Kalau perempuan cemburu, masih banyak ‘jalan keluar’ yang boleh difikirkan, setidak-tidaknya mereka beremosi dan inginkan kepastian saja. Lepas dijelaskan atau dipujuk, sejuk hati membara tadi.
Tapi lain pula kalau lelaki yang cemburu. Itu lebih berbahaya dan jauh menakutkan kepada kekasih mereka kerana kebarangkalian yang mampu difikirkan lebih banyak dan membabitkan fizikal.
Mana tidaknya, cemburu itu didorong oleh sikap panas baran dan gemar menuduh tanpa usul periksa. Kebiasaan lelaki jenis begini adalah mereka yang ego dan sukar mengaku kelemahan diri.
Walaupun masih ada baiknya dalam sifat lelaki jenis ini seperti penyayang, bijak memikirkan soal masa depan, hebat merencana hubungan dan seorang yang taat pada janji, namun kelemahannya ini mungkin membuatkan mereka jenis lelaki yang perlu dijauhi.
Panas baran adalah sikap yang sukar dibuang dan ego adalah penyakit yang akhirnya akan merosakkan sesebuah hubungan. Itu adalah realiti dan hakikat dalam banyak kes percintaan sebelum ini.
Hujung kepada semua sikap ini adalah cemburu. Lelaki jenis ini terlalu sayangkan kekasihnya hingga tidak boleh membenarkan mereka bergaul dengan lelaki lain walaupun kawan sekerja atau kawan lama di sekolah, perlu memberitahu setiap pergerakan, 24 jam bersama hingga tiada ruang untuk diri sendiri dan mereka selalu berasa curiga dengan bayang-bayang sendiri.
Lebih 90% lelaki jenis ini gemar menuding kesalahan kepada kekasihnya selain salah anggap dan memaki hamun. Kemudian selepas menyedari salah itu berpunca daripada mereka, mulalah pujuk kembali dengan menabur ayat cinta.
Hanya separuh daripada jumlah lelaki jenis ini akan sudi melafazkan kata maaf dan selebihnya menggunakan helah lain untuk menutup kesalahan diri.
Fikirkan kembali, adakah ini calon paling layak untuk memimpin anda ke akhir hayat atau hanya akan menambah kekusutan saja? Ingat, sikap dan sifat adalah dua perkara berbeza dan dalaman seorang lelaki seperti panas baran tidak boleh diubah sebaliknya hanya mampu diredakan dengan motivasi berterusan.
Apa kriteria lelaki cemburu dan rutin tabiat mereka?
Lelaki jenis ini adalah kaki siasat. Awal perkenalan, pasangan mungkin ditatang bagai minyak penuh, bahkan segala kemahuan dituruti. Namun lama-kelamaan ada saja yang tidak kena.
Kalau boleh dia cuba mengawal setiap pergerakan. Ke mana, dengan siapa dan yang paling penting ada atau tidak lelaki bersama anda. Jika ada, anda akan disiasat dengan terperinci. Boleh dikatakan siasatan pasangan mengalahkan pihak berkuasa. Anda mungkin berasa seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman untuk dijatuhkan.
Lelaki cemburu ini juga adalah jenis yang sentiasa curiga dan sentiasa menganggap pasangannya berlaku curang. Kenapa? Kerana dia tidak yakin dengan kesetiaan teman wanitanya.
Sukar baginya untuk mempercayai, tambahan pula apabila pasangan sering diganggu dan kebanyakan daripada mereka yang mengganggu adalah lelaki yang lebih bergaya atau kacak. Itu sudah menyentuh keegoannya.
Walaupun tidak melayan mana-mana lelaki yang cuba mengganggu, dia tetap merasakan yang pasangan cuba menduakan dirinya. Padahal anda tidak tahu dan bersalah dalam hal ini. Apa yang boleh anda lakukan hanyalah bersabar dan makan hati.
Tidak perlu terang atau jelaskan kerana lelaki jenis cemburu ini tidak akan mendengar alasan anda kerana baginya, rasa kurang selesa itu akan mengganggu tumpuannya sekali gus menyifatkan anda mula lupa akan dirinya.
Paling menakutkan dan fakta lelaki jenis cemburu adalah mereka panas baran. Suami atau teman lelaki yang anda kenali dengan lebih mendalam mungkin mempunyai perangai yang suka marah.
Salah sedikit saja tapi kemarahannya bukan main lagi. Sakit hati bukan? Panas baran ini kalau tidak ditangani dengan baik mungkin akan mendatangkan padah, silap hari bulan tangan boleh naik ke muka.
Panas baran itu hanya sementara dan kemudian apabila marahnya reda, dia mula sedar kesilapan dan cuba memujuk anda kembali. Tapi kepada mereka yang sudah menjadi mangsa penderaan atau pukul, bolehkah maaf itu memulihkan kembali perasaan dan tekanan itu?
Lelaki jenis cemburu juga adalah individu yang tidak pernah puas. Si kaki cemburu tidak pernah berpuas hati dengan orang yang disayanginya. Ada saja kesalahan yang dicarinya. Dari sekecil-kecil zarah hinggalah sebesar-besar kesalahan.
Susah untuk memuaskan hatinya. Sikap ini akan membuatkan pasangan berfikir, kenapa si dia harus begini dan apakah salah anda. Pada satu tahap pasangan akan berada dalam keadaan yang sangat tertekan. Namun setiap daripada kata-kata anda tidak diterimanya malah air mata menjadi peneman setia setiap hari.
Jika teman lelaki atau suami anda jenis yang kuat mengongkong, dia juga adalah jenis lelaki yang kuat cemburu dan anda perlu lebih berhati-hati. Dahulunya anda bebas ke sana ke mari dengan sesiapa saja yang anda suka tapi sekarang tidak lagi.
Semua perkara yang anda lakukan perlulah mendapat kebenarannya terlebih dulu. Anda tidak boleh melakukan sesuatu perkara itu tanpa pengetahuan si dia. Seolah-olah kehidupan anda berada di tangannya. Anda pula harus akur dengan peraturan yang diciptanya. Nak tak nak anda terpaksa ikut.
Peliknya, si gadis-gadis ini pula akur mendengar arahan itu tapi tidak pula mendengar nasihat ayahnya dulu.
Lelaki jenis ini juga adalah gemar mengambil kesempatan. Ini memberi maksud si dia mengambil kesempatan di atas kelemahan kamu. Memandangkan anda tidak pernah melawan, setiap daripada kata-katanya perlu diikuti tanpa ada bantahan menyebabkan si dia menggunakan kesempatan itu.
Setiap kali keluar, pasti si dia akan mengambil telefon bimbit anda dengan tujuan untuk melihat mesej yang boleh mengundang kemarahannya. Malah si dia akan mengambil tahu banyak perkara mengenai diri anda. Ini akan digunakan agar anda tidak dapat lari daripadanya.
Buang rasa negatif
Cemburu tandanya sayang tapi kerana cemburu buta, sayang boleh melayang. Manusia mempunyai sebab berbeza untuk menjadi cemburu dan orang kata cemburu buta itu boleh membunuh.
Bunuh emosi atau lebih teruk bunuh secara fizikal. Perasaan cemburu itu normal tapi kalau sudah cemburu teramat, itu jadi tidak normal dan boleh mengganggu hubungan. Apabila kita cemburu, kita bimbang jika pasangan mungkin mencari orang lain yang lebih menarik dan lebih baik daripada kita.
Tetapi lama-kelamaan pasangan akan rasa rimas, risau dan cuba mengelakkan diri daripada si dia yang suka cemburu buta. Jika anda seorang cemburu buta, perlu dipertimbangkan untuk mengikuti semua langkah ini bagi memastikan kekasih hati tidak terlepas atau mula bosan dengan anda.
Langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mengatasi perasaan cemburu buta.
1. Cari punca sebenar
- Anda harus mencari punca sebenar apa menyebabkan anda berasa terlalu cemburu. Adakah anda kurang percaya kepada pasangan kerana sikapnya sendiri? Atau anda kurang yakin pada diri anda sendiri? Jangan buat tuduhan melulu tanpa usul periksa. Jika anda memang mempunyai sifat panas baran, anda perlu menenangkan diri sebelum bersemuka dengan pasangan.
2. Beri masa
- Beri diri sendiri masa untuk mengatasi sifat cemburu dalam diri. Jika anda memang seorang yang cemburu, anda tidak boleh berharap untuk berubah dalam sekelip mata.
3. Minta maaf
- Mungkin pada mata si dia jika anda selalu meminta maaf jika suka cemburu buta, perkataan maaf yang datang daripada mulut anda itu tidak berharga lagi. Tapi ia cukup baik daripada anda ego untuk meminta maaf. Jika anda meminta maaf, ia bermakna anda sedar perbuatan anda itu salah dan cuba untuk tidak melakukannya lagi.
4. Komunikasi
- Luahkan perasaan anda dan mengenai masalah cemburu anda bersama-sama dengan pasangan. Berkomunikasi bukan bermaksud anda boleh melenting sesuka hati tapi sebaliknya berbincanglah dengan elok dan elakkan daripada rosakkan perhubungan anda berdua.
5. Elak salahkan pasangan
- Elakkan daripada menyalahkan pasangan jika berlaku perselisihan faham. Anda mempunyai pilihan untuk menyelesaikannya dengan cara baik tanpa membabitkan perasaan cemburu buta. Anda bertanggungjawab dengan perasaan anda sendiri. Menyalahkan pasangan tidak akan menyelesaikan masalah.
6. Sentiasa optimis
- Sekiranya anda berfikiran positif, mungkin perasaan cemburu itu dapat diatasi dan dikawal. Tapi harus ingat untuk tidak sewenang-wenangnya mempergunakan kepercayaan yang diberikan kepada anda. Jika disalah guna, mungkin perasaan cemburu buta itu akan makin bertambah dan mungkin kepercayaan itu akan hilang terus!
7. Ubah diri menjadi lebih baik
- Tak rugi jika anda mempunyai motivasi diri untuk ubah diri sendiri menjadi lebih baik. Minta pertolongan atau nasihat daripada pakar jika anda benar-benar ingin buang sifat cemburu buta di dalam diri. Jangan lupa sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan kesabaran yang lebih tinggi.
8. Kurangkan sifat marah
- Jangan cepat melenting, sebaliknya fikir secara positif dengan menarik nafas dalam-dalam biarpun ketika berdepan dengan si dia yang menyinggung hati anda dan membuatkan anda cemburu. Selain daripada menarik nafas dalam-dalam, anda boleh mandi, solat atau buat aktiviti yang dapat mengurangkan rasa marah dan cemburu anda.
9. Hentikan perbandingan
- Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain dan menyeksa sendiri dengan perasaan negatif. Kalau anda sibuk dengan sikap cemburu buta yang negatif itu, bila masa pula anda nak berasa kemanisan kasih sayang dalam satu-satu hubungan? Bina keyakinan terhadap diri sendiri dengan mengenal pasti kelebihan yang ada pada anda dan yakinlah dengan keistimewaan yang anda miliki.
10. Belajar daripada kesilapan
- Sebenarnya emosi negatif mempunyai peranan dalam kehidupan kita, dan salah satu pengajarannya adalah ia mengajar kita bagaimana untuk menjadi seseorang yang lebih baik dalam memperjuang dan mengatasi sikap cemburu buta.
0 comments :
Post a Comment