Tuesday, 18 June 2013

Posted by Unknown On Tuesday, June 18, 2013

Minggu lalu saya berpeluang menyampaikan ceramah mengenai Jihad Bisnes di Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam sesi soal jawab pada akhir ceramah, salah satu soalan yang dibangkitkan meminta pandangan dan penjelasan bagaimana menangani perasaan ‘TAKUT’ untuk meyakinkan seseorang memasuki dunia bisnes, terutama bagi mereka yang telah selesa bekerja makan gaji dengan perkhidmatan kerajaan.

Saya yakin persoalan ini sentiasa bermain di lubuk hati ramai pekerja bergaji bulanan, bukan sahaja di sektor kerajaan, malahan juga dalam kalangan pekerja dan eksekutif swasta yang teringin atau bercita-cita memiliki dan menjayakan bisnes sendiri. Berbisnes memang besar daya tarikannya, terutama apabila disaksikan ramai ahli bisnes berjaya serta bebas berdikari setelah menjadi ‘boss’ sendiri.

Sekalipun ramai sedar KELEBIHAN berbisnes, namun yang hidup selesa terjamin pendapatan bulanan akan mendapati keputusan untuk berhijrah ke dunia perniagaan atau bisnes adalah satu keputusan sangat berat. 

Dalam keadaan selesa, mudah timbul perasaan ‘takut’ untuk berhijrah ke alam bisnes. Tanpa keselesaan seperti ini pun rata-rata manusia akan berasa ragu, bimbang dan ada juga yang takut membuat sesuatu keputusan yang tidak ada kepastian hujungnya. Ketidakpastian sememangnya menakutkan dan inilah faktor utama menyebabkan ramai orang tidak berfikir panjang dan lebih cenderung MENOLAK perubahan dan pembaharuan.

Banyak pendapat menyatakan perasaan takut antara rasa hati paling kuat mempengaruhi minda dan jiwa lalu mencorakkan sikap dan perilaku. Pengalaman hidup bangsa Melayu banyak membayangkan hal ini. Sebagai contoh pepatah Melayu menyebut: apabila takut, tunggul pun akan disangka hantu! Maksudnya, ketakutan membuat orang kerap bertindak dengan cara tidak rasional, tanpa berfikir mendalam. Ini membuatkan mereka mudah tersalah tafsir dan bertindak dengan emosi sehingga melemah atau merugikan; atau langsung tidak bertindak.

Bisnes melibatkan seseorang bertindak MELABUR wang, harta dan masa pada usaha yang tiada kepastian hujungnya. Dalam kata lain, melabur membabitkan kesanggupan berkorban penggunaan manfaat semasa wang, harta atau masa untuk mendapat pulangan lebih baik pada masa depan. Tegasnya, semua bisnes mengandungi elemen risiko dan ketidakpastian. Justeru, orang yang tidak memahami bisnes akan mudah lemah semangat dan hilang keyakinan diri. Ramai juga yang takut GAGAL lebih senang memilih untuk menjauhi bisnes atau langsung tidak bertindak membuat apa-apa.


KECILNYA JUMLAH AHLI BISNES MELAYU mungkin berpunca daripada berleluasa persepsi negatif terhadap bisnes kerana kekurangan fahaman. Terlalu ramai yang tidak mahu mengambil risiko, sedangkan istilah risiko, yang dialih bahasakan daripada 'risk' dalam bahasa Inggeris sebenarnya berakar kepada istilah “rezeki” dalam bahasa Arab. Ertinya, tanpa berani mengambil risiko bisnes bangsa Melayu dan umat Islam menolak rezeki pemberian tuhan.  Akibatnya kita hilang kuasa ekonomi dan berpanjangan hidup dependent kepada orang lain!

Justeru, kita perlu mengawal perasaan takut dan membatasi fahaman negatif punca kelemahan. Sebaliknya kita wajib mengatasi dan menggantikannya dengan semangat juang dan keberanian berasaskan kepada ilmu dan iman. Iman mengajar kita takut dan tunduk hanya kepada ALLAH SWT yang maha berkuasa dan tidak kepada yang lain; dan apabila iman dijadikan landasan ilmu, kombinasinya memberi kita kekuatan daya fikir untuk mendapatkan hikmah dan keupayaan luar biasa menjayakan segala usaha.   

Mengenai fahaman atau persepsi bangsa Melayu terhadap bisnes, pada pemerhatian saya terdapat empat golongan besar Melayu: Pertama, golongan yang kecil jiwa, langsung tidak berfikir untuk berbisnes kerana perasaan diri terlalu kerdil, lalu melampau merendah diri.

Golongan ini lebih senang menjauhi diri dari realiti dan rela bergantung hidup kepada orang lain, mempercayai diri sendiri tidak langsung ada daya atau upaya mengubah kehidupan. Tanpa sedar mereka sebenarnya mengkhianati diri sendiri.


Kedua, golongan yang takut berbisnes kerana KETIDAKPASTIAN hujungnya. Kurangnya fahaman dan ilmu bisnes membuatkan mereka mudah selesa dengan apa yang ada, langsung menjauhi bisnes. Kalau berbisnes sekalipun, mereka akan berpanjangan menjalankan usaha kecil-kecilan.

Ketiga, golongan yang terjun ke dalam bisnes dengan mencontohi kejayaan bisnes orang lain secara membabi buta, lalu menghalalkan segala cara. Termasuk dalam golongan ini orang yang disebut al-Quran (Al Baqarah, 2:268) sebagai telah ditakutkan syaitan dengan kemiskinan lalu sanggup membuat segala yang keji.  

Akhirnya, keempat: Golongan yang membenci dan menjauhi bisnes kerana takut menjadi materialistik, DUNIAWI dan merosakkan kehidupan. Turut termasuk dalam golongan ini orang yang menjauhi bisnes kerana takut bergelumang dengan dosa melakukan segala yang keji setelah melihat gelagat golongan ketiga. Kerendahan tahap ilmu bisnes mengakibatkan mereka tidak nampak cara atau kaedah bisnes yang dapat mengatasi ancaman dari sudut ini.

Oleh kerana terlalu ramai Melayu berada dalam empat golongan di atas menyebabkan bangsa Melayu keseluruhannya TIDAK AKTIF membudayakan bisnes dalam kehidupan. Jika dibiarkan berterusan akibatnya bangsa Melayu dan umat Islam pasti terus KETINGGALAN dan tidak berjaya menepati anjuran agama supaya mereka menjadi umat “alyadul uliya”, iaitu umat tangannya di atas. Tanpa kuasa ekonomi juga mustahil mereka menjadi khalifah di muka bumi mentamadunkan dunia mengikut acuan Islam.

Bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan selain bangun mengatasi segala kelemahan dan membanteras semua corak 'ketakutan' penghalang kemajuan. Dalam pengalaman saya selama 28 tahun membina dan memimpin organisasi bisnes membabitkan lebih 65,000 warga kerja (menerusi kumpulan Johor Corporation - JCorp), cara terbaik mengatasi segala ketakutan dan kelemahan, sekali gus menolak bersubahat dengan perkara keji, mungkar, duniawi atau materialis ialah menjadikan bisnes satu perjuangan bertaraf jihad, iaitu 'Jihad Bisnes'.

Apabila diniatkan jihad, bisnes wajib dijadikan satu perjuangan suci mulia dan harta kekayaan diurus dan digunakan sebaik mungkin dengan penuh berkesan dan efisien, bertambah nilai dan memperkasa ekonomi bagi menyempurnakan amanah dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah. Khalifah ekonomi bertanggungjawab memakmurkan kehidupan manusia mengikut pengertian Islam dan bukan merosakkannya seperti yang banyak berlaku hari ini.

Berjihad menerusi bisnes menuntut kita gigih dan gagah memburu harta kekayaan supaya umat Islam berada di atas dan agama Islam dipandang TINGGI dan MULIA, tidak lagi diperlekeh orang lain seperti kerap berlaku hari ini. Saya yakin inilah antara sebab utama harta dilindungi Maqasid al Syari’ah, kerana tanpa harta dan kuasa ekonomi mustahil bangsa Melayu dan umat Islam menjadi khaira ummah umat terbaik mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar. Mustahil juga mereka menjadi umat alyadul uliya  iaitu umat yang tangannya di atas, yang pasti lebih mulia daripada umat yang miskin, dependent dan meminta-minta.


Islam juga menganjurkan umatnya berjihad menggunakan ORGANISASI sebagai strategi, iaitu strategi 'bunyanun marsus' seperti yang dinyatakan dalam surah as Saff 61:4. Pengalaman saya di JCorp jelas membuktikan apabila dibentuk organisasi besar yang tersusun rapi, keempat-empat golongan Melayu yang dinyatakan sebelum ini dapat dilibatkan dalam usaha besar bisnes untuk memanfaatkan bangsa dan agama, sekalipun sebagai individu ada yang lemah semangat, tiada keyakinan diri atau langsung takut dan kecil jiwa.  

Menerusi organisasi korporat amanah (seperti JCorp), orang yang takut berbisnes sendiri dapat dilibatkan ke dalam bisnes menerusi kaedah organisasi. Lebih penting, mereka yang bersikap membenci, meragui dan menjauhi bisnes akan dapat dilibatkan sama dan akhirnya menjadi pejuang bisnes hebat atas landasan amanah dan jihad.  Dengan cara ini semua golongan, tanpa kecuali, digembleng tenaga menambah nilai ekonomi.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...