Pernah mendengar alasan seperti ini dalam hidup seharian anda?
Sedikit teguran dari insan kerdil ini untuk manfaat kita bersama.
NIKMAT VS MUSIBAH
Pernah dengar luahan seperti ini di FB:
+ 'Saya putus tunang. Jangan ganggu saya buat masa ni.'
+ 'Saya terlibat kemalangan, orang yang langgar saya tu...sekian...sekian.'
+ 'Rumah saya dimasuki perompak minggu lepas, kali ni saya letak CCTV pula.'
Hampir semua musibah diceritakan.
Cerita naik gaji, anak soleh, kereta yang selesa, rumah yang baik dan nikmat yang baik-baik ditutup kemas pula.
Persoalannya, adakah ini yang dituntut oleh Islam?!
Jika kita telusuri dan fahami ibadat-ibadat khusus di dalam Islam yang menjadi tiang-tiang utamanya, kita akan sedar bahawa kita telah 'membiasakan yang salah' di dalam hidup kita seharian.
- Jodoh, zahirkan dengan walimah.
- Anak, zahirkan akikah.
- Lebihan, zahirkan dengan korban.
- Solat, zahirkan dengan jamaah.
- Puasa, zahirkan dengan berbuka.
Lihat pula firman Allah:
'Maka adapun dengan nikmat Tuhanmu, maka ceritakanlah'
'Pakailah perhiasan yang indah-indah ketika hendak ke masjid'
'Maka nikmat tuhanmu yang mana satukah yang ingin engkau dustakan?"
'Maka nikmat tuhanmu yang mana satukah yang ingin engkau dustakan?"
Begitu juga arahan dari Nabi SAW, 'Sesungguhnya Allah sangat suka apabila ia memberikan nikmat, maka hambanya menzahirkan kesan nikmat tersebut'
Bahkan hukama mengatakan,"Antara tanda seseorang itu bersyukur, ia zahirkan nikmat Allah kepadanya. Tanda seseorang itu redha, ia sembunyikan musibah yang menimpanya".
Bukankah semua ini menunjukkan atas galakan menzahirkan nikmat atas beberapa tujuan:
- Berkongsi kegembiraan bersama umat Islam.
- Mendapatkan keberkatan atas rezeki yang didapatkan dengan asbab doa orang Islam.
- Mengelakkan fitnah yang mungkin timbul kerana perubahan cara hidup dari rezeki yang didapatkan.
- Berkongsi rezeki itu bersama orang lain jika ia dalam bentuk yang boleh dibahagikan.
- Mengajar umat Islam lainnya untuk mendapatkan rezeki tersebut melalui jalan yang Islam aturkan.
Tidak dinafikan bahawa sikap umat Islam khasnya di Malaysia yang terlalu negatif mengundang kepada fitnah ini sehingga orang ramai takut untuk menzahirkan nikmat tetapi lebih senang berkongsi musibah yang menimpa.
Majoriti respon ketika dizahirkan rezeki:
- 'Eleh, nak menunjuk la tu kata isterinya lawa'
- 'Riya nya orang ni. Kereta besar tu pun nal menunjuk. Kalau sampai masjid takpe juga'
- 'Jangan takbur sangat, nanti Allah tarik tak pasal je malu muka'
- 'Nasihat saya jangan tunjuk sangat rezeki nanti masuk rasa ujub, riya dan takbur dalam diri'
Nampak...nampak?!
Betapa manisnya nasihat mereka, tapi pahit sekali hakikatnya!
Orang yang dinasihatkan, belum tentu lagi bertujuan untuk ujub, riak atau takbur tapi yang menasihatkan sudah ada dalam dirinya:
+ Sifat su' zhon (buruk sangka) dengan orang lain kerana semua sifat tadi adalah sifat hati yang tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah. Tiada siapa mampu membaca hati orang lain melainkan Allah dan orang-orang yang mempunyai kelebihan di sisiNya.
Firman Allah: "Wahai orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada sangkaan. Sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa."
+ Sifat tajassus iaitu mencari-cari aib orang lain. Tujuannya untuk mencari keburukan seseorang muslim. Kebiasaan sikap manusia apabila ia mempunyai sangkaan buruk, ia tidak akan terhenti di situ sahaja.
Ia akan mula mencari lebih banyak keburukan orang yang tidak disukainya sebagai senjata pemusnah yang digenggam olehnya. Menunggu masa musuh lemah, pasti dilontarnya.
Apa yang Nabi SAW perintahkam,“Aku tidak disuruh untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain) dan perut mereka”.
+ Sifat hasad dengki yang lebih susah untuk dikesan oleh diri apatah lagi diubati. Bila melihat nikmat yang dizahirakan oleh orang lain, mereka mula cemburu. Dari hanya cemburu yang biasa-biasa, akhirnya naik kepada hasad dengki pula.
Dengki adalah menginginkan agar nikmat itu dihilangkan dari saudaranya dan dianugerahkan kepadanya pula.
Ingat pesan hukama,"Terdapat api di dalam hati orang yang hasad. Jika api itu tidak membakar orang yang dihasadnya, ia akan membakar diri tuannya sendiri.".
# # # # #
Jom belek satu persatu sifat mazmumah ini:
UJUB - Menzahirkan kelebihan diri dengan mengangkat usaha dari keupayaan sendiri tanpa mengaitkannya atau hingga terlupa ia sebenarnya anugerah dari Allah taala.
RIYA - Menzahirkan kelebihan diri yang sepatutnya hanya lillahhi taala (kerana Allah) kepada untuk mendapatkan pujian, kelebihan daripada manusia biasa semata-mata.
TAKABBUR - Menzahirkan kelebihan diri dengan mengangkat usaha dari keupayaan diri serta bertujuan merendahkan atau menghina orang lain.
Jika kita telah memahami perkara ini, maka sangat mudah bagi kita menilik diri sendiri hingga sampai satu tahap, kita tak mampu lagi menilik diri orang lain.
Setelah kita faham 3 istilah biasa yang masyarakat awam biasa gunakan, barulah kita perlu ketahui apa larangan untuk menzahirkan nikmat supaya tidak lagi terlencong hati kita:
1. Menzahirkan nikmat bukan tujuan untuk merendahkan orang lain, yakni beserta sikap takabbur.
2. Menzahirkan nikmat bukan tujuan untuk mengangkat diri sendiri, sama ada untuk kelihatan hebat atau untuk dipuji oleh orang lain, yakni beserta sikap ujub dan riya.
3. Menzahirkan nikmat bukan secara berulang-ulang secara kerap sehingga menimbulkan fitnah.
Ok, setakat ini dahulu. Semoga anda semua mendapat manfaat daripada tulisan ringkas ini.
Waallahua'lam.
Mohd Taufiq
Motivator Kesihatan & Kejayaan
Motivator Kesihatan & Kejayaan
0 comments :
Post a Comment