Assalamualaikum semua. Semoga Allah meredhai hidup kita semua pada hari ini.
Umat Islam kini sangat takut sekali untuk bergelar orang kaya atau jutawan keran takutkan sifat mazmumah seperti riya, takabbur atau ujub.
Atas alasan ini, ramai umat Islam yang memilih untuk hidup sekadarnya dan 'seselesanya' tanpa mahu banyak berusaha yang akhirnya membawa kepada tekanan ekonomi dan politik ke atas majoriti umat Islam di semua negara Islam.
Bukan masalahnya pada kaya miskin, berharta atau tidak. Tapi masalahnya adakah takwa itu ada bersama dengan harta yang diusahakan seseorang ataupun tidak.
Sejujurnya, ramai jutawan yang saya jumpa bersifat rendah diri, suka bersedekah dan lembut hatinya. Antara rahsia amalan yang bukan lagi menjadi rahsia 'ketaqwaan' mereka adalah Dhuha.
Hendak kaya berharta tapi kekal bertakwa? BERDHUHALAH...!
KELEBIHAN DHUHA
1. Terdapat surah khas di dalam Quran yang dinamakan Adh-Dhuha yang menceritakan anugerah besar dan kekayaan hati dan harta kepada umat Islam di dalamnya.
2. Nabi SAW juga bersabda, bahawa Allah berfirman, “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)
3. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”
4. Riwayat dari Abdullah bin Amr, ia berkata. Rasulullah SAW mengirim pasukan perang. Lalu pasukan itu mendapat harta rampasan perang yang banyak dan cepat pulang (dari medan perang).
Orang ramai pun memperkatakan tentang mereka itu sebagai satu lambang kegagahan dan kemenangan.
Maka Rasulullah Saw. bersabda, "Mahukah aku tunjukan kepada kalian sesuatu yang lebih cepat dari selesai perangnya, lebih banyak (memperolehi) harta rampasan dan cepatnya kembali (dari medan perang)?
Merekalah orang yang berwudhu kemudian menuju masjid untuk mengerjakan solat sunat Dhuha. Dialah yang lebih cepat selesai perangnya lebih banyak (memperoleh) harta rampasan dan lebih cepat kembalinya." (H.R. Ahmad)
5. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud,
"Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah.
Barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat.
Barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut.
Barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat.
Barangsiapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya.
Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya." (Riwayat Thabrani ).
HUKUM SOLAT DHUHA
Pandangan para ulama tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah seperti berikut:
1. Sunat secara mutlak dan dikerjakan setiap hari.
Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunat mu’akkadah (yang sangat dituntut) dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin.
Ini adalah kerana Rasulullah SAW selalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat
2. Sunat namun tidak didirikan setiap hari secara berterusan.
3. Tidak disunatkan.
4. Ianya disunatkan kerana faktor tertentu seperti mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam al-Lail. Maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada waktu dhuha.
WAKTUNYA
- Mulai naik matahari iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (12 minit setelah matahari terbit atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya setelah 15 minit) .
- Berakhir sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit).
- Namun demikian, waktu yang afdal adalah pada saat matahari panas terik.
JUMLAH RAKAAT
Minimum dua rakaat dan maksimumnya 12 rakaat.
RINGKASAN TATACARA PELAKSANAANNYA
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Membaca surah al-Fatihah
4) Membaca Surah al-Qur’an. Afdhalnya:
- Surah asy-Syam pada rakaat pertama
- Surah adh-Dhuha pada rakaat kedua
5) Setelah memberi salam (keluar dari solat), bacalah doa Dhuha kerana ia adalah doa Ma'thur yang diajar oleh Rasulullah SAW ini.
Semoga bermanfaat untuk amalan jiwa dan tubuh kita.
Anda kaya dan berjaya!
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
Motivator Kesihatan & Kejayaan
0 comments :
Post a Comment