Friday, 3 January 2014

Posted by Unknown On Friday, January 03, 2014

Assalamualaikum w.b.t.
Apa khabar semua, Semoga anda sihat hendaknya. Kalau kurang sihat, boleh cuba-cuba menggunakan Shaklee, pasti anda akan mula jatuh cinta nanti. Tapi itu bukan tajukanya hari ni. Jom fokus....fokus.

Alhamdulillah, tarikh di atas adalah tarikh keramat bagi bandaraya Johor Bahru yang mula mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program terbaik di sisi Allah, program halaqat az-zikr. Program yang jarang negeri-negeri di Malaysia lakukan terutamanya pada tarikh awal tahun baru. 

Sekalung pujian dan tahniah untuk semua pihak yang terlibat yang menjayakannya. Semoga Allah memberkati program ini, orang yang menghadirinya dan rakyat negeri Johor yang cintakan kepada Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat yang mulia.

Jam besar menjadi saksi bisu di Dataran Johor Bahru

DATARAN BANDARAYA JOHOR BAHRU

Mungkin ada yang tidak tahu termasuk saya dulu ketika mula-mula bekerja di negeri Johor bahawa Johor tidak mengambil cuti umum pada tanggal 1 Januari setiap tahun, termasuk juga tahun ini. 

Jadi seperti hari biasa, siangnya kerja dari pagi hingga jam 5 petang. Kebetulan pula sekarang masih cuti semester untuk pelajar diploma, jadi tidaklah penat sangat. Hanya diisi masa terluang dengan membuat nota, tutorial, soalan akhir semester dan pelbagai lagi. Siapa kata jadi pensyarah tak banyak kerja kan?! Banyak juga kerja untuk orang 'malas' seperti saya ni.

Pulang je dari tempat kerja, terus menghalakan kenderaan ke Johor Bahru agar dapat bersama para pecinta Rasulullah SAW di samping mengisi masa dan ruang yang ada untuk bersama orang-orang soleh dan menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam. 

Sepanjang perjalanan, hati terasa tenang, jalan pun tidak sesak seperti hari-hari biasa yang sepatutnya sesak teruk dan alhamdulillah, sampai di sana tepat jam 7 malam. Ajaibnya, seperti segalanya sangat mudah. Mungkin itulah pertolongan Allah yang pasti mengiringi sesiapa sahaja yang ingin bertemu denganNya atau bertemu kekasihNya. 

Orang ramai telah mengerumuni dataran seawal Maghrib lagi
Sampai sahaja di sana, hanya ucapan 'Masyaallah' je yang mampu terbit dari bibir. Ribuan orang telah ada di sana, menunggu program yang hanya akan bermula selepas maghrib itu. Hampir kebanyakan orang memakai pakaian putih dengan fesyen yang hampir sama. 

Ada yang berjubah, berserban, berkopiah dan sebagainya. Putih sahaja kumpulan ini jika dilihat dari kejauhan. Terselit di sudut hati sebuah bisikan,"Beginikah keadaan ketika berada di Arafah nanti?! Hebatnya, masyaallah". Sungguh hati ini rindu untuk ke rumah-Nya.

Pemandangan yang hebat ini tak mungkin dapat saya ceritakan melalui kata-kata paling indah sekalipun. Tidaklah mampu tangan yang bertulang ini menceritakan keindahan rasa hati yang tidak nampak di mata sifatnya. Rasa hati hanya dapat dihukum melalui pandangan mata sahaja.

SIFAT ORANG BERIMAN

Sifat pertama orang yang beriman tentulah mengerjakan solat hinggakan Allah berfirman,"Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31).

Perkara pertama dalam program tersebut adalah mendirikan solat Maghrib secara berjemaah. Satu aktiviti yang menarik dengan menyatupadukan manusia melalui solat berjemaah dan meletakkan taraf semua manusia pada satu takuk yang sama iaitu sebagai hamba Allah. Baik yang berjawatan ataupun tidak, semuanya berada di belakang seorang imam dan berada dalam saf yang sama bersama umat Islam yang ramai. 

Sedang bersedia untuk mendirikan solat Maghrib berjemaah
Tiada pangkat, darjat, kuasa dan perbezaan apa pun ketika itu melainkan hati. Hati yang sama, hati yang tunduk patuh kepada Allah SWT dan hati yang dipenuhi gelora cinta kepada RasulNya. Jika cinta sudah di hati, apa pun arahan akan diikuti. Betul tak?

Selesai solat Maghrib, semua mengambil tempat dan dihiburkan dengan persembahan nasyid dari kumpulan jemputan. Nasyid yang berkisar tentang iman, islam dan jihad serta diselitkan dengan sajak mengenai Rasulullah SAW. Lantunan nasyid dari kanak-kanak yang masih lagi jernih hatinya mampu menggegarkan hati-hati golongan remaja dan dewasa hingga ramai yang terpaku mendengar pesanan yang disampaikan melalui bait-bait yang dikarang indah.

Kumpulan nasyid 'Khalif' dari Batu Pahat
Program ditangguhkan sementara apabila azan isya' berkumandang membelah langit JB ketika itu. Solat Isya' kemudian didirikan tanpa bertangguh-tangguh dan alhamdulillah kehadiran ketika itu semakin ramai sehingga jalan besar di hadapan padang program sesak teruk dan padang penuh dengan kumpulan orang ramai.

Mengambil berkat daripada firman Allah yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring." maka majlis diteruskan dengan ketibaan Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf bersama rombongannya. Ramai, sangat ramai.

Semuanya datang dengan satu tujuan, untuk memperingati dan membesarkan Rasulullah SAW serta mengisi ruang kerinduan di hati terhadap baginda. Hati siapa yang tiada cinta kepada Nabi, nescaya kelam kabutlah hidupnya, lesulah imannya, hilanglah sinar dari wajahnya dan pudarlah kebahagiannya di dunia apalagi di akhirat sana.

Habib Syech dan Dr Azizan Osman bersama para rombongan beliau
Bertambah besarnya hati saya melihat di celahan rombongan itu, terselit mentor saya di sana, Dr Azizan Osman, berkhidmat pada para habaib keturunan Rasulullah SAW dan merendah diri dalam majlis yang besar itu kerana ingin menggapai cita-citanya untuk bukan sahaja kaya dan berjaya di dunia, bahkan hingga ke akhirat sana.

Betapa ramai orang mengatakan bahawa harta mampu menjadikan manusia makin kufur sehingga menakutkan ramai dari kita dengan harta kekayaan. Tapi jarang sekali kita dengar cakap-cakap orang yang mengatakan harta mampu menjadikan manusia semakin bersyukur. Sedikit pesanan buat pembaca,"Biasakan yang betul, betulkan yang biasa". 

SUASANA & PERSOALAN


Pengisian lagu-lagu qasidah yang dialunkan oleh Habib Syech benar-benar punya auranya yang tersendiri, tidak sama dengan lantunan orang lain. Sudah ratusan majlis qasidah yang saya pernah hadiri tapi majlis Habib ini berbeza. Sangat berbeza. Auranya terlalu kuat dan lantunannya benar-benar menghentam hati. hati yang keras mampu bergegar dan pecah kerana momentum hentaman tersebut, apa lagi hati yang lembut.

Titisan air mata sempat saya rakamkan dalam memori akal dan pandangan saya daripada para hadirin terutamanya ibu ayah yang telah berusia. Sungguh mereka rindu kepada baginda di dunia ini. Mudah-mudahan rindu mereka berbalas ketika sakratul maut nanti. Jika tidak pun, di hari akhirat nanti Rasulullah jua yang menanti kehadiran mereka.


Beruntung betul anak-anak yang membawa ibu ayah mereka ke majlis seperti ini. Tak perlu ke program lawak jenaka untuk mengisi hati tua yang telah bosan dengan hidup dan hanya ditutupi dengan ketawa yang sementara dan dibuat-buat, tetapi dalam majlis ini semuanya membiarkan air mata mereka gugur kerana itulah ubat hati yang rindu sebenarnya.

Anda pernah bercinta atau kasihkan seseorang?! Jika pernah, ingin saya tanyakan satu soalan,"Apabila kita mengingati seseorang yang kita sayang, adakah ketawa yang mendahului air mata atau air mata yang mendahului ketawa?!". Bukankah bila kita rindukan seseorang, air mata yang mengalir dahulu buat membasahi hati yang gersang kerinduan itu dan apabila telinga menangkap suaranya, mata melihat rupanya dan mulut dapat berbecira dengannya, gelak ketawa pula yang mengiringinya? 

Jika begitu, sila semak, adakah pernah air mata kita gugur untuk nabi tercinta ini?! Ini soal penting. Soal yang perlu kita selesaikan sebelum mati dan bertemu dengannya kerana sampai masa kita perlu bertemu dengannya jua.


Bila dah selesai yang tu, tanya pula diri,"Jika benar aku kasih Rasulullah, kenapa aku tak berusaha untuk menghadirinya? Dalam kerjaya, bisnes, belajar dan sebagainya, anda berpegang kepada prinsip,"Jangan beralasan" tetapi kenapa untuk hadir ke majlis yang mengingati nabi, kita punya banyak list alasan. "Saya kerja", "Alah, sesaklah nanti kalau saya pergi, mesti ramai nanti", "Esok, anak sekolah la", "Alah, bukan takde dah majlis macam tu bila-bila nanti".

Hurm, banyakkan alasan kita. Ye, banyak sangat bila hati kata tidak, bila hati kering dari cinta, bila hati berkarat dengan pelbagai dosa dan paling menakutkan adalah bila hati dah diambil alih oleh dunia. 


Jika kita kata,"Saya nak jadi kaya kerana agama", jadi di mana kita ketika majlis agama berlangsung?
Jika kita kata,"Saya kerja la, nanti tak kerja nak makan apa?", jadi kenapa tak sanggup cuti jap dari kerja untuk nak makan di akhirat yang tentunya lebih lama?
Jika kita kata,"Alah, ramai sangat, saya tak boleh ramai-ramai ni, migrain, sakit perut, senggugut dan segala macam jadi nanti", jadi anda ingat di padang mahsyar nanti anda seorang diri di sana. Lebih sesak daripada dunia dan lebih banyak penyakit yang anda rasa.
Jika kita kata,"Esok anak saya sekolahla", jadi fikirkan apa tujuan anda anda bersekolah? Adakah untuk penuhkan akalnya dengan kecerdikan sedangkan hatinya gersang dari hikmah dan kebijaksanaan?

Saya tidaklah berniat buruk terhadap mereka yang tidak hadir, hanya saya ingin mengingatkan apa itu cinta dan rindu sebenarnya. Saya malu lihat orang India penuh di tengah jalanraya pada perayaan mereka, orang Kristian ramai pula di biara-biara mereka ketika raya walaupun mereka sesat. Bagaimana pula kita yang mendabik dada mengatakan kita benar sedangkan kita sendiri yang tidak berusaha untuk menunjukkan keizzahan dan keagungan Islam itu sendiri?!


Semoga sedikit coretan pengalaman saya dan sedikit teguran ini dapat menjentik rindu di hati kita terhadap baginda SAW dan para sahabat yang telah banyak berkorban memastikan Islam tiba di hati kita sekarang.

Tiada air mata pada hati yang tiada rindu. 
Tiada rindu pada hati yang tiada cinta.
Tiada cinta pada hati yang tiada kenal.
Tiada kenal pada akal yang tiada berilmu.
Tiada ilmu pada diri yang tidak belajar.

Belajarlah...belajarlah....belajarlah untuk rindu kepadanya kerana sesungguhNya ia adalah kekasih Allah.


*Bagi yang tidak keberatan untuk share kecintaan dan kerinduan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...