Friday, 18 October 2013

Posted by Unknown On Friday, October 18, 2013

Assalamualaikum semua.
Hari ni nak share tentang petua penjagaan kesihatan melalui pembersihan tangan. Selalu tak anda berjumpa orang yang memandang rendah terhadap kebersihan tangan mereka dengan mencucinya secara ala kadar terutamanya ketika hendak makan atau setelah itu. Begitu juga, ketika memegang benda-benda kotor atau mempunyai kuman yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia.

Aidiladha ini, aktiviti korban dan melapah daging lembu tidak dapat dipisahkan. Kemeriahan jelas terasa apabila masyarakat setempat bekerjasama melapah daging lembu korban. Memang menyeronokkan, namun perkara penting yang perlu diingat adalah kebersihan, jangan sekali dipandang remeh. Jika silap, individu yang menikmati makanan terdedah dengan kuman atau bakteria boleh mengalami sakit perut dan paling tidak diingini terpaksa 'beraya' di katil hospital. 

Menjaga kebersihan tangan sebenarnya adalah satu langkah paling penting dan mudah untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penyebaran kuman. Ini kerana tangan antara anggota yang banyak organisma halus, sama ada bakteria, virus atau alga. Cuba ingat kembali, dalam sehari, berapa banyak ratusan permukaan kita sentuh. Di sinilah adanya pelbagai organisma halus termasuk bakteria dan virus itu.

Selain itu, tangan juga adalah ejen pengangkutan paling cekap memindahkan bakteria dan virus tanpa kita sedari. Sentuhan pada muka terutama mata, hidung atau mulut, organisma halus ini terus sampai ke pintu masuk badan kita. 

Ada banyak penyakit yang boleh tersebar melalui sentuhan seperti jangkitan saluran pernafasan (selesema, influenza, demam), penyakit tangan, kaki dan mulut, masalah pada usus dan hepatitis A yang disebabkan makanan tercemar kerana tidak mencuci tangan dengan bersih. 

Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada risiko mendapat cirit-birit. Jurnal perubatan Lancet (2003) melaporkan setiap tahun lebih 3.5 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun meninggal dunia akibat cirit-birit dan jangkitan akut pada saluran pernafasan bawah. Jadi kepada para ibu dan bapa, sila berhati-hati dengan makanan yang disuapkan ke dlam mulut anak anda.

Beberapa kajian mendapati mencuci tangan dengan sabun boleh mengurangkan insiden cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak kecil di negara membangun. Manakala kajian di negara maju pula (Australia, Kanada dan Amerika Syarikat) menunjukkan kempen mencuci tangan dapat mengurangkan 12 hingga 32 peratus kes jangkitan saluran pernafasan. 

Justeru, cara mudah dengan mencuci tangan menggunakan sabun boleh mengurangkan kadar cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun sebanyak 50 peratus dan jangkitan akut pada saluran pernafasan hampir 25 peratus. 

Sempena Hari Mencuci Tangan Sedunia setiap 15 Oktober ini, marilah sama-sama kita menjaga kebersihan tangan untuk kebaikan bersama. 


5 CARA KUMAN DISEBARKAN 

1. Hidung, mulut atau mata dan tangan.

Kuman boleh merebak ke tangan menerusi bersin, batuk atau menggosok mata. Kemudian, ia dipindahkan kepada ahli keluarga yang lain atau rakan. Hanya mencuci tangan boleh membantu mencegah penyakit seperti selesema atau jangkitan mata. 

2. Tangan dan makanan.

Biasanya, kuman dipindahkan daripada tangan kotor (tidak dicuci selepas menggunakan tandas) kepada makanan. Menyentuh makanan menggunakan tangan kotor akan memindahkan kuman kepada orang lain yang turut menikmati hidangan sama. Justeru, pastikan mencuci tangan selepas keluar tandas dan sebelum menyediakan hidangan. 

3. Makanan dan tangan.

Kuman boleh dipindahkan menerusi makanan mentah seperti ayam, ketika menyediakan hidangan. Kuman akan melekat di tangan yang kemudian dipindahkan ke makanan lain yang tidak dimasak seperti salad. Salad yang disediakan tanpa dimasak masih tercemar berbanding hidangan yang dimasak sama ada dengan cara menggoreng, merebus atau mengukus untuk membunuh kuman. 

4. Haiwan kepada manusia.

Basuh tangan selepas memegang haiwan peliharaan bagi membunuh kuman yang dipindahkan menerusi binatang kepada manusia. Ramai yang mengambil mudah perkara ini kerana pendidikan kesedaran dan penjagaan binatang secara betul jarang diterangkan kepeda para pemilik haiwan belaan.

5. Kanak-kanak yang dijangkiti penyakit.

Kuman dipindahkan menerusi kanak-kanak yang mengalami cirit-birit ketika ibu bapa menukar lampin. Jika ibu bapa tidak segera mencuci tangan dengan bersih, kuman penyebab cirit-birit akan dipindahkan kepada orang lain. 

Tahukah anda bahawa virus boleh dipindahkan menerusi cuaca kering dalam masa 20 minit selepas tercemar. 

  • Sesetengah virus boleh bergerak menggunakan titisan air melalui udara. 
  • E.coli, salmonella dan bakteria lain hidup sehingga dua jam di permukaan seperti tombol pintu, papan kekunci dan meja. 
  • Bakteria akan membiak dua kali ganda setiap 20 minit. Misalnya, lima bakteria di dalam sandwich pada jam 12 tengah hari akan meningkat jumlahnya menjadi lebih 10 juta pada jam 7 petang. Selepas dibiarkan tiga hari, ia sudah mencukupi untuk memenuhi seluruh bumi. 
  • Mikro organisma boleh membina penentangan terhadap ubat. Ia boleh bertahan menghadapi kesan ubat, tidak akan musnah atau terganggu perkembangannya. 
  • Air panas tidak akan membunuh bakteria. Hanya suhu melebihi 140 darjah Celsius saja boleh membunuh kuman. 


CUCI TANGAN DENGAN BETUL

1. Basahkan tangan dengan air bersih yang mengalir dan lumurkan dengan sabun. Mencuci tangan menggunakan sabun dan air adalah cara terbaik mengurangkan kehadiran kuman. Jika sabun dan air tiada, gunakan cecair sanitasi tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol atau tisu basah. 

2. Gosok kedua-dua tangan selama sekurang-kurangnya 15 hingga 20 saat, dengan tumpuan kepada tapak tangan, celah jari, kuku, bahagian belakang dan pergelangan tangan. Anda boleh membilang satu hingga 15 secara perlahan-lahan. Jika pada kanak-kanak, ajar mereka menyanyi lagu 'Selamat hari jadi' sebanyak dua kali atau apa-apa lagu yang digemari. 

3. Akhir sekali, bilas dengan air bersih dan lap hingga kering menggunakan tuala bersih. Ini penting kerana kuman sangat mudah membiak pada tangan yang lembap. Penggunaan tisu atau tuala juga lebih baik daripada mesin pengering tangan. Kajian Universiti ­Westminster London pada 2008 mendapati jumlah bakteria pada tangan yang dikeringkan dengan mesin ­pengering (menggunakan udara panas) meningkat 254 peratus pada tapak tangan dan 194 peratus di hujung jari. 

Tangan yang dikeringkan ­dengan mesin pengering jet udara didapati menunjukkan peningkatan jumlah bakteria 15 peratus pada tapak ­tangan dan 42 peratus di hujung jari. ­Sebaliknya, tangan yang dikeringkan dengan tuala kertas menunjukkan pengurangan jumlah bakteria ­sehingga 77 dan 76 peratus pada tapak tangan dan hujung jari. 

Pesanan untuk semua membaca, hargailah kesihatan yang menjadi modal kita untuk bekerja, beribadat dan bergembira dalam aktiviti hidup ini. Tidak mungkin kita dapat terus menjaga kesihatan melainkan kita menjaga kebersihan terlebih dahulu. Hargai tangan dan kesihatan anda :)

Mohd Taufiq 
Pakar Kesihatan & Kejayaan Shaklee

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...