Monday, 27 October 2014

Posted by Unknown On Monday, October 27, 2014
Manisnya amal kerana manisnya iman

Pernahkah kita solat di sebuah masjid dan ketika kita solat kita tidak merasai apa-apa melainkan hanya takbir dan salam sahaja?

Setelah takbir, roh, akal bahkan hati yang menjadi tempat jatuh pandangan Allah itu juga menerawang memikirkan soal kerja, soal harta, soal orang lain, soal permasalahan hidup dan sebagainya dan akhirnya tanpa sedar kita mengucapkan 'Assalamualaikum wa rahmatullah'.

Kemudian kita berplaing ke kiri dan ke kanan dan 'sedar diri' bahawa rupanya kita sedang duduk di masjid seraya mulut menyebut 'Astaghfirullahal 'azim' dengan penuh sesalan atau kerana 'terkejut' dari kelalaian sepanjang solat tadi.

Mungkin bukan kita sahaja, mungkin seluruh masjid juga begitu!

Inilah yang disebut dari athar sahabat. Ubadah bin Somit berkata,

“Tidak berapa lama lagi, akan ‎‎sampai satu zaman. Apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki ‎‎yang khusyuk dalam solatnya.” ‎

TIADA DALAM ADA

Hakikat hidup kini nyata berbeza dengan apa yang telah dilalui oleh umat Islam terdahulu.

Kini kita mempunyai hampir segalanya yang disebut 'kemanisan dunia'. Kita punyai kekayaan, kemudahan, teknologi dan sebagainya tapi malangnya kita ditarik dari sudut yang lain iaitu 'kemanisan amal'.

Semakin kita beramal, semakin pahit dirasakan amalan itu bahkan semakin berat pula jadinya sedang jiwa meronta mencari hakikat manis bahagia.

Jika kebahagiaan tidak tercapai melalui ibadat mendekatkan diri kepada Allah, bagaimana mungkin kebahagiaan itu wujud di tempat lain pula.

Tatkala membaca novel, terasa sungguh hingga ke hati kecil.....
Tapi ketika baca Quran bahkan tafsir Quran pun hati masih terasa beban walau baru satu muka.

Tatkala menonton drama, terasa sungguh penghayatannya, siap bergelak tangis menjiwainya...
Tapi ketika 'menonton' kisah hidup Nabi dan para sahabat, bosan pula yang melanda.

Tatkala mendengar lawak gurauan palsu dilontar, berdekah-dekah ketawa bersambut...
Tapi ketika mendengar suara kebenaran dari surau masjid, telinga rasa ingin disumbat dengan sabut.

Tatkala mulut melemparkan perkataan lagha dan sia-sia, rasa mudahnya ia keluar tanpa dipaksa....
Tapi ketika ingin membasahkan bibir dengan zikir munajat, terasa kering mulut dan hambar terasa.

Ini tanda-tanda bahaya pada iman. Kerana bukti iman adalah amal.

KENAPA BEGITU?!

1. Minda tidak boleh tumpu atau fokus dalam setiap amalan yang kita buat kerana terlalu banyak masalah yang kita tanggung dalam hidup.

Kita bersoal jawab dengan diri sendiri dan kemudian diadukan kepada orang lain supaya masalah itu dan ini dapat diselesaikan dengan jawapan yang tidak pasti dari sesama manusia.

Kita hilang kemanisan amal kerana kita tidak mengadu kepada Allah tentang semua masalah yang kita tanggung selama ini. Kita bertanya orang itu dan orang ini. 


Sedang hakikatnya yang menasihati dan menyelesaikan masalah kita juga punya masalah. Adulah kepada Allah yang sentiasa tidak punya masalah bagiNya.

Dia datangkan masalah supaya kita kembali kepadaNya!

2. Hati yang tidak mendapat jawapan tentang persoalan hidupnya akan terus bertanya.

Apa rezekiku hari ni? Bagaimana pendapatanku hari ini? Macam mana nak hadapi perbelanjaan yang semakin tinggi? Kenapa orang itu begitu dan orang ini begini? dan sebagainya.

Hati terus bergolak mencari jawapan terhadap semua persoalan hingga apabila tiada jawapan, ia mula risau. Hilanglah sifat redha dengan agihan Allah taala dan mulalah hati bersifat dengki dan tamak.

Permulaan kerasnya hati dan seterusnya hilang kemanisan amal adalah ketika tamak sudah mengusai diri. Tak harta, tamak pujian, tamak kuasa, tamak dunia yang tiada penghabisan.

Belajar redha dengan peberian Allah dan belajar bersyukur dengan melipat gandakan usaha!

3. Sekarang adalah era dunia tanpa rahsia. Di ceruk mana pun berada, semua orang tahu pasal kita. Sama ada kita yang menceritakannya atau pun orang lain yang menjadi pengganti cerita. Seolah-olah, hidup sudah tiada rahsia sesama kita.

Mahu ke mana? Pergi dengan siapa? Belanja banyak mana? Shopping di mana? Apa kenangan manis tawarnya? dan sebagainya.

Tapi ada sesuatu yang terlepas pandang. Kita tiada rahsia sesama manusia tapi kita banyak berahsia dengan Allah taala.


Kerana itu hati itu hilang manis cintanya. Sedang berdiri di depan Tuhan yang Maha Pengasih itupun, masih terus terasa bosan melanda kerana kurangnya sifat mahu berkongsi rasa dan rahsia bersamaNya.

Bukankah lebih banyak kita berkongsi rasa, kita akan lebih mesra?!

Itulah tujuan ibadat. Ia tempat bermesraan denganNya sahaja, bukan masanya untuk 'mengingati' orang lain!

4. Biar sedikit taat yang manis tapi jangan berbuat maksiat yang tawar.

Sedikit taat tidaklah tercela di dalam Islam selagi mana maksiat itu dijauhkan sebanyaknya dan semampunya.

Punca hilang kemanisan amal adalah kerana taatnya yang sedikit dan maksiatnya yang terlampau banyak. Bukan kata tiada keseimbangan antara keduanya, bahkan terbalik langsung dari tuntutan sebenarnya.

Maksiat itulah yang 'menawarkan' kemanisan amal dan memaniskan 'ketawaran' maksiat sehingga kita lebih 'selesa' berbuat mungkar dan maksiat dari berbuat amal dan taat.

5. Orang-orang soleh terdahulu menganggap dosa kecil itu besar sehingga mereka tidak berani hendak melakukan dosa sekecil apa pun, apatah lagi jika ia berdosa besar.

Tapi tidak kini. Dosa besar pun kita menganggapnya kecil selagimana kita rasakan ianya tidak memberi kesan kepada kehidupan kita.

Inilah punca kekerasan hati sehingga amal yang sepatutnya manis menjadi tawar. Ia adalah angkara dosa dan pandangan kita terhadap dosa itu sendiri.

Maka benar hadis Nabi SAW ini.

"Sesungguhnya seorang hamba itu jika melakukan satu dosa,maka akan dititik pada hatinya suatu titik hitam,jika dia bertaubat, dan berhenti dari dosa itu,maka akan dibersihkan hatinya itu,jika dia kembali melakukan dosa itu kembali,titik hitam itu akan ditambah sehinggalah hatinya hitam berkarat,dan itulah yang dinamakan Ar-Raan (tutupan)"

Biasanya perkara yang kita anggap remeh itulah yang manjdi bala besar di kemudian hari. 

Betapa ramai yang mati di jalanraya hanya kerana tayarnya yang pancit. Nampak remeh alasannya, tapi kesannya besar.

Kembali kepada Allah setiap masa kerana kita tak mampu lari daripada dosa. Jangan biarkan sehari berlalu tanpa sempat kita beristighfar dan memohon ampun kepada Allah taala.

6. 'Selesa' tanpa sedar.

Ramai yang sedar bahawa amalnya sudah tidak membawa apa-apa kemanisan. Yang dikerjakan hanyalah semata-mata tanggungjawab agama sahaja. Fizikal ibadat sudah sempurna tapi rohaninya cacat merata-rata.

Namun, tak dinafikan bahawa ia lebih baik daripada meninggalkan ibadat itu semata-mata kerana alasan 'tidak berasa apa-apa'. 

Dalam keadaan ini ramai yang terus selesa hingga kesibukan dunia membuatkan kita tak terasa perlu untuk memperbaki 'rasa' ini secepatnya. Akhirnya kita terus selesa dalam persoalan yang tak terjawab oleh minda.


Kejutkan diri, keluarkan dari keselesaan itu kerana selesa itu daripada syaitan yang inginkan kita terus lalai dan lalai sekalipun ketika mendirikan ibadat.

Mulakanlah membuat jadual hidup anda dan penuhilah dengan menghadiri atau mendengar majlis-majlis ilmu. Hanya dengan ilmu sahaja, mampu 'menyedarkan' kita dari keselesaan yang menipu ini dan membuatkan hati menjadi lebih tenang dan tenteram ketika beribadat di hadapanNya.

Semoga kita mendapat kemanisan amal yang telah hilang itu kembali.

Semoga bermanfaat.

Wallahua'lam.

Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan

2 comments :

  1. Assalamualaikum. Allahu Akhbar...apa yang kamu tulis itu memang menyentap hati dan perasaan akak. Kemanisan solat inilah yang akak tengah cari dan usahakan..memang payah sebenarnya kerana pelbagai ujian mendatang yang kebanyakannya ujian daripada diri sendiri yang perlu dilawan. Doakan semoga akak diberi peluang untuk mampu terus mencari dan berusaha mendapatkan kemanisan solat dan iman. Amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasslam...semoga Allah terima doa dari hamba yang mencari pandanganNya. Jom usaha bersama. Pasti benar perkataan Allah ini,"Barangsiapa yg bersunguh-bersungguh untuk Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan buatnya"

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...