Thursday 4 December 2014

Posted by Unknown On Thursday, December 04, 2014

Diriwayatkan bahawa Nabi Yahya a.s pernah didatangi iblis yang membawa beberapa benda bergantungan pada badannya. 

Lalu Nabi Yahya bertanya: "Apakah benda yang bergantungan itu?" 

Jawab iblis: "Inilah syahwat yang aku pergunakan untuk menguasai dan menggoda manusia."

Nabi Yahya kemudian bertanya: "Apakah yang ada pada syahwat itu?" 

Jawab iblis: "Kadang-kadang dengan syahwat ini engkau kekenyangan lantas aku beratkan engkau daripada mengerjakan solat dan zikir." 

Nabi Yahya terus menjawab: "Demi Allah, selama-lamanya aku tidak akan memenuhi perut dengan makan hingga terlalu kenyang."

terlalu kenyang, makan banyak, buncit

Ini juga yang dikuatkan dengan hadis Nabi SAW:

"Tidaklah anak Adam memenuhi wadah yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan punggungnya. 

Namun jika ia harus (melebihinya), hendaknya sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk bernafas".

Makruh dan dicela jika makan hingga terlalu kenyang dan disertai pula dengan kemalasan dalam beribadat.

Bahkan kekenyangan hukumnya boleh menjadi HARAM. Ibnu Hajar berkata:

"Larangan kenyang yang dimaksudkan adalah kenyang yang membuatkan perut penuh dan membuat orangnya berat untuk melaksanakan ibadah dan membuat angkuh, bernafsu, banyak tidur dan malas. Hukumnya boleh berubah dari makruh menjadi haram sesuai dengan akibat buruk yang ditimbulkan". 

Namun begitu, adakalanya sunnah untuk makan banyak kadang-kala terutamanya jika makan di rumah orang soleh atau makan bersama orang soleh atau makan masakan orang soleh.

Makanan orang soleh mempunyai ciri-ciri ini:
  • Bersih
  • Halal
  • Berkat

AKIBAT TERLALU KENYANG

1. Menghilangkan rasa takut kepada Allah.

Yahya bin Mu’adz ar-Razi berkata:

"Perangilah nafsumu dengan ketaatan kepada Allah dan riyadhah (latihan) dengan meninggalkan banyak tidur, sedikit bicara, sedikit makan dan bersabar dari gangguan manusia.

Sedikit tidur dapat memperbaiki hati.
Sedikit bicara dapat selamat
Sabar dari bencana boleh meninggikan darjat dan
Sedikit makan juga dapat mengurangi kesenangan nafsu.

Sedangkan banyak makan dapat menimbulkan kerasnya hati dan matinya cahaya hikmah dan akan menjauhkan diri dari Allah".

2. Menghilangkan kasih sayang sesama makhluk.

Orang yang selalu kenyang selalu beranggapan bahawa orang lain kenyang sepertinya. Jika mereka ini dapat mengubah kebiasaan buruk ini, pasti mereka mendapat jaminan baginda SAW ini.

Rasulullah SAW bersabda:

"Wahai manusia, bersedekahlah aku akan menjadi saksi atasnya pada hari kiamat. 

Mungkin ada di antara kalian yang pada malam hari masih mempunyai sesuatu yang berlebih setelah ia kenyang, sedangkan saudaranya menghabiskan malam dalam keadaan lapar. 

Dan mungkin ada di antara kalian orang yang selalu menambah hartanya, padahal tetangganya yang miskin tidak dapat mencukupi keperluannya."


petua, imam, syafie

3. Kenyang boleh menyebabkan seseorang itu berat untuk taat beribadat.

Imam Asy-Syafi’i berkata:

"Kerana kenyang, badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah".

4. Sewaktu mendengar kata-kata hikmah, orang yang terlalu kenyang tidak dapat menangkap dan merasakan kehalusannya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Orang terbaik di antara kamu kedudukannya di sisi Allah adalah yang paling panjang laparnya dan paling lama berfikir. 

Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah adalah setiap orang yang terlalu banyak tidur, terlalu banyak makan dan terlalu banyak minum".


5. Jika orang yang kenyang itu memberikan nasihat dan hikmah, maka apa yang dikatakan itu tidak dapat meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.

Imam Al-Ghazali berkata: 

"Sesungguhnya di hari kiamat, orang yang dekat dengan Allah ialah orang yang sering lapar dan haus. Suatu perkara besar yang dapat merosakkan anak adam ialah persoalan perut. 

Kerana perut itu pula Nabi Adam dan Hawa terusir dari syurga. Ketika Allah SWT melarang mereka untuk memakan buah khuldi, mereka tidak berjaya menahannya, akhirnya mereka memakan buah itu."

6. Perutnya menjadi tempat busuk dan berpenyakit.

Ibnu Qaiyim al-Jauziyah menjelaskan di dalam kitab At-Tib an-Nabawi:

"Sesungguhnya perut apabila dipenuhi dengan makanan, ia akan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi oleh minuman, ia menyempitkan ruang untuk pernafasan. Ketika itu, ia terdedah kepada kesakitan dan keletihan. 

Keadaan seperti ini tidah ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang berat dan kesannya menyebabkan kerosakan badan dan hati serta mendatangkan kemalasan beribadah. 



Selain itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila seseorang kenyang. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia sudah tentu memudaratkan, tetapi jika hanya sekali-sekala dibolehkan.".

KESIMPULANNYA

1. Jangan terlalu dilayan syahwat (keinginan) perut dan nafsu sendiri. Syahwat tak pernah cukup, nafsu tidak pernah puas.

2. Menahan diri dari makan terlalu banyak bukan sahaja untuk diet tapi tanamkan niat yang lebih baik iaitu untuk menjaga nikmat kesihatan.

Dengan nikmat sihat itu kita gunakan untuk menambahkan ibadat kepadaNya.

3. Kebanyakan orang mencari ubat setelah sakit. Sedangkan tanpa sedar, ubat sebenar adalah dengan meninggalkan punca sakit tersebut. 

Jika penyakit itu timbul dari kerana makan terlalu banyak, meninggalkan makan itu adalah ubatnya.

"Makan dan minumlah tapi jangan kamu membazir"

Semoga bermanfaat untuk tatapan anda.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...