Thursday 12 September 2013

Posted by Unknown On Thursday, September 12, 2013

Assalamualaikum semua.
Berita ini sengaja saya angkat dari akhbar Metro hari ini. 

Bukan kerana apa, tapi kerana saya lihat hari ini ramai ibu bapa yang hanya tahu menghantar anak-anak ke sekolah agama tanpa sebarang usaha untuk mendidik anak-anak itu sendiri. Sedangkan jika ditelusuri sejak zaman-berzaman, tanggungjawab ini terpikul di atas bahu para ibu dan ayah. Jika benar-benar tidak mampu baru diserahkan kepada guru atau ustaz di luar rumah.

Nabi SAW bersabda,"Ajarilah anak-anak kamu untuk mencintai Nabi dan ahli keluarga Nabi kamu serta ajarkanlah mereka al-Quran".

Ibu bapa hari ini sanggup bekerja bermati-matian semata-mata untuk memenuhi keperluan fizikal anak-anak seperti pakaian, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya tetapi tak ramai yang sedar aspek yang lebih UTAMA iaitu memenuhi  keperluan ROHANI mereka. 

Saya tulis bukan tidak bersebab. Cuba fikirkan, sebagai ibu bapa berapa kali anda bertanya kepada anak masing-masing tentang al-Qurannya, sudah baca ke belum? Sudah khatam ke belum? Sudah amal ke belum? Ramai yang bertanya tentang perkara lain terutama kepada anak-anak yang tinggal jauh dari rumah seperti asrama dan pusat-pusat pengajian tinggi.

Saya bawa contoh yang benar-benar berlaku kepada saya. Seorang ibu kepada pelajar saya pernah menelefon saya, pada semester lepas bertanyakan berapa carrymark agama anaknya, tinggi atau rendah? Disebabkan belum pernah ada ibu bapa yang bertanyakan hal ini kepada saya. Saya kembalikan soalan semula dengan sedikit pujian,"Bagusnya Puan hingga menumpukan prestasi anak puan dalam kursus agama ni. Boleh saya tahu tujuan puan bertanyakan hal ini?". 

Dijawabnya,"Saya memang sentiasa semak perkembangan pembelajaran anak saya, saya nak dia menjadi Eksekutif  di syarikat ****** setelah habis belajar nanti. Kebetulan saya kenal CEO nya. Sebab tu saya monitor semua kursus yang diambilnya."

Mendengar jawapan tersebut, rasa tertusuk sangat dengan jawapan tersebut. "Jika anda menggunakan ilmu dunia untuk mendapat dunia, ya, saya terima itu tapi jika anda gunakan ilmu akhirat untuk capai pangkat dunia, ini sudah benar-benar MELAMPAU," detik hati saya. Tanpa menunggu lama saya menjawab pendek tetapi saya tahu beliau akan terkesima,"Puan, anak puan tidak mampu membaca al-Quran lagi walaupun baru setahun dia tinggalkan al-Quran. Now, saya tahu kenapa Allah tarik ilmu al-Qurannya. Saya pasti niat Puan adalah puncanya."


Beliau benar-benar tersentak dan.........................MENANGIS. Lega hati saya kerana beliau menangis kerana memang itu tujuan saya, touch her heart dan perbualan seterusnya terpaksa saya sembunyikan. Yang penting kini, beliau semakin dekat dengan anak-anaknya dan kembali memenuhi saranan Islam dan al-Quran dalam kehidupan seharian keluarga mereka. Alhamdulillah.

Sila ambil peluang ini untuk belajar al-Quran. Tak lama pun, 7 jam sahaja untuk kuasai bacaannya.

Seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPGKI) Perak, mencipta satu kaedah menguasai bacaan Al-Quran bagi mereka yang tidak pernah membaca kitab suci itu sebelumnya, hanya dalam masa tujuh jam sahaja. 
Zakaria Din @ Nasiruddin mengambil masa sebulan mencipta Kaedah Haraki Membaca Al-Quran Tujuh Jam itu yang dipersembahkannya dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Awal Kanak-Kanak (iCON) 2013 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) Besut di sini dan meraih satu daripada tiga Anugerah Emas semalam. 
Kaedah yang dicipta sendiri oleh pensyarah agama IPGKI itu belum pernah didedahkan kepada umum dan memberi manfaat bagi semua peringkat usia yang ingin mempelajari Al-Quran termasuk orang bukan Islam yang tidak menguasai tulisan Jawi.  
Zakaria ketika ditemui Bernama di IPGKSM hari ini berkata kaedah itu dicipta hasil kajian dan pemerhatian terhadap kanak-kanak di awal umur dan pelajarnya yang masih belum menguasai pembacaan Al-Quran sejak awal tahun ini.

Katanya, ia bermula apabila seorang daripada pelajarnya yang baru memeluk agama Islam meminta beliau mengajarnya membaca Al-Quran, Februari lalu.

Zakaria berkata, oleh kerana sentiasa sibuk dengan tugasan harian sebagai pensyarah, beliau mencuba kaedah itu dengan mengajar anaknya Ahmad Mukhlis, 7, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bukit Jana Kamunting, Ipoh, Perak, menggunakan alat bantuan mengajar seperti buah dadu dan kad imbasan selain melakukan gerak tangan mengikut kaedah haraki .  
"Sebagai contoh bila bacaan harakat pendek, saya gunakan teknik mengetuk pipi manakala harakat yang panjang dengan cara mendepakan tangan dan dapat mengajar anak saya membaca Al-Quran secara bertajwid," katanya.  
"Syukur kaedah yang saya gunakan itu telah mampu membolehkan pelajar saya dari kalangan orang Asli itu menguasai bacaan Al-Quran dalam tempoh 7 jam dengan mengajarnya dalam tempoh sejam sehari dalam masa 7 hari sahaja," katanya. 

Berikutan kejayaan itu, beliau telah menggunakan kaedah yang diciptanya itu kepada golongan dewasa, orang-orang kampung dari pelbagai latar belakang termasuk kanak-kanak prasekolah yang masih tidak menguasai pembacaan Al-Quran dan hasilnya mengagumkan.  
Katanya membaca Al-Quran dengan kaedah haraki ini adalah suatu ringkasan dan inovasi kaedah terkini yang mengambil inspirasi daripada teknik-teknik membaca Al-Quran yang lain sehingga membolehkan sesiapa sahaja yang belum menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid, mampu berbuat demikian dalam tempoh singkat.  
"Kaedah Haraki bukan sahaja cepat, berinovatif, mudah difahami, menepati hukum Tajwid dan kurang menggunakan peralatan lain tetapi juga menarik serta menyeronokkan," katanya. Mereka yang berminat boleh mengikuti kaedah itu di laman blognya di kelasquran7.blogspot.com.

Mudah-mudahan, laman blog tersebut boleh menjadi rujukan anda untuk membina keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. Amin...

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah lanskap hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. Sabda Nabi SAW " Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat".

2 comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...