Kisah masa depan yang paling benar adalah kisah akhirat yang telah dikisahkan melalui al-Quran dan melalui lisan Nabi SAW.
Namun begitu, kebanyakan dari manusia tidak mengambil perhatian yang sepatutnya mengenai kisah-kisah yang menyeronokkan dan menggegarkan hati ini.
Kenapa mesti hati bukan anggota badan yang lain?
Kerana hati itulah tempat terakhir yang menentukan kisah itu menyerap ke dalam jiwa sehingga menjadi penghayatan pegangan hidupnya dan hati itu jugalah tempat terawal yang menjadi titik jatuh pandangan Allah taala.
INI KISAH AHLI NERAKA
Dalam pengisahan yang panjang di dalam Quran dan hadis, saya tertarik untuk berkongsi tentang betapa kuat dan rajinnya ahli neraka berdoa di sana. Maksudnya di dalam neraka.
Sedangkan ketika di dunia mereka hanya menadah tangan dengan luahan bicara kosong kerana malas berdoa dan kebanyakan dari mereka adalah orang yang langsung tidak berdoa. Puncanya adalah dari kerana hati yang keras dan sombong.
Benarlah kata-kata hikmah dari ulama terdahulu.
'Sesungguhnya orang yang paling banyak berdoa di dunia adalah ahli syurga
dan sesungguhnya orang yang paling banyak berdoa di akhirat adalah ahli neraka'
DOA AHLI NERAKA
Di dalam Quran khususnya, disebut dengan jelas 5 doa ahli neraka dan 4 daripadanya mendapat jawapan langsung daripada Allah dan baki doa terakhir tiada jawapan kepadanya dan tiada lagi belas kasihan kepada mereka.
1. Doa dari ahli neraka ketika kali pertama 'melawat' dan tinggal di dalamnya untuk selamanya:
"Ya Tuhan kami Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah sesuatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?" - Al Mukmin : 11
Jawab Allah:
(Lalu dikatakan kepada mereka): Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila diseru untuk menyembahNya, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu) dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu).
Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya). - Al Mukmin : 12
Buat kali pertamanya, mereka memuji Allah dari hati mereka tetapi dalam keadaan terpaksa dan menyesal yang tidak bertepi. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengakui dosa mereka dan meminta keringanan hukuman.
Sangka mereka itu adalah proses penghakiman yang sama seperti di dunia. Dengan memuji hakim dan mengakui dosa, maka besarlah harapan untuk diringankan hukuman.
Tapi rupanya tidak begitu keadaannya kerana yang menghukum mereka sangat murka dengan apa yang telah mereka lakukan dengan peluang-peluang yang diberikan berkali-kali di atas dunia ini, satu ketika dahulu.
2. Tidak 'jalan' dengan doa yang pertama, mereka mula memberikan alasan untuk diberikan satu lagi peluang.
"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu):
Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." - As Sajadah: 12
Jawab Allah:
"Dan (bagi menolak rayuan itu Allah berfirman): Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan iman (dengan memberikan hidayah pertunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah pertunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat) tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu.
Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal salih).
Lalu dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kelalaian kamu maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
Ternyata di dalam ayat ini menunjukkan bahawa sebenarnya ahli neraka itu dahulunya ahli dunia yang mengetahui bahawa mereka akan kemballi kepada Allah tetapi kelalaian dunia telah menipu daya mereka.
Allah tidak menggelar mereka bodoh tapi Allah mengatakan mereka lalai sehingga kerana kelalaian itu, mereka melupakan akhirat dengan tidak beramal dan di akhirat, Allah pula melupakan mereka. Dengan sangaja!
3. Ketika ini ahli neraka terus merayu dengan doa permintaan mereka. Orang yang tidak banyak berdoa di dunia, pasti banyak doanya di hari akhirat nanti. Sedangkan doa ahli syurga di akhirat hanyalah satu perkataan, "Sallim...sallim...sallim" - Selamatlah....selamatlah....selamatlah.
Ini rayuan seterusnya di dalam surah Ibrahim, ayat 44.
"Ya Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul."
Maka, balas Allah kepada mereka:
"Bukankah kamu telah bersumpah (dengan angkuh dan sombong) dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?
Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)".
4. Sekali lagi mereka memberi alasan dalam rayuan yang hampir sama. Tapi dalam keadaan berbeza,
Jika sebelumnya, rayuan dan alasan mereka disebutkan dalam keadaan hina, malu dan mengharap yang semuanya terkandung di dalam maksud doa.
Tapi doa seterusnya, lebih menghinakan dan lebih terdesak kerana doa-doa sebelumnya tidak dipedulikan. Mereka mula mengangkat suara bersama tangisan dengan harapan di hati yang semakin menipis.
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan." - Fathir: 37
Lalu Allah menempelak mereka:
"Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat?
Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan."
Masa yang panjang telah dikurniakan di dunia, kesihatan, kekayaan, fikiran yang sihat serta lainnya adalah 'modal' supaya ketika dekat dengan Tuhan bukan sebaliknya.
Kerana kelakuan sebaliknya oleh ahli neraka ketika menjadi ahli dunia ini, maka sesuailah azab itu untuk mereka tanpa diberikan lagi peluang di sana untuk berubah.
5. Inilah doa dan rayuan terakhir mereka.
"Ya Tuhan kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat. Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim". al-Mu'minun 106
Mereka akhirnya mengakui bahawa mereka bukan sahaja lalai bahkan menggelar diri mereka sebagai orang yang jahat. Permintaan mereka adalah sama sahaja. Ingin kembali ke dunia kerana di sanalah tempat bersenang-lenang mereka.
Tapi kali ini dengan satu janji yang mereka doakan bersungguh-sungguh...tapi apa kata Allah?
"Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku."
Akhirnya Allah menutup perbicaraan bersama mereka dengan janjiNya sendiri dan dalam masa yang sama menolak janji 'manis' mereka dengan firmanNya ini.
Mereka tidak dibenarkan lagi berbicara kepada Allah dan mereka tinggal di dalamnya dengan hina dina selamanya!
WALHASILNYA
1. Ahli neraka suka berdoa.....ketika di dalam neraka dan ketika berada dalam keadaan sempit dan susah sahaja. Sedangkan ketika senang dan luas hidupnya, rasa berat sekali mahu menadah tangan mahu berdoa.
2. Ahli neraka tahu bahawa dunia adalah tempat berpenat dengan amal ibadat dan akhirat adalah tempat berehat dengan balasan yang sempurna. Tapi mereka orang yang melakukan sebaliknya dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar.
3. Ahli neraka itu tahu bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun kepada manusia. Jadi mereka merayu dan berdoa agar dikasihani dan diampunkan.
Mereka menipu diri sendiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Pengampun sedangkan mereka juga tahu sifat Allah yang lain. "Dan sesungguhnya azabku azab yang sangat pedih"!
4. Berdoalah sebanyaknya kerana merekalah orang yang rapat dengan Tuhan. Ia tidak tahu berbicara dan berkongsi rasa dengan manusia tapi ia sangat bijak sekali kerana berkongsi rasa dan luahan hati bersama Allah sahaja.
5. Beramallah dan sebarkanlah kebaikan kerana mungkin padanya terdapat keampunan Allah dan keredhaan Allah kepada kita.
Semoga bermanfaat. Waallhua'lam.
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
0 comments :
Post a Comment