Thursday, 19 December 2013

:: PART 2: INTENSIF MENTOR KEJAYAAN & KEKAYAAN BERMULA ::


Assalamualaikum semua. 
Tulisan diteruskan dengan hari pertama program  IMKK ini bermula.

PENDAFTARAN

Pendaftaran bermula pada jam 8 pagi hingga 2 petang. Saya rasa tindakan ini adalah sangat sesuai dengan penyertaan peserta yang hampir 6000 orang di seluruh negara. Pelbagai ragam manusia pada hari pendaftaran itu dari pelbagai buah negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Tak ketinggalan ada yang datang dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

Bangga dapat tulis nama dan dapat hadir ke program ini

Terdapat beberapa buah gerai juga dibuka  untuk tujuan memudahkan peserta untuk mendapatkan makanan dan minuman. Sikit sangat sebenarnya gerai yang dibuka jika dibandingkan dengan peserta yang hadir tapi apa pun, untuk belajar memang waktu terbaiknya adalah ketika lapar, baru mata tak berat untuk dibuka dan badan tak berat untuk bergerak.

Kata para ulama,"Perut yang kosong mencelikkan akal manakala perut yang penuh membutakannya"

Macam masuk U balik. Tapi U ajar kita tulis resume untuk cari kerja.
Di sini kita belajar tulis plan untuk bina kerja untuk orang lain.

MULA!

Tepat jam 2.30 petang, program IMKK bermula. Seperti biasa, tarian 'bara bara, bere bere' bermula dengan diiringi muzik yang kuat untuk menghalau mengantuk yang bertandang di mata. Peserta mula meregangkan segala urat saraf dan otot badan. Alhamdulillah, minda yang cerdas datang dari badan yang cergas. Jadi kena cergaslah sebelum ilmu diberi. Iya dak?!

Pemandangan dari atas, 6000 orang sedang menuntut ilmu menambah nilai kehidupan
Agak-agak berapa ramai malaikat sedang memelihara dan mendoakan mereka ketika itu.
Tepukan tangan dan suara sambutan yang kuat dari para peserta memenuhi dewan apabila Dr Azizan Osman (DAO) naik ke pentas bersama 'lompatan energi' dan 'tepukan perasmiannya'. Seronok pula saya melihatnya sekali lagi setelah hampir 2 bulan tidak bertemunya. Saya yakin, bukan saya sahaja yang merindukan suasana seperti ini yang dipenuhi dengan aura-aura positif dari ribuan orang, tetapi ramai lagi merasakan perkara yang sama. Sinerginya hampir sama dalam kalangan peserta yang hadir.

PENGISIAN 

Saya akan tumpukan kepada beberapa pengisian sahaja, tidak sepenuhnya kerana saya nak sangat para pembaca di blog saya ni untuk pergi ke sana dan menyertainya supaya kita sama-sama boleh berubah. Anggap tulisan ini sebagai teaser dan panduan asas sahaja, ok..ok?!

The Power of Universe yang berbunyi,"What you give, you get back more". Suatu ayat biasa yang ramai tahu tapi sikit sekali yang memahaminya. Perkara ini bukan direka oleh ahli psychology tanpa asas tapi berdasarkan kepada mafhum firman Allah mengenai sedekah. 1 diberi, 10 diganti, minimumnya. Maksimum, 1 diberi, 700 diganti. Super maksimum, 1 diberi, tiada had Allah gantikan.

Hukum inilah yang dikias kepada tenaga kita. You give positive energy, you get back more positive energy. Tepukan tangan dan teriakan sambutan yang sangat kuat dari para peserta adalah untuk keluarkan tenaga tersebut kerana tanpa tenaga itu, bagaimana untuk berjaya dalam perniagaaan? Kalau nak tepuk tangan dan menjerit pun tak boleh, macam mana nak langgar halangan nanti? Sebab tu tentera diajar untuk punya enegi yang tinggi kerana risiko mereka juga tinggi.

Bisnes memerlukan tenaga yang banyak dan tenaga yang banyak bermula atau datang dari tenaga yang sedikit terlebih dahulu. Tenaga itulah nantinya yang akan menguatkan anda bila anda dihalang dengan beberapa cabaran atau halangan dalam bisnes anda nanti. Dengan tenaga itu juga, anda mampu untuk menolak bisikan-bisikan 'budak kecil' dari diri sendiri yang sering merendahkan 'kekuatan dalaman' tuannya sendiri.


"How you do anything is how you do everything," itu pegangannya. So, jika anda membuat sesuatu kerja atau tindakan secara biasa-biasa sahaja, maka dapat dimaklumi bahawa anda akan membuat semua perkara atau tindakan secara biasa-biasa sahaja sehingga anda pun akan jadi manusia biasa-biasa dan akhirnya selesa menjadi seperti itu setelah sekian lama begitu. Faham-faham? Berbelit-belit lidah.

So, belajar untuk keluarkan tenaga luar biasa itu dengan tepukan dan teriakan luar biasa juga jika anda ingin keluar dari comfort zone secepat mungkin! Jangan ragu-ragu untuk jadi luar biasa kerana itu prinsip kejayaan dan semua orang boleh menjadi seperti itu. 

Lihat sahaja orang yang dikejar anjing. Ia mampu berlari lebih pantas dari anjing tersebut dan mungkin memanjat pokok yang selama ini tidak pernah dipanjatnya. Apabila anjing itu berlalu, ia pula tak tahu bagaimana untuk turun dari pokok tersebut. Betulkan?! 


Keynya adalah sila boost tenaga sebenar anda dengan tindakan luar biasa yang diulang berkali-kali dan berhari-hari. Apa salahnya jadi luar biasa jika kejayaan yang menunggu kita, kan?!

Ramai yang saya lihat terlalu takut untuk terjun dalam dunia bisnes kerana TAK BIASA katanya. Baru ajak berniaga, terus dijawab,"Saya tak pandailah meniaga" Aduh, susah nak tolong kalau macam ni.

Ingat tak bila anda start boleh berjalan. Waktu kecil dulu anda belajar berjalan dan anda jatuh berkali-kali tak pernah pun anda kata,"Saya tak pandailah berjalan". Waktu dihantar ke sekolah tadika. Bukan main menangis kita ketika itu, tapi selepas itu hampir berbelas tahun kita belajar hingga ke menara gading. Hilang terus air mata tangisan kita dan juga 'ketidakpandaian' semasa awal-awal bersekolah dahulu. Benar tak?!


Belajar dan bertindak berniaga dahulu sebelum boleh 'berlari'. Dah mampu berlari nanti, baru anda tahu betapa seronoknya berniaga dan membantu menambah nilai dalam hidup orang lain dan keluarga sendiri.

THE POWER OF EXPECTATION

Pernah tak anda terfikir, hidup ini sebenarnya tak pernah pun kita ketahui bagaimana ia berjalan? Kita hanya tahu setelah kita 'berada' di dalamnya. Apa yang berlaku semalam pun kita belum tahu sebelum ia berlaku. Yang berlaku sekarang pun adalah dengan keizinan dariNya dan perkara yang akan berlaku pada masa depan adalah rahsiaNya.

Sebagai seorang manusia dan hambaNya, kita hanya dibenarkan untuk 'merancang' dan 'menjangkakan' sesuatu dengan akal pemikiran hebat yang Allah anugerahkan, tetapi ketentuan berlaku ataupun tidak, wajib kita percaya bahawa Allah bersama sangkaan hambaNya. Inilah yang disebut 'Kuasa Jangkaan/Sangkaan'.


Inilah yang disabdakan di dalam hadis Qudsi,"Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku......"

Kerana itu, manusia perlu menjangkakan sesuatu sebelum perkara itu berlaku. Buat jangkaan yang jelas dalam fikiran dan letakkan kepercayaan 100% di hati untuk mencapainya. Insyaallah, tubuh badan pasti berusaha untuk mendapatkannya setelah jangkaan dan kepercayaan itu telah ditanam sedalam-dalamnya dalam diri. Hati mengawal minda dan minda mengawal tubuh, itu prinsipnya. Senangkan?!

So, jaga hati! Kerana itu tempat jatuhnya pandangan Allah, tempat jatuhnya rahmat Allah dan tempat jatuhnya kasih sayang sesama kita. Lihat lirik lagu dari penyanyi terkenal, Opick:

Jagalah hati jangan kau kotori,
Jagalah hati lentera hidup ini,
Jagalah hati jangan kau nodai,
Jagalah hati cahaya illahi.

Bila hati kian bersih, pikiran pun kian jernih
Semangat hidup kan gigih, prestasi mudah diraih
Namun bila hati busuk, pikiran jahat merasuk
Ahlak kian terpuruk, jadi mahluk terkutuk

Pernah tak sebelum tidur, kita letakkan kepala di bantal dan kemudian kita rancang aktiviti kita keesokan harinya. Ajaibnya, bila esok harinya, semua aktiviti berjalan mengikut yang telah kita aturkan walaupun ianya hanya direka didalam minda kita sahaja.

Semua tu berlaku kerana itulah aturan alam. Sebab itu kita disuruh merancang hatta dalam mana-mana perniagaan pasti ada plan, misi dan visinya yang tersendiri. Jangan silap faham. Bukan bisnes je kena rancang, hidup pun kena rancang, masa makan, solat, bekerja dan lain-lain, semuanya berkaitan dengan perancangan berdasarkan JANGKAAN.

INFO MENARIK

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku di sana yang sempat saya rakamkan dalam benak fikiran saya, mungkin boleh menjadi pengajaran ataupun inspirasi kejayaan kepada kita.


1. Saya duduk di sebelah abang yang berumur 45 tahun. Sudah 20 tahun berniaga tetapi hanya balik modal. Hurmm, macam mana boleh jadi macam tu agaknya? Rupanya abang ni pernah membuka 16 jenis perniagaan dalam satu masa. Semuanya kerana suka ikut orang. Musim orang jual tudung laku, dia pun tumpang sekaki jual tudung dan begitulah seterusnya.

Akhirnya, dia datang kelas Dr Azizan September lalu, Intensif Jutawan Industri (IJI). Balik sahaja, doa rombak semula dan hanya kekalkan satu je perniagaannya kerana beliau baru faham The Power of Focus. Dalam 3 bulan sahaja (September-November), 'gaji' dia sendiri dengan hasil kerja sendiri, tak banyak pun, dalam RM 250 000 sebulan. Opsss, lupa nak beritahu, bisnes dia hanya jual sos sengkuang!


2. Malamnya sempat bersembang dengan anak muda yang baru berusia 29 tahun. Abang ni jadi supplier canopy dan khemah untuk kenduri kendara. Tak banyak pun sebulan, dalam lingkungan RM 2-3000 je sebulan sebelum masuk kelas IJI.

Lepas IJI, abang ni jadi supplier utama seluruh negeri Kelantan dan semua masjid di Kelantan telah memeterai kontrak dengan beliau November lalu. Dalam tempoh 3 bulan sahaja selepas kelas yang pertama dahulu, pendapatan beliau sekarang adalah RM 600 000 sebulan.

Yang ni tak best lagi, yang paling best adalah bila saya tanya dia setelah saya tahu namanya,"Abang datang dengan siapa?". Tau tak dia jawab apa? Katanya sambil menunjuk jari kepada 3 orang rakan di sebelahnya sambil tersengih,"Saya datang dengan 'biawak-biawak' yang mengata saya dulu bila saya datang kelas Dr Azizan. Bila saya balik Kelantan dan income saya gila-gila luar biasa berubah, baru dorang datang merayu nak ikut saya datang IMKK. Kerana sayang kat kawan-kawan, saya bawa juga dorang".

Terpahat betul kata-kata ini sebab saya pun pernah dengar perkataan-perkataan merendahkan orang ini dari orang yang takut berubah atau dipanggil 'biawak' oleh DAO. Jika kita tiada impian, janganlah diketawakan impian orang lain.

3. DAO sentuh sikit ayat-ayat berupa caj negatif yang selalu dikata oleh orang kita,"Buat apa nak kaya-kaya, esok lusa mati juga, tak bawa apa-apa juga". Masalahnya adalah kalau mati esok lusa! Kalau tak mati macam mana?! Frankly speaking, bolehkah anda hidup di dunia ni jika tidak berduit?! Ni satu hal.

Satu hal lagi, betul ke kita mati tak bawa harta apa-apa pun? Bukankah Nabi bersabda,"Orang yang meninggalkan harta kepada anak-anak ketika ia mati lebih baik dari orang yang tidak meninggalkan apa-apa harta". Bukankah Nabi itu juga yang bersabda,"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan sedekah jariah, anak yang mendokannya dan ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain".

Bukankah sedekah itu memerlukan harta? Bukankah nak mendidik anak itu memerlukan harta? Bukankah nak mencari ilmu dan menyebarkannya juga memerlukan harta?!


Kenapa dilihat tuan harta sebagai Qarun dan Firaun sahaja, sedangkan ramai juga tuan harta seperti Nabi Muhammad dan para sahabat yang kaya-raya, hanya mereka memilih untuk 'miskin' dengan membahagikan harta tersebut kepada yang berhak.

Hatta anda ingin hidup di atas dunia ini pun memerlukan harta sehingga Nabi bersabda,"Sesungguhnya kemiskinan itu hampir-hampir menjadikan seseorang itu kufur!". Miskin harata dan ilmu.

Panjang pula entry kali ini. Insyallah, saya akan menyambung part 3 tidak lama lagi. Hanya satu niat di hati agar anda kaya, berjaya dan bahagia, dunia dan akhirat. Jika terjumpa orang yang kata harta tak penting, sila cepat-cepat hulur tangan, minta daripadanya, insyaallah pasti dia takkan bagi. Hanya mulut pandai berbohong, tapi hati tidak mungkin.

*Bagi yang tidak keberatan untuk share bersama orang lain dan ingin memberi semangat kepada saya untuk terus menulis, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. Bagi yang ingin bertukar pendapat, jangan malu dan segan untuk sharing pendapat anda pada ruangan komen di bawah. Jom kita lahirkan lebih ramai usahawan Melayu yang kaya dan berjaya.

1 comment: