Showing posts with label MOTIVASI AGAMA. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI AGAMA. Show all posts

Tuesday, 2 June 2015

Posted by Unknown On Tuesday, June 02, 2015

Assalamualaikum semua.

Saya doakan pelawat setia wafiqulya ini dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Tak lupa juga ucapan,"Anda Kaya & Berjaya!".

Perlu saya tekankan bahawa perkongsian ini khas saya susunkan untuk menjawab banyak persoalan yang dikongsikan dari para pelawat blog ini berkaitan soal berhenti kerja dan mencari penghidupan baru.

Perkongsian soalan dan jawapan secara ringkas itu telah ada di entri INI, namun saya kongsikan semula secara tersusun agar mudah difahami oleh lebih ramai orang. 

Semoga Allah mengganjari pahalanya sekiranya ia bermanfaat untuk orang lain.

5 PERKARA SEBELUM RESIGN! 


1. Tanya Allah dulu.

Ramai orang melulu bila hendak melakukan sesuatu perkara yang besar dalam hidupnya hanya kerana mengikut kata hati yang meronta.

Sabar dulu. Kata orang,"Ikut hati mati, ikut rasa binasa." 

Istikharahlah dulu bertanyakan Sang Pemilik hati itu supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Ulang-ulanglah istikharah hingga anda berpuas hati dengan ilham keyakinan yang ditiup di dalam sanubari anda.

2. Bincang dengan pasangan.

Mintalah pendapat orang yang paling penting dalam hidup anda. 

Ia dapat menguatkan keputusan anda dan mendapat pandangan terbaik daripada orang lain yang lebih memahami anda.

Setelah anda berhenti kerja dan sebelum mendapat pekerjaan baru, tentulah pasangan andalah yang akan membantu anda dari sudut kewangan. 

Maka, biarlah keputusan itu dibuat dengan  persetujuan kedua belah pihak.

3. Bincang juga dengan majikan.

Jangan buat muka pelik ye. :) 

Eloklah bertemu 4 mata dengan majikan dan berbincanglah secara terbuka.

Sampaikan permasalahan anda dan mintalah penyelesaian daripada pihak majikan jika benar anda masih diperlukan di sana.

Jika jelas permasalahan anda tidak didengar atau diselesaikan dalam suatu tempoh masa yang dipersetujui bersama, maka ma'as salamah (selamat tinggal) kepada syarikat dan mencuba kerjaya lain pula.


4. Kenal diri anda!

Ramai yang ingin berhenti kerja kerana faktor tekanan, rasa dipergunakan, tiada kebebasan masa dan kewangan dan lain-lain.

Faktor-faktor ini memerlukan anda melihat ke cermin dan kenal siapakah diri anda sebenarnya.

Adakah anda seorang insan yang boleh bekerja di bawah arahan orang lain atau anda termasuk insan yang lebih suka bekerja sendiri?

Selepas kenal diri anda, ia lebih mudah untuk urusan kerjaya seterusnya.

Jika anda boleh bekerja di bawah orang lain, maka pilih kerjaya yang sesuai dengan minat dan kehendak anda. 

Jika anda hanya boleh bekerja sendirian, maka buatlah bisnes. Mulakan dari modal sekecil yang mungkin. Jangan tergesa-gesa ye.

Jika tak tahu nak berbisnes apa, anda boleh mengintai bisnes saya ini di SINI. 

Minat? Hubungi saya.

5. Yakinlah rezeki itu milik Allah

Ramai yang ingin berhenti dan memulakan perjalanan kerjaya baru dalam hidup mereka.

Cuma sayangnya, pasak mereka pada rezeki sangat longgar dan rapuh hingga akhirnya mereka kembali ragu setelah berusaha mendapat kerjaya baru.

Trust me. Anda pasti susah hati dan mungkin juga dirundung duka sekiranya anda tidak ada keyakinan ini sedari awal.

Ia nampak mudah tapi berat bagi mereka yang telah merasainya.

Semoga tulisan ringkas ini memberi banyak manfaat buat anda semua.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Tuesday, 30 December 2014

Posted by Unknown On Tuesday, December 30, 2014
Assalamualaikum semua. 

Semoga para pembaca wafiqulya.blogspot.com sihat sejahtera hendaknya.

Hari ni nak kongsikan mengenai persoalan majoriti wanita kini,"Tunggulah kahwin dulu, nanti saya bertudunglah...".

Selalukan kita dengar jawapan seperti ini?

Dengan keizinan orang yang bertanya.

Apa pula jawapan mereka apabila terjadi begini setelah perkahwinan nanti?

1. Perkara yang kita sepakati bersama bahawa bertudung adalah kesempurnaan menutup aurat bahkan ia adalah kemuliaan seorang wanita yang tiada pada agama lain.

2. Dimaklumi oleh semua wanita dari umur 7 tahun hingga berumur 70 tahun (purata umur kematian) sudah mengetahui KEWAJIBAN menutup aurat dan bertudung. Ia bukanlah ilmu yang rumit untuk difahami.


3. Majoriti ulama mengatakan, bertudung dan menutup aurat bermula apabila timbul rasa 'malu' pada seorang wanita pada umur tertentu apabila dilihat tubuhnya oleh lelaki.

Biasanya bermula sejak umur 7 tahun lagi dan kemuncaknya apabila baligh, sekitar umur 9 hingga 12 tahun.

4. Fahaman wanita Melayu pula adalah sebaliknya. Mereka berfahaman, bertudung khasnya dan menutup aurat secara sempurna umumnya adalah ketika telah berkahwin atau bersuami. 

Mereka lakukannya atas nama cinta dan sayang.


5. Elok sekiranya kita fahami bahawa wanita yang berfahaman begini ingin menjadi isteri solehah kepada suaminya. 

Kerana takutkan suaminya dimurkai dan diseksa oleh Allah nanti atau kerana menuntut 'keredhaan' Allah agar rumahtangga dipelihara dari bercerai berai, maka keputusan bertudung itu diambil.

6. Tapi mungkin para wanita ini terlupa bahawa sebelum mereka menjadi isteri kepada seorang lelaki bergelar suami, mereka adalah anak kepada seorang lelaki berpangkat bapa.

Adakah mereka lupa bahawa lelaki pertama yang akan menjawab di hadapan Allah tentang urusan aurat mereka bukanlah suami...tetapi seorang lelaki yang tidak menerima cinta dan sayang sebenarnya dari anak perempuan mereka iaitu bapa?!

Mungkin anda isteri solehah buat suami, tapi kena ingat satu tanggungjawab yang lain sebagai anak solehah tidak terpenuhi.

7. Dunia ini bulat. Aturannya saling berulang-ulang. Begitulah hidup kita. 

Jika kita hari ini melakukan demikian kepada seorang bapa tapi sanggup melakukan apa sahaja untuk suami, jangan lupa bahawa anda juga bakal memiliki anak perempuan. 

Mereka juga akan mengulangi perkara yang sama terhadap suami anda, bapa mereka!

8. Itu persoalan jika hukuman Allah ditangguhkan. Bagaimana pula jika terjadi seperti caption soalan di atas?

Hukumannya Allah terus bayar tanpa tangguh hingga seorang isteri mulai rasa bersalah. Rasa bersalah terhadap diri sendiri dan rasa bersalah terhadap arahan dan sikap suami.

Inilah yang Allah firmankan di dalam al-Quran,".... perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26) 

9. Fahaman salah kebanyakan wanita ini datangnya dari kecelaruan identiti muslimah yang dipegang oleh mereka.

Mungkin kerana kekurangan ilmu dan makrifatnya. Mungkin juga kerana persekitaran sekeliling yang mendesak, ketegasan ibu bapa tentang aurat atau kemungkinan lainnya.

10. Teringat pesanan guru saya,"Jangan mencari salah seseorang untuk tujuan menghina tapi berilah kekuatan kepadanya untuk memperbetulkan salahnya".

Jadi saya cadangkan beberapa perkara jika ada yang mengalami masalah yang sama seperti di atas.


i- Fahami dahulu kaedah dalam agama,"Tidak dibenarkan taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah".

Tidak berdosa dan tidak diistilahkan derhaka terhadap isteri yang berkeras untuk menutup auratnya di hadapan ajnabi (orang luar) selain suaminya kerana jika dipatuhi perintah suami tersebut maka wanita tersebut derhaka kepada Allah SWT.

Arahan Allah lebih layak dipatuhi dari arahan manusia.

ii- Mulakan dengan solat taubat. Mohon ampun sungguh-sungguh kepada Allah atas kelalaian dan penangguhan kita mentaati Allah secara sepenuhnya.

iii- Solat hajat supaya dipermudahkan urusan menutup aurat anda dan memohon untuk diberikan hidayah kepada suami anda dan dilembutkan hatinya untuk menerima perubahan positif anda.

iv- Istiqamah (berterusan) dalam keadaan menutup aurat dan mulakan melakukan perubahan positif anda dalam urusan agama.

Suami lebih mudah menerima perubahan anda sekiranya anda lakukan sesuatu bersungguh-sungguh dan jelas kelihatan tekad anda dalam melakukannya.

v- Dekatilah majlis-majlis ilmu supaya hati anda dikuatkan dan dugaan-dugaan kuat dapat diatasi dengan mudah.

Bergerak ke arah perubahan positif bersama kumpulan yang positif lebih memudahkan kita menjadi muslim yang positif dan lebih baik.

Semoga anda beroleh manfaat dengan perkongsian ini dan mudah-mudahan Allah meletakkan kita di bawah lembayung rahmatNya serta dipermudahkan segala urusan berkaitan rumahtangga kita bersama.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Tuesday, 9 December 2014

Posted by Unknown On Tuesday, December 09, 2014

Rata-rata anak muda kini bersetuju bahawa majlis perkahwinan sesuai dilaksanakan dalam keadaan sederhana sahaja berbanding ibu ayah yang tidak menyetujuinya.

Sudah beberapa kali saya berkongsi tentang status mewah perkahwinan yang seperti tiada titik noktahnya ini.

Adakah kita sedang cuba menunaikan janji Allah yang Nabi telah sebutkan di dalam hadis baginda? 

"Di antara tanda-tanda kiamat adalah diangkat ilmu dan nyata kejahilan, orang ramai meminum arak (secara berleluasa) dan zina yang nyata (berlaku secara terang-terangan). [Riwayat Bukhari & Muslim]

Adakah kita sedang merentas jalan mudah untuk melakukan penzinaan dan menyempitkan jalan perkahwinan yang Allah syariatkan?

Begitu juga perkahwinan yang bermewah-mewah dan membazir ini sedang menempa jalan kehancurannya pada masa depan iaitu perceraian!



PUNCA

1. Sikap Ibu Bapa

Majoriti ibu bapa kini menganggap perkahwinan adalah lambang status diri mereka pada mata masyarakat sekeliling.

Jika disebut majlis perkahwinan anak mereka yang termewah dalam kalangan masyarakat kampung pun, itu sudah cukup membanggakan. Itu persaingan di kampung, persaingan di bandar, tentulah lebih sengit daripada itu.

Sudahkah mereka terlupa hadis ini:

"Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya. " (Riwayat Ibn Hibban)

2. Sikap Masyarakat

Sikap masyarakat sangat memberi pengaruh kepada keputusan ibu bapa dalam menentukan majlis perkahwinan mereka.

Mengikut pengalaman saya, masyarakat yang dekat dengan ilmu agama dan sering mendapat bimbingan daripada cerdik pandai Islam lebih memudahkan urusan perkahwinan masyarakat mereka.

Bahkan bukan itu sahaja, malahan mereka juga memberi idea, tenaga dan juga wang ringgit untuk sama-sama menanggung kos perkahwinan tersebut seolah-olah perkahwinan itu adalah milik masyarakat, bukan hanya keluarga sahaja.

Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat yang jauh dari agama. Perkahwinan bukan lagi menjadi lambang membina 'masjid' antara 2 hati, tapi lambang persaingan status antara beberapa kepala keluarga dalam masyarakat.

3. Ibu Campur Tangan, Bapa Lepas Tangan

Ini realiti yang tak dapat dinafikan sehingga ramai anak-anak 'terpaksa' menuruti nafsu ibu dari menurut akal si bapa.

Semua maklum bagaimana nafsu perempuan itu apabila ia menjadi raja dalam membuat keputusan. Nafsu mereka dapat mengatasi segalanya tapi ironinya dalam hala ini, nafsu mengatasi agama dan akal mereka.

Ketika mana manusia 'hilang' akalnya sudah cukup syarat digelarkan haiwan, bagaimana pula pula jika telah 'hilang' agamanya?!

Kaum bapa jangan menarik nafas lega pula. Anda tidak terlepas sekalipun anda berlepas tangan. Dayus hukumnya hingga perkahwinan menjadi seperti pesta hiburan dan anak menantu mendedahkan aurat di depan mata kepalanya sendiri.

Hati-hati!

4. Trend Wedding of The Year

Trend artis yang meletakkan hantaran tinggi dengan majlis yang grand dan media sosial yang memberikan ruang untuk hebahan dengan tema 'Wedding of The Year' adalah sangat bertepatan dengan hadis Nabi SAW.

"Seburuk-buruk makanan adalah hidangan walimah, yang mana orang-orang kaya diundang menghadirinya tetapi orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak memenuhi undangan walimah (kenduri kahwin), bererti dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya." [Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 5177]

mahal, kahwin,

Hendak menjadikan kenduri kahwin sebagai 'Wedding of The Year' dan dihebahkan secara percuma tentulah bukan sebarang majlis. 

Tentu majlisnya hebat dan mewah hingga orang-orang miskin rasa malu dan segan untuk menghadirinya atau sekiranya hadir, mereka hadir dalam keadaan merendah diri.

Orang kaya dan berpangkat pasti dijemput dan diraikan sebaiknya hingga wujudlah 2 darjat yang dibezakan sedangkan Islam telah menghapuskan darjat dunia tersebut dengan 2 kalimah syahadah sejak berkurun lamanya dahulu.

5. Trend Hantaran

Sudah lama dimaklumi bahawa trend umat Islam sekarang majoritinya adalah meletakkan nilai hantaran mengikut klasifikasi tingkat kelulusan anak mereka.

Semakin jauh dan tinggi universitinya, semakin mahal hantarannya. Semakin tebal sijilnya, semakin nipislah poket bakal suaminya.

Orang yang memahami apa yang dipelajarinya lebih mudah untuk memahami tujuan perkahwinan itu sendiri tetapi bagi mereka yang hanya banyak maklumat tanpa disertai dengan kefahaman agak sukar memahami banyak perkara termasuk kes ini.

Apa kata, kita letakkan nilai berpelajaran tinggi itu pada kematangan akal bukan pada ketinggian nilai hantaran. Hantaran itu bukan gaji yang dinilai dari prestasi akademik semata. Ia adalah hadiah yang dinilai dari keikhlasan hati.

Hantaran sangat berharga sekalipun nilainya rendah pada pandangan si mata duitan tapi mahal pada pandangan si mata hati yang mempunyai kebijaksanaan.

Bukankah hadiah yang diberikan dengan senyuman lebih tinggi nilainya dari hadiah yang diberikan dalam keadaan wajah bermuram durja dan hati berdendam sengketa?


Trend inilah yang membuatkan majoriti pasangan terpaksa berhutang di pusat-pusat kewangan untuk dijadikan hantaran. Tapi akhirnya, ia akan mula diungkit-ungkit dan diburuk-burukkan serta akhirnya membawa kepada perceraian. Nauzubillah min zalik.

Inilah ciri-ciri yang disebut sebagai seburuk-buruk hadiah atau pemberian dalam Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) pemenerian kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. " [Al-Baqarah: 264 ]

Semoga Allah memudahkan kita untuk membuat keputusan terbaik dalam menentukan kelangsungan hidup sebagai suami isteri dan anak menantu yang aman tenteram dan tidak ditekan dengan trend semasa ini.

Semoga bermanfaat untuk tatapan anda.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Thursday, 4 December 2014

Posted by Unknown On Thursday, December 04, 2014

Diriwayatkan bahawa Nabi Yahya a.s pernah didatangi iblis yang membawa beberapa benda bergantungan pada badannya. 

Lalu Nabi Yahya bertanya: "Apakah benda yang bergantungan itu?" 

Jawab iblis: "Inilah syahwat yang aku pergunakan untuk menguasai dan menggoda manusia."

Nabi Yahya kemudian bertanya: "Apakah yang ada pada syahwat itu?" 

Jawab iblis: "Kadang-kadang dengan syahwat ini engkau kekenyangan lantas aku beratkan engkau daripada mengerjakan solat dan zikir." 

Nabi Yahya terus menjawab: "Demi Allah, selama-lamanya aku tidak akan memenuhi perut dengan makan hingga terlalu kenyang."

terlalu kenyang, makan banyak, buncit

Ini juga yang dikuatkan dengan hadis Nabi SAW:

"Tidaklah anak Adam memenuhi wadah yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan punggungnya. 

Namun jika ia harus (melebihinya), hendaknya sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk bernafas".

Makruh dan dicela jika makan hingga terlalu kenyang dan disertai pula dengan kemalasan dalam beribadat.

Bahkan kekenyangan hukumnya boleh menjadi HARAM. Ibnu Hajar berkata:

"Larangan kenyang yang dimaksudkan adalah kenyang yang membuatkan perut penuh dan membuat orangnya berat untuk melaksanakan ibadah dan membuat angkuh, bernafsu, banyak tidur dan malas. Hukumnya boleh berubah dari makruh menjadi haram sesuai dengan akibat buruk yang ditimbulkan". 

Namun begitu, adakalanya sunnah untuk makan banyak kadang-kala terutamanya jika makan di rumah orang soleh atau makan bersama orang soleh atau makan masakan orang soleh.

Makanan orang soleh mempunyai ciri-ciri ini:
  • Bersih
  • Halal
  • Berkat

AKIBAT TERLALU KENYANG

1. Menghilangkan rasa takut kepada Allah.

Yahya bin Mu’adz ar-Razi berkata:

"Perangilah nafsumu dengan ketaatan kepada Allah dan riyadhah (latihan) dengan meninggalkan banyak tidur, sedikit bicara, sedikit makan dan bersabar dari gangguan manusia.

Sedikit tidur dapat memperbaiki hati.
Sedikit bicara dapat selamat
Sabar dari bencana boleh meninggikan darjat dan
Sedikit makan juga dapat mengurangi kesenangan nafsu.

Sedangkan banyak makan dapat menimbulkan kerasnya hati dan matinya cahaya hikmah dan akan menjauhkan diri dari Allah".

2. Menghilangkan kasih sayang sesama makhluk.

Orang yang selalu kenyang selalu beranggapan bahawa orang lain kenyang sepertinya. Jika mereka ini dapat mengubah kebiasaan buruk ini, pasti mereka mendapat jaminan baginda SAW ini.

Rasulullah SAW bersabda:

"Wahai manusia, bersedekahlah aku akan menjadi saksi atasnya pada hari kiamat. 

Mungkin ada di antara kalian yang pada malam hari masih mempunyai sesuatu yang berlebih setelah ia kenyang, sedangkan saudaranya menghabiskan malam dalam keadaan lapar. 

Dan mungkin ada di antara kalian orang yang selalu menambah hartanya, padahal tetangganya yang miskin tidak dapat mencukupi keperluannya."


petua, imam, syafie

3. Kenyang boleh menyebabkan seseorang itu berat untuk taat beribadat.

Imam Asy-Syafi’i berkata:

"Kerana kenyang, badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah".

4. Sewaktu mendengar kata-kata hikmah, orang yang terlalu kenyang tidak dapat menangkap dan merasakan kehalusannya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Orang terbaik di antara kamu kedudukannya di sisi Allah adalah yang paling panjang laparnya dan paling lama berfikir. 

Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah adalah setiap orang yang terlalu banyak tidur, terlalu banyak makan dan terlalu banyak minum".


5. Jika orang yang kenyang itu memberikan nasihat dan hikmah, maka apa yang dikatakan itu tidak dapat meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.

Imam Al-Ghazali berkata: 

"Sesungguhnya di hari kiamat, orang yang dekat dengan Allah ialah orang yang sering lapar dan haus. Suatu perkara besar yang dapat merosakkan anak adam ialah persoalan perut. 

Kerana perut itu pula Nabi Adam dan Hawa terusir dari syurga. Ketika Allah SWT melarang mereka untuk memakan buah khuldi, mereka tidak berjaya menahannya, akhirnya mereka memakan buah itu."

6. Perutnya menjadi tempat busuk dan berpenyakit.

Ibnu Qaiyim al-Jauziyah menjelaskan di dalam kitab At-Tib an-Nabawi:

"Sesungguhnya perut apabila dipenuhi dengan makanan, ia akan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi oleh minuman, ia menyempitkan ruang untuk pernafasan. Ketika itu, ia terdedah kepada kesakitan dan keletihan. 

Keadaan seperti ini tidah ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang berat dan kesannya menyebabkan kerosakan badan dan hati serta mendatangkan kemalasan beribadah. 



Selain itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila seseorang kenyang. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia sudah tentu memudaratkan, tetapi jika hanya sekali-sekala dibolehkan.".

KESIMPULANNYA

1. Jangan terlalu dilayan syahwat (keinginan) perut dan nafsu sendiri. Syahwat tak pernah cukup, nafsu tidak pernah puas.

2. Menahan diri dari makan terlalu banyak bukan sahaja untuk diet tapi tanamkan niat yang lebih baik iaitu untuk menjaga nikmat kesihatan.

Dengan nikmat sihat itu kita gunakan untuk menambahkan ibadat kepadaNya.

3. Kebanyakan orang mencari ubat setelah sakit. Sedangkan tanpa sedar, ubat sebenar adalah dengan meninggalkan punca sakit tersebut. 

Jika penyakit itu timbul dari kerana makan terlalu banyak, meninggalkan makan itu adalah ubatnya.

"Makan dan minumlah tapi jangan kamu membazir"

Semoga bermanfaat untuk tatapan anda.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Monday, 1 December 2014

Posted by Unknown On Monday, December 01, 2014
kerap makan

Sudah menjadi kebiasaan ramai orang termasuk saya pernah mengalami situasi walaupun baru sahaja selepas makan, amat cepat untuk berasa lapar kembali. 

Ini akan membuatkan kita makan banyak kali. Nanti makan lagi dan akhirnya badan naik lagi dan lagi. Ianya tidak baik untuk penjagaan kesihatan. 

Ini berkaitan dengan makanan itu sendiri dan pola kehidupan kita seharian. Jadi, jangan salahkan orang lain.

Punca diet gagal juga adalah kerana faktor ini dan faktor keselesaan diri. Selalunya keselesaan tanpa sandaran ilmu akan lebih banyak memudharatkan dari memberi kebaikan.

8 punca yang menyebabkan masalah ini!

(1) Minum terlalu banyak minuman manis. 

Hasil kajian University of California, San Fransisco mendapati bahawa kandungan gula boleh menipu otak terhadap keinginan untuk makan lebih banyak. 

Ia menghalang hormon leptin daripada memberitahu otak bahawa anda telah mendapatkan makanan yang secukupnya.


leptin

(2) Makan makanan bertin.

Makanan didalam tin terdedah kepada bahan kimia seperti bisphonel-A atau BPA, yang turut mempengaruhi hormon leptin seseorang. 

Ia akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali dan juga dikatakan sebagai punca terhadap masalah obesiti.

(3) Sarapan pagi yang tidak mencukupi.

Hasil kajian terhadap 6746 orang selama 4 tahun mendapati bahawa seseorang yang mengambil 300 kalori pada sarapan pagi akan meningkatkan pertambahan berat badan sebanyak 2 kali ganda berbanding orang yang mengambil 500 kalori. 

Ini kerana sarapan pagi yang tidak mencukupi akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali sepanjang hari.


shaklee lover, esp lover
Ini sarapan rutin saya. Tinggi protein.
Untuk sihat, hensem & bertenaga.

Itulah pentingnya mengetahui Indek Glisemik setiap hidangan makanan yang kita ambil. Boleh rujuk SINI untuk pencerahannya.

(4) Tidak makan sayuran.

Khasiat di dalam sayur-sayuran boleh membantu untuk seseorang berasa kenyang lebih lama dan ini dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

Mungkin ada lagi yang belum tahu bahawa sayuran hijau terutamanya sangat kaya dengan serat yang mempengaruhi pola makan anda dan sistem perkumuhan anda menjadi lebih baik.

(5) Tidak minum teh kurang gula.

Hasil daripada kajian mendapati bahawa seseorang yang minum teh kurang gula selepas makan akan membuatkan mereka berasa lebih kenyang dan secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

Tiada siapa dapat menafikan kebaikan teh pada tubuh manusia kerana ia adalah tanaman hijau ciptaanNya tapi ramai pengkaji telah mengkritik penggunaan gula dalam diet manusia.

Kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman.

(6) Kurang minum air masak.

Tubuh yang kurang air akan menyebabkan seseorang untuk makan lebih banyak kerana ia meningkatkan tahap kelaparan seseorang. Sebaiknya, sebelum makan anda perlu meminum air masak terlebih dahulu.


air kosong, air masak

Kiraan keperluan sehari tubuh terhadapa air adalah setiap 25 kg berat, badan perlukan 1 liter air. Jika berat saya 60 kg, maka air yang diperlukan lebih kurang 2.5 liter.

Tapi ingat...Air kosong ye. Kurangkan minuman bergula.

(7) Kebosanan.

Hasil kajian penyelidik Flinders University, Australia mendapati bahawa kebosanan akan meningkatkan keinginan seseorang untuk makan lebih banyak.

(8) Tekanan (Stress)

Kajian mendapati bahawa orang yang mengalami tekanan luar biasa akan makan lebih kerap daripada mereka yang mengalami tekanan biasa.

Namun, ada juga yang mengalami sebaliknya iaitu dengan meninggalkan makan dan minum dan akhirnya menjadi terlalu kurus kerana tekanan dan kemurungan serius.

Faktor psikologi seperti kebosanan dan tekanan memberi kesan serius kepada pola makan seseorang. Jadi amalakan hidup sihat, ceria dan bermotivasi selalu.

PERHATIAN!!!

Kerap makan atau banyak kali makan dalam sehari dengan kuantiti terkawal atau sedikit adalah lebih baik untuk diet.


kerap makan, banyak makan

Yang dimaksudkan dalam post ini adalah kerap makan dengan kuantiti tak terkawal atau banyak adalah tidak baik untuk kesihtan dan tubuh.

Semoga bermanfaat untuk anda.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

Tuesday, 25 November 2014

Posted by Unknown On Tuesday, November 25, 2014

Ramai masyarakat awam melihat harta dan orang yang memiliki harta yang banyak itu sebagai satu kesalahan dan satu tanda kecenderungan hati ke arah mencari dunia. 

Sedangkan pemahaman mereka mengenai harta mungkin telah terkesan dengan sifat zuhud yang menyimpang atau kerana fahaman songsang bahawa Islam adalah agama ukhrawi bukan agama duniawi.

Islam itu adalah fleksibel antara dunia dan akhirat, ibadat dan pekerjaan, hidup dan mati.

Dalam Quran, harta diisyaratkan oleh Allah sebagai:

  • Kebaikan, kelebihan dan kebajikan
  • Ujian dan Fitnah

1. HARTA SEBAGAI KEBAIKAN & KEBAJIKAN

i- Harta Adalah Wasiat/Peninggalan Yang Baik

"Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) kematian, jika ia meninggalkan wasiat yang baik dari sudut harta kepada ibu bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf ( yang telah diketahui)." 
(al-Baqarah, 2: 180)

"Dan sesiapa antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya (dari rumah untuk bekerja)......" 
(al-Nisa', 4: 11)

Dalam banyak ayat berkaitan kematian dan wasiat, Allah menyarankan agar orang Islam yang meninggal dunia meninggalkan harta untuk kebaikan orang tuanya, isteri dan anak-anak, untuk bayaran hutang dan lainnya.

Maksudnya, jika meninggal dunia dalam keadaan tanpa meninggalkan suatu harta pun buat keluarga dan waris tidaklah bermaksud dicela pada agama.

Tetapi yang dipuji pada agama adalah meninggalkan dunia dan keluarga dengan harta yang baik yang dihimpunkan itu lebih utama.

Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW: "Sesungguhnya meninggalkan waris dalam keadaan kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta daripada manusia".

Maksud hadis ini adalah waris yang beriman DAN kaya.


ii- Beri Pinjaman Kepada Allah

"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak...."
(al-Baqarah, 2: 245)

iii- Sumber Nafkah Yang Sangat Besar Pahalanya

Nafkah yang dimaksudkan adalah harta yang dibelanjakan untuk keluarga dan kaum kerabat.

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji......" (al-Baqarah, 2: 261)

iv- Sumber Kebajikan

"Mereka bertanya tentang apa yang mereka sedekahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu sedekahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Apa saja kebaikan yang kamu buat, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya." (al-Baqarah, 2: 215)

2. HARTA SEBAGAI FITNAH DAN UJIAN

i. Harta Tidak Boleh Berlegar Dalam Kalangan Orang Kaya Sahaja


"Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu...." 

(al-Hasyr, 59: 7)

ii- Harta Tidak Dapat Menyatukan Hati Manusia

"Dan Dialah yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman) walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka....." (al-Anfal, 8: 63)

iii- Orang Miskin Itu Ujian Bagi Si Kaya


"Demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?” (al-An’am, 6: 53)


iv- Harta Ujian Nafsu

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang....." (Ali Imran, 3: 14)

"Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu......." (ali-Imran: 186)


SEBAIK-BAIK HARTA

"Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang".

Itulah harta pada tangan orang Islam. Hendak harta kekayaan yang banyak dan berkat?

Jadilah:

1. Orang Islam yang soleh.
2. Carilah dengan jalan yang halal.
3. Belanjakan harta dengan jalan yang halal.
4. Nafkahkan sebahagian harta untuk urusan agama.


Semoga bermanfaat untuk anda. Betulkan niat dan selamat menjadi kaya, berjaya dan bertakwa.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...