Saturday, 13 July 2013

Posted by Unknown On Saturday, July 13, 2013

Assalamualaikum kepada semua. 

Sihat anda hari ini?
Penat tak 'berkejar' dalam Ramadhan?
Seronok tak 'berpenat' pada siang Ramadhan?
Manis tak 'berbuka' dengan BISMILLAH yg sering kita lupakan?
Seronok tak 'berdiri' di depan Tuhan di malam hari?

Perasan tak bahawa Ramadhan ini terlalu MULIA buat kita, hadiah ISTIMEWA buat hambaNya yang benar-benar 'selesa' pada bulan-bulan sebelum ini untuk membentuk semula IMAN & TAKWANYA.

Hari ini terjadi sesuatu yang menyebabkan hati saya terdetik dan mulut saya terlepas bicara, "Aku mesti tulis malam ini walau apa pun yang berlaku". Mungkin sekarang ramai yang tertanya-tanya apakah yang menyebabkan saya betul-betul ingin berkongsi dengan anda.


Begini, dalam minggu ini seorang bekas pelajar menelefon saya setelah saya update status tentang Kelas al-Quran Advance. Beliau tanya saya,"Ustaz, saya nak talaqqi dengan ustaz, boleh tak?" Bersungguh-sungguh beliau meminta. Merayu mungkin lebih sesuai digunakan. Tak lama, 10 minit juga beliau memujuk saya. Saya tanya lanjut tentang pekerjaan beliau dan tempat tinggalnya sekarang. Beliau menjawab bahawa dia seorang jururawat sekarang dan tempat tinggalnya 'dekat' je dengan tempat saya, mungkin dalam 150++km lebih. Dekatkan?! DEKAT bagi orang yg BERHAJAT, jauh bagi yang TIADA BERHAJAT.

Saya terfikir, kenapa orang yang dah ada kerjaya yang mantap tiba-tiba ingin bertalaqqi ilmu agama ni? Betul-betul pelik ni. Rupa-rupanya bila ditanya, jawapannya adalah,"Entahlah, saya rasa seronok belajar agama sekarang, lebih tenang tinggal di masjid-masjid hatta dari rumah sendiri".

Maksudnya sampai dan ertinya mendalam sekali bagi orang yang belajar agama khususnya. Hidayah telah mula menyapa dan pencarian SAKINAH (kemanisan) telah bermula dalam diri beliau, itu tanda awalnya. Tahniah saya ucapkan. Cuma bagusnya, dia mula kenal HATINYA, ke arah mana ia mula cenderung dan ke arah itu ia mula MENCARI. Alhamdulillah.

PENTING SANGATKAH SAKINAH?

Sebenarnya penting atau tidak sesuatu terletak kepada MANUSIA yang menilainya. Jika manusia itu punya kesedaran ketuhanan yang tinggi, maka jawapannya tentulah YA. Tapi jika sebaliknya, tentu anda sendiri tahu jawapannya.

Nak dapatkan SAKINAH dari mana? Ada jual di kedaikah atau ada di negeri Arabkah? 
Tak perlu. SAKINAH tu ada dalam diri masing-masing cuma anda perlu cukup syarat untuk membukanya.

Sabda Rasulullah SAW: "Tiga perkara sekiranya terdapat pada seseorang nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

SAKINAH wajib memerlukan 3 syarat utama:

1. Cintanya terhadap Allah dan Rasul melebihi cintanya terhadap segalanya.

Sekarang tanya diri kita sendiri, bagaimana iman kita hari ini dan semalam serta apa yang anda harapkan bentuk iman anda keesokan harinya? Iman manusia ada naik turunnya. Itu biasa. TETAPI kalau turun tak naik-naik, itu sangat LUAR BIASA! Luar biasa yang tidak patut diamalkan.

Pupuk cinta dan iman itu melalui SOLAT, QURAN dan SELAWAT. For basic. Bermula dari detik ini, ketika ini, letak AZAM dalam diri, balik nanti cari buku tentang dosa BESAR orang yang tinggalkan solat, baca dan hayati. Saya YAKIN setelah itu anda pasti tak tinggalkan solat lagi. Jika masih tinggalkan solat lagi, tadah tangan mohon pada Allah untuk meminta hati yang lain kerana hati anda sebenarnya telah MATI.


Mulai hari ini juga tanam dalam diri, aku MESTI baca Quran walau sesibuk mana pun. Sehari sehelai pun cukup. Jangan jadi binatang yang hanya tahu MAKAN, TIDUR dan SENGGAMA sahaja. Jadi MANUSIA sekali-sekala kan ada bagusnya juga?! Kalau boleh terus jadi MANUSIA SELMANYA kan itu yang lebih baik, sebab itulah asal kejadian kita dan tangunggjawab yang digalasnya, sebagai khalifah dan hamba kepadaNya.

Kata Dr Azizan,"Anda nak RM 1000 sehari tetapi tak sanggup SELAWAT 1000 kali, sebenarnya anda MIMPI je di siang hari". Orang yg jauh dari Nabi, hilang rahmat Nabi dari air mukanya. So, sia-sia hidup kalau malas nak berterima kasih kepada Nabi yang memberi peluang kepada kita untuk mengenal agama suci ini.

2. Mencintai atau membenci seseorang kerana Allah

Hendak membenci orang SENANG, tapi nak mencintai seseorang tak SESENANG itu. Sebab manusia itu terikat dengan NAFSUnya. Nafsu dengki yang tak terkawal akibat HATI yang sakit. Ramai yang sebut sakit hati. Memang padanan yang betul pun.

Kebetulan hari ni belajar tentang hukum makanan, ada pelajar yang tanya,"Ustaz, kurma Yusof Taiyob tu halal ke? Ada orang bagitahu, HARAM membelinya kerana ada diletakkan perkara yang tak sepatutnya". Saya terus 'naik angin'. terus saya tanya siapa yang berikan maklumat begitu? Ada bukti tak? Terus dijawab, takdelah bukti tapi dengar orang-orang cakap.

Saya terus tarik nafas panjang, bertenang seketika sebelum saya mula menegur. Saya sebut bahawa saya kesal sekali dengan sikap orang MELAYU. Kenapa perlu berdengki sebegitu? Jika anda benar, tonjolkan diri dengan bukti yang munasabah. Bukan seperti melempar batu sembunyi tangan. Kenapa bila nampak orang MELAYU memanjat naik, kita RENTAP mereka turun melalui jalan belakang sedangkan cuba lihat bangsa lain, mereka saling mendukung antara satu sama lain. Typical Melayu. Kalau cara baik tak boleh, cara LAIN pun jadi, asalkan jangan sesekali LEBIH dari saya.


Tau tak, dalam Shaklee, bangsa Cina boleh untung lebih RM 60 ribu sebulan walaupun belum sampai setahun berniaga. WHY? Sebab mereka saling support, saya tak nak cerita panjang tentang tu tapi pergi je branch di Taman Molek, lihat dengan mata kepala sendiri. Betapa ramai Pharmacology dan doktor-doktor Cina yang membeli di sana. Ada produk yang baik, mereka terus beritahu rakan-rakan yang lain. Mana saya tau? Saya tanya mereka sendiri sebab sekarang hampir setiap minggu, saya ke sana mengambil barang. Kita pula bagaimana? Tanya diri sendiri. Jawapan ada diri anda. Kiaslah dalam bisnes apa pun, kita tetap terkebelakang kerana sikap NEGATIF kita masing.

Belajar untuk mencintai orang lain, kita pasti dicintai. Sabda Nabi SAW,"Barangsiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi.

3. Benci kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka

Jarang sekali jumpa manusia seperti ini. Mudah-mudahan kita termasuk dalam kategori ini atau kita sedang mencuba ke arah itu. Ini sikap hakiki seorang mukmin yang benar-benar beriman kerana ketakutannya terhadap maksiat dan api neraka Allah melebihi keyakinan terhadap amal kebajikannya. 


Ramai sekali hari ini melihat dosa dan maksiat hanya perkara REMEH sahaja. Pernah saya bincangkan dalam kelas tentang AURAT lelaki dan wanita. Saya tanya apa pandangan pelajar tentang perkara ini. Seorang pelajar dengan yakinnya menjawab,"Alah, remeh je aurat tu ustaz, banyak lagi perkara lain yang perlu kita bincangkan". Nampak tak. Kita selalu lihat sesuatu dengan REMEH kerana kita meletak ALASAN untuk menafikannya. Kita berusaha untuk MENAFIKANNYA walaupun kita tahu ia salah sebenarnya!! Ini hasil didikan siapa? Didikan dari rumah ANDA. Anda yang membentuk anak-anak ini ye. Semoga anda ada alasan nanti di akhirat untuk berhujah di depanNya.

Bila kita belajar untuk membenci maksiat dan dosa, itu tandanya SAKINAH sudah tidak jauh dari hidup kita. So, berusahalah mencari dan mencari hingga ketemu di akhirnya dan berusahalah untuk terus istiqamah di jalannya. Amin.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye dan 'share'lah sebanyak mungkin. Anda selalu ingatkan?! "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...