Wednesday, 25 September 2013

Posted by Unknown On Wednesday, September 25, 2013

Assalamualaikum semua. Berita ini saya angkat dari akhbar Harian Metro, cerita seorang anak kecil yang berjaya kerana beliau BERANI BERMIMPI dan BERUSAHA. Nasib menyebelahinya kerana beliau ada CITA-CITA MURNI. Allah kabulkan doanya kerana dia seorang yang berharap KEBAIKAN kepada semua. Dengar dan lihat lirik lagunya, bukankah terdapat banyak manfaatnya di situ. 

Cuba ingat balik, bukankah kita juga pernah melalui zaman kecil itu? Bukankah ketika kecil pelbagai cita-cita ada dalam akal kita yang hebat ketika itu. Apa sahaja yang terlintas, pasti kita laksanakan. Kadang-kala teringat saja nak menyeberang sungai yang dalam, kita terus buat tanpa fikirkan bagaiman jika kita lemas di dalamnya. Kadang-kala pula, kita sanggup mendaki bukit tinggi semata-mata hendak membuktikankita anak jantan sesama rakan tanpa fikirkan bayaran yang perlu kita bayar jika terjatuh ketika itu. Tak cukup dengan itu, kadang-kala kita juga mampu menjadi 'hantu' di malam hari dengan alasan mengusik rakan yang pulang mengaji di malam hari tanpa sekelumit rasa takut di hati kita.  

Tetapi entah di mana silapnya, KEBERANIAN itu semakin lama semakin berkurang, bahkan KETAKUTAN kepada risiko semakin hari semakin bertambah pula. Di mana semangat anak kecil dulu, yang apabila jatuh ketika berlari, ia terduduk sebentar menangis sekejap ataupun mungkin hanya hadiah senyuman sahaja terukir indah di bibir ketika itu dan kemudiannya ia bangun berlari semula.

Bukan perlahan larian semula tersebut bahkan semakin laju dan laju buat ubatkan 'sakit' jatuh tadi. Secara tidak langsung, mengajar orang tuanya kata-kata,"Jika aku yang sekecil ini kudratnya jatuh mampu bangun semula tanpa sesalan, mengapa kamu pula tidak berani berlari langsung sedangkan kamu lebih hebat dariku".
Tiba-tiba teringat pesan Allah,"Demi sesungguhnya kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian". 
Firmannya lagi,"Ingatlah ketika mana aku ingin menciptakan khalifah di muka bumi?"

Kita terlalu 'lemah' untuk menyerah semata kepada takdir tanpa sebarang usaha. Berusahalah secara luar biasa untuk menjadi lebih baik dari semalam dalam hidup kita dalam apa bidang sekalipun baik pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan selainnya.

Ini cerita yang saya dapat dari si TEGAR. Bagaimana pula dengan kisah anda, mungkin susatu hari nanti nama anda pula yang terukir kerana tindakan luar biasa anda.
Pada usia 12 tahun, anak-anak lain sibuk meneruskan pelajaran di sekolah selain me­lakukan pelbagai aktiviti riadah bersama rakan sebaya. Namun berbeza dengan Tegar Septian ini apabila zaman kanak-kanak dihabiskan di jalanan bagi mencari rezeki dengan menjadi pengamen (penyanyi jalanan) di Indonesia seawal usianya 9 tahun. 
Siapa sangka rezeki berpihak padanya apabila dia ditawarkan menjadi artis rakaman Harpa Records, sekali gus menjadikannya popular. Malah, dalam waktu tidak sampai setengah tahun, lagunya yang berjudul Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang mendapat tontonan tertinggi di YouTube iaitu sebanyak 8 juta pengunjung sejak ia ditayangkan Mei tahun lalu. 
Tidak pernah terfikir akan perubahan drastik yang dialaminya, Tegar yang berasal dari Subang, Jawa Barat mengakui semua yang diterimanya adalah kebetulan dan ketentuan Ilahi.
“Alhamdulillah impian untuk menjadi orang senang sudah dimakbulkan Allah. Memang saya tidak pernah menyangka popular secepat ini namun berharap lagu saya menjadi pedoman buat semua. Saya juga sangat gembira apabila impian untuk berduet dengan ramai artis popular di Indonesia sudah termakbul dan berharap jika dapat menya­nyi duet dengan kumpulan dari Malaysia iaitu Slam. 
“Malah, kehadiran ke Malaysia juga tidak diduga kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki di sini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album mini berjudul Tegar dan Sahabat di ibu kota, baru-baru ini. 
Album yang sudah terjual lebih 100,000 unit di Indonesia itu mula dipasarkan sejak April lalu dan atas sambutan serta permintaan peminat Malaysia, ia mula dipasarkan di sini pada pertengahan Ogos tahun ini. 
Lebih menarik, Tegar kini mampu membelikan keluarganya sebuah rumah berharga 200 juta rupiah (RM60,000) di kampung halamannya di Subang. Bukan itu saja, dia turut membelikan sebuah motosikal buat kegunaan keluarga dan berhasrat membeli sebuah lagi. 
“Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang diberikan oleh-Nya. Sejak menjadi artis rakaman, impian pertama saya untuk membelikan keluarga rumah sudah terlaksana dan banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan untuk menyenangkan mereka. 
“Selepas hampir empat tahun meninggalkan alam persekolahan, saya kini sedang perlahan-lahan belajar sendiri di rumah dengan dibantu guru yang datang mengajar seminggu dua kali. Saya berharap hasrat untuk belajar tinggi seperti orang lain terlaksana. Meskipun sudah popular pelajaran tetap saya utamakan, malah itulah yang menjadi antara impian saya ketika susah iaitu ingin mempunyai pelajaran di samping dapat memberi kesenangan kepada ahli keluarga,” katanya yang berada di ibu kota selama seminggu. 
Sementara itu, Alfas Herman­syah selaku pengurus juga orang pertama yang melihat kebolehan Tegar, mengakui memilih Tegar kerana pertama kali mendengar suara kanak-kanak itu dia terpaku dan teruja akan keunikan yang dimiliki. 
Selain lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang turut dimuatkan dalam album mini Tegar dan Sahabat ialah Sekolah, Rindu Ibu, Bengawan Solo, Sahabat Tegar, Ayah Ibu Malaikatku, YouTube Oh YouTube, Ulang Tahunku, Ke Mana Lagu Untukku, Kebun Binatang dan Libur Sekolah.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...