Wednesday 4 September 2013

Posted by Unknown On Wednesday, September 04, 2013
Assalamualaikum semua.
Apa khabar anda hari ni? Masih terasa 'panas' lagi dengan kenaikan harga minyak negara? Atau sudah mula terasa bahangnya apabila semakin kerap meletak minyak setiap minggu.

MANA JANJIMU?!


Masihkah kau ingat?~dalam nada gembira ye~
Sejujurnya, saya paling benci orang yang bermuka-muka, manis di depan tetapi mencuka di belakang. 'Janji ditepati', 'rakyat didahulukan' dan 'negaraku berdaulat' sebagai tema yang menghiasi dinding-dinding pejabat kerajaan dan kementerian kini seperti bermaksud sebaliknya seperti kata bidalan,"Ada udang di sebalik batu".

Baru sahaja 3 bulan mendapat mandat dari rakyat yang kebanyakannya 'bijaksana' memilih dan baru 3 hari hari kemerdekaan disambut meriah di serata negeri, kini meletup isu 'harga minyak' yang diperlukan oleh golongan orang minyak untuk melondehkan rakyatnya sendiri.

Pelbagai janji yang ditabur kini sudah mula dilupakan sedangkan ketika hampir pilihanraya golongan ini dan para penyokongnya mengatakan 'Manifesto mereka suatu janji yang pasti ditepati, tidak seperti kumpulan yang satu lagi'. Kini apa sudah jadi?! Kerana inilah orang-orang tua selalu berpesan,"Kerana mulut, badan binasa'.

Yang lebih peliknya, rakyat yang berotak udang ni. Bukankah setiap kali pilihanraya berlangsung, janji seperti ini juga yang ditaburkan? Sehingga kini sudah lebih 13 kali pilihanraya, masyarakat berotak udang ini sentiasa ada penggantinya. Oh, mungkin saya lupa pesan Tun Mahathir,"Melayu mudah lupa".


Betul kata Dr. Azizan Osman (DAO),"Orang Melayu banyaknya BODOH SOMBONG. Bila dibiarkan sendiri, BODOH, bila ditegur SOMBONG".

RAKYAT 'BERANGIN'

Bermula 2 hari lepas sehingga ke hari ini, penuh wall-wall FB dan Twitter serta media-media sosial yang lain yang dihiasi pandangan majoritinya menolak dan sebahagian lagi masih menyokong.


Bagi saya, rakyat yang 'memberontak' dalam 'senyap' ini punya hak mereka kerana kebanyakan daripada mereka telah cuba MENYELESAKAN diri dengan situasi ini setelah harga minyak naik kali terakhir sebanyak 5 sen pada 2010 dahulu. Setelah 3 tahun dan setiap tahun dinaikkan sebanyak 5 sen maka tidak hairanlah sekarang memuncak naik 20 sen seliter. Kenaikan minyak dahulu pun sudah jenuh masa rakyat marhaen ini diisi dengan pelbagai OT selama satu atau dua tahun. Baru sahaja hendak goyang kaki tahun ini, dinaikkan pula harga petrol sekali lagi, berlipat kali ganda pula tu yang membawa maksud berlipat kali ganda jugalah kerja yang perlu dilakukan.

Manoriti pihak yang memberi sokongan kelihatannya ramai di kalangan mereka adalah penjawat awam, jadi faham-faham sajalah. Bukan saya kata semuanya menyokong tetapi sebahagiannya sahaja. Inilah yang dipanggil selfish. Adakah mereka ini tidak hidup bermasyarakat dengan orang lain?! Itu soalan pertama saya. Mentang-mentang gaji mereka setiap tahun dinaikkan berkali ganda dan elaun COLA yang semakin meningkat naik, tidak pernahkah mereka melihat golongan yang bekerja dalam sektor swasta yang semakin 'merempat' di tempat kerja sendiri.

Kenapa saya kata begitu? Sebab saya masih berhati perut. Bukan hanya menjaga periuk nasi sendiri sahaja. Lihat Akta Pekerja yang direka khas untuk meminimumkan gaji dan elaun kepada pekerja dan memaksimumkan untung kepada para majikan. Korek balik di internet mengenai Akta Gaji Minimum yang telah tertangguh berpuluh-puluh tahun sehingga berpuluh-puluh juta rakyat Malaysia tertindas. Belum pun selesai masalah gaji minimum dan akta pekerja yang berat sebelah ini, kini harga minyak yang dinaikkan!!! 

Bagi yang menyokong tindakan kerajaan ini kerana anda penyokong kuat parti tertentu atau fahaman kuat ideologi kapitalisme, jangan bila anda pencen nanti dan tiada bantuan lagi untuk anda, baru anda faham perasaan para pekerja yang tiada apa-apa sekarang ini!! 


Jangan tidak berhati perut kepada orang Islam yang lain terutamanya kerana itu tanda penyakit pada iman kita, Bukankah Nabi bersabda,"Tidak sempurna iman seseorang yang ia mengasihi saudaranya sepertimana ia kasih terhadap dirinya sendiri". yang paling ditakuti adalah hadis yang berbunyi,"Bukanlah dari kalangan umatku mereka yang tidak mengambil berat tentang kesusahan umat Islam yang lain".

BERSATULAH UMATKU

Dalam kelas tengah hari tadi, ketika membincangkan mengenai hukuman dalam hukum kanun jenayah Islam, ada pelajar yang bertanya,"Kenapa umat Islam di Malaysia berpecah? Ada PAS ada UMNO?". Saya malas juga nak menjawab sebab masuk sempadan isu-isu sensitif ini.


Saya jawab dengan mudah,"Umat Islam takkan sesekali berpecah, kecuali mereka ingin masuk 'neraka' dunia dan akhirat, tetapi yang berpecah adalah umat Melayu". Kita berpecah atas dasar tertentu yang tak menguntungkan yang akhirnya memberi kesan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan.

Di sinilah datang persoalan. betul kita nak bersatu, tapi kita nak bersatu atas DASAR apa? Jika atas dasar bangsa, sekarang yang menekankan bangsa sendiri adalah Melayu juga. Kalau nak bersatu atas dasar ekonomi, kita bukan penyubur ekonomi utama. Kalau bersatu atas dasar politik, selamanya pasti tidak berlaku. Maka yang tinggal hanya satu, iaitu AGAMA. 

Bersatulah atas dasar agama dan persaudaraan Islam kerana atas kalimah syahadahlah kita bersatu dari awal hingga ke hujung hayat.

KELUAR DARI ZON SELESA

Saya MOHON sangat kepada semua untuk keluar dari zon selesa dan pulau alasan anda. Selagimana anda berada di dalamnya, anda hanya akan jadi seperti lalang. Hari ini marah, esok lusa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Angin bertiup ke Barat, ke sanalah anda mengadap, angin bertiup ke Timur, beralihlah pula anda sekali lagi. Jika tiada angin tinggallah anda di sana tanpa hala tuju. Tegak seperti mayat tiada roh gayanya.

Jika hari ini anda rasa kesempitan hidup, jangan lagi berlagak BIASA. Majulah setapak lagi. Tinggalkan dunia makan gaji sebagai sumber harta segalanya untuk anda. Carilah sumber sampingan melalui perniagaan. Mengapa dikekalkan lagi pembahagian bangsa oleh penjajah itu? Yang Melayu, bertani di bendang, India pula menoreh getah di ladang dan Cina berniaga di pekan. Ini yang masih diwarisi oleh bangsa Melayu kita sedangkan kita tahu bahawa kita tersangat rugi tanpa perniagaan ditambah pula dengan sikap dengki Melayu, siapa tidak tahukan? Begitu juga penyakit malas yang sentiasa bersarang dalam minda dan tubuh kita.

Anda ubah ekonomi anda dan dalam masa yang sama anda sebenarnya sedang mengubah lanskap pemerintahan negara. Gula-gula BR1M, Kad Diskaun, Rumah Pertamaku dan sebagainya yang dulu membuatkan negara gegak-gempita pasti tidak akan berbunyi lagi suatu masa nanti jika kita telah mempunyai sember kewangna yang kukuh.


Sejujurnya, saya juga tak KASIHANKAN kepada si miskin, kerana KEBANYAKAN mereka inilah yang beratur panjang untuk mendapat subsidi ini semua dan tangan kebanyakan dari mereka jugalah yang memilih pemerintah sedia ada. Di hujung hayat jugalah mereka meninggalkan wasiat kepada anak-anak untuk memilih pemimpin yang sama. Jika ingkar, perkataan derhaka akan diguna sebagai pasaknya, biar kejap dalilnya!

Berbeza dengan si kaya dan peniaga, mereka lebih faham strategi politik murahan ini dan sekarang mereka menuai hasil. Nampak tak, yang miskin terus bodoh sekali dan rugi 2 kali manakala si kaya dan peniaga, pandai sekali dan untung berlipat-lipat kali.

Yang menyedihkan apabila AHLI AGAMA dan orang-orang yang berpendidikan agama juga tidak berani berniaga sedangkan mereka kadang-kala belajar berpuluh tahun mengenai agama. ini pengalaman saya sendiri memberi konsultasi kepada mereka. Ada yang meminta konsultasi dari saya dan apabila diterangkan secara keseluruhannya tiba-tiba menghilangkan diri, langsung tidak membalas mesej di telefon dan juga FB walau diberi jalan dengan modal yang rendah, seolah-olah saya mengejarnya untuk meminta yuran konsultasi. Ini minoriti.

Tetapi majoritinya, adalah dalam 50 orang, kini dah mula berjaya dan terus berjaya kerana mengikut jalan orang-orang yang telah BERJAYA. Untuk mendapatkan ilmu termasuk ilmu perniagaan, jarak dan masa bukan penghalang. Penghalang utama adalah jiwa. Sama ada BERANI atau BERALASAN.


Socrates, sarjana Yunani pernah berkata,"Pemerintah akan melampau jika ia kaya dan adil apabila ia papa". Buatlah perniagaan apa pun, yang penting halal lagi baik. Betulkan niat, rapatkan saf, dekatkan diri dengan Allah dan anda pasti akan ditolong olehnya.

Terpulang kepada para pembaca jika anda menganggap ini sebagai luahan rasa politik tetapi bagi saya ia lebih kepada luahan hati kepada pemerintah yang bersifat seperti musang ini. Benarlah sabda Nabi,"Kambing yang bersendirian lebih mudah dibaham oleh si musang berbanding kambing-kambing yang hidup berkumpulan".

Jom jihad ekonomi sekarang. Jika dahulu dan sekarang kita sudah berjihad dalam pendidikan, sekarang masanya untuk berjihad ekonomi. Jom bersama kita majukan ummah.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...