Friday 20 September 2013

Posted by Unknown On Friday, September 20, 2013
Sejak dunia didominasi oleh teknologi dan istilah globalisasi dipertemukan, penggunaan laman web sosial semakin mendapat perhatian setiap golongan, muda mahupun tua. Laman sosial dilihat sebagai pengganti terkini  kepada medium lain seperti telefon dan surat sebagai tali penghubung antara sesama manusia dengan sekelip mata walau di benua mana mereka berada.

Rata-rata pengguna mengetahui akan kewujudannya tak kiralah sama ada yang tinggal di luar bandar apatah lagi di tengah kota raya. Pada asalnya, penggunaan laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan blog bertujuan untuk berhubung dan merapatkan hubungan di antara satu sama lain namun makin hari, ramai yang menjadikan laman sosial sebagai medan untuk meluahkan perasaan dan menyebarkan berita yang belum tentu benar hujung pangkalnya. 

LAGI BANYAK, LAGI TERUK

Menurut sumber, sehingga kini, sebanyak 170 rangkaian sosial interaktif aktif digunakan di seluruh dunia antara­nya Facebook, Twitter, blog dan Friendster yang memberi peluang membentuk interaksi sosial dan pergaulan maya tanpa sempadan.


Statistik pengguna yang tinggi menunjukkan kegilaan terhadap aktiviti melayari laman sosial kini ibarat satu budaya dan rutin kemestian dalam kehidupan. Tetapi jika difikirkan secara relevan, meskipun semakin banyak laman sosial yang wujud memberi kemudahan kepada manusia tetapi makin banyak jugalah masalah lain yang timbul seiring dengan kepesatan teknologi ini.

Fungsi terkini laman sosial yang disalahgunakan:

1- Menjadi tempat luahan perasaan

Ini adalah sebahagian dari aktiviti kebanyakan dari remaja kita yang hilang 'kesedaran' dirinya. Bahkan, tidak kurang juga dari golongan dewasa yang mencari 'pucuk muda' untuk dibuat hiburan semata. Berhati-hatilah, itu pesanan yang paling utama. Jangan kerana hendak dikatakan 'sporting' dan friendly akhirnya membawa ke kancah maksiat dan hina.

Bagi pasangan yang ingin bercinta di laman sosial, sangatlah dinasihatkan agar dapat menjaga maruah diri anda dan ibu bapa masing-masing. Jangan hendak menunjuk sangat anda dicintai oleh si dia, sedangkan sebenarnya anda sedang menconteng arang di muka kedua ibu bapa anda secara tidak sedar dan umpama memalit tahi ayam ke muka sendiri. Jijik sekali perbuatan anda memperlihatkan 'nilai' kasih sayang anda di sana terutamanya yang masih belum berkahwin. Mungkin ada yang memujinya sedang yang mencacinya tidak kurang sikitnya. Behave yourself ok!!!


Itu gelagat yang bercinta, bagaimana pula agaknya yang putus cinta atau bahasa kasarnya gila talak. Sebahagian besar mereka ini adalah dari golongan di atas, yang sering mengagungkan cinta mereka pada awalnya. Bila kecundang di tengah jalan, tengah jalan jugalah mereka meroyan. Pelbagai tuduhan dan luahan rasa hati dipaparkan untuk tatapan orang lain. Mungkin mohon simpati agaknya. Tetapi mungkin anda terlupa, golongan yang tidak kurang sikitnya tadi akan mengatakan,"Padan muka, kan dah makan ubatnya...tau pula derita selepas bahagia".
Teringat kata guru saya dahulu,"Jika kamu suka seseorang, doakanlah dia dalam DIAM dan TERANGKANLAH depan ibu ayahnya. Jangan TERANGKAN depan orang dan DIAM depan keluarganya". 
Faham tak?! Berdoa agar dia jadi milik anda dan mulakan langkah gentleman untuk sambut tangannya dengan halal, itu adalah lebih baik dan lebih berkat.

2- Tempat perdebatan dan rujukan agama

Akhir-akhir ini, ramai sekali para 'lebai' dan 'agamawan' muncul di laman-laman sosial dan alahamdulillah, medium ini adalah antara jalan terbaik untuk mereka mendekatkan seberapa ramai manusia ke jalan yang benar. Ironinya, ramai juga lebai-lebai buruk seumpama lawyer buruk yang sembangnya melangit tetapi ilmunya tidak ke mana menjadi parasit dalam menjauhkan orang lain dari agama.


Mungkin disebabkan ramai yang berstatus graduan universiti sekian...sekian atau mahasiswa sekian...sekian...akhirnya membawa mereka dengan beraninya berdebat dengan orang yang terbukti keilmuannya dalam bidang agama. Yang lebih teruk lagi, ada yang mengaku keturunan ulama sekian...sekian, wali sekian...sekian serta membawa pelbagai nas dari hadis, al-Quran atau pendapat ulama untuk menyokong cakap-cakap kosong mereka tanpa kefahaman mereka sendiri terhadap dalil yang dibawakan mereka.

Semuanya terlupa atau secara tidak sengaja terlupa dengan:
Sabda Rasulullah SAW,"Barangsiapa berdusta atas namaku secara sengaja, maka sesunggunya dia telah menempah tempat di dalam neraka" 
Pesan ulama,"Barangsiapa yang menafsirkan al-Quran dengan akalnya, sesungguhnya dia telah sesat dan tersalah walaupun betul"
Pesan mereka lagi,"Jangan anda sangka anda dapat fahami kitab yang dikarang oleh para ulama. Hanya ulama sahaja yang memahami karangan ulama. Maka, berguru itu lebih utama"
Jika tidak cukup dengan dalil di atas, silakan bertanya para ulama yang tinggal berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing. 4 tahun berada di universiti dan keluar bercakap dalam soal agama seperti telah belajar 40 tahun, itu sangat menuntut sesiapa yang melakukannya untuk bermuhasabah diri.

3- Jadi penghasut

Kebanyakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan laman sosial untuk menghina atau membuat fitnah terhadap orang lain apatah lagi apabila mengetahui statusnya itu dapat dilihat ramai orang.

Ini adalah contoh yang baik dalam mengelakkan hasutan
Meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara adalah kebebasan setiap pemilik akaun laman sosial tetapi jika status itu berkaitan dengan pihak kedua dan ketiga yang teraniaya atau bahasa mudahnya 'batu api', mereka boleh dianggap penghasut dan menyalahgunakan laman sosial.

Individu yang sering melakukan perkara ini tidak akan sedar kesalahan mereka sehinggalah dikenakan tindakan sewajarnya. Mereka mungkin tidak sedar setiap bait perkataan yang ditulis boleh menjatuhkan reputasi seseorang ataupun memporak-perandakan keluarga dan persahabatan orang lain.

4- Burukkan syarikat

Luahan rasa tidak puas hati terhadap syarikat antara status paling banyak dimuat naik di laman sosial. Bengang dengan majikan, kerja menimbun, bergaduh dengan rakan sekerja antara isu yang sering dilontarkan di laman sosial. 

Kemampuan mengakses tanpa batasan juga menjadikan laman sosial sebagai punca berlakunya masalah sosial lain. Terpekik terlolong memaki hamun majikan sendiri boleh membuatkan orang lain memandang rendah kredibiliti anda dan syarikat. Mungkin bagi mereka, berkongsi rasa tidak puas hati dengan orang lain di laman sosial boleh mengurangkan tekanan tetapi mereka lupa bahawa tindakan itu mampu menjejaskan reputasi syarikat dan rekod kerja mereka. 

Logiknya, memburukkan seseorang ataupun sesebuah organisasi bukanlah sikap yang baik apatah lagi ia berkaitan dengan tempat anda mencari rezeki seharian. Akibat terlalu taasub dengan laman sosial, perkara asas seperti ini diabaikan. Tiada sebarang tindakan dikenakan secara tak langsung membuatkan golongan ini semakin lantang dan bilangan bertambah ramai.

SEDAR DIRI

Pengendali laman sosial seperti Facebook dan Twitter seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat tepat dan bukan merosakkan nilai kemanusiaan. Apa yang boleh dilakukan ialah pengawalan menerusi kehendak diri sendiri yang akan menentukan sama ada berjaya mengekang nafsu daripada bertindak melebihi batasan atau sebaliknya.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...