Tuesday, 22 October 2013

Posted by Unknown On Tuesday, October 22, 2013

Assalamualaikum semua.
Apa khabar anda hari ni?
Dah ada sawang da blog ni sebab 2 hari tak berupdate. Rasa kosong pula hidup ni kalau tak berkongsi sesuatu yang bermanfaat setiap hari bersama para pembaca.

Agak-agak macam mana perasaan anda bila bertemu dengan bussinessman Cina secara tiba-tiba?
Apa reaksi anda kalau tiba-tiba orang Cina yang kita tengok selekeh je tapi pulangan bulanan berpuluh ribu jumlahnya hendak kongsikan ilmu perniagaan dengan anda?
Bagaimana pula reaksi anda bila tiba-tiba 'dia' buka mulut dengan terang-terangan menyatakan keindahan Islam di celahan kepincangan kita sebagai umat Islam?

Ya. Itu jawapan awal bagi yang menjangkakan bahawa saya akan bercerita tentang perkara ini bersama anda. Semoga semua pembaca boleh menerimanya dengan hati yang terbuka dan minda yang waras dan saya doakan juga semoga dipermudahkan kita untuk BERTINDAK melakukan perubahan ke arah lebih positif dalam hidup masing-masing.

Sabtu lepas, tepatnya pada petang harinya saya sempat ke Kota Tinggi mencari sedikit barang keperluan rumah dan sesi berjalan-jalan selesai dengan proses membersihkan kereta. Dah lama 'dia' tak main pesta sabun, jadi tuannya yang baik hati ni berilah peluang jap kat dia merasa.


Kerana ramai juga yang mengambil peluang sempena hari cuti Sabtu untuk membersihkan kereta, jadi ramailah kat sana. Dah penat duduk menunggu sampai giliran, saya menunggu dengan berdiri pula sambil berjalan-jalan di sekeliling bangunan kedai tu. Sempat juga cuci mata lihat pelbagai macam dijual. Yes, saya bosan menunggu!

Sampai semula di tempat car wash dan berdiri hampir sikit dengan kereta. Tiba-tiba ada seorang apek, berbaju T putih dan berseluar pendek datang dekat saya. Dia pun tengok kereta dia dibasuh juga. Mula-mula bersua muka, sebuah senyuman manis dilemparkan dan dibalas dengan mesra. Ringan je mulut dia tanya saya datang dari mana, buat apa kat Kota Tinggi hari tu dan sembang rencam sikit sebanyak. 

Bila dah 'panas' sikit perbualan, saya balas balik pertanyaannya tadi. Sambil dia cerita sambil saya belek-belek mukanya, perwatakannya, pakaiannya dan perlakuannya. Hati kecil saya bangga dengan apek Cina ni. Hebat!!!

Anda tahu siapa dia?! Beliau tauke kedai barang elektrik dan elektronik di Kota Tinggi lebih dari 20 tahun. Pendapatan bulanan tak banyak pun. Lebih kurang berpuluh dan kadang-kala melebihi ratusan ribu. Ada lori 2 biji untuk hantar barang dan sebuah kereta Myvi. Tu je harta yang sempat dia kongsikan dengan saya. Saya yakin yang tak dikongsi lebih banyak daripada itu. Yang dicatatkan hanyalah yang sempat saya korek daripadanya walaupun dia cuba mengelak untuk menceritakannya.

Kami sempat berbincang pelbagai bab sebenarnya tapi yang paling serius dan paling lama adalah dalam bidang perniagaan dan agama. Banyak yang dibualkan tapi saya ringkaskan mengikut kefahaman saya. Jom tengok point yang saya kumpulkan.

PETUA NIAGA DARI SEORANG APEK CINA

1. Jangan bekerja dengan orang lebih daripada 5 tahun. 

Paling maksimum pun 10 tahun je. Kalau lebih daripada itu, maksudnya anda sedang membunuh masa depan anda sendiri. Jangan buang masa bekerja dengan orang lain tapi sediakan masa bekerja dengan diri sendiri. Paling tak pun, rancang bila masa untuk anda 'pecat' diri sendiri dari bisnes orang lain dan 'hire' diri sendiri untuk bisnes sendiri.

2. Jangan lupa doa.

"U jangan lupa doa dengan U punya Tuhan, tu sombong. U sombong dengan Tuhan, sapa mau kawan sama U?!", pesan si apek. Betul katanya. Tak mungkin kita dapat berbisnes dengan baik sedangkan hubungan kita dengan Allah 'goyang'. Bayangkan anda adalah majikan dan pekerja bawahan anda melakukan sesuatu mengikut 'kepalanya' sahaja. Anda suka tak? Bagaimana pula dnegan Allah yang merupakan Majikan Abadi kita di dunia dan akhirat.

3. Sentiasa bersedia dengan 'api' risiko.

Sentiasa bersedia untuk menanggung risiko dalam bisnes. Semakin tinggi modal, semakin tinggi risikonya. Jadi, mulakan bisnes dengan modal paling sedikit walaupun anda bermodal besar. Bukan kerana hendak meminimumkan risiko tetapi untuk memaksimumkan kemampuan diri dalam menanggung satu-satu risiko. Jika tidak pernah menanggung risiko yang kecil, jangan berani-berani menanggung risiko yang besar kecuali jika anda mempunyai self-motivated yang tinggi. Api risiko tu panas, tak ramai yang sanggup tanggung.

4. Sentiasa gembira.

Tauke Cina ni betul-betul nasihatkan agar sentiasa gembira kerana itu adalah ubat kepada tubuh badan. Jangan mulakan hari dengan wajah yang kurang manis atau melalui hari tersebut dengan perasaan yang tidak menyenangkan diri sendiri, rakan-rakan dan para pelanggan. Untuk pengetahuan semua, tauke ni baru sembuh dari stroke sebelah badan. Ketika bersembang pun, saya dah dapat agak penyakitnya itu. Sayakan pakar kesihatan dan kejayaaan Shaklee, tentulah tahu.

Beliau pun berterus terang dengan saya,"I ni baru boleh bangun, 6 bulan I kena stroke. Semuanya sebab I dulu kurang gembira dan banyak tekanan, terlalu fikirkan masalah yang tak sudah-sudah. U kena ingat tu. I tak nak U jadi macam I. Nanti ada duit banyak pun tarak guna juga".


5. Jangan bersaing tapi berkawan.

Berkawan dengan pesaing anda dan belajar dari mereka. Jangan sesekali bersaing dengan mereka kerana persaingan biasanya melahirkan permusuhan sedangkan persahabatan memupuk kesejahteraan antara para peniaga. Sekali lagi saya tekankan perkara ini, BERSAHABAT dengan pesaing anda.

Lihat peniaga-peniaga Cina. Jika ada customer tapi barang pula kebetulan habis di kedai mereka, mereka boleh meminjam dari kedai-kedai berdekatan yang menjual item yang sama tetapi orang Melayu takkan mampu melakukannya. Sebab, Melayu bermusuh majoritinya sedangkan Cina bersahabat. Itu adat positif mereka dalam berbisnes.

6. Jadikan pelanggan sebagai kawan bukan sebagai raja

Dalam banyak-banyak tips dari tauke ni, tips ni yang paling saya terkesan sebabnya memang ini pun pegangan saya selama ini dan saya anggap tauke-tauke Cina menganggap customer sebagai raja. Rupanya ada juga tauke Cina yang berfikiran sama dengan saya. Bahkan itu yang dituntut oleh agama. Banyak bezanya apabila customer menjadi 'kawan' bukan menjadi 'raja'.

Bezanya adalah sikap tolak ansur antara kedua belah pihak dan hilangnya sikap keegoan dalam diri masing-masing. Bagi yang biasa berniaga, pasti anda biasa berjumpa dengan kedua-dua jenis golongan ini. So, ubah mentaliti pelanggan dengan penerangan yang jelas tentang perniagaan anda.

Jepun: Antara bangsa paling suka membaca sehingga dianggap budaya di sana.

7. Pandai menjual itu penting tetapi berkongsi maklumat lebih perlu

Kemahiran yang paling utama kepada peniaga adalah maklumat tentang sesuatu produk yang dijual, bukan produknya. Percayalah. Orang yang mempunyai maklumat dan pandai pula berkongsi maklumat tersebut, dia tak perlu susah-susah menjual, orang pasti mencarinya. Tak cukup tanah nak lari nanti :) . Orang yang ada produk tetapi tidak mempunyai maklumat tentang produk tersebut, pasti tiada siapa yang ingin berjual beli dengannya kerana pelanggan menilai barang dengan menilai anda. Jika anda tidak tahu berkongsi 'nilai' barangan, anda juga tidak mendapat 'nilai' pulangan. So, sila kumpulkan maklumat dan asah bakat perkongsian anda baik melalui tulisan atau pun perkataan.

Cukup setakat ini dahulu. Insyaallah, saya akan berkongsi lagi panduan dari tauke Cina ni bersama anda di lain masa. Semoga Allah lapangkan masa untuk saya berkongsi 'nilai' asas bisnes ini bersama anda. :)

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...