Saturday, 30 November 2013

Posted by Unknown On Saturday, November 30, 2013

Assalamualaikum semua dan selamat pagi.
Moga kita terus berada di bawah naungan rahmat Islam dan iman serta beroleh keredhaanNya. Hari ni just nak berkongsi tentang tajuk di atas. 

Bukan sengaja nak berkongsi tapi sekadar untuk betulkan salah anggap orang ramai terutamanya masyarakat Melayu Islam yang meletakkan sikap mereka tidak pada tempatnya. Pemikiran mereka agak terkebelakang dalam hal harta benda kekayaan ini walaupun Islam memandang tinggi kekayaan dan meletakkan orang-orang kaya yang beriman pada tempat yang teratas dari kaum muslimin yang lain.

Sabda Nabi SAW,"Tidak halal berdengki kecuali pada 2 keadaan iaitu terhadap seseorang yang Allah berikan harta kepadanya lalu dia pergunakan harta tersebut di jalan kebenaran dan seseorang yang Allah berikan dia ilmu/hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain.” (Riwayat Bukhari)

ZUHUD DENGAN MEMBUANG HARTA?!

Hal ini wujud kerana kesalahfahaman masyarakat terhadap apa yang diwasiatkan oleh para alim ulama tentang 'harta benda yang tidak boleh dibawa mati' ini. Akhirnya masyarakat Melayu Islam kita mengambil jalan mudah membuang harta dan menutup kemalasan sendiri dengan perkataan 'zuhud'.

"Takkan kami salah belajar ustaz? Itu yang dihurai oleh para ulama kan?" kata orang yang mengharap huraian. Jawabnya, hanya ulama sahaja yang memahami maksud ulama yang sebenarnya. Sebab itu, belajarlah dari ramai ulama dan biarlah lama pula masanya, baru kurang celupar sedikit mulut kita mengeluarkan sesuatu hukum yang tidak tepat yang akhirnya menconteng arang pada agama dan menghinakan umat Islam di mata dunia.


Zuhud adalah meletakkan harta di tangan bukan di hati. Itu takrif zuhud secara ringkas. Tak perlu hurai panjang-panjang pun, kita dah boleh faham maksudnya. Carilah harta sebanyak mungkin hingga tangan anda tidak mampu lagi mengiranya tapi jangan sekali hingga melekatkannya di hati hingga terlekat penyakit-penyakit mazmumah seperti riya', takbur, ujub, sum'ah dan lain-lain.

Betul tak?!

SEJAK BILA ISLAM MEMANDANG KEKAYAAN ITU MAKSIAT?!

Dari sudut dasar Islam:

1- Dalam Islam ada konsep 'wasatiyyah' yang diambil dari Quran tapi ramai yang mengatakan wasatiyyah itu pertengahan. Maka, ada suara yang kata pertengahan tu maksudnya sekadar cukup makan je, tak payah nak cari lebih-lebih sangat, sedangkan dalam tidak sedar mereka mentafsirkan dengan nafsu dan akal pendek mereka sahaja tanpa merujuk kepada tafsiran ulama yang sebenar.

Inilah yang paling ditakuti oleh para ulama sehingga mereka berkata, "Barangsiapa yang menafsirkan al-Quran dengan fikirannya nescaya tafsirannya adalah salah sekalipun betul"

Wasatiyyah maksudnya sederhana yang dimaksudkan dengan SEIMBANG. Maksudnya kita hebat di dunia dan hebat juga di akhirat. Hebat di rumah dan hebat juga dengan masyarakat. Ringkasnya, sederhana itu memerlukan umat Islam hebat dalam apa jua yang dilakukan dan perlu seimbang. Kita tidak boleh terlalu hebat di dalam masyarakat sehingga rumahtangga terabai, itu bukannya seimbang. 


Itulah yang dinukilkan dan diperkukuhkan oleh hadis Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Allah amat suka hambanya yang apabila melakukan sesuatu kerja, dia melakukan dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh".Riwayat al-Dailami.

2- Nak sentuh politik sikit boleh? Dalam kontroversi hudud, ada yang dinamakan maqasid syar'iyyah atau prinsip utama syariah. Ada 5 perkara yang ditekankan iaitu agama, nyawa, akal, maruah/keturunan dan harta. Anda dapat lihat bahawa prinsip terakhir adalah HARTA!!! Itu adalah sendi agama. Kerana itu, Malaysia sekarang belum lagi layak untuk memperuntukkan dan melaksanakan keseluruhan undang-undang hudud yang telah ditetapkan oleh agama.  

Bagaimana mungkin hudud dilaksanakan sedangkan masalah harta atau keperluan umum umat Islam masih lagi kritikal yang menyebabkan berlaku pelbagai kes jenayah di tanah air tercinta ini. Jika tak percaya, tanyalah rakan-rakan sebelah menyebelah anda di pejabat, sudah berapa orang yang mempunyai rumah sendiri dan berapa pula yang masih belum mampu memilikinya? Baru bab rumah, perkara lain jangan ditanya.

Dari sudut syariat Islam:

Kita mulakan dari rukun Islam. Kekuatan harta benda sangat diperlukan untuk mendukung pelaksanaan ibadah yang sempurna. Hakikatnya, hampir semua jenis ibadah memerlukan dukungan harta dan harta yang terkumpul itu dipanggil 'kekayaan'.

Sengaja nak tanya,"Zakat datang daripada mana?!", "Mampukah kita menjadi seorang pembayar zakat jika tidak memiliki harta?" dan "Berapa orang dari pembaca ni pernah keluarkan zakat?"

Sedangkan pihak yang memberi itu menurut Rasulullah SAW lebih utama jika dibandingkan dengan penerima. Bukankah zakat itu datang dari Islam bahkan ia menjadi antara tiang seri utama dalam menegakkan perjuangan agama ini? Adakah kita hanya mampu jadi umat yanng hanya menadah tangan untuk menerima tanpa memberi sesuatu kepada saudara Islam kita yang lain? Sampai bila kita hendak berada dalam golongan penerima zakat semata-mata.

49 tahun untuk tunaikan haji?! Nak tunggu duit cukup baru nak jejak kaki ke sana?!
Sempat ke umur kita ni?! 

Bolehkah kita naik haji tanpa harta? Walaupun memang benar bahawa apabila sudah sampai serunya, siapa saja boleh pergi sekalipun dia seorang yang miskin. Akan tetapi, hal itu tidak berlaku kepada umat Islam biasa ini.

Secara umum, umat ini yang berangkat pergi ke sana kerana mereka mempunyai pembiayaan sendiri. Hari ini, berapa ramai orang yang pergi haji ketika di akhir-akhir umur kerana duit baru cukup ketika itu? Hampir 80% berusia atas 50an.

Bayangkan jika umat Islam dan yang pergi ke sana adalah pemuda-pemudi Islam, tentu terserlah kehebatan Islam di sana. Negara-negara Islam yang lain juga begitu halnya. Jadi bagaimana Islam hendak dilihat mulia oleh dunia?! Bayangkan jika orang bukan Islam mendengar talbiah dari para pemuda Islam, tentu akan lebih kuat dan menggetarkan hati orang bukan Islam dari golongan tua kita yang hanya 'melepas' perkara sunat sahaja dengan talbiah tersebut.

Dari sudut sejarah dan sirah:

Sejarah tidak pernah menipu kita. Hadis Nabi SAW sendiri menyatakan,“4 perkara yang akan membahagiakan manusia adalah isteri yang solehah, rumah yang lapang, kendaraan yang selesa dan jiran tetangga yang baik.” 

Tiga perkara terakhir sangat berhubungan dengan kemampuan kewangan. Rumah, kenderaan, dan penempatan yang baik dapat diperoleh dengan kekayaan tersebut. Bahkan, Rasulullah SAW juga menegaskan bahwa “Kefakiran itu mendekatkan diri kepada kekufuran.”.

Orang lebih mengenal sosok Muhammad SAW sebagai seorang rasul yang hidup sangat bersederhana. Walhal sebelum menjadi utusan Allah, baginda merupakan entrepreneur (usahawan) yang berjaya. Bahkan kerjayanya adalah sebagai pedagang. Andapun mungkin terkejut bila sejarah ternyata mencatat Rasulullah SAW juga seorang kaya raya dengan harta berlimpah.


Kehidupan Rasulullah SAW sangat sederhana walaupun kekayaan di sisi baginda jika dihitung hak beliau dari ghanimah saja, sudah sangat-sangat berlimpah ruah. Namun, Nabi SAW menggunakannya semuanya untuk menolong orang-orang yang memerlukannya.

Rasulullah SAW bukan orang yang miskin tetapi baginda tidak membiarkan hartanya diam tanpa dimanfaatkan untuk dakwah dan membantu sesama muslim walaupun habis tak bersisa. Begitu juga para sahabat. Sebut sahaja nama Saidina Abu Bakar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf.

Para imam kita juga bermula dari Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ibn Hambal juga memiliki harata yang sangat banyak dan hampir semuanya adalah dengan usaha sendiri dan dipergunakan untuk tujuan agama Islam. Mereka menggunakan jubah dan serban yang beribu-ribu dinar harganya sebagai tanda takzim (membesarkan ) Allah taala. Adakah mereka tidak zuhud wahai sahabat?!

JOM UBAH

Saya harap daripada post ni dapat memberikan kita semangat baru dalam mencari harta benda dunia ini untuk tujuan akhirat. Jangan mengatakan anda zuhud jika anda yang memilih untuk hidup dalam kemiskinan dan jangan pula menyalahkan takdir jika ada kekurangan dalam hidup.

Tak salah untuk kita kaya, tapi kena tahu apa tujuan kita kaya tu, untuk siapa kita kaya dan kenapa Islam minta kita jadi kaya?


Jika anda kata cukuplah dengan apa yang ada, kenapa kini 80% daripada rakyat Malaysia kebanyakannya berhutang dan majoritinya pula adalah dari bangsa Melayu yang mengaku Islam tadi? Hutang isi rumah bangsa kita juga taklah terlalu banyak, hampir sama tinggi dengan perolehan hasil setengah tahun negara Malaysia! Banyak tak?!

Bayangkan pula dari hutang tersebut, berapa ramai pula yang terpaksa bermain riba dari pinjaman tersebut sedangkan jelas dalam Islam, orang yang makan riba pasti menjadi makanan api neraka. Tak perlu lihat orang lain, lihat hutang sendiri.

Buka perjanjian yang telah anda tandatangani, berapa interest yang telah ditetapkan di sana? Jika ditukar perkataan interest kepada riba tu, tentu lebih ramai dari kalangan kita yang celik mata dan mengambil sikap untuk berusaha menjadi lebih kaya.

Inilah yang disebut di dalam hadis,"Akan sampai suatu zaman, umat Islam akan terkena debu-debu riba".


Saya tulis post ni kerana saya takut saya berdosa jika saya tak maklumkan inti sebenar Islam dan hanya meletakkan Islam hanya pada pandangan hina manusia yang beragama lain. Ingat, kita dituntut untuk kaya kerana agama, negara, bangsa, keluarga dan diri sendiri.

Bagi yang belajar agama atau baru mempelajari agama, ingatlah, jangan sekali-kali menakutkan umat Islam dengan harta kekayaan kerana hukum kekayaan adalah harus pada pandangan syarak, mengapa kita pula yang memandai meletakkan ia umpama najis yang dicalit pada pakaian zuhud seorang muslim?!

Saya doakan semua pembaca supaya berjaya memahami apa yang ingin saya sampaikan. Mudah-mudahan anda kaya dan berjaya sedikit waktu lagi dengan mengubah mindset anda terhadap erti kekayaan. Ubah mindset anda, hidup anda pasti turut berubah tapi jangan ubah agama, nanti hidup anda celaka!!


*Bagi yang tidak keberatan untuk share bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan penerangan yang jelas dan menghilangkan keraguan dari hati mereka. Bagi yang ingin bertukar pendapat, jangan malu dan segan untuk sharing pendapat anda pada ruangan komen di bawah. Jom kita lahirkan lebih ramai usahawan melayu yang kaya dan berjaya.

6 comments :

  1. kena kejar harta tu, tp harta tu bukan diletakkn di hati...tu beza kita dgn org kafir, mereka kejar harta tp harta mereka di hati...
    tp mmg kena slalu doa la supaya niat x terpesong...sbb harta ni byk ujian dan dugaan nya...=) utk kepentingan diri? atau utk ummah? x gitu =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye, sy dah tulis di ats tu, zuhud adalah letakkan harta di tangan , bukan di hati...Ye, fitnah harta pun bukan sikit sebab tu kena bermula dari awal iaitu niat. Orang cari kekayaan utk diri sendiri dengan org yg jemput kekayaan untuk ummah lain sifatnya. Alhamdulillah, sy dlm kumpulan bisnes yg menekankan 'kaya untuk ummah'. Nurul Ibrahim, jemput baca "http://wafiqulya.blogspot.com/2013/11/happening-magic-aura-di-melaka.html" pula... :)

      Delete
  2. ayat memang power!!! kalau tak amik ikhtibar tak tau la..

    ReplyDelete
  3. 49 tahun tempoh menunaikan haji tu bukan sebab duit tak cukup ustaz tapi sebab senarai menunggu kuota tabung haji yang terlalu lama, andai saya kata register sekarang, 49 tahun lagi baru nama saya dapat menunaikan haji mengikut sistem menunggu tabung haji..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Sy pun tahu tempoh tu. Sy pun tulis 80% dari 100% yg daftar memang tak cukup duit.

      Tempoh tu diberi untuk cukupkan bekal 'duit'. Kalau sampai tempoh tahun depan pun tapi takde bekal duit yg cukup, tak dapat pergi juga.

      Dan kalau anda ada ratusan ribu lebihan, sila ambil pakej vvip yg hanya perlu tunggu 4-5 tahun je gilirannya. Sila tanya tabung haji untuk detailnya.

      Baca utk berfikir :)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...