“Saya tidak mahu guna istilah fitnah kerana perkataan itu terlalu kasar, tapi saya tidak tahu perkataan lebih sesuai. Perkara itu tidak betul dan saya terkilan kerana terus menjadi mangsa fitnah,” komen Ashraf Muslim, 32, apabila ditanya benarkan dia ada ke mahkamah untuk menfailkan tuntutan cerai pada hari diadakan sidang media, Khamis lalu.
Pihak media difahamkan, peguam Ashraf datang ke mahkamah pagi itu untuk menfailkan tuntutan cerai. Terkejut mendengar pertanyaan itu, Ashraf menafikan mahu bercerai.
Katanya, dia baru saja bercakap dengan peguamnya dan tiada perbincangan mengenai perkara itu. Pagi itu juga dia menghantar mentuanya ke lapangan terbang untuk menunaikan umrah.
Hakikatnya, memang benar peguam Ashraf ada ke mahkamah syariah untuk menfailkan tuntutan cerai pada hari itu, tapi bukan untuk Ashraf Muslim tetapi anak guamnya yang lain.
Malah, Ashraf mengakui tidak bersedia memberi komen kepada wartawan ketika di mahkamah minggu lalu kerana mahu berlaku adil dengan memberi kenyataan dalam satu sidang media dan ia hanya dapat diadakan pada hari itu.
“Tujuan saya mengadakan sidang media hari ini untuk menjelaskan apa berlaku. Saya berkahwin di Selatan Thailand kerana bersebab.
“Saya sudah buat keputusan untuk kahwin dengan Sakinah dan membuat permohonan untuk berpoligami di mahkamah pada April lalu.
“Bagaimanapun selepas sebulan, dua bulan dan akhirnya selepas tiga bulan, masih belum ada keputusan. Sampai bila saya harus tunggu, saya tidak tahu.
“Tekad saya sudah bulat untuk berkahwin dan akhirnya saya buat keputusan ini (berkahwin di Thailand secara rahsia tanpa pengetahuan isteri) kerana bimbang apa dirancang tidak berjalan seperti dirancangkan.
“Ia bukan keputusan mudah dan saya lakukan selepas meminta pandangan beberapa pihak dan saya juga buat solat Istikharah,” katanya.
Ashraf kesal apabila dia dan Sakinah serta keluarga dikecam bukan saja melalui laman sosial Facebook dan Twitter, malah menerusi kiriman SMS.
“Saya tidak melakukan kesalahan kerana saya bukan kahwin lari, sebaliknya pernikahan saya dihadiri keluarga kedua pihak siap dengan kenduri kesyukuran selepas selamat dinikahkan.
“Sakinah banyak bersabar dan saya kagum dengannya. Begitu juga keluarganya kerana terima saya seadanya dan memahami diri saya sebagai orang dikenali. Tipulah kalau Sakinah tidak sedih atau terkilan dengan apa yang orang kata.
“Dayana juga kena kutuk, saya lagilah. Namun, saya perlu banyak-banyak bersabar kerana ini keputusan yang saya buat dan saya harus bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
“Saya terpaksa rahsiakan dengan isteri kerana mahu memaklumkan kepadanya selepas segala-galanya selesai tetapi Dayana tahu lebih dulu.
“Saya berharap Dayana dapat terima kerana ini keputusan saya. Saya tahu hatinya terluka dan faham dengan perasaan perempuan yang tidak suka berkongsi,” katanya.
Difahamkan, ketika sidang media berlangsung, Dayana dan Sakinah keluar bersama-sama di pusat beli-belah Sogo tidak jauh dari lokasi sidang media. Malah, Dayana juga menghubungi suaminya dan Ashraf memaklumkan majlis belum selesai.
Kata Ashraf, dia dalam proses memujuk Dayana dan waktu sama mahu mereka berbaik-baik. Katanya, dia perlu bersabar dan sedar ia mengambil masa.
“Alhamdulillah, Dayana dan Sakinah sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Namun, saya bimbang gangguan dari luar yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Saya beritahu Dayana, apakah dia mahu hidupnya bahagia atau terus menangisi takdir. Kalau mahu hidup bahagia di samping saya, terima perkara ini (bermadu) tapi saya tahu ia ambil masa".
“Saya ada macam-macam perancangan untuk masa depan kami bersama dan harap sokongan dan kerjasama isteri, saya dapat melakukannya dengan berjaya,” katanya.
Tegas Ashraf, dia tidak mahu bercerai dengan Dayana. Harapannya semoga isterinya dapat menerima apa yang berlaku dan mereka hidup bahagia bersama-sama.
0 comments :
Post a Comment