Thursday, 31 October 2013

Posted by Unknown On Thursday, October 31, 2013
Macho kau, Sul...Sul...anak abah!
Assalamualaikum semua. Mesti anda gembirakan bertemu tuan tanah semula walaupun dah 3-4 hari tak update blog kesayangan dengan peminat-peminat kesayangan ni. 

Jika pada tahun-tahun Globalisasi sebelum ini, usia menjadi faktor utama sebelum diterima sebagai menantu dalam sesebuah keluarga, tetapi nampaknya kini, masyarakat lebih terbuka dalam fenomena baru ini. Usia bukan lagi faktor penghalang bahkan antara faktor PENYUMBANG utama sehingga ramai jejaka muda tercabar!

Meskipun pada zaman dahulu, ia seakan dihalang dan menyimpang jauh daripada pegangan masyarakat sejak turun-temurun, fenomena ini makin kerap berlaku dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi bagi mereka yang berumur awal dan pertengahan 20-an. Walaupun dipandang sinis dan menerima pelbagai tohmahan, mereka punya alasan dan sebab sendiri kenapa memilih lelaki lebih berusia.


BEZA LEBIH 10 TAHUN

Kebiasaannya bagi kebanyakan pasangan suami isteri kini, tak kurang juga yang bergelar kekasih tak sah taraf (sebab masih belum berkahwin), si lelaki akan lebih berusia iaitu antara dua hingga empat tahun berbanding si gadis. Walaupun masih ada juga yang sebaya kerana berkenalan dan bercinta sejak bangku sekolah menengah. Tapi sekarang, tak dinafikan apabila semakin ramai gadis mencari kekasih daripada golongan lelaki berumur sama ada pilihan sendiri ataupun pilihan keluarga.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila si lelaki berumur 10 tahun lebih tua daripada si gadis dan bukanlah fenomena luar biasa apabila pasangannya itu sudah berumah tangga atau memegang status duda. Kebanyakannya berumur antara 20 hingga 27 tahun tetapi si hero yang berjaya merebut hatinya mestilah sedikit berumur dan lebih matang dari dirinya. 

APA LEBIHNYA 'VETERAN MACHO'

1. Berketerampilan

Kata sebahagian besar dari mereka, walaupun luaran dimamah usia, tapi keterampilan lelaki berusia lebih ‘superb’ jika dibandingkan dengan jejaka muda. Malah ada antara mereka masih lagi pergi ke gimnasium dan spa untuk penjagaan diri.

2. Berkarisma tinggi

Bagi mereka, karisma terletak pada perwatakan. Walaupun umur berbeza jauh tetapi perwatakan veteran macho agak bersahaja dan tidaklah seperti ‘pak cik tua’. Mereka boleh jadi seorang yang profesional dalam kerjaya dan ‘pak lawak’ ketika bersama yang akhirnya membuatkan keserasian terjalin.

3. Matang dan pandai membuat keputusan

Lelaki muda selalunya dikatakan bersikap kurang matang dan berperangai lebih kebudak-budakan. Faktor kematangan perempuan yang lebih cepat daripada lelaki juga menyebabkan pemilihan lelaki berusia untuk menjadi pasangan ideal. Lelaki muda juga kurang profesional dalam menangani masalah. Kalau dapat pasangan kurang matang, takkanlah selamanya gadis tersebut yang akan membuat keputusan? Cuba bayangkan. Sikap tidak mudah melenting dan tenang dalam membuat keputusan antara daya penarik lelaki berusia hingga mampu membuatkan anak gadis muda jatuh cinta.


4. Berharta 

Tak perlu buat pinjaman kahwin, itu yang terpenting. Tapi ini bonuslah. Kalau tak bijak, kadang-kala ramai juga gadis yang 'terkikis'. Apabila semakin kukuh dalam kerjaya, lelaki akan menapak ke jawatan lebih tinggi. Sudah tentunya pada tahap ini, mereka mempunyai kerjaya yang tetap dan kewangan yang sangat stabil. Logiknya memang lelaki akan menyara keluarga walaupun si isteri bekerja. Oleh itu, adalah lebih baik untuk memilih lelaki yang telah stabil hidupnya.

5. Ketua keluarga

Veteran berusia sememangnya ‘makan garam’ lebih awal daripada gadis muda. Mereka lebih berpengalaman dalam selok-belok dunia. Perempuan perlukan lelaki tua untuk jadi pembimbing dan ketua keluarga. Kerana itulah sebilangan gadis memilih lelaki berusia yang dilihat peka dan arif dalam hal dunia dan sebagainya. Bukan untuk tujuan berseronok semata, tetapi untuk menjadi keluarga atau leader dalam rumahtangga yang boleh dicontohi oleh isteri dan anak-anak.

6. Kepentingan hari tua

Kebanyakan gadis muda yang latar belakang hidupnya susah inginkan jaminan masa depan sebab itulah mereka memilih suami berharta walaupun perbezaan umur begitu ketara. Mengahwini lelaki berharta walaupun sudah berusia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati hidup yang selesa tanpa perlu bekerja keras. 

Ada gadis yang tidak yakin dengan diri sendiri dan memerlukan sokongan lelaki berusia yang sudah berjaya dalam hidup. Ada juga gadis sanggup mengahwini lelaki sebegitu supaya mereka dapat hidup senang dan impian menjadi kenyataan untuk menikmati gaya hidup mewah. Meskipun kenyataan ini kedengaran menyakitkan tetapi faktor ini juga tidak dapat ditolak kerana terdapat juga fakta-fakta yang benar yang perlu diambilkira.

Dalam satu kajian yang dilakukan terhadap 1,074 pasangan pelbagai latar belakang, usia dan pendidikan di Switzerland serta Amerika Syarikat selama lima tahun mendapati hubungan membabitkan lelaki berusia dengan isteri muda lebih utuh. Data sama turut menjelaskan, peluang memiliki hubungan perkahwinan berkekalan menjadi enam kali lebih tinggi jika si isteri berusia lima tahun lebih muda atau lebih daripada suami. 

Kesimpulannya, tidaklah menjadi kesalahan besar kepada para gadis dan wanita untuk memilih lelaki yang lebih berusia daripadanya untuk tujuan mendirikan rumahtangga kerana yang penting adalah sikap-sikap positif dapat disemai dalam rumahtangga. Pemikiran, tindakan dan keserasian antara satu sama lain antara suami isteri itu lebih utama dalam kebahagian rumahtangga. Saya doakan anda bahagia, dunia dan akhirat.

Jika anda ingin kongsikan post ini bersama suami tersayang dan bersama rakan-rakan lelaki veteran yang lain, dipersilakan share ye. Sila 'like' je jika anda ingin melihat senyuman bermain di bibir pasangan hidup masing-masing dan rakan-rakan yang lain.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...