Tuesday, 7 October 2014

Posted by Unknown On Tuesday, October 07, 2014

Hari Raya Aidiladha adalah hari raya terbesar umat Islam. Bahkan ia lebih besar dari hari raya Aidilfitri.

Namun begitu, di Malaysia umumnya dan negeri-negeri di selatan tanah air khasnya menyambutnya secara sederhana sahaja berbanding hari raya Aidilfitri.

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a yang bermaksud: 

"Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari.

Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? 
Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah. 

Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha."

PERBANDINGAN

1. Hari raya Aidilfitri disambut sempena sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

Sedangkan hari raya Aidiladha disambut sempena 'pengorbanan' Nabi Ibrahim demi mengikut perintah Allah SWT.

2. Hari raya Aidilfitri disambut hanya 1 hari sahaja iaitu pada setiap tanggal 1 Syawal.

Sedangkan hari raya Aidiladha disambut selama 4 hari berturut-turut iaitu pada setiap tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

3. Diharamkan berpuasa pada sehari sahaja dalam bulan Syawal kerana sambutan Aidilfitri.

Sedangkan diharamkan berpuasa untuk 4 hari dalam bulan Zulhijjah kerana sambutan Aidiladha.

4. Takbir pada hari raya Aidilfitri bermula setelah Maghrib pada hari terakhir Ramadhan sehinggalah selesai solat sunat Aidilfitri.

Sedangkan takbir pada hari raya Aidiladha bermula pada Asar 9 Zulhijjah dan berakhir pada Asar 13 Zulhijjah.

5. Makan minum pada hari raya Aidilfitri hanyalah makan minum biasa yang diraikan sempena perayaan.

Sedangkan makan minum pada hari raya Aidiladha mempunyai kelebihannya tersendiri. Ini diwakili dengan 3 hari berikutnya yang dinamakan hari Tasyrik. Hari dikhaskan untuk makan dan minum dengan penuh kegembiraan. Hanya 3 hari ini sahaja dalam setahun!


Dengan ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa antara kedua hari raya ini punya kelebihan masing-masing di samping hari raya Aidiladha kelihatan lebih besar sambutannya di sisi Islam.

MENGAPA BEGITU?!

Pengorbanan melawan nafsu terhadap makan minum, syahwat senggama dan kemalasan dengan ibadat puasa dan solat sunat terawih pada bulan Ramadhan kelihatannya lebih mudah daripada pengorbanan 'harta benda'.

Kerana fitrah manusia itu suka kepada mengumpulkan harta sebanyaknya, bukanlah memberi sebanyaknya.

Mencari itu hanya keperluan yang tidak dicela, tetapi mengumpulkan harta hingga 'jatuh sayang' kepadanya adalah sangat berbahaya kepada iman dan takwa.


Maka, kerana itulah Allah menguji Nabi Ibrahim yang sememangnya kaya dengan satu pengorbanan yang paling disayanginya iaitu anaknya sendiri, Ismail a.s.

Antara 'harta' yang disebutkan di dalam Quran adalah,

"Dihiasi kepada manusia rasa suka terhadapa wanita, anak pinak, harta benda yang berlimpah berupa emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan pertanian. Itulah perhiasan kehidupan di dunia. Dan di sisi Allah tempat kembali yang baik."[ S. Ali Imran: 14 ]

# # # # #

Mengikut sejarah, Nabi Ibrahim adalah sangat kaya. Mempunyai ratusan ribu ekor kambing peliharaannya. Sehinggakan yang menjaga kambingnya adalah 1000 ekor anjing yang dipakaikan emas.

Bukti bahawa baginda sangat kaya dari segi harta benda!

Tapi hanya satu sahaja yang Nabi Ibrahim tiada, iaitu zuriat. Setelah beberapa berkahwin dengan isterinya Sarah, baginda masih tidak punya zuriat sehinggalah baginda berkahwin dengan Hajar dan mendapat anak baginda yang pertama iaitu Nabi Ismail a.s.

Kerana itu baginda diuji beberapa kali melibatkan Nabi Ismail. Antaranya adalah dengan meninggalkan Nabi Ismail dan ibunya di tanah gersang yang tiada apa-apa melainkan panas mentari dan pasir. Tanah yang kini dikenali sebagai Mekah,

Ujian terhebat adalah 'mengorbankan' harta kesayangannya itu dengan disembelih tanpa sedikit pun tolak ansur daripada Allah SWT. Itu semua demi pengajaran untuk panduan kita, cucu-cicitnya.


PENGAJARAN UNTUK KITA?!

1. Ajari keluarga kita tentang erti sebenar hari raya. Begitu juga dengan perkara berkaitan agama yang lain. Jangan mengharap orang lain mengajarkannya kepada mereka atau mengharap mereka belajar sendiri tanpa bimbingan. Ditakuti tersalah atau tersesat jalan tanpa disedari.

2. Berhari rayalah mengikut syariat. Ya, hari untuk berseronok dan bergembira kerana Allah bukan kerana adat. Muliakan hari-hari yang telah Allah muliakan dengan amalan yang dipandu oleh ilmu.

3. Lakukanlah korban bagi yang berkemampuan dalam 4 hari utama raya Aidiladha ini. Berikan harta anda peluang untuk bercambah. Satu-satunya jalan adalah dengan 'menghadiahkan' kembali harta tersebut kepada 'tuan'nya.

Sebaik-baik korban adalah seperti yang disebut oleh Nabi SAW,“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. 

Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.”


4. Sambutan hari raya perlu diperbetulkan. Janganlah pakaian, langsir, cat rumah, api pelita hanya menjadi lambang kaku tanda diri yang bebas 'raya' sedangkan hati masih diselubungi dengan noda nafsu dan dosa.

Bersihkan nafsu sebelum bersihkan pakaian, tukarlah sifat hati sebelum ditukar cat rumah, baikilah hati sebelum baiki perhiasan yang lain kerana sebenar-benar perayaan itu adalah bermula dan berakhir di hati.

5. Harta yang dikumpulkan dan disimpan tidak tercela dalam 3 keadaan sahaja:

i- Untuk menjaga maruah diri dari meminta-minta. Untuk tujuan kegunaan seharian selama setahun. Kata sebahagian ulama sehingga 3 tahun.

ii- Untuk melakukan amal bakti kerana Allah seperti haji, umrah, korban, akikah dan sebagainya yang berkaitan.

iii- Untuk melakukan amal bakti untuk maslahat umat seperti sedekah, wasiat, zakat, wakaf, hadiah dan sebagainya yang berkaitan.

6. Jika hendak 'berniaga' dengan Allah, berilah perkara yang paling anda sayangi. Biasakan belajar melepaskan hak anda, ia akan memberi 'kebebasan' pada hati dan membuang rasa bakhil dari dalam hati.

Itu cara paling berkesan. Cubalah!

7. Sesungguhnya semua manusia diuji dengan rezeki masing-masing. Bersedialah untuk memberi kepadaNya apabila ia meminta dengan redha dan membuang sifat tamak.

Jika tidak diberikan ketika Ia 'meminta' dengan keadaan rela, Ia akan mengambilnya juga dalam keadaan anda tidak rela.

8. Di samping perayaan ini, ada raya yang lebih bermakna yang perlu dicapai oleh setiap diri dan jiwa. Ini dikutip dari perkataan Anas bin Malik, 

"Ada 5 erti hari raya yang sebenarnya:
  • Hari yang dilalui oleh mukmin yang tidak dicatit padanya dosa-dosa.
  • Hari ketika keluar dari dunia ini (mati) dengan membawa iman,  dapat mengucap dua kalimah syahadah dan terpelihara dari tipuan syaitan
  • Hari ketika berjaya menempuh titian siratul mustakim dengan aman, selamat daripada huru-hara kiamat dan terlepas dari seksaan malaikat Zabaniyyah.
  • Hari ketika masuk ke dalam  syurga dan aman (terpelihara) daripada neraka yang menyala.
  • Hari ketika dapat melihat Zat Tuhannya.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...