Thursday, 3 October 2013

Posted by Unknown On Thursday, October 03, 2013

Assalamualaikum semua. 
Jom arini nak cerita sikap orang pemalas. Bukan nak mengata orang tapi nak check up diri sendiri. Mudah-mudahan tak termasuk golongan ni. Malas banyak ragamnya dan kadang-kala mandi pun malas juga.

Tidak kiralah lelaki atau perempuan, sikap malas memang wujud dalam diri setiap insan. Itu fitrah orang yang tidak rajin kerana memang itu pasangannya yang Allah ciptakan. Malas mampu membuatkan kehidupan seharian manusia kucar-kacir. Lebih teruk apabila ia berkaitan kebersihan tubuh badan yang sepatutnya diberi lebih perhatian. 

Rutin mandi seharian sering dipandang remeh segelintir individu dan ramai yang tidak mengambil serius hal ini, apa yang penting bagi mereka adalah penampilan dinilai di antara dua mata yang timbul, bukannya dari dua hidung yang berlubang.

Semua orang mahu kelihatan bergaya dan pandai berfesyen tetapi pernahkah anda terfikir adakah penjagaan kebersihan badan dititikberat setaraf dengan gayanya? Tak guna juga bergaya jika badan berbau 'seharum' kambing yang takutkan air.

SEHARI HANYA SEKALI


Susah untuk menafikan bahawa rutin harian yang sibuk dengan jadual yang padat sedikit sebanyak mendorong kepada sikap malas. Seharian penat menyiapkan kerja bertimbun di pejabat atau letih dengan kuliah membuatkan kita akan terbaring lesu ketika pulang ke rumah. Dalam proses menenangkan otak dengan bermalas-malasan di depan televisyen itu, selalunya ia akan berakhir dengan tertidur hingga ke pagi hari.

Rata-rata golongan ini hanya mandi sekali sehari iaitu sebelum keluar rumah sama ada mahu ke tempat kerja atau ke kuliah. Jangan terkejut jika ada yang terus terang memberitahu hanya mandi sekali dalam dua hari terutamanya pada cuti hujung minggu.

Benarlah, mata hanya dapat melihat apa yang terhidang depan mata. Walaupun sekali pandang luaran nampak kemas tetapi apabila diteliti, rambut dan muka si malas mandi akan kelihatan berminyak. Jangan mudah tertipu dengan pandangan mata. Inilah ‘penyakit’ sebenar yang menghantui masyarakat dewasa ini.

MANDI TAK BERSABUN

Kebiasaannya, kita akan mandi dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas pulang kerja. Bagi mereka yang rajin, mungkin akan menjadi tiga kali atau lebih. Bagi mereka yang ‘takutkan’ air pula, mandi satu kali sehari sudah memadai.


Apabila ditanya, kebanyakan mereka memberitahu hanya akan mandi ketika pagi. Ia boleh dikatakan ‘wajib’ hanya kerana tidak mahu diejek rakan sepejabat atau ditertawakan kerana kelihatan kusut dan ‘serabai’.

Sebilangan yang ‘elak’ mandi pagi, akan cuba memaksa diri untuk segarkan tubuh badan pada waktu tengah hari sama ada selepas kuliah atau sengaja mandi lewat. Mereka berpendapat, sekali sehari sudah memadai untuk buang daki di badan. Lebih teruk apabila ada yang hanya mandi sekadar basahkan badan dengan air tanpa sabun. Mandi sekadar ‘cukup syarat’ untuk buatkan rambut basah tanpa syampu kemudiannya dialas dengan minyak wangi sebelum keluar antara taktik golongan pemalas ini.

Tabiat ini bukan hanya sinonim dengan golongan lelaki tetapi ia turut membabitkan wanita. Meskipun wanita sering dilabel pembersih berbanding lelaki, tetapi tidak bermakna secara keseluruhannya dijaga rapi.

PENCEMARAN BAU

Bau badan selalunya dikaitkan dengan orang yang berbadan besar apatah lagi jika si dia malas mandi. Bukan rakan saja yang menjauhi tetapi orang sekeliling juga akan beri pandangan penuh makna kerana bau badan yang tengik dapat dihidu dengan jelas.

Si pemalas mandi tidak akan merasai apa yang dialami orang sekeliling kerana dia berada di zon selesa. Jarang sekali mereka akan bau badan sendiri, oleh sebab itulah masalah ini tidak selesai sekiranya tidak ditegur.

Penyiksaan hidung akan lebih teruk apabila kita terpaksa berdepan dengan si pemalas mandi yang badannya mudah berpeluh. Secara tak langsung, bau badan akan menjadi makin kuat sehingga ada kes menyebabkan mereka hilang kawan. Siapa yang sanggup berdiri sambil tersenyum apabila dibiarkan sendirian di loji kumbahan? Mungkin ada yang sabar tetapi akan wujud batasnya. Itulah perumpamaan untuk menggambarkan situasi ini.

PASANGAN LARI

Memang benar, kita kena terima seadanya pasangan kita. Tapi ada sesetengah perempuan yang pembersih dan menjaga penampilan amat prihatin terhadap penjagaan tubuh badan. Mandi adalah elemen utama yang harus diutamakan.

Walaupun rupa pasangan sekacak Aaron Aziz atau secantik Maya Karin, apa gunanya gah paras rupa tetapi bau badan boleh hancurkan kebahagiaan? Jadi, kepada si pemalas mandi, paksa diri untuk ubah rutin harian anda supaya pasangan akan tetap setia dan tidak cari pengganti baru. Berubah ke arah kebaikan tak salah walaupun ia dugaan terhebat pada permulaannya.


TAK BAHAYA MANDI MALAM

Ramai yang berpendapat, mandi malam boleh mendatangkan penyakit kronik. Sejauh mana kebenarannya?
Sebnarnya, kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit ini.

Negara mempunyai iklim tropika di mana cuacanya panas dan lembab, oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan. Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia (jangkitan dari satu atau dua paru-paru yang biasanya disebabkan bakteria dan virus) dan tinggal di negara yang beriklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

Jelas, ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam.

*Jika anda rasa artikel ini bermanfaat dan mampu mengubah kesihatan dan hidup rakan-rakan anda, sila klik butang LIKE di atas ye, mungkin ada kebaikannya pada orang lain dan diri anda. "What you give, you get more back".

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...