Tuesday 18 March 2014

Posted by Unknown On Tuesday, March 18, 2014

Assalamualaikum semua.

Hari ni saya nak berkongsi pandangan saya tentang kesungguhan dan kesedaran kita dalam dunia bisnes. Mungkin ada pihak yang mengatakan bahawa  golongan Melayu sekarang yang dahulunya sangat kuat berpolitik dan punya semangat kebangsaan yang kuat kini beralih menjadi MATERIALISTIK.

Mereka mula mengejar harta dan dunia sehingga golongan-golongan kaya yang dulunya tidak pernah terganggu dengan pelbagai saingan terpaksa bersaing dengan kebangkitan baru ini. 

Inilah yang ditakutkan oleh golongan monopoli dalam perniagaan, baik apa jua bangsanya atau agamanya. Tapi sebenarnya itu adalah tidak benar sama sekali.

Ramai golongan muda kini memilih jalan perniagaan kerana mereka sedar perniagaan adalah lubuk rezeki pada masa kini dan ia merupakan salah satu jalan untuk menyumbang penyelesaian kepada masalah yang dihadapi masyarakat.

RAMAI YANG MASIH TAKUT

Hakikatnya kini, masih ramai yang takut untuk berniaga terutamnaya dalam kalangan Melayu Islam sehingga makan minum kita, halal atau haram sudah berada dalam tangan orang lain.

Hatta ramai di kalangan kita yang berfikir apa yang kita beli di pasar, kedai makan, restoran dan di lain-lain tempat adalah semuanya HALAL dan BERSIH sedangkan hakikatnya adalah tidak!


Ini antara kes terbaik yang menjadi tajuk hari ni. Walaupun banyak lagi contoh makanan dan barangan lain yang mempunyai masalah status halal haram tapi sengaja saya bawa contoh ini.

Saya bukanlah orang Jabatan Agama Islam atau pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, saya hanyalah usahawan Muslim yang mempunyai sedikit ilmu agama untuk dikongsi bersama.

Saya cuba untuk membuka minda masyarakat kita terutamanya yang beragama Islam untuk menyedari hakikat ekonomi bangsa kita dan kehormatan kita sebagai bangsa peneraju negara ini.

Bayangkan jika kita termakan salah seekor ayam ni? Bagaimana keadaan darah kita dan anak-anak kita? Bagaimana dengan ibadah kita, doa kita, segala kebaikan yang telah kita lakukan dengan anggota kotor kita ini? Adakah Allah SWT melihat semua usaha kita ini?

Apabila pesawat MAS MH 370 hilang, semua kita pakat-pakat berdoa, betul betul? Tapi adakah doa kita Allah terima dalam keadaan banyaknya makanan haram dan syubhat yang berada dalam perut dan telah lama mengotori mulut kita?

Hingga Abu Hurairah r.a bercerita bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik, dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para mursalin (para Rasul). 

Allah berfirman : 'Wahai para rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh". Dan Allah berfirman lagi : 'Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu.' 

Kemudian Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta berdoa memohon: Ya Tuhanku ! Ya Tuhanku ! 

Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia (doanya) untuk dikabulkan. '


Inilah hakikat yang kita perlu terima bila kita jauh dari Allah dan sunnah Nabi SAW dalam membina kehidupana kita di dunia ini. Semuanya bertitik-tolak dari sikap kita yang masih takut untuk BANGKIT berniaga!

BISNES ADALAH UNTUK MEMBANTU

Sejak merdeka lagi kita belajar bisnes daripada kapitalis Barat yang diwarisi secara tidak langsung kepadabangsa Cina yang tinggal di bandar-bandar dan menguasai ekonomi kita sehingga sekarang. 

Begitu juga dengan sistem pembelajaran kita sehingga kini yang mengongkong para mahasiswa untuk menjadi Pak Turut dalam ekonomi, bukan menjadi pengasas atau peneraju dalam bidang ini kerana konsep kita dalam bisnes adalah salah sama sekali.

Matlamat bisnes kapitalis adalah untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin dan menghindarkan kerugian serendah mungkin. Manakala matlamat bisnes orang Melayu kita adalah,"Asal cukup makan dan asal lebih daripada orang lain".

Berbeza sekali dengan konsep yang diajarkan oleh Nabi SAW dan Islam itu sendiri. Islam mengajar bahawa bisnes adalah satu jenis bantuan dalam memenuhi keperluan dan dan keinginan masyarakat di atas dunia ini melalui jalan yang diatur oleh syarak di samping mengaut keuntungan untuk akhirat sana.

Inilah takrif bisnes yang saya dapati daripada kebanyakan multi-millionare di luar sana. Bisnes mereka adalah untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai atau berkhidmat kepada orang ramai dengan suatu nilai atau kemahiran yang mereka ada.


Status ayam yang haram dan diragui tadi bukankah satu masalah kepada umat Islam kini? Banyak masalah baru timbul baik dari sudut status makanan, ibadat ditolak, penyakit merebak dan monopoli bidang perusahaan ayam oleh orang bukan Islam.

Masalah ini tidak selesai melainkan ada syarikat yang berasaskan ayam dibangunkan dan dibesarkan sehingga mampu mengambil fungsi menyediakan khidmat sembelihan yang sempurna dan pemprosesan ayam yang diiktiraf halal di sisi syarak.

Mana mungkin aspek yang serius ini diambil berat oleh golongan peniaga muslim atau bukan muslim yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Mana mungkin juga aspek yang serius ini diambil berat oleh golongan yang masih takut untuk berniaga kerana kesalahfahaman sendiri tentang perniagaan.


Jika ditanya pun pada golongan peniaga di atas, maka jawapan mereka adalah,"Cara ini dikira halal pada kami, kenapa pula haram pada kamu?! Orang Jabatan Agama pun kata ok je, kenapa kamu yang menyibuk?!"". 

Halal pada mereka didasari atas jalan keuntungan. Semakin banyak yang disembelih dan semakin cepat pemprosesannya maka semakin cepat pula dapat diedar dan dijual di pasar-pasar. Jadi semakin banyak untung yang diperolehi.

Peniaga dapat untung jualan, pelanggan dapat barang belian!
Hukum?! Buang ke tepi longkang, asal jual beli berjalan, untung rugi dapat dikira dan hidup boleh diteruskan.

Sedangkan  halal pada kita adalah mengikut piawaian syariah. Sembelihannya betul, jual belinya betul, barulah hidup kita kembali betul. Kata orang,"Asal lambat, janji selamat".

60% pusat penyembelihan adalah tidak berlesen!

KEKURANGAN DEMI KEKURANGAN

Saya melihat bahawa kekurangan ilmu yang benar tentang perniagaan banyak memberi kesan kepada kemunduran masyarakat kita dalam bidang ekonomi ini.

Ketakutan, didikan yang tidak seimbang, asas pengetahuan yang lemah dan pelbagai isu yang timbul telah banyak mengalih perhatian kita daripada melihat isu ini sebagai isu penting dan perlu diutamakan.

"Alah, asal cukup makan sudahlah, kenapa nak kejar sangat. Kalau dah bukan rezeki kita, takkan ke mana pun".

Acapkali kita mendengar frasa ini diungkapkan oleh orang ramai. Tatkala berdepan dengan isu kenaikan kos sara hidup, ramai yang hanya mampu menggeleng kepala melihat peningkatan laba kewangan yang dipegang oleh orang kaya di Malaysia.

Saya bawakan contoh ye untuk buka 'minda' anda. Ketika majalah Malaysian Business mula membuat analisa pada tahun 2002, jumlah harta terkumpul 40 orang terkaya Malaysia adalah RM 41.7 bilion.

Tetapi pada Januari 2013, jumlah ini telah meningkat ke RM194.86 bilion, iaitu peningkatan hampir 5 kali ganda! Dalam tempoh 10 tahun ini, adakah pendapatan anda dan orang-­orang sekitar anda juga meningkat 5 kali ganda?!

Jadi tidaklah mengejutkan apabila kita melihat jurang antara golongan kaya, pertengahan dan rendah semakin melebar.

Kedai-kedai pameran Ferrari dan Rolls Royce telah ditubuhkan, manakala BMW dan Audi mencatat jualan kereta asing tertinggi tahun demi tahun.

Pada masa yang sama, lebih 83% daripada rakyat Malaysia dikatakan layak untuk menerima BR1M!

Banggakah kita?!
Ketawa atau menangis, terpulang. Itu pilihan kita!
Bukan salah ibu mengandung tetapi salah anak yang tidak sedar pengorbanan itu!
Kita telah merdeka diri tapi kita tidak merdeka ekonomi!

Banyak aspek yang saya mampu kupaskan tetapi jika kesedaran kita masih di tahap biasa-biasa ditambah pula dengan keberanian kita yang biasa-biasa di samping keseronokan kita berada dalam zon selesa, tentulah hal ini tidak bermakna jika post ini mengandungi 1000 patah perkataan pun.


Yakinilah bahawa dengan perniagaan ini, kita mampu memegang kembali status halal haam ini dalam negara kita. Kita dapat bangunkan kembali maruah umat Islam dan kegemilangan Islam dalam dunia kita kini.

Anda kaya dan berjaya! Mulakan titik perubahan sekarang!

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...