Wednesday 12 March 2014

Posted by Unknown On Wednesday, March 12, 2014

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua visitor blog saya.

Sudah 4 - 5 hari berlalu sejak kehilangan pesawat MAS MH 370 bersama 239 orang penumpang dan krewnya. Pencarian masih berjalan dan siasatan masih diteruskan. 

Namun, sejak itu juga, jari-jari ini seakan tumpul dari menulis sebarang post yang berguna untuk semua. Maaf dipinta. Hati yang sedih kadang-kala sering menghilangkan kewarasan akal dan seringkali menumpulkannya dari melakarkan sesuatu secara sempurna.

Apa pun, jika kita tidak mampu menyumbang terlalu banyak sepertimana yang dilakukan oleh ahli pasukan mencari dan menyelamat yang bukan sahaja bekerja 24 jam sehari hingga ada yang meninggalkan anak isteri, namun jangan dilupa untuk kita berusaha dengan cara kita iaitu BERDOA.

Doa yang terbaik adalah doa seseorang kepada rakannya yang lain dalam keadaan yang tidak diketahuinya. Mafhum sabda Nabi SAW,"Di antara doa yang mustajab adalah doa seorang Muslim kepada rakannya secara sembunyi-sembunyi".

Doa yang paling mustajab pula adalah doa yang datang dari sesalan di hati dan air mata yang berjuraian di mata disertai rasa takut dan harap hanya semata-mata kepadaNya. 


Sekurang-kurangnya setiap kali setelah solat wajib, duduklah sebentar. Jangan tergopoh gapah bangun mengejar dunia ini yang sentiasa kita kejar di luar solat kita. Cuba bayangkan situasi terburuk ketika itu dan perasaan para penumpang dan anak kapal ketika itu.

Ketakutan yang dirasai itu mampu mengeluarkan air mata anda dan ketika itu angkatlah tangan, munajat kepadaNya dan berdoa kepadaNya. Letakkan sepenuh harapan kepadaNya.

Percayalah apa yang kita doakan kepada orang lain, hasilnya juga akan kembali kepada kita. Cuma bentuknya 'kembalinya' itu hanya Allah sahaja yang tahu caranya.

Saya melihat ramai yang menulis status di Fb, twitter dan sebagainya. Ada yang berdoa, ada yang menasihat, ada yang mengejek dan memepermainkan dan ramai yang hanya menyebar berita tanpa kesahihan yang sebenar. Apa kata kita hentikan semua benda tu dan banyakkan berserah kepada Allah.

Jalan itu lebih selamat ke atas orang yang mengaku Islam dan beriman kepada Qada' dan Qadar Allah SWT. 


KELEBIHAN MENANGIS

1. TINGKATKAN MOOD

Tahap tekanan disebabkan kesedihan boleh menurun hanya dengan menangis. Mood akan kembali pulih kerana air mata yang dihasilkan daripada tangisan mengandungi 24 peratus protein albumin, berguna untuk menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dibandingkan dengan air mata yang terhasil daripada sakit mata. 

Jarang ada orang yang suka untuk menangis. Meskipun anda dilimpahkan dengan pelbagai masalah namun selepas menangis biasanya akan muncul perasaan lega. Pada fasa ini, sistem otak dan jantung akan menjadi lancar hingga mampu membuatkan kita merasa lebih baik dan lega. 

Keluarkan masalah dengan tangisan, jangan dipendam kerana dibiarkan ia boleh ‘meletus’ dengan hebat kelak. Ramai yang tidak mengikut jalan tangisan ini. Maka, jadilah teriakan dan maki hamun sebagai perkara wajib di dalam percakapan dan tak cukup dengan itu, diluahkan pula dalam bentuk tulisan di pelbagai laman sosial.

Jadi, apa kata kita elakkan daripada menjadi orang beremosi tanpa hala tuju menjadi orang yang meluahkan emosi dengan cara yang betul pula. Tingkatkan mood dengan cara yang Allah SWT redhai dan percayalah petunjuk Allah sentiasa benar.

2. KURANG TEKANAN

Bagaimana menangis boleh mengurangi tekanan? Air mata juga mengeluarkan hormon tekanan yang terdapat dalam tubuh iaitu endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin. Selain menurunkan tahap tekanan perasaan, air mata juga membantu melawan penyakit yang disebabkan oleh tekanan seperti tekanan darah tinggi.

Selain baik untuk kesihatan, menangis juga boleh membantu seseorang menjadi lebih ‘segar’. Biasanya seseorang akan menangis menceritakan masalahnya di depan teman atau seseorang yang menyokongnya tetapi dalam hal ini, luahan melalui air mata berupaya meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga hubungan sosial lebih rapat.


Bagaimana pula jika air mata yang keluar itu semuanya diluahkan di depan Sang Pencipta? Bukankah itu yang sebaik-baiknya!

3. BUNUH BAKTERIA DAN KELUARKAN RACUN

Tak perlu ubat titik untuk mata, cukup dengan air mata yang berfungsi sebagai anti bakteria semula jadi. Di lapisan luar mata mengandungi cairan yang dinamakan lisozom. Cairan ini dapat membunuh sekitar 90 hingga 95 peratus bakteria yang tertinggal di papan kekunci komputer, susur tangga, bakteria selepas bersin dalam hanya lima minit. Hebat tak ciptaan Allah taala ini? Hanya dengan proses semulajadi tubuh manusia sahaja.

Seorang ahli biokimia, William Frey melakukan beberapa kajian mengenai air mata dan mendapati cecair yang keluar daripada hasil tangisan emosi ternyata mengandungi racun. Ia menandakan racun telah dibawa keluar dari dalam tubuh menerusi air mata ajaib ini.


Bukankah Allah berfirman,"Maka, sedikitkanlah bergelak ketawa dan perbanyakkanlah menangis". Jika tiada fungsi dan kelebihannya, tentu Dia tidak akan menyuruh kita melakukannya. Tidaklah Allah SWT menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia. 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...