Wednesday, 11 November 2015

Posted by cikgu mat On Wednesday, November 11, 2015
Assalamualaikum kepada semua pengunjung wafiqulya. Semoga anda dalam keadaan sihat, kaya dan berjaya, dunia dan akhirat hendaknya.

Saya ingin kongsikan beberapa point menarik mengenai penyakit umat akhir zaman dalam beragama. Tapi secara khusus, ia dikaitkan dengan agama secara ekstrim.

Beberapa hari lepas, saya melihat satu video menarik mengenai perbincangan bisnes dan kaitannya dengan agama.

Tapi malangnya terdapat banyak kekeliruan di dalam video itu yang dikelolakan oleh sepasang usahawan Islam dan konsultan dari sebuah organisasi bebas yang dakwanya berpandukan al-Quran.

BETAPA SAKIT UMAT AKHIR ZAMAN

1. Taksub dengan konspirasi 'New World Order'.

Antara ucapan menarik yang sempat saya ulang berkali-kali adalah:

"Anda jalankan bisnes, untung berpuluh ribu. Ke mana wang itu? Adakah untuk melangsaikan hutang atau menambah hutang melalui pemilikan aset-aset baru?

Hutang itu riba. Riba itu sistem dajjal. Dajjal itu lahir dari sistem thaghut".

Kemudian dibacakan beberapa patah ayat Quran mengenai thaghut.

Ini pemikiran orang taksub dengan ketakutannya sendiri akibat kejahilan. Kemudian menyandarkan pula kepada sistem bank dan matawang yang diasaskan oleh Barat untuk merealisasikan semangat 'New World Order'. 

Sedangkan sebenarnya fahaman ini bertentangan langsung dengan perintah al-Quran dan pemahaman riba di sisi Islam.

Islam tidak mempedulikan matawang itu jenis tembaga, kertas atau sesuatu yang bernilai seperti emas dan perak atau sistem bank apa pun. Tapi Islam melihat kepada transaksi jualan itu sendiri untuk meletakkan hukum.

Untuk pengetahuan semua, hukum sebenar adalah hutang itu hutang. Riba itu adalah riba. 

Dalam hutang kemungkinan ada riba. Dalam riba, tidak semestinya pada hutang sahaja.

Cara transaksi hutang itu akan menentukan sama ada hutang itu mengandungi riba atau sebaliknya. 


Kerana itu setiap bank pada masa kini sudah mula mengambil jalan memisahkan antara sistem bank konvensional berasaskan riba dan sistem bank Islam yang berasaskan jual beli.

Ingat, Allah mengharamkan riba, menghalalkan jual beli dan mengharuskan hutang.

Jangan terlalu taksub dengan teori konspirasi. Lupakah kita pada janji Allah untuk memelihara agamaNya?

"Mereka merancang perancangan jahat dan Allah juga merancang perancangan buruk untuk mereka. Sesungguhnya Allah sangat teliti perancangannya (dari mereka)".

2. Menterjemah dan menafsirkan Quran dengan akal sendiri semata-mata.

Terkesima saya apabila dibacakan ayat,"Lakum dinukum waliyadin" yang bermaksud bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku.

Menariknya, agama dalam ayat ini diterjemahkan sebagai sistem hidup. Salahkah?

Sangat dalam salahnya apabila ayat ini dijadikan kata dua kepada organisasi bisnes yang ingin mengikut cara leadernya yang kelihatannya ingin kembali kepada sistem Islamik atau mengikut sistem tidak Islamik (dengan hutang, pemilikan harta dari keuntungan, melancong dan lainnya).


Sedar tak bahawa terjemahan ini adalah menurut perkataan 'Din' itu sendiri yang diterjemah sebagai sistem.

Adakah kita boleh mengikut terjemahan ini?

Ulama sudah lama menjawab bahawa kita tidak dibenarkan menterjemahkan Quran dengan bahasa kita sendiri tapi mesti diterjemahkan mengikut asbab nuzul dan  dari istilahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menghuraikan al Quran dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan”. 

Kerana itu wajib terjemahan Quran merujuk kepada tafsiran Quran berdasarkan:

1- Tafsiran Quran kepada Quran sendiri
2- Tafsiran hadis kepada Quran
3- Tafsiran ulama kepada Quran 

Tafsiran diri sendiri dengan akal sendiri kepada Quran tidak pernah diajar dalam dunia Islam melainkan umat Islam kini.

Kebanyakannya menggunakan akal sendiri untuk mentafsirkan Quran dengan logik dan kepentingan peribadi dan organisasinya.

Ayat 'Lakum dinukum waliyadin' adalah ayat yang diturunkan kepada orang Islam dan orang bukan Islam untuk memisahkan cara hidup antara Muslim dan non-muslim.

Bukan untuk sesama orang Islam!

Kerana itu wujudnya perselisihan pendapat dalam umat Islam. Bahkan ia diraikan dalam Islam selagimana ada dalil yang diambil dari ulama dan dijadikan sandarannya.

Contoh, jika anda ingin berbisnes tudung dan ada satu kumpulan ingin berbisnes pakaian dalam wanita.

Janganlah dibacakan ayat ini untuk menunjukkan bisnes kita lebih Islamik dari bisnes pakaian dalam itu.

Adakah anda lebih muslim dan mukmin apabila menjual tudung daripada orang lain?

Fikir dan fahami ayat ini. Ini juga penyakit umat terdahulu yang timbul dari sikap sombong mereka dengan akal mereka sendiri,

"Dan sesungguhnya, ada antara mereka yang memutar-mutarkan lidah (memutar-belitkan bacaan) mereka pada kitab supaya kamu menyangka ianya sebahagian daripada kitab, padahal ia bukan daripada kitab dan mereka katakan itu daripada sisi Allah, sedangkan ia bukan daripada sisi Allah dan mereka berdusta atas nama Allah, padahal mereka mengetahui."

3. Menolak ulama.

Gerakan terkini di Malaysia dan diserap serta digunapakai oleh semua ajaran sesat adalah menolak ulama.

Pernah mendengar ayat ini:

i. Kita perlu kembali kepada al-Quran sahaja kepada ia adalah kitab yang tiada keraguan padanya....kemudian dibacakan ayat Quran menyokongnya.

ii. Kita perlu kepada al-Quran dan hadis sahaja kerana sabda Nabi SAW....... kemudian dibacakan hadis menguatkannya.

iii. Kita tidak perlukan huraian dan pendapat ulama kerana mereka tidak hidup pada zaman kita. Kita lebih tahu mengenai zaman kita. Mereka menggunakan akal, kita juga menggunakan akal seperti mereka....kemudian dibacakan ayat Quran dan hadis untuk menambahkan keraguan kepada para ulama.

Mungkin mereka lupa bahawa Quran dan hadis itu turunnya kepada Rasul SAW yang bertindak sebagai penterjemah dan penafsirnya dalam kehidupan seharian baginda.

Wahyu tidak diturunkan kepada akal biasa seperti manusia biasa. Kerana itu Allah memilih setiap rasul bagi setiap umat dari kalangan orang yang paling cerdik, paling bagus fizikalnya dan paling baik akhlaknya.

Saya berbaik sangka bahawa mereka hanya membaca dan mengulang-ulang hadis ini tanpa kefahaman yang sebenar,

"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya, al-Quran dan sunnahku".

Kemungkinan masih belum sampai kepada mereka berita mengenai pewaris Nabi SAW sehingga ia disebut sendiri dari lisan junjungan mulia,

"Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak."

Bahkan ia dikuatkan lagi dengan firman Allah sebagai lesen mereka yang paling amanah dengan kebenaran Quran dan hadis,

"Hanyasanya yang paling takut dari kalangan hambaku adalah ulama."

Maksudnya, apabila kita telah menolak ulama, kita telah menolak kebenaran yang dibawa oleh mereka. Kerana mereka tidak akan khianat dengan ilmu itu sendiri kerana sifat mereka yang takut kepada Allah.

Secara tidak langsung, kita telah menolak warisan ilmu wahyu dari Nabi SAW dan dari Allah SWT.

Penyakit memandai-mandai inilah yang akhirnya menjerumus umat terdahulu kepada kesesatan yang nyata.

Kerana ego dan sombong dengan kepandaian akal, maka ulama diperbodohkan, sedangkan ilmu itu diwariskan hanya kepada golongan yang layak disebut ulama, bukan ular dalam semak.

Nasihat saya, kemabalilah kepada ajaran Islam sebenar. Jangan mewujudkan kekeliruan dalam hati kita. Kemudiannya, kita berkongsi kekeliruan beragama itu kepada orang lain pula.

Takut nanti, kita menjadi golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Nabi SAW telah lama mengingatkan kita,"Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu."

Maksudnya, mungkin bab dunia, kamu lebih pandai pada bidang kamu. Tapi bab agama, hanya satu golongan sahaja yang lebih tahu.

Mereka adalah alim ulama.


Semoga Allah tunjukkan jalan buat kita dan tetapkan hidayah di dalam hati kita. Sungguh dunia akhir zaman menakutkan. Hanya dengan pertolonganNya, kita akan selamat.

Bacalah doa ini selalu dan aminkanlah. "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetaplah hati kami di dalam agamamu."

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini untuk SHARE bersama rakan-rakan. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

1 comment :

  1. Byk bank2 konvesional berebut2 mengamalkan perbankkan islam kerana untung mereka lebih lumayan serta ada cop halal...agak2 IDB( islamic develoment board) ditubuhkan dulu siapa pemikirnya. Dan idea sistem yg dikatakan islamic lebih mencengkam..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...