Thursday, 6 March 2014

:: MUDA-MUDA DAH BANKRAP ::


Assalamualaikum semua.
Semoga Allah memelihara anda di bawah lembayung kasih sayangNya.
Hari ni nak berkongsi tajuk yang agak kontroversi ni bersama anda.

Bukanlah satu tajuk yang biasa-biasa pada pandangan saya kerana ia banyak melibatkan ramai eksekutif muda dan bekerjaya tinggi juga gayanya.

GAYA MUDA-MUDI 

Jika kita mengikuti peredaran zaman masa kini, jelas kelihatan bahawa ramai muda mudi kita sudah tidak berminat untuk menjadi 'somebody' dalam masyarakat. Sudahlah ramai yang di antara mereka yang menjadi warga 'liar' dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah, sebahagian daripadanya pula bergelar 'bankrap' walupun punya pendidikan tinggi dan status kewangan yang agak selesa.

Namun begitu, realitinya adalah berbeza. Dalam statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia, hampir 45,000 individu yang berumur di bawah 35 tahun di negara ini diisytiharkan muflis sejak tiga tahun lalu. Daripada jumlah itu, secara purata 41 individu muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan bayaran kad kredit, yuran perubatan, sewa beli dan hutang along.


Kajian juga membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius dan pemerhatian lanjut mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok ini mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.

Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Statistik yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi empat tahun lalu, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada sepuluh tahun sebelumnya. 

Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan. Gaya hidup mewah menjadi punca utama masalah kewangan yang meruncing dalam kalangan remaja. 

Hal itu membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. Namun secara lebih teliti, apakah yang membuatkan mereka diisytiharkan muflis? Jom semak, mana tau jika kita juga mempunyai masalah yang sama.

HUTANG SEWA BELI

Sebanyak 1,046 kes muflis membabitkan mereka di bawah umur 25 tahun dicatatkan bagi 2005 hingga Julai tahun lalu dan daripada kes itu, 487 atau 46.5 peratus diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang sewa beli kenderaan manakala 354 orang (33.8 peratus) pula gagal menjelaskan pinjaman peribadi.


Apa perasaan apabila menyandang status muflis pada usia muda ye? Tambah lagi apabila silapnya adalah anda tidak mampu lagi membayar hutang kad kredit atau mungkin kerana menjadi mangsa kepada ketaksuban untuk bertukar-tukar kereta pada hal kewangan belum benar-benar layak untuk berbuat demikian.

Tidaklah salah memenuhi keperluan asas, namun salah langkah dan tanpa perancangan kewangan yang teliti bahana yang menanti. Apatah lagi dengan promosi makin hebat terutamanya apabila majikan mengumumkan kenaikan gaji dan bonus. 

Serentak itu berebut-rebut juga bank dan kakitangannya membuat promosi menarik dengan janji-janji indah bagi menjerat golongan muda yang lebih nampak keseronokan daripada kesan dan akibat kemudian hari.

Sikap suka membeli-belah dan pengurusan kewangan yang teruk inilah punca ramai anak muda jatuh bankrap dan itulah gambaran tepat mengenai sikap sebahagian besar pengguna di Malaysia.

TABIAT BURUK

Bayangkan, sebanyak 41 orang diisytiharkan bankrap setiap hari dan semuanya gara-gara hutang kad kredit. Pada setiap hujung minggu pula, kira-kira lima juta pengguna berpusu-pusu menyerbu 300 pusat membeli belah yang terdapat di seluruh negara.

Sikap ini sangat mengejutkan dan menjadi punca mengapa pengguna di Malaysia tidak mampu menampung kos sara hidup yang terus meningkat khususnya golongan muda dan mereka yang baru mengenal erti memegang duit sendiri.


Siapa lebih ramai dilabelkan muflis, lelaki atau perempuan?

Secara umumnya, kaum wanita dilihat lebih cenderung untuk muflis berbanding lelaki. Sikap gemar berbelanja yang dialami kebanyakan wanita ada kalanya boleh menyebabkan mereka terjebak untuk jatuh muflis. Pun begitu, berdasarkan laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), rata-rata lelaki berusia 40 tahun dan ke atas mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling daripada agensi ini bagi pengurusan wang dan menyelesaikan hutang.

Perancangan kewangan lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.

Bayangkan, tunggakan kad kredit rakyat Malaysia pada 2006 pernah direkodkan mencecah RM 20 bilion ekoran gaya hidup gemar berhutang walaupun tidak mampu dari segi kewangan terutamanya anak muda.

PERBELANJAAN ANAK MUDA 'KAYA'

Kad kredit lebih banyak digunakan oleh anak muda yang bekerjaya sebagai eksekutif atau lepasan universiti yang mencari syurga dunia melalui pendapatan mereka yang dianggap kukuh untuk mendapat kelulusan memegang sesuatu kad kredit.

Dengan pndapatan sekarang, RM2,400 sebulan dengan pelbagai perbelanjaan yang serba tinggi pada masa ini, tetap menjadikan golongan muda masih berhutang. Bayangkan bagaimana jika mereka bergaji RM1,000 hingga RM1,500 sebulan? 


Berapa agaknya kekurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang sentiasa berdoa agar anak mereka mampu memberi wang untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

Lebih menyedihkan, anak yang diharapkan membantu keluarga selepas bekerja, meminta wang daripada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan tidak cukup. Ada juga memikirkan alternatif mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan kerana malu akan dicap ‘muka subsidi’ akan menjadikan kad kredit sebagai ‘abang long’ mereka. 

Kesimpulannya, bagi mereka baru bekerja, kira ke mana duit kamu dibelanjakan, jangan boros, kamu lebih panjang akal dan panjang langkah. Tak perlu bayar bil telefon ratusan ringgit, tak perlu bayar bil stesen televisyen satelit, pakaian berjenama, bergaya dengan kereta atau makan bermewah cukuplah sekadar bersederhana dan naikkan elaun bulanan orang tua bagi mendapatkan keberkatan.

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

1 comment:

  1. aduhai peritnya kehidupan lepasan u ni pedih...hutang bertimbun...

    ReplyDelete