Tuesday, 15 September 2015

AMANAH DARI LANGIT

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung wafiqulya.

Saya doakan semua pembaca dilimpahkan kebahagiaan dan keberkatan dalam kehidupan.

Hari ini, saya ingin berkongsi pengalaman memegang amanah dari langit melalui handphone yang ditemui di tengah jalan.

AMANAH JALANAN

Jumaat lalu ketika saya dalam perjalanan ke branch Shaklee untuk mendapatkan barangan pelanggan, saya hampir melanggar handphone yang berada betul-betul di simpang masuk jalan ke bangunan Shaklee.

Mujur saya menunggang motorsikal, agak mudah saya mengelak dari melanggarnya. Mujur ternampak jelas handphone tersebut kerana berwarna putih. Jika tidak....

Setelah parking di tepi simpang jalan, saya pun turun menyelamatkan handphone itu dari dilanggar oleh kenderaan lain. Mujur simpang itu kurang sibuk sekalipun berhadapan Starbuck.



Tapi malangnya, handphone yang jatuh tertelengkup itu telah dilanggar kenderaan sebelum saya. 

Skrinnya retak teruk dan tidak dapat display sebarang imej tapi hp tersebut masih berfungsi. Lampu isyarat LED untuk wifi berkelip-kelip sebagai buktinya.

Saya pun teruskan perjalanan ke Shaklee dalam 30 saat sahaja lebih kurang.

Setelah duduk, cover casingnya saya buka dan ternyata telefon itu masih panas. Baru lagi jatuh, agakan saya.

HUKUM BARANG DIJUMPAI DI JALANAN

Ketika itu, teringat saya hukum barang yang jatuh di jalanan. Rasanya masih segar di ingatan.

Perkara pertama yang harus didahulukan adalah ketika mengambilnya, adakah berniat untuk mengambilnya menjadi hak milik sendiri atau berusaha untuk memulangkannya kepada tuannya.

Jika berniat untuk sekadar menjadi hak milik, maka haram mengutipnya dari awal apatah lagi menyimpan dan menggunakannya.

Jika berniat untuk mengembalikan barang itu kepada tuannya maka wajib ambil kerana ditakuti barang tersebut binasa begitu saja atau diambil oleh orang yang tidak amanah.

Kemudian, wajib iklankannya selama setahun atau mencari tuannya dengan apa cara sekalipun selama tempoh tersebut.

Tidak mudah ye apabila menemui harta orang lain. Selagi belum dikembalikan, selagi itu hati itu terus gelisah. Itu hati orang beriman.

Kerana itu Allah berfirman,"Dan janganlah kamu memakan harta orang lain secara batil..."

Mudah-mudahan kita mendapat hati penuh iman seperti itu.

IKHTIAR

Setelah selesai menguruskan barangan pelanggan Shaklee, saya pun pulang ke rumah dan mula membuka hp itu. 

Tujuannya mencari kad sim dan kad memori untuk tujuan mencari maklumat tuannya.



Hp saya digunakan sebagai portnya. Alhamdulillah sebaik je hp on, telah masuk beberapa mesej panggilan. 6 kali panggilan tertera dengan nombor yang sama.

Saya pasti, itu adalah nombor tuan yang mencari hp di tangan saya. 

Nombor 016-*** **** yang tertera dalam mesej saya hubungi semula. Mujur sim tersebut masih ada kredit :)

Tuannya bernama Lee. Sebenarnya namanya lebih panjang. Saya ingat nama keturunannya sahaja. Maafkan saya. Berbangsa Cina dan tinggal di Skudai, Johor.

Rupanya beliau ada kerja di Taman Molek pada hari itu berkaitan telefon juga. Entah bagaimana telefon tersebut boleh jatuh dari kereta beliau. Di tengah jalan pula tu.

BERJUMPA TUANNYA

Janji saya untuk memulangkannya sendiri di sana (Taman Molek) tanpa perlu beliau datang ke rumah saya yang agak jauh pada hari Isnin minggu seterusnya.

Kami berjanji berjumpa di branch Shaklee sahaja. Ia lebih mudah dan lebih selesa kerana ada tempat untuk duduk menunggu dan minum secara percuma.

Janjinya selepas Zohor. Tapi jam 2 petang baru ia sampai setelah lokasi juga diubah di Digi Center.



Takpelah, untuk menolong orang bukan mudah. Ujian itu bila-bila masa je. 

Lagi ikhlas kita nak membantu, lebih banyak ujian Allah bagi. Bak kata P Ramlee,"Cubaan..."

Akhirnya, saya bertemu dengan tuannya. Orangnya masih muda, mungkin sebaya saya.

Alhamdulillah, amanah di tangan saya akhirnya kembali kepadanya. Beliau pun kelihatan lega kerana kerosakannya masih boleh diperbaiki lagi.

Setelah bertegur sapa lebih kurang 5 minit, akhirnya saya meminta diri untuk pulang. Ada urusan lain pula menanti di rumah. 

Beliau pun berlalu masuk ke Digi Center, mungkin untuk menukar kad simnya dengan ucapan terima kasih berkali-kali.

*****

Percayalah bahawa apa yang kita lakukan kepada orang lain akan kembali berlaku kepada kita. Sama ada kebaikan atau kejahatan.

Kerana itu Nabi SAW bersabda,"Sepertimana kamu berbuat (sesuatu kepada orang lain), seperti itu juga akan kembali kepadamu."

Simpan juga di ingatan kita mengenai hadis Nabi SAW,"Barangsiapa memudahkan urusan saudaranya, nescaya Allah memudahkan urusannya di hari hisab."

Untungkan? Semua Allah balas sekalipun jika tidak dihargai manusia. 

Oleh itu, sentiasa tanam dalam diri untuk ikhlas dan bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah orang lain.

Sekian. Setakat itu je perkongsian hari ini. Semoga bermanfaat untuk kita bersama.

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini untuk SHARE bersama rakan-rakan. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

No comments:

Post a Comment