Thursday, 9 October 2014

Posted by cikgu mat On Thursday, October 09, 2014

Saya terpanggil untuk membuat sedikit coretan apabila terbaca kenyataan 'biadap' di pagi yang serba indah ini.

Sebelum pergi lebih jauh, lihat 2 perbezaan kenyataan ini.



Kenyataan pertama dikeluarkan pada 9 Oktober 2014, manakala kenyataan dari Agensi kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dikeluarkan pada 4 Oktober 2014, hanya berbeza seminggu sahaja.

Soalan demi soalan timbul dalam benak fikiran:

1. Rakyat dengan pendapatan bulanan RM 2 500 dikatakan lebih dari cukup TAPI ....

Menteri yang berpendapatan RM 6 500 dan jika dicampur segala inisiatif dan elaun berjumlah RM 13 000/bulan dikatakan terpaksa ikat perut. 

Masuk akal?

2. Untuk rakyat, tegurannya adalah tidak bermewah dengan harta tapi kurangkan perbelanjaan seminimum mungkin untuk kebaikan sendiri katanya TAPI....

Cadangan menteri untuk pemimpin setaraf dengannya adalah tambahkan lagi pendapatan semaksimum mungkin untuk kebaikan rakyat.

Apa kerja mereka sebenarnya?

3. Untuk rakyat, ditubuhkan AKPK di bawah pengawasan dari Bank Negara Malaysia TAPI.....

Untuk menteri dan kerajaan, tiadakah AKPK atau setaraf dengannya yang berkuasa memberi nasihat kepada mereka?

4. Rakyat dibayangkan oleh menteri berpendapatan perkapita bulanan adalah sebanyak RM 5900/bulan tanpa diinterview seorang pun rakyat untuk 'mengesahkan' benar atau salah kenyataan menteri ini TAPI

Menteri boleh menceritakan tentang kesusahannya demi rakyat atas alasan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Adilkah?

5. Kisah rakyat yang mengikat perut sendiri dan keluarga untuk mebayar segala jenis cukai demi membesarkan perut para menteri di samping mengecutkan akalnya jarang sekali dicerita TAPI

Kisah menteri terpaksa tambat perut demi rakyat akibat terlalu 'kenyang' diputar cerita, konon suci dan muluk kerja buat mereka.

Aduhai celakanya cerita?

Bilakah ucapan ini akan diangkat sekali lagi?!

MANA SUARA ULAMA.......?

Termasuk dalam senarai para ulama adalah para mufti atau penasihat agama yang dilantik oleh sesebuah negara.

Mereka ini tidak sepatutnya menjadi tunggul kayu yang diam tunggu mereput dan kemudiannya mati dalam keadaan itu.

Kedudukan para ulama adalah setaraf dengan penguasa berdasarkan hadis Nabi SAW,
"Jika baik 2 golongan ini maka baiklah negara. Mereka adalah ulama dan umara' (pemerintah)".

Ulama juga merupakan jambatan atau orang tengah di antara pemimpin dan rakyat.

Merekalah yang bangkit ketika mana pemimpin menjadi zalim.
Merekalah suara rakyat ketika mana pemimpin tidak lagi mahu mendengar.
Merekalah penuntut hak kebenaran dan keadilan ketika mana pemimpin dibuai angin kekuasaan dan kejahatan.

Tapi, kini para mufti dan ulama sudah tiada bisanya. Sudah hilang izzah (kemuliaan) Islam dari asbab mereka.

Rakyat ditindas, mereka diam.
Rakyat memberontak, mereka keluar hukum.

Mereka menjadi harimau di kampung rakyat tetapi menjadi kucing di pintu istana pemimpin.

SIFAT ULAMA

"Sebaik-baik pemerintah adalah yang mendatangi ulama, seburuk-buruk ulama adalah yang mendatangi pemerintah"- Syeikh 'Ali bin 'Atiyyah al-Hamawi

Ada 3 golongan ulama yang berkait dengan soal kepimpinan:

1- Ulama yang mendatangi umara: 

Lazimnya inilah tanda seburuk-buruk keadaan ulama, zalimnya para pemimpin dan musnahnya sesebuah negara.

Bahkan para ulama mengatakan,"Di antara tanda ulama su' (jahat) adalah mereka kerap mengunjungi dan memuji para pemimpin untuk habuan dunia mereka".

Imam Sufian ath-Thauri berkata: "Apabila engkau melihat seorang ulama rapat dengan sultan, ketahuilah dia sebenarnya seorang perompak. Sekiranya engkau melihat dia rapat dengan orang kaya-kaya, ketahuilah dia seorang yang bermuka-muka."

# # # # # 

Tetapi jika ulama telah berdiri di hadapan pintu istana pemerintah untuk menuntut hak, maka ia adalah perbuatan yang paling terpuji berdasarkan hadis,

“Janganlah kamu tidak memperkatakan kebenaran disebabkan kamu takut kepada manusia. Sebesar-besar jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim”.

Kisah yang menarik untuk bacaan para ulama:

Imam Ibnu Taimiyyah telah didatangi oleh seorang pedagang yang mengadu bahawa dia dikhianati oleh seorang penguasa di Damsyik. 

Lalu Imam itu telah pergi untuk menemui pembesar tersebut. Ketika beliau berada di depan rumah pembesar itu, pembesar itu telah menyindir Imam Ibnu Taimiyyah dengan katanya,

"Terhormatlah seorang pembesar yang berada di depan pintu rumah ulama dan sebaliknya pada seorang ulama yang berada di depan pintu pembesar". 

Lalu Imam Ibnu Taimiyyah menjawab : "Diamlah engkau! 

Adakah hina Nabi Musa yang mendatangi istana Firaun?! 

Aku datang bukan untuk meminta sesuatu pemberian daripada engkau kecuali untuk menuntut keadilan kepada orang yang telah engkau zalimi"


2- Ulama yang didatangi oleh umara.

Keadaan ini adalah paling baik. Inilah yang dianjurkan bahkan telah menjadi satu syarat di kalangan para ulama yang benar dan soleh supaya menjauhi pintu istana para pemimpin sebagai tanda kealiman mereka, keadilan pemimpin dan keamanan negara.

Mereka sangat memahami hadis Nabi SAW,“Seburuk-buruk ulama ialah mereka yang mendatangi umara dan sebaik-baik umara ialah mereka yang mendatangi ulama,” (Riwayat Ibnu Majah)

Ulama itu lebih mulia dan wajib dimuliakan kerana ilmu mereka.

Khalifah Harun Ar-Rasyid menginginkan agar Imam Malik datang ke rumah beliau untuk mengajar 2 orang anak beliau.

Kata Imam Malik: "Semoga Allah memuliakanmu wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya kalian akan mendapat ilmu itu jika kalian memuliakannya. 

Jika kalian mencela ilmu itu maka ilmu itu juga akan dicelakan oleh kalian. Sesungguhnya ilmu itu didatangi dan tidaklah ilmu itu yang mendatangi."

Berkata khalifah,"Benarlah perkataanmu itu. Pergilah kamu berdua wahai anakku ke masjid untuk mendengarkan pelajaran bersama manusia lain."

Lalu Imam Malik berkata,"Dengan syarat hendaklah kedua mereka tidak diawasi dengan pengawal,dan hendaklah mereka berdua duduk disitu sehinggalah majlis tamat".

Abu Hazim, seorang ulama pada zaman tabiin menyatakan bahawa pada zaman beliau, jika umara mengundang ulama, ulama tidak mendatanginya. 

Jika umara memberi, ulama tidak mahu menerima. Jika umara memohon sesuatu daripada ulama, mereka tidak menurutinya. 

Akhirnya penguasa yang mendatangi rumah ulama untuk bertanyakan sesuatu.

Fikirlah bersama…..

3- Ulama meng'uzlah diri dan menjauhkan diri daripada umara, inilah yang paling selamat buat sebahagian ulama.


ULAMA ADALAH PENASIHAT PALING DITAKUTI OLEH PEMIMPIN

Antara perkara yang diamalkan oleh para ulama ketika berada di hadapan pemimpin adalah:

+ Tidak memuji peribadi mereka sedikit pun.
+ Menegur kesalahan mereka dengan penuh hikmah kebijaksanaan
+ Tidak berlama-lama dalam majlis para pemimpin untuk mengelakkan fitnah
+ Menceritakan tentang azab neraka dan amaran menakutkan kepada pemimpin 

Iman Ghazali memberi panduan kepada semua ulama selepasnya,

“Rosaknya rakyat berpunca daripada rosaknya pemerintah dan rosaknya pemerintah berpunca daripada ulama suk yang ada berkepentingan.” 

Jika ulama sudah tidak pedulikan peranannya dalam soal memberi kesedaran kepada pemimpin, maka tidak perlu menunggu keadilan Allah di hari kiamat, di dunia pun telah terlihat kesannya.
  • Pemerintah bencikan keadilan kepada rakyat
  • Rakyat bencikan kepatuhan kepada pemimpin
  • Cukai menjadi kewajipan kepada umat Islam
  • Negara hilang keberkatan
  • Ekonomi hilang keberkatan
  • Penindasan daripada musuh
  • Tanda 'kiamat' sesebuah negara
Semoga kita mengambil pengajarannya dan melazimi untuk duduk bersama para ulama yang berani di dalam majlis mereka dan menadah ilmu mereka.

'Ingatan buat kaum yang terlupa'

Mohd Taufiq
Motivator Kekayaan & Kejayaan

*Bagi yang tidak keberatan untuk share pengetahuan ini bersama orang lain, sila tekan butang LIKE di atas post ini. Semoga ia menjadi manfaat untuk semua rakan-rakan anda yang memerlukan post ini dalam usaha untuk hidup lebih sihat, ceria dan bahagia.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...