Friday, 14 November 2014

Posted by Unknown On Friday, November 14, 2014

Hari ni, trend pakaian muslimah atau busana muslimah sedikit lari dari aturan syarak. Mungkin kerana zaman kini yang menjadikan fesyen lebih utama daripada menutup aurat itu sendiri. 

Semakin hari, definisi dan tatacara aurat tersebut semakin diringankan sehingga dibawa dari luar masjid hingga ke dalam masjid atau dalam solat khususnya.

Isu ini timbul bila ada rakan wanita bertanyakan saya tentang hukum pemakaian telekung yang dari jenis kain lycra dalam salah satu post saya di FB.


solat, soalan, agama, tiang

Oleh kerana saya sayangkan para ulama sekalipun saya bukan dari kalangan mereka dan saya juga sayangkan orang yang dahagakan ilmu dan saya juga sebahagian daripada mereka, jadi saya jawab melalui lisan para ulama ini.

Saya simpulkan di akhir video ini. Jadi silakan menonton dahulu.

PENCERAHAN ULAMA

1. Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. 

i- Pemakaian jubah dari kain jenis Lycra di luar solat.


ii- Pemakaian telekung ketat dalam solat.



2. Al-Fadhil Ustaz Mat Esa Deraman.



KESIMPULAN HUKUM

1. Aurat wanita terbahagi kepada 2 secara umumnya.

i- Aurat di luar solat:

Definisi aurat ini adalah pakaian yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan melalui pemakaian yang bersifat:

  • TIDAK NIPIS hingga menampakkan warna kulit di sebalik pakaian 
  • TIDAK KETAT sehingga menampakkan bentuk badan kecuali bentuk kepala dan bahu.

ii- Aurat di dalam solat -

Definisi aurat ini adalah pakaian yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan melalui pemakaian yang bersifat:

  • TIDAK NIPIS hingga menampakkan warna kulit di sebalik telekung atau pakaian solat yang dipakai. Syarat sifat ini disepakati oleh semua ulama mazhab yang empat.
  • TIDAK KETAT menjadi pendapat yang tidak disepakati oleh mazhab yang empat. 

Maka di sini terdapat kelonggaran kepada wanita yang berpakaian ketat atau menampakkan bentuk tubuh secara jelas di dalam solat.



2. STATUS PAKAIAN KETAT WANITA?

Di sini saya jelaskan hukum pemakaian wanita yang ketat, bukan sah atau batal solat. Jangan keliru ye.

Di luar solat:

Asas pengharaman pakaian ketat untuk wanita adalah PANDANGAN LELAKI yang bukan mahramnya atau lelaki ajnabi. 

Maka hukumnya:

  • DIMAAFKAN bentuk kepala dan bentuk bahu. Tidak perlu berusaha untuk menutup bentuk tersebut.
  • Jika punggung dan buah dada tidak berbentuk kerana saiznya yang kecil, hukumnya SUNAT melabuhkan tudung hingga menutup dada dan punggung tersebut.
  • Jika punggung dan buah dada berbentuk kerana saiznya yang besar, hukumnya WAJIB melabuhkan tudung hingga menutup dada dan punggung tersebut. 
  • Jika wujud sesuatu sebab yang menyebabkan terbuka pakaian itu hingga ternampak bentuk punggung dan buah dada seperti angin kuat, maka dimaafkan dalam ketidaksengajaan.

Di dalam solat:

Tetapi untuk pengharaman pakaian ketat di dalam solat, asasnya pada PANDANGAN ALLAH SWT

Maka, asasnya di sini tidak kuat untuk mengharamkannya kerana pandangan Allah tidak terkesan dengan sifat 'syahwat' yang ada pada lelaki. Maha Suci Allah dari bersifat seperti sifat makhluk.

Namun begitu, perlu faham konteksnya terlebih dahulu.

i- Jika wanita yang bertelekung kain jenis lycra ini SOLAT DI RUMAH atau tempat tertutup bersama wanita yang lain, maka pengharamannya tentu tidak berlaku sama sekali.

Ini kerana tidak mungkin wujud pandangan lelaki bukan mahram selain suaminya yang boleh melihat auratnya atau bentuk tubuhnya ketika itu.

Maka hukum berpakaian seperti ini adalah MAKRUH (dibenci pada syarak) . Maka, jalan terbaik adalalah mencari pakaian yang lebih bersesuaian untuk solat.

ii- Jika wanita yang bertelekung kain jenis lycra ini SOLAT DI MASJID, maka ada juga asas pengharamannya kerana wujud di sana pandangan lelaki sama ada sengaja atau pun tidak. 

Jika ia membawa kepada syahwat lelaki atau fitnah di masjid, maka wujud pula hukum yang lain pula kerana sifat hukum itu berubah mengikut konteks situasinya.

Maka hukumnya HARAM sekalipun sah solatnya. Maksud haram di sini adalah berdosa cara pemakaiannya sekalipun sah dan berpahala solatnya.

3. STATUS SOLAT DALAM KEADAAN BERPAKAIAN KETAT?

Hukumnya adalah SAH SOLAT tersebut sama ada ia berpakaian seperti itu di rumah atau tempat tertutup untuk wanita sahaja dan di masjid atau tempat awam yang bercampur lelaki dan wanita.



4. Adakah anda jelas dengan hukum di atas?!

Jika jelas, ubahlah cara berpakaian tersebut. Tidak salah bercantik-cantik di dalam solat tapi ikutilah hukum yang telah digariskan.

Ini kerana kaedah mudah di dalam agama adalah setiap perbuatan atau ibadat mestilah sifatnya bersederhana. Maksud sederhana itu adalah mengikut tunjuk ajar syarak. Jangan meremehkan dan jangan pula melampau.

5. Untuk penjual dan pembeli.

Sekiranya anda telah pun membelinya, maka gunakanlah di tempat tertutup kerana mengambil manfaat daripada telekung tersebut. Mensia-siakan manfaat daripada sesuatu itu adalah berdosa.

Sekiranya anda ingin membeli pula, silakan membeli tapi penggunaannya adalah sama. Elakkan daripada memakainya di masjid atau tempat solat awam yang bercampur lelaki dan wanita.

Sekiranya anda adalah pengeluar, pengedar atau penjual telekung jenis kain lycra ini, berilah info hukum ini kepada mereka.

Ini bukan sahaja menunaikan tanggungjawab anda terhadap pelanggan anda bahkan ia memberi satu persepsi yang baik terhadap anda dan mendapat kepercayaan di hati para pelanggan.

Semoga bermanfaat untuk anda. Jika ia juga turut bermanfaat pada rakan-rakan wanita anda yang lain, feel free to SHARE.

Agama itu perkongsian ilmu dan kesejahteraan.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...