"Sibuklah....kerja siang malam sebab nak sara hidup anak bini."
"Sibuklah....bisnes tengah maju ni. Nanti lapang, sampailah."
"Sibuklah....nak bercuti pula ni. Anak-anak nak pergi bercuti pula."
Inilah kebanyakan alasan sibuk yang sering kita dapati dari kalangan umat Islam kini. Terutamanya jika diajak untuk ke majlis-majlis ilmu.
Kesibukan luar biasa ini datang dari mulut orang-orang yang mengatakan bahawa mereka bukan golongan yang cintakan dunia tapi sayang, ia nampak berlawanan dari hakikatnya.
Mulut mengucapkan kemanisan akhirat untuk orang lain sedang hati mengucapkan kemanisan dunia untuk diri sendiri. Hati-hati dengan nafsu sendiri.
Kita lebih sibuk menghirup manis dunia ini sebanyaknya hingga kadang kala hendak berada di majlis ilmu dan majlis yang baik-baik berkaitan agama tidak kesampaian.
Lihatlah jadual seminggu kita. Di manakah kekosongannya untuk berada di masjid surau dan majlis-majlis para ulama? Jika ada pun kekosongan itu, ia akan 'dipenuhi' dengan alasan yang tidak sepatutnya dan selayaknya.
Untuk merasai manis dunia, kita ciptakan peluang hatta di kala sibuk pun, tapi untuk marasai nikmat akhirat, kita ciptakan alasan di kala lapang pun. Tidakkah malu pada Allah?!
KESIBUKAN DUNIA ADALAH TANDA KIAMAT
Mengapa kita sibuk sangat ni?
Kerana kita tidak cukup masa untuk melakukan segalanya. Kerja untuk sara diri, bercuti untuk rehatkan diri, ibadat untuk penyerahan diri, bermain untuk keseronokan diri dan segalanya seolah-olahnya tidak mencukupi dengan masa yang ada 24 jam itu.
Kerana singkatnya masa menjadikan kita sibuk. Sibuk itu menjadi tanda awal kiamat.
"Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat. Maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (Riwayat Tirmizi)
Alasan inilah yang membuatkan umat Islam jauh dari agama mereka sendiri. Nilai ilmu yang menjadi tunjang kepada hidup kini diganti dengan nilai harta. Ilmu yang selama ini menjadi alat untuk mencapai bahagia juga diganti dengan harta.
Kerana itu perkara pertama yang menjadi musibah umat Islam di kala masuknya zaman fitnah yang akan berakhir dengan kiamat adalah ILMU DIANGKAT.
Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu agama. Ulama yang baik dimatikan. Yang tinggal hanyalah ulama pemcari makan. Ilmu agama diremehkan dan mula tidak dipelajari sehingga umat Islam sendiri tidak pasti sama ada dia Islam ataupun tidak kerana banyaknya ilmu agama yang tidak diketahui mereka.
Sibuk kerja sebab nak cari duit dan harta untuk kahwin, untuk bercuti, untuk sara diri dan keluarga, untuk itu dan untuk ini.
Seolah-olah telah ditarik segala kesedaran mereka bahawa untuk semua itu, mereka tidak perlukan banyak duit, tapi mereka perlukan lebih banyak ilmu!
Betapa ramai yang kahwin atas dasar harta, akhirnya terbarai di tengah jalan?
Betapa ramai yang menyara keluarga atas dasar harta, akhirnya hancur?
Berhati-hatilah dengan kesibukan dunia dalam mencari mata benda kerana ia mungkin ujian buat kita. Takut Allah berikan kita, harta dengan segala isi dunianya tapi Allah tarik dari kita, iman dan segala kemanisannya.
Inilah yang diucapkan oleh Saidina Abdul Rahman bin Auf.
"Ada dalam kalangan kami dari kaum muhajirin yang setelah tiba di Madinah, kami mendapat semula harta kekayaan kami di Mekah dan ada sebahagiannya pula tidak dapat kembali harta kekayaan itu.
Maka kerana itu, aku sentiasa berhati-hati dengan pemberian ini. Aku takut Allah ambil agamaku dengan memberikan semula harta kekayaanku"
Carilah ilmu dan harta. Jadilah jutawan bertakwa, bukan jutawan pelupa!
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
Motivator Kesihatan & Kejayaan
0 comments :
Post a Comment