Monday 21 September 2015

Posted by Unknown On Monday, September 21, 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung wafiqulya.

Saya doakan anda kaya dan berjaya, bahagia dan sejahtera sentiasa.

Hari ni, saya ingin berkongsi kisah dan teladan yang hebat dari perbendaharaan kisah para ulama silam.

Tentunya ia dapat memberi kita pengajaran yang sangat besar dan teladan yang sangat perlu kita santuni.

Benarlah ungkapan para ulama terdahulu,"Dengan menyebut kisah golongan soleh nescya akan turun rahmat (pada hati)".

KISAH HAJI MABRUR TANPA HAJI

Abu Abdul Rahman bin Abdullah Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi, seorang ulama yang termahsyur di Makkah menceritakan kisah ini.

Suatu ketika, selepas selesai salah satu ritual haji, beliau berehat dan tidur. 

Dalam mimpinya beliau melihat dua malaikat turun dari langit, dia terdengar perbualan mereka, 

"Berapa ramai jemaah yang datang pada tahun ini?" tanya malaikat itu kepada para malaikat lain.

"Tujuh ratus ribu," jawab malaikat yang satu lagi.

"Berapa ramai orang-orang yang diterima hajinya itu?"

"Tiada satu pun"

Perbualan itu membuat Abdullah gementar ketakutan, "Apa?" Dia menangis sekalipun sedang bermimpi.

"Semua orang-orang ini datang dari belahan bumi yang jauh, dengan susah payah dan keletihan sepanjang jalan, mengembara melalui padang pasir yang luas, dan semua usaha mereka sia-sia?" sahut hatinya.

Walaupun dengan rasa takut, dia terus mendengar cerita kedua malaikat tersebut.

"Namun ada seorang lelaki yang walaupun dia tidak datang untuk menunaikan haji, tetapi ibadah hajinya diterima dan semua dosanya telah diampunkan. Di atas keberkatan daripada lelaki itu, seluruh haji para jemaah diterima oleh Allah. "

"Bagaimana ia boleh terjadi begitu?"

"Itu adalah kehendak Allah"

"Siapakah orang tersebut?"

"Sa'id bin Muhafah, tukang kasut di kota Damsyik"


MENCARI SA'ID IBNU MUHAFAH

Mendengar ucapan itu, ulama itu terus terjaga. Pulang daripada haji, dia tidak terus balik ke rumah, tetapi beliau pergi ke kota Damsyik, Syria.

Sampai di sana, beliau terus pergi ke tukang kasut yang disebut oleh malaikat dalam mimpinya. 

Hampir semua tukang-tukang kasut dia bertanya, apakah benar ada tukang kasut yang bernama Sa'id bin Muhafah.

"Di sana, di pinggir bandar", kata seorang tukang kasut sambil menunjukkan arahnya. 

Beliau terus meluru ke aarah yang ditunjukkan. Apabila sampai, ulama tersebut menemui seorang tukang kasut yang berpakaian lusuh berada di sana.

"Adakah benar anda bernama Sa'id bin Muhafah?", tanya beliau.

"Betul, siapakah tuan?"

"Saya Abdullah bin Mubarak"

Said terharu, "Tuan adalah ulama yang terkenal, kenapa tuan datang mencari saya?"

Sejenak ulama itu agak terkeliru, di mana beliau ingin memulakan soalan, akhirnya beliau memberitahu perihal mimpinya itu.

"Saya ingin tahu, adakah apa-apa yang anda telah buat, sehingga anda layak mendapat pahala haji mabrur?"

"Wah! saya sendiri tidak tahu!"

"Beritahu saya bagaimana kehidupan anda selama ini".

Sa'id bin Muhafah kemudian teringat, 

"Setiap tahun, setiap musim haji, saya selalu mendengar: Labbaika Allhuma labbaika....Labbaika la syarika laka labbaika... innal hamda...Wanni'mata... Laka wal mulka... La syarika lah...

Ya Allah, aku datang kerana panggilanMu. Tiada sekutu bagi Mu. Segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan kekuasaanMu. Tiada sekutu bagiMu.

Setiap kali aku mendengarnya, aku sentiasa menangis "Ya Allah aku rindu Mekah ... Ya Allah aku rindu melihat ka'abah ... Izinkan aku datang ... Izinkan aku datang, ya Allah ..."

Oleh kerana itu, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu setiap hari saya mengenepikan sedikit wang dari hasil kerja saya sebagai tukang kasut. 

Sedikit demi sedikit, saya kumpulkan. Akhirnya, tahun ini, saya mendapat 350 dirham, cukup untuk haji saya.

"Saya sudah bersiap-sedia untuk berangkat menunaikan haji"

"Tetapi anda batalkan?"

"Benar"

"Apa yang berlaku?"

"Isteri saya mengandung dan sering mengidam. Ketika saya hendak berangkat pergi saat itu isteri saya terlalu mengidamkan sesuatu "

"Abang, awak terhidu bau masakan yang sedap ini?

"Ya sayang"

"Cubalah abang cari, siapakah yang memasak sehingga baunya lazat begini. Mintalah sedikit untuk saya "

"Tuan, saya mencari sumber bau masakan itu, ia datang dari sebuah pondok buruk berhampiran. Di situ terdapat seorang balu dan enam orang anaknya."

Saya memberitahunya bahawa isteri saya mahu masakan yang dia masak, walaupun sedikit. 

Ibu tunggal itu diam melihat saya, sehingga saya mengulangi kata-kata saya.

Akhirnya dengan perlahan dia berkata, "Tidak boleh tuan"

"Saya sanggup membeli walau dengan harga yang tinggi," kata saya tegas

"Makanan ini bukan untuk dijual, tuan," katanya sambil berlinang air mata.

Saya bertanya kenapa?

Sambil menangis, wanita itu berkata, "Ini adalah daging halal untuk kami tapi haram untuk tuan," katanya.


Dalam hati saya, "Bagaimana halal baginya, tetapi ia adalah haram untuk saya, padahal kita sama-sama Muslim?"

Kerana itu, saya menggesa beliau lagi, "Kenapa?"

"Sudah beberapa hari kami tidak makan. Di rumah tidak ada makanan. Hari ini kami ternampak seekor keldai mati dan kemudian kami mengambil sebahagian dagingnya untuk dimasak "

"Bagi kami ini adalah daging yang halal kerana jika kami tidak memakannya kami akan mati kebuluran. Tetapi bagi Tuan, daging ini haram".

Mendengar kata-kata wanita itu, saya terus menangis, lalu saya pulang ke rumah.

Saya memberitahu isteri saya mengenai kejadian itu, dia pun menangis, kami akhirnya memasak makanan dan pergi ke rumah wanita itu tadi.

"Ini masakan untuk kamu"

Peruntukan wang haji sebanyak 350 dirham telah saya berikan kepada mereka.

"Gunakan wang ini untuk puan dan keluarga puan. Gunakanlah ia untuk modal berniaga, supaya puan sekeluarga tidak lapar lagi"

Ya Allah ... di sinilah Hajiku ...
Ya Allah... di sinilah Mekahku ...

Mendengar kisah tersebut Abdullah bin Mubarak tidak dapat menahan air mata.

FIKIRKANLAH

Fikirkanlah....

Bagi orang yang telah pergi berpuluh puluh kali haji tapi bakhil. 

Di mana tempat mereka? Sedangkan dalam masa yang sama berapa ramai lagi umat Islam yang memerlukan.

Fikirkanlah....

Bagaimana kita yang mengumpulkan harta yang bukan untuk tujuan ibadat seperti mengerjakan haji tapi hanya semata-mata mengumpulkan harta.

Sedang di keliling kita masih terdapat ramai umat Islam yag masih belum cukup makan pakainya. Sedang kita hanya membekukan harta kerana takut miskin.

Fikirkanlah....

Bagaimana mungkin kita tidak hidup dan bekerja secara luar biasa untuk menjadi kaya dan berjaya, menjadi jutawan hartawan dan dermawan untuk tujuan kemajuan umat?

Kita selalu mengatakan,"Hidup sekadarnya kerana mati tidak akan bawa apa-apa kecuali amal".

Sedangkan dalam keadaan tanpa sedar, kita akui bahawa dengan hartalah, banyak 'amal' dapat kita kumpulkan.

Pernah dengar hadis mengenai para sahabat yang miskin berjumpa Nabi SAW dan meminta satu amalan untuk bersaing dengan orang kaya yang banyak amal mereka disebabkan anugerah harta yang ada dalam tangan mereka?

Bukankah di akhir hadis Nabi mengatakan,"Jika mereka melakukan amal yang aku berikan ini dan mereka pula berbuat kebaikan dengan harta mereka, nescaya itulah kelebihan (pahala) buat mereka."

Jelas...jelas?

Betapa harta itu bukanlah 100% milik kita tapi kita digalakkan bersungguh-sungguh mencarinya agar kita dapat berbuat lebih banyak amal untuk kebaikan umat Islam.

Semoga bermanfaat. 

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini untuk SHARE bersama rakan-rakan. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...