Wednesday 20 November 2013

Posted by Unknown On Wednesday, November 20, 2013

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. 
Semoga anda sihat-sihat sahaja hendaknya dan diberikan keluasan rezeki olehNya.

Hari ni ingin berkongsi tentang salah satu penyakit jiwa masyarakat kita yang perlu kita ubah secepat mungkin terutamanya dalam bidang bisnes iaitu penyakit hasad dan dengki yang akhirnya membawa kepada berlakunya ilmu hitam atau dikenali sebagai sihir perniagaan.

Kisahnya bermula pada minggu lepas, ada seorang rakan yang sengaja saya sembunyikan namanya di sini, meminta agar saya dapat melawat ibunya yang sedang sakit tanpa diketahui punca penyakitnya setelah dibawa ke hospital untuk mendiagnosis penyakitnya. 

Untuk pengetahuan semua, ibu dan ayahnya adalah pengusaha sebuah restoran makanan yang sangat terkenal di tempat saya. Bukan hanya terkenal dengan kelazatan makanannya, bahkan keramahan, sikap ringan tangan dan menghormati orang lain merupakan 'bonus' dalam melariskan perniagaan mereka. 

Pada hari Sabtu yang lepas, sempat juga saya ke rumahnya. Memang sedari awal saya khabarkan, saya pergi bukan untuk mengubat tapi sekadar 'melihat' apa yang perlu sahaja. Anaknya juga meminta saya untuk melihat rumahnya jika ada yang mengganggu di sana. Maklumlah, tinggal bersama keluarga dan anak kecil, takut juga jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Saya sangat memahami kerisauannya.

Sebaik sampai, saya dijemput masuk dan bertemu 4 mata dengan ibunya. Terasa sedih di hati melihat keadaan beliau, kerana saya pun memang mengenali beliau secara peribadi. Kakinya yang sebelah kiri habis ditelan sihir. Telah seminggu ditahan-tahan sakitnya di samping berubat dengan beberapa orang bijak pandai.

Saya pergi hanya untuk membantu apa yang patut sahaja dan memberi sedikir sebanyak nasihat yang perlu. Jika dibiarkan lebih lama lagi, tentu akan luruh dagingnya satu persatu dan tulang-belulangnya akan reput sedikit demi sedikit dan kematian bukanlah perkara yang mustahil dalam permainan ilmu hitam ini. 

Kufur apabila bertemu dukun, berhati-hatilah.

Maka, tidak hairanlah apabila Nabi menyatakan bahawa dosa terbesar setelah syirik dan membunuh adalah dosa orang yang melakukan sihir dan orang yang meminta dilakukan sihir kepada musuhnya. Dosa ketiga terbesar di dalam Islam yang kadang kala menjadi dosa terbesar yang pertama kerana kebanyakan orang yang melakukan sihir pasti syirik dengan Allah kerana meminta pertolongan jin dan jika hingga berlaku kematian, ia dikira sebagai satu bentuk pembunuhan dalam Islam.

SIHIR PERNIAGAAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU?

Pasti semua pembaca terasa gerunkan setelah membaca kesannya yang agak menakutkan. Kematian kerana sihir sangat menyeksakan. Ia bukan perkara main-main. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita mengetahui serba sedikit mengenai sihir perniagaan ini.

1. Sihir adalah satu perbuatan yang bertujuan menyakiti atau mempengaruhi badan, akal atau hati orang yang disihir yang dilakukan di luar dari hukum alam bagi menjatuhkan orang lain bagi mencapai kepentingan diri sendiri. Dalam istilah dunia Melayu, sihir digelar ilmu hitam dan berkait rapat dengan pertolongan dan hubungan dengan jin.

Antara jenis wafak yang kadang-kala menjadi sihir kepada peniaga yang lain.

2. Sihir perniagaan biasanya digunakan pada 2 perkara atau salah satu daripadanya iaitu pada tempat perniagaan atau pada pemilik perniagaan. So, sentiasalah berhati-hati jika anda seorang peniaga. Diri sendiri mesti kuat dan sentiasalah memerhati tempat perniagaan anda.

3. Tanda terkena sihir perniagaan:
  • Pada pemilik perniagaaan: Sering sakit kepala, berasa malas bekerja tanpa sebab, kurang motivasi, pertelingkahan sering berlaku antara suami isteri tanpa sebab, sakit yang sukar dirawat cara pengubatan moden, selalu bermimpi ular, orang yang telah meninggal dunia, dan mimpi yang aneh-aneh.
  • Pada premis perniagaan: Pekerja-pekerja yang berkerja dalam sesebuah perniagaan sering bertengkar, bergaduh dan kerap berhenti,  terdengar bisikan-bisikan dan juga kerap kali terlihat bayangan lembaga-lembaga yang menakutkan, sering terjumpa duit syling atau wang kertas tanpa diketahui sumbernya dan juga bungkusan-bungkusan yang aneh serta pasir atau kemenyan yang ditaburkan di lantai premis. Kadang kala premis anda menjadi ghaib dari pandangan pelangan dan kerap kali ada benda asing dalam periuk nasi atau di hidangan makan pelanggan.
4. Sihir perniagaan dan sihir-sihir yang lain apabila semakin dibiarkan akan semakin cepat merosakkan dan membinasakan anda. Sekiranya ada sahaja tanda-tanda ini, anda patut ragu dan mengambil tindakan pantas
untuk menghentikannya dengan jalan berubat secara Islam dan elakkan diri dari berjumpa bomoh, dukun atau pawang.

BAGAIMANA MENCEGAH & MENGUBATINYA

1. Cegah dan ubatilah dengan solat 5 waktu. Bagi peniaga, sibuk walau bagaimana sibuk pun, solat jangan diabaikan. Barangsiapa yang abaikan solatnya, Allah abaikan urusannya. Jangan kita hanya solat ikut waktu. Waktu senang, kita tinggalkan atau abaikan, waktu susah, baru kita mencari tikar sejadah yang telah lama ditinggalkan. Walaupun anda peniaga, tetapi jangan jadikan SOLAT sebagai bahan niaga antara anda dan Tuhan. Anda pasti menyesal jika melakukannya.

Firman Allah SWT."Dan mintalah oleh kamu akan  pertolongan (kepada Allah) melalui jalan solat dan sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar."

2. Bersedekahlah. Orang yang rajin bersedekah dengan keuntungan yang didapatinya, insyaallah akan dijauhkan dari segala perkara buruk yang tidak diingininya. Nabi menjanjikan bahawa tiada bala yang dapat turun kepada orang yang rajin bersedekah kerana Allah. Memberilah kepada anak yatim dan orang-orang susah, nescaya Allah lepaskan anda dari kesusahan di dunia ini lagi.

Sabda Nabi SAW,"Barangsiapa yang membantu saudaranya keluar dari kesusahan dan keluh-kesah, nescaya Allah akan mengeluarkannya dari kesusahan dan keluh-kesahnya di Hari Akhirat".


3. Bacalah setiap kali setelah solat 5 waktu:
  • al-Fatihah ( 1 kali )
  • 3 Qul ( 1 kali )
  • Ayat Kursi ( 1 kali ) 
  • Ayat 1000 Dinar ( 1 kali )
  • Bacaan zikir harian: "La ilaha illah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahuwa ‘ala kulli syai'in Qodir " ( 20 kali )
4. Jangan jadikan ayat al-Quran sebagai alat gantungan sahaja di premis perniagaan anda kerana itu adalah tanda penghinaan kepada ayat-ayat Allah SWT jika anda tidak mengamalkannya. Jika digantung dengan niat untuk mengamalkannya atau memperingatkan diri sendiri serta orang lain untuk mengamalkannya, maka diperbolehkan.

5. Sentiasa memperdengarkan bacaan al-Quran di premis perniagaan anda. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan perkara yang sia-sia sahaja daripada berlaku, bahkan dapat juga  memperingatkan diri kita bahawa kita beserta perniagaan kita merupakan hamba dan milik Allah semata-mata dan bisnes adalah antara tali penghubung antara kita dan DIA.

Hati-hati dengan gambar anda di dalam FB

Cukup sehingga ini dulu, mudah-mudahan tulisan ringkas ini dapat memberi panduan kepada para pembaca terutamanya yang bergelar peniaga atau bakal bergelar peniaga. Saya mohon perlindungan dari Allah SWT daripada ujian seumpama ini buat diri saya dan para pembaca semua. Mudah-mudahan Allah memberkati segala usaha kita yang bertujuan untuk membangunkan agama yang mulia ini melalui jalan ekonomi Islam yang sangat luas. Amin.

* Bagi sesiapa yang tidak keberatan untuk berkongsi artikel ini bersama rakan-rakan anda atau untuk tujuan menyebarluaskan maklumat ini, silakan untuk menekan butang LIKE di atas artikel ini. Mudah-mudahan Allah membalas jasa baik anda dengan limpahan rezeki yang melimpah ruah. Amin.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...