Thursday, 20 November 2014

Posted by Unknown On Thursday, November 20, 2014

2 - 3 hari lepas, post akhbar ini menjadi viral seluruh Malaysia oleh pengguna media sosial dan ramai sekali yang memberi, kutukan, pandangan dan tak kurang juga yang melontarkan caci maki kepada sang suami di samping kata-kata sokongan buat si isteri.

Kisah ini bukan satu dua di Malaysia, bahkan statistik menunjukkan Malaysia menjadi negara pasangan curang tertinggi di Asia! 

Mengejutkan, bukan?!

MENGAPA CURANG?

Tujuan awal dan akhir pernikahan adalah untuk ketenangan dan kebahagiaan. 

Jika tujuan ini tidak diperoleh dalam tempoh perkahwinan itu disebabkan beberapa faktor, maka muncullah bibit-bibit kecurangan.

Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kalian mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.” 



TEKNIK ATASI CURANG CARA NABI

1. Pilih Pasangan Mengikut Aturannya

Nabi SAW bersabda: "Perempuan itu dinikahi kerana 4 perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya atau agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Saidina Hasan bin Ali berkata: “Kawinkanlah anak perempuanmu dengan lelaki yang bertakwa kerana jika lelaki itu mencintainya, maka dia akan memuliakannya. Jika tidak menyukainya, maka dia tidak akan mendzaliminya.”

Sudah jumpa rahsianya?!

Nabi SAW dan Islam itu sendiri mementingkan agama dalam semua hal, terutamanya pada pemilihan pasangan.

Pada kebiasaan manusia, aturan pasangan mengikut tingkatan harta, keturunan dan kecantikan menjadi faktor utama dan meletakkan 'beragama' pada pilihan terakhir.

Tapi Nabi menyuruh sebaliknya. "Pilihlah yang beragama, nescaya kamu bahagia," begitulah petunjuk baginda.

Dari post yang viral itu, kita boleh melihat dengan jelas betapa si suami memuja kecantikan isterinya dan itulah faktor utama perkahwinannya. 

Kecantikan itu juga menjadi faktor utama kecurangannya kerana kecantikan itu telah berpindah pada diri orang lain sedang isterinya sudah hilang kecantikannya.

Ini yang telah Nabi ingatkan. 

  • Jangan kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikannya semata-mata, kerana kecantikan akan memusnahkan dirinya dan diri kamu.
  • Jangan kamu berkahwin dengan wanita kerana hartanya, kerana kekayaan itu akan membuatnya derhaka kepadamu.
  • Janganlah berkahwin kerana keturunannya, kerana ia akan menghinakan kamu.

Adakah kita telah memilih pasangan menurut aturan ini?!

2. Fahami Tanggungjawab

Benar. Ada ketikanya pasangan suami isteri terlupa tanggungjawabnya setelah mempunyai anak.

Hambatan kerja dan kesibukan mengumpul harta untuk kehidupan lebih baik di masa depan hingga membuatkan mereka terlupa tanggungjawab hari ini memburukkan lagi keadaan.

Isteri memikul hak isteri kepada suami dan hak ibu kepada anak. Suami pula memikul hak suami kepada isteri dan hak bapa kepada anaknya.

Masalah kurang kasih sayang dan perhatian dari pasangan yang membawa kecurangan adalah kerana isteri sudah menjadi 'full-time mother' hingga hilang terus tanggungjawabnya sebagai 'isteri'.

Atau kerana suami telah menjadi 'no-time father' hingga isteri terpaksa mengambil tanggungjawab itu atas dirinya dan mengabaikan tanggungjawab sebagai 'isteri' kerana bebanan itu. 

Faham..faham?!

Inilah masalahnya, kita tidak mengimbangkan antara kedua-dua hak yang Allah pikulkan atas seorang lelaki bernama suami dan bapa dan hak seorang wanita sebagai isteri dan ibu.



3. Penampilan Wajib Menarik

Ini yang paling banyak berlaku dalam masyarakat kita. Tidak ramai pasangan yang menjaga penampilan mereka setelah 3-4 tahun perkahwinan dibina.

Mungkin kerana mereka berasa 'selamat' dan 'selesa' kerana telah diikat dengan nama isteri atau suami sedangkan itulah punca kecurangan berlaku.

Suami 'geli' mata di rumah, tapi 'gatal' matanya di jalanan.
Isteri 'basi' di rumah, tapi 'seksi' pula di jalanan.

Suami 'bisu' di rumah, tapi 'manis' mulutnya di luar.
Isteri 'meroyan' di rumah, tapi 'waras' mulutnya di luar.

Maaf jika terkasar tapi inilah realiti yang berlaku. Sedangkan Islam mengajar supaya berperwatakan dan berpakaian menarik ketika di rumah.

Amaran Rasulullah SAW:

"Siapa saja perempuan yang memakai bau-bauan, kemudian ia keluar melihat kaum lelaki ajnabi agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina." (Riwayat Ahmad)

Bagaimana mungkin rumahtangga sejahtera jika tujuan kita adalah untuk 'membahagiakan' orang lain, bukan suami sendiri.



Begitu juga hadis ini:

"Rasulullah SAW memakai pakaian serba hitam, lalu bertanya kepada Aisyah: “Apa pandangan kamu, hai Aisyah?”

Aisyah berkata:"Alangkah segaknya kamu apabila kulit putih kamu dikenakan dengan pakaian hitam ini".

Hadis ini menyarankan suami bersegak dan isteri bersolek ketika di rumah terutamanya jika ada pasangan wujud di depan mata.

4. Luaskan Belanja

Nabi memberi panduan kepada kita terutamanya para suami yang menanggung nafkah rumahtangga agar memperbaiki perbelanjaan rumahtangganya.

Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

"Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya..."

Luaskan belanja nafkah untuk keluarga. Belikan pakaian, perhiasan dan wangian untuk kegunaan pasangan. 



Bakhil yang paling dicela adalah bakhilnya seorang pemimpin, baik pemimpin keluarga, jemaah, negeri atau negara.

Keluasan tangan akan membuka keluasan hati orang yang menerima manfaat tersebut selagimana tidak sampai pada tahap pembaziran.

5. Perhatikan Bilik Tidur

Bilik tidur adalah bilik eksklusif suami isteri. Bukan orang asing sahaja tidak dibenarkan masuk ke bilik khas ini bahkan anak-anak juga diajar adab etika tertentu untuk masuk ke bilik bahagia ini.

Maka, jagailah bilik ini. Bilik ini menentukan bahagia atau tidak bahagian rumah yang lain. 

Malangnya yang berlaku adalah sebaliknya. Tiada lagi haruman minyak wangi seperti di awal perkahwinan. Yang tinggal hanyalah bauan minyak angin.



Semua ini mungkin nampak remeh, tapi apabila perkahwinan mula dilubangi dengan kecurangan, perkara yang dianggap 'remeh' oleh masyarakat yang kian jauh dari panduan Nabi ini pasti akan kelihatan lebih penting dari segalanya.

Semoga bermanfaat. Semoga Allah memelihara perkahwinan yang telah kita bina atas dasar cinta. Dasarilah atas cinta kepada Allah.

FEEL FREE TO SHARE THE SUNNAH.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...