Tuesday 14 October 2014

Posted by Unknown On Tuesday, October 14, 2014

Kadang-kala kita bukan hanya patah hati dengan manusia, dengan Allah juga kita patah hati. Walaupun selalunya Allah menjadi tempat terakhir kita mengadapNya...... :'(

Buktinya, betapa ramai yang mahu berdoa?! 
Ketika ia telah lemah, usahanya sudah tidak jalan, maka barulah dirinya teringat kepada senjata doa.

Sedangkan ketika badannya gagah dan otaknya cerdas untuk merangka usaha demi usaha, doa seolah-olah tiada dalam kamus hidupnya.

Hatta yang mendirikan solat pun, selesai salam, terus bangun berkejar-kejar menguruskan dunianya.

Pantas berkejaran itu dituntut tapi bukan tergesa-gesa!

ALLAH SURUH MINTA KAN?

"Dia suruh minta....tapi bila  minta tak dapat. Apa kes?" hentaman dari kebanyakan orang.

Ini salah faham yang paling banyak berlaku.

Hakikatnya yang lebih baik adalah sebelum cari salah orang, cari salah kita.
Begitu juga adab denganNya, cari salah kita dan betulkan.

Bila Allah yang suruh minta, Ia WAJIB beri.

FirmanNya,"Mintalah kepada Aku, Aku pasti berikan kepada kamu!"

Hingga ulama mengatakan, hanya 2 perkara berlaku selepas doa:

i-  Ditangguhkan untuk pemberian lebih baik pada masa yang lebih sesuai.
ii- Digantikan dengan sesuatu yang lebih baik pada keperluan yang lebih sesuai.

Antara buruk adab kita dengan Allah:

1. MINTA BILA PERLU

Tak dinafikan, itulah sikap semua yang bergelar manusia. Minta apabila perlu. Selagi mampu usaha, buatlah dahulu. Betul..betul?!

Tapi kita terlupa....kita dengan Dia tidak setaraf. 
Kita manusia, sedangkan Dia adalah Tuhan.

Dia nak kita minta kepadaNya sebelum kita berusaha sebagai tanda 'berserah' kepada ketentuanNya, begitu juga selepasnya!

Kita buat sebaliknya...
Doa sebelum usaha pun kita tak lakukan....Selepas usaha juga begitu.
Bila sudah hilang daya upaya berusaha dan berikhtiar, baru mahu menadah tangan untuk meminta.


2. MINTA TAPI MEMAKSA

Bila meminta pada Allah, beradablah!

Manusia juga kalau kita meminta secara paksa, pasti tidak diberinya, malahan dibencinya.

Sebab itulah para ulama memberi pesan kepada kita berdasarkan panduan dari Nabi tentang adab-adab berdoa:
  • Bertaubat dari segala dosa.
  • Bersuci dari sebarang najis dan hadas.
  • Mengadap kiblat dengan berpakaian yang bersih
  • Memulakan  dan mengakhiri doa dengan memuji dan selawat
  • Berdoa bersungguh-sungguh dan menyerah kepadaNya
Jangan paksa Allah. Tuntutan berdoa itu tanggungjawab kita, mustajab itu hak mutlak Allah. Jangan campur tangan dalam bidang Dia!


3. MINTA VS BERSERAH

Orang biasa-biasa bila berdoa, ia anggap doanya lebih baik dari apa yang Allah beri.
Orang luar biasa bila berdoa, ia anggap apa yang akan Allah beri lebih baik dari doanya.

Fahamkan bahawa doa adalah penyerahan hajat, keputusan adalah padaNya.

Allah paling suka apabila kita berdoa, kita menunjukkan adab yang jarang manusia lain boleh lakukan iaitu menyerah sepenuh jiwa.

i- Allah beri ikut apa yang Ia suka, bukan apa yang kita suka!

FirmanNya,'Mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.'

Jika Allah beri apa yang kita suka. Kita pasti binasa. Kerana permintaan itu biasanya dari nafsu bukan dari iman.

Ikut nafsu, kita lesu.
Kerana akur nafsu makan, akhirnya kita sakit.
Kerana akur nafsu tidur, kita mundur.
Kerana akur nafsu belanja, kita terjaja.
Kerana akur nafsu berdoa, akhirnya kita binasa.

Allah beri ikut kebaikan iman kita. Kerana itu Allah beri apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita mahukan. Perlu pada pandanganNya, bukan pandangan kita!

Kita perlukan harta untuk bertambah iman, Allah beri harta.
Kita perlukan kemiskinan untuk lebih beriman, Allah beri miskin.
Kita perlukan jodoh untuk lebih beriman, Allah beri jodoh.
Kita perlukan rakan untuk lebih beriman, Allah berikan.


ii- Allah beri sesuatu yang layak denganNya.

Jika kita mengetuk pintu rumah seorang jutawan dan mohon hajat kepadanya,"Bolehkah ajar saya buat roti canai dan boleh untung sehari RM 100?"

Agaknya apa perasaan jutawan itu?
Pasti tidak senangkan? Pasti terasa hati. Kenapa minta ilmu bisnes yang untungnya hanya sikit sangat.

Jika mohon kepada jutawan, mohonlah untuk diajar menjadi tokey kilang roti canai dan menjadi jutawan juga. Bukankah permintaan itu sepatutnya? Itulah lebih layak pada kedudukannya.

Begitu juga Allah yang Maha Kaya dan Maha Pemurah.

Mungkin apa yang kita minta nampak kecil sangat pada pandanganNya. Tidak layak minta padanya sesuatu yang hanya layak diminta kepada manusia biasa.

Jadi ia tangguhkan sementara atas nama Kaya dan Pemurahnya kerana sedang lengkapkan sesuatu yang lebih besar daripada itu. Ia beri mengikut apa yang layak baginya, bukan layak yang diukur pada nafsu kita.

Sabarlah seketika....!

iii- Serahkan...... bukan minta hajat.

Bila berdoa, adab terbaik adalah serahkan hajat itu kepada Allah. Kita usaha seperti biasa. Ketentuannya adalah milik Allah, untuk kebaikan kita!

Bila sebut tentang menyerah, jauh sekali maksudnya dengan mengalah.

Doa tidak menjadikan orang Islam lemah kerana terlalu banyak mengalah.
Doa tidak menjadikan orang Islam mundur kerana terlalu banyak mengundur.

# # # # #

Alasannya,"Saya dah berdoa. Saya dah usaha. Saya sedang menunggu peluang dariNya tapi saya tak dapat apa pun lagi. Maksudnya itu bukan rezeki saya"

Alasan inilah yang bermain di bibir umat Islam yang ramai hari ini sehingga terbukti kata Nabi,"Di akhir zaman umatku akan menjadi seumpama hidangan lazat yang diterkam oleh musuh yang lapar.

Sahabat pun bertanya,"Adakah mereka sedikit?"

Jawab Nabi SAW,"Tidak, bahkan mereka sangat ramai. Tapi umpama buih di lautan."


# # # # #

Kita berserah kepada Allah melaui doa sebelum dan doa selepasnya tapi tetap diiringi usaha.

Doa sebelum usaha adalah supaya Allah pandukan usaha itu dengan jalan yang diredhainya.
Doa selepas usaha adalah supaya Allah tentukan hasil yang terbaik untuk imannya.

Jadi, serahkan hajat kita kerana mengharap petunjuk dan ketentuanNya yang terbaik untuk kita, bukan sebagai alasan untuk mengalah tanpa usaha 'secukupnya'.

Elakkan banyak meminta sehingga terasa marah di dalam hati apabila tidak diberikan. Atau kerana kita telah punya pilihan sendiri hingga menolak ketentuan dari pilihanNya.

Kerana disebut di dalam athar (hadis):

Barangsiapa yang meminta kemudian tidak ditunaikan, kemudian meminta-minta lagi dalam keadaan tidak redha dengan apa yang diberikan, maka kata Allah,

"Hai malaikat, engkau tunai hajat yang dipintanya. Sesungguhnya aku benci mendengar suaranya!"

Kan menyusah diri sendiri bila Allah marah pada kita!

iv- Berdoa mengikut kanun sunnahNya.

+ Berdoa sebelum makan, tapi usahanya dengan hisap rokok yang haram.
Kemudian berdoa selepasnya agar diberikan kesihatan yang baik.

+ Berdoa sebelum kerja, tapi usahanya hanya tidur dan buang banyak masa.
Kemudian berdoa selepasnya agar diberikan rezeki yang berkat.

+ Berdoa sebelum bisnes, tapi usahanya tak seberapa, ilmu juga tidak ditambah-tambah.
Kemudian berdoa selepasnya agar diberikan kekayaan yang melimpah.

Adakah ini kanun doa sepatutnya?
Ikut kanun usaha, sebab dan akibatnya jika mahu mustajab doa!

Doa dan usaha yang terbaik. 
Selepas usaha, doa lagi dan kemudian redha dengan ketentuanNya, bukan hanya menunggu apa yang dihajat datang di depan mata.

Jika engkau berdoa tapi tidak berusaha 'secukupnya' dan 'sebetulnya' maka janganlah disalahkan Allah akan hasilnya. Tapi perbetulkan dahulu usahanya dan berdoa lagi. Pasti wujud keajaiban selepasnya.

4. MINTA ADALAH TANDA PERHAMBAAN BUKAN SURUHAN!

Hilang adab berpunca dari hilangnya hakikat.

Kita lupa hakikat kita berdoa adalah sebagai hamba yang menyerah bukan sebagai tuan yang menyuruh. Sebab niat menyuruh itulah akhirnya kita marah apabila tidak dapat apa yang kita mahukan.

Doa itu bukan alat yang diambil bila perlu, yang ditinggal bila tidak.
Doa dalam hidup  muslim adalah cara hidup.

Lihat cara hidup kita. Makan, minum, tidur, kerja hatta ke masuk keluar tandas pun berdoa sebagai lambang perhambaan seorang hamba kepada Tuan yang mengatur segalanya.


Doa itu lambang kerendahan jiwa terhadap ketinggian budi Allah taala terhadap kita.

Kita berdoa bukan untuk meminta lagi dan lagi sedangkan semuanya yang berlaku dalam hidup seharian kita hakikatnya telah pun ditetapkan oleh ketentuannya.

Kita berdoa atau tidak, pasti berlaku apa yang akan berlaku!
Kita faham hakikat ini, maka kita faham hakikat doa itu sendiri.

Bila merendah diri sebagai hamba, Allah pasti suka. 
Bila ia suka, tanpa kita minta pun ia berikan sahaja.

Tapi untuk Ia suka, mintalah dahulu sebanyaknya dan sehinanya.

Semoga bermanfaat untuk kita bersama :)

Waalhua'lam


Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...