dosa besar tetapi akan mendapat laknat Allah SWT  dan tidak akan mencium bau syurga.

Tidak ada gunanya kita berpecah sedangkan kita umat yang sudah sedia lemah sekarang. 
Mengapa perlu lagi ditambah pelbagai penyakit sedangkan penyakit sedia ada belum terubat lagi?
Mengapa perlu mengadu domba sedangkan kita mengagung kalimah yang menjadikan kita satu?
Mengapa perlu kita bermasam muka sedangkan bermanis muka itu lebih perlu?
Mengapa perlu kita bermusuh sedangkan bila bersatu kita maju?

Jom tinggalkan tabiat buruk ini jika ada dalam diri kita dan nasihati orang lain jika ada terdapat sifat tersebut dalam diri mereka. Semoga kita berjaya dunia akhirat. Amin.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

No comments:

Post a Comment