Friday, 6 December 2013

:: ISU - PENGANGGUR BERTAULIAH ::


Assalamualaikum dan selamat pagi semua.
Semoga hidup anda dipenuhi keceriaan dan kebahagiaan di dalam hidup hari ini, esok lusa dan selamanya.
Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sekarang dan berusahalah untuk hidup dengan lebih baik di masa depan supaya kita juga dapat meninggalkan dunia ini dengan lebih baik juga.

Seminggu yang sudah, kebetulan ada rakan lama menghubungi saya, menceritakan masalahnya yang tidak bekerja sekarang setelah 2 tahun tamat belajar. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk terjun dalam bidang perniagaan dengan niat untuk membuktikan bahwa kejayaan bukanlah terletak pada segulung ijazah yang dipegangnya.

Akhir-akhir ini, coretan dalam akhbar, blog mahupun majalah yang berkisarkan lambakan graduan menganggur menunjukkan angka luar biasa. Lihat saja, graduan ijazah kelas pertama turut terkena tempiasnya. Bukankah kecemerlangan akademik itu mampu membuatkan mereka mudah memperoleh pekerjaan?

Bahkan, baru-baru ini, graduan doktor siswazah juga tidak ketinggalan daripada mendapat janji buruk ketiadaaan pekerjaan mulai tahun depan. Boleh baca di sini untuk berita lebih lanjut. Dulunya, pekerjaan seorang Dr dipandang tinggi dan dikatakan sangat diperlukan oleh negara tapi kini tidak lagi setelah lambakan graduan siswazah berlaku.

Kadar pengangguran di Malaysia sehingga Ogos 2013 adalah tiga peratus,
bersamaan dengan 411,400 orang. Baca sini.






















PUNCA BERLAKUNYA PENGANGGURAN

Dulu, saya sendiri turut mendaftar di laman ‘jobstreet’ atau laman web lain yang akan memuat naik perihal kerja kosong. Dari situ menunjukkan banyak kerja kosong yang diiklankan dengan pelbagai jawatan. Anehnya, masih ramai lagi graduan terus bercucuk tanam di laman rumah sendiri.

1. Gaji

Kenapa ia dipersoalkan di awal pekerjaan, sedangkan banyak cara yang boleh dilakukan terutama ia dapat mengasah bakat yang ada dan merupakan peluang untuk membina pengalaman pekerjaan. Jika 10 tahun dahulu, 'demand gaji' bukanlah satu kesalahan tetapi untuk zaman sekarang, ia merupakan satu kesalahan besar jika berbuat begitu!

Satu hal pula, ada yang sudah bertahun-tahun tamat belajar tetapi belum pernah menghantar satu pun resume ke sana sini kerana meyakini gaji harus setimpal dengan kelayakan yang ada dan pekerjaan akan datang sendiri tanpa dicari. Wahai kawan, janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi, dengan pengalaman yang belum ada, sudah tentu anda akan terbiar menganggur sampai bila-bila jika tak berusaha.

Jika anda perempuan, mungkin boleh tunggu orang masuk meminang. Tapi bagi lelaki pula, jangan berharap ada keluarga akan menerima anda sebagai menantu. Sedangkan nak menyara kehidupan sendiri pun belum tentu lepas, inikan pula nak menyara anak orang lain yang punya demand yang tinggi juga.

Jika gaji menjadi topik utama, bangun dan berusaha sekerasnya agar anda dinaikkan pangkat dengan cara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.



2. Cerewet dan terlalu memilih

Ada benarnya apabila sudah tamat saja belajar, perkara pertama yang akan dilakukan adalah memilih pekerjaan yang secocok. Oleh itu, si pencari kerja akan sentiasa memikirkan soal gaji, tempat tinggal, jawatan dan pelbagai perkara remeh yang lain. Jangan terlalu ‘rigid’ untuk membuat pilihan kerana peluang hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Fikirlah hala tuju yang betul terutama apabila anda dibebani dengan hutang pinjaman pelajaran ataupun keinginan membantu keluarga di kampung yang banyak bersusah payah untuk anda selama ini. Sementelahan lagi graduan di Malaysia ini sangat ramai berbanding ruang pekerjaan yang semakin menyempit. Itu tidak termasuk lagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang pasti menunggu masa untuk keluar mencari peluang dan tindakan kerajaan sendiri mengimport sebegitu ramai bangsa asing untuk bekerja dalam pelbagai lapangan.

Walaupun anda menetap di Kulim tetapi berjaya mendapat kerja di Kuala Lumpur, tidak ada salahnya untuk anda berhijrah ke bandar lain bagi meluaskan pengalaman. Bahkan, anda adalah insan terpilih untuk menyandang jawatan berkenaan, ia lebih baik daripada calon yang tidak dipanggil bekerja!

Ada baiknya bermula dari bawah tanpa perlu banyak memilih di awal usia pekerjaan. Di sana, anda boleh belajar secara perlahan-lahan tanpa perlu ada sebarang tekanan dan mendapat ilmu tambahan daripada rakan kerja yang sudah lama berkhidmat.

3. Terpaksa untuk kerja

Ramai juga yang bernasib baik dipanggil bekerja walaupun ada 'virus' malas dalam dirinya. Ini menyebabkan ada di antara graduan yang bekerja dalam keadaan 'terpaksa'. Apa yang dikatakan terpaksa merangkumi beberapa aspek, antaranya didesak oleh keluarga, tidak mahu menjadi penganggur atau malu jika tidak bekerja. Selain ada komitmen lain yang harus ditanggung membuatkan mereka tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja.

Selain tidak pasti kerjaya apa yang harus mereka pilih, ada yang merasakan kerjaya itu mestilah dalam bidang yang dipelajari. Ada juga yang tidak peduli kerja apa sekalipun walaupun berlainan dengan apa yang dia belajar. Asalkan ada kerja dan dapat gaji.

Sebelum tamat belajar, fikir dan renungkan cita-cita yang anda impikan. Lantas tetapkan pendirian untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak dapat apa yang dimahukan, jangan sesekali menyesal atau berputus asa.

Jika pada mulanya ia sekadar ‘paksa’ tetapi selepas dipupuk dengan kerajinan dan usaha yang tinggi, status itu akan bertukar menjadi ‘rela’.



4. Bodoh sombong

Ya, ini adalah satu sifat yang harus dihindarkan dalam diri seseorang itu terutama yang masih bergelar ‘fresh graduate’. Hampir tidak ada syarikat yang akan menawarkan jawatan besar sekiranya individu itu tidak mempunyai pengalaman atau latar belakang akademik yag baik.

Sebagai contoh, anda mengidamkan ­jawatan pegawai atasan tapi hakikatnya anda perlu terlebih dulu memegang jawatan yang setimpal atau memulakan yang bawahan dulu. Jika anda ingin menjadi pensyarah misalnya, anda perlu menjadi pembantunya terlebih dahulu.

Saya mengatakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan di mana ini yang membuatkan seseorang itu menolak setiap peluang temu duga, lalu mendatangkan kerugian pada diri sendiri sampai bila-bila.

5. Serba boleh

Jangan menyimpan angan-angan tinggi sekiranya anda tidak ada kemahiran itu. Jika hanya duduk menaip dan mengangkat telefon, pasti seseorang itu tidak akan lama bertahan. Oleh sebab itu, mereka tidak dapat mempersembahkan mutu kerja berkualiti yang syarikat mahukan. Ini yang membuatkan ramai graduan menganggur tidak ‘tahan’ dengan cara yang ditampilkan 'serba boleh' ini.

Justeru, semua graduan digalakkan untuk bekerja yang membabitkan bidang praktikal berbanding teori yang sudah tidak lagi relevan pada masa kini. Setiap pekerjaan mahukan anda bijak dan tangkas dalam menghasilkan sesuatu. Bidang yang ada hari ini memerlukan anda membuat lebih daripada apa yang tercatat dalam ‘kontrak’ atau kertas perjanjian.

Kalau anda sanggup BERI, anda mesti sanggup MENERIMA. 
Biar apa sekalipun alasannya, ia terletak di tangan sendiri. Sama ada bekerja atau me­nganggur. Yang penting, lakukan apa sahaja yang anda suka tetapi menguntungkan diri anda sendiri. Jangan terlalu memilih pekerjaan hingga akhirnya anda ketinggalan dalam mengejar 'dunia' yang semakin mencabar ini.

Buat semua bakal graduan, semoga anda berjaya. 

*Bagi yang tidak keberatan untuk share bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini. Bagi yang ingin bertukar pendapat, jangan malu dan segan untuk sharing pendapat anda pada ruangan komen di bawah. Jom kita lahirkan lebih ramai usahawan melayu yang kaya dan berjaya.

2 comments:

  1. Kerja kerja!!! itulah pemikiran sesorang bila tamat pengajian.
    Bagaimana kalau kerja sendiri? Tentu susah!!
    Tetapi cuba tengok disini https://www.facebook.com/MeetCheAlim
    Saya berpencen dari jawatan Medical Assistant di KKM, tidak pernah mengikuti kursus dibidang pertanian; tapi cuba tengok ladang saya yang berkeluasan 1.2 ekar yang ditanam dengan pokok lada sayor berjumlah 5980 pokok. Sudah musim ke 6 saya usahakan tanpa didikan dari Jabatan Pertanian - hasilnya amat lumayan bersih RM27 ribu dalam masa 5 bulan.
    Dalam pada itu saya mempunyai laman web sendiri yang saya rekabentuk sendiri - http://www.groupalim.com/ pun saya tidak pergi kursus utk mengendalikan komputer atau any software. Saya memasarkan pelbagai barang online tanpa packaging atau courier. Saya berpendidikan sampai SPM Gred 3 Tahun 1971 - melayu.
    Apa yg ndak diberitahu ialah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih - yang bulat tidak datang menggolek yg pipih tidak datang melayang. Kalau 50/50 itu adalah peluang kita lupakan 50 bahagian tidak menjadi tapi kita cuba 50 bahagian yang akan menjadi.....

    ReplyDelete
  2. Terbaik Che Alim, jika tidak kerana BERANI tak mungkin kita berjaya. Case study yg sangat baik.. Kebetulan saya pun minat juga pertanian ni...nanti apa2 kita contact :) Terima kasih kerana sudi jadi real study case for successful malay with heart :)

    ReplyDelete