Saturday, 29 June 2013

Posted by Unknown On Saturday, June 29, 2013

KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa penjualan dan penggunaan shisha adalah haram kerana bahan itu didapati lebih berbahaya terhadap kesihatan berbanding menghisap rokok.

Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata, keputusan itu dibuat ketika mesyuarat jawatankuasa berkenaan kali ke-11 yang berlangsung di Kota Kinabalu, 24 Jun lalu. 
"Saya berharap pihak kerajaan negeri serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dapat memantau kegiatan ini dengan serta merta kerana ia dibimbangi menjadi suatu gejala yang tidak sihat untuk jangka masa panjang. 

"Kita lihat penggunaan bahan ini sangat popular terutamanya di kalangan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini dan langkah pengawasan perlu diberikan perhatian.

"Saya juga akan menghantar surat kepada pihak kerajaan negeri dan MPK berhubung keputusan majlis fatwa dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian sewajarnya termasuk tindakan yang akan diambil jika mendapati mana-mana pihak yang masih berdegil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kompleks DUN, di sini, hari ini. 

Katanya, pihaknya berharap MPK dapat menghalang semua aktiviti penjualan shisha kerana keputusan fatwa sudah menetapkan bahawa penggunaannya dalam apa jua bentuk adalah haram dan berharap semua pihak menghormati apa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Perlis pada mesyuarat itu. 

Sebelum Perlis, Melaka turut mengharamkan penggunaan shisha di seluruh negeri itu dan berdasarkan rekod kajian daripada Agensi Anti-Tembakau Perancis (OFT) mengesahkan bahawa bahan itu mengandungi karbon monoksida dengan sekali hembusan bersamaan 52 batang rokok.

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...