Friday, 10 October 2014

Posted by Unknown On Friday, October 10, 2014

Bila bercakap menganai kekayaan, takkan terlepas dari 2 pendapat yang dipegang kemas oleh masyarakat awam:

1. Kaya itu bukan diukur oleh harta tapi diukur oleh kesannya.

Apa guna punya rumah besar, tapi tiada cinta di dalamnya?
Apa guna ada kereta mewah, tapi orang lain yang membawanya?
Apa guna ada makanan lazat, tapi tiada selera untuk mencicipnya?

2. Kaya itu bukan diukur oleh kesan tapi diukur oleh hartanya.

Apa guna ada cinta sedang tiada tempat tinggal selayaknya?
Apa guna ada kemahiran untuk memandu sedang kenderaan tiada?
Apa guna ada selera sedang banyak makanan lazat tak mampu dibelinya?

Pendapat yang mana patut dipegang untuk menjadi orang kaya dan berjaya!

DUA KISAH BERBEZA

KISAH I:

Seorang lelaki sedang berbaring, berteduh di bawah bayangan sepohon pokok, di tepi sungai yang tenang. Berbumbungkan langit, berlantaikan tanah. Tangan diletakkan di bawah pipi buat menompang kepalanya.


Kemudian beliau bangun dan mengeluarkan roti kering yang disedekahkan dari begnya dan beliau makan untuk melapik perutnya yang sedang kelaparan dan minum dari air sungai itu untuk menghilangkan kehausan.

Kemudian beliau menjerit dengan sepuasnya,"Alhamdulillah....." dengan eksperesi yang sangat hebat.
Tanda bersyukur yang amat sangat. Amat berpuas hati dengan rezekinya yang tak seberapa.

Perbuatannya menarik minat pegawai istana lalu disampaikan berita itu kepada raja dan diarahkan lelaki itu dibawa ke istananya,

Kata raja itu,"Aku mendengar berita kamu yang sangat teruja dengan roti kering dan air sungai yang kamu minum sebentar tadi. 

Kenapa begitu?! Sedangkan engkau tak punya apa-apa. Tiada rumah, tiada makanan dan minuman selayaknya juga?"

Jawab lelaki itu,"Wahai raja, jika engkau tercekik dan engkau tidak dapatkan air untuk minum kecuali dengan perlu mengeluarkan separuh kekayaanmu, sudikah engkau mengeluarkannya?"

Jawab raja,"Pasti aku mengeluarkannya"

"Wahai raja, jika engkau telah minum air itu dan kemudiannya engkau tidak dapat membuang air itu semula selama beberapa hari dan engkau  perlu menghabiskan sebahagian lagi kekayaanmu lagi, adakah engkau sudi membayarnya?" tanya lelaki itu lagi.

Jawab raja,"Tentu sahaja aku sanggup membayarnya".

Lelaki itu memberi kesimpulan,"Wahai raja, sesungguhnya kekayaanmu tidak memadai. Hanya cukup demi mendapatkan nikmat air dan membuang air. 

Saya mendapt naungan langit, air dan makanan secara percuma. Bukankah itu sebesar-besar nikmat Allah kepadaku? Bagaimana mungkin aku tidak bersyukur kepadaNya dengan sebenar-benar syukur?!"


Yang berada di singgahsana tidak dapat 'merasai' nikmat seorang lelaki yang hanya berlapikkan bumi!

# # # # #

KISAH II:

Seorang murid belajar dari gurunya yang miskin. Miliki rumah yang kecil dengan peralatan rumah yang usang. Tiba waktu makan, pasti gurunya akan membawa pancing ke sungai dan memancing. Hasilnya menjadi makanan pada hari itu. Esoknya begitu lagi. 

Suatu hari, si guru memanggil anak muridnya. Diberikan alamat dan diamanahkan suatu hajat untuk bertemu dengan abangnya si guru yang berada di bandar besar.

Terkejut si murid apabila bertemu alamat yang diberikan. Ternyata abang si guru miliki rumah yang besar, harta yang banyak dan kehidupan yang jauh lebih selesa dari gurunya.

Bertemu sahaja dengan abang si guru, si murid pun menyampaikan hajat.

"Wahai tuan, guruku menyampaikan salam dan hajat buat tuan. Katanya mohon tuan menasihati guru saya".

Kata abang si guru,"Beritahu adik saya, jangan bergantung hatinya dengan dunia".

"Tidak silapkah nasihat ini?! Bukankah nasihat ini sepatutnya untuk engkau," bisik hati si murid dalam keadaan terkejut tapi perkataan itu tidak terluahkan.

Si murid balik dalam keadaan geram. Tak tersampai hajat untuk meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya atas nasihat itu. 


Sebaik pulang, disampaikan nasihat itu buat gurunya dan gurunya pula menyambutnya dengan tangisan teresak-esak sepanjang malam.

Bertambah pelik si murid.

Keesokannya si murid pun bertanya,"Wahai guruku, apakah yang berlaku? Sungguh aku tak mampu untuk berdiam diri dari bertanyakannya"

Kata gurunya."Wahai muridku, abangku tak cintakan dunia. Tapi dunia yang sangat cinta kepadanya sehingga mengejarnya dengan segala bentuk kekayaan! 

Jika semua harta abangku lenyap sekelip mata dari menjadi miliknya lagi, tetap tak berubah kekayaan hatinya dengan Allah. Hatinya langsung bergantung kepada Allah hingga dunia jatuh cinta kepadanya.

Sedangkan aku setiap hari berfikir, esok jika aku memancing, masih dapat ikan ataupun tidak. Hatiku masih belum tergantung sepenuhnya kepada Allah dan tertanya-tanya akan agihan rezekiNya".

WALHASIL

Kata Nabi SAW: "Bukanlah kekayaan itu diukur pada harta. tapi kekayaan itu diukur pada jiwa!"

Maka orang kaya dan berjaya yang sebenarnya adalah mereka yang menerima segala rezeki Allah baik sedikit ataupun banyak dengan lapang dada, redha dan bersukur kepadaNya.

Jika sedikit tak bermakna tidak cukup, tapi jika ingin lebih lagi, carilah.
Jika terlebih tak bermakna boleh membazir, tapi bahagikanlah antara manusia.


Kaya itu letaknya pada jiwa. 

Jika dengan harta yang sedikit kita redha, Allah tambahkan lebih banyak.
Jika dengan harta yang banyak kita syukur, Allah suburkan lagi hingga menjadi lebih banyak.

Bukan banyak atau sedikitnya harta yang menjadi persoalan, tapi soal utamanya adalah ringan atau beratnya jiwa dalam pergantungan kepadaNya.


Walhasilnya tiada istilah miskin dalam Islam pada bab berharta, yang ada hanyalah jiwa yang miskin atau jiwa yang kaya. 

Jika jiwanya kaya, maka merekalah termasuk dalam golongan kaya dan berjaya!

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...